eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: 07/06

Monday, July 31, 2006

Siti Sensitif Isu Ibu Tiri



Riak wajahnya penuh bahagia. Senyuman pula tidak lekang dari ulas bibirnya. Kalau dihitung kira, hari bersejarah yang dinantikan tinggal kurang sebulan saja.

Selepas melalui episod misteri siapa jejaka pilihan hati, Siti Nurhaliza kini tidak lagi bersembunyi. Meskipun masih ada soalan-soalan sensitif yang terpaksa ditepis, Siti sudah tidak kekok berbicara tentang ‘Datuk’, nama panggilan bakal suami yang digunakan di hadapan wartawan.

“Berdebar,” kata Siti ringkas apabila diusik perasaannya menjelang hari ijab kabul. Sementelah tarafnya sebagai penyanyi nombor satu negara, tidak boleh tidak, dia tetap mahu menyentuh soal kerjaya walaupun perkahwinan menjadi topik perbincangan utama.

“Siti harus selesaikan kerja terlebih dulu. Mungkin Siti akan bercuti selepas kahwin, tetapi rasanya tidaklah terlalu lama. Semua jadual telah diselenggarakan dengan baik, Insya Allah, Siti berdoa segala perancangan berjalan lancar,” ujarnya yang sudah pun menjalani kursus perkahwinan baru-baru ini.

Mengakui kurang selesa apabila persiapan perkahwinannya cuba diintip, tegasnya: “Siti faham sebagai seorang selebriti, apa yang Siti buat peminat ingin tahu. Sukar sebenarnya untuk menunaikan hasrat orang. Buat kecil-kecilan dikata, buat besar-besaran pun nanti dituduh hendak menunjuk.

“Siapa yang tidak menginginkan majlis perkahwinan yang indah dan istimewa? Tetapi, biarlah Siti tekankan yang majlis tersebut akan berlangsung dalam suasana sederhana, tetapi meriah. Siti tidak mahu peningkan kepala fikir yang bukan-bukan.”

Meminta agar media dan peminatnya bersabar, sambungnya lagi, “Tidak perlulah kejar pereka baju pengantin Siti atau bertanyakan berapa harga cincin perkahwinan. Tiba masanya, semua akan tahu.”

Bakal bergelar isteri kepada usahawan Datuk Mohamad Khalid Jiwa, atau lebih dikenali sebagai Datuk K, 47, Siti enggan mengulas lanjut tentang status ibu tiri yang akan digalasnya kepada empat orang anak teruna.

“Soalan itu agak sensitif memandangkan mereka masih mempunyai ibu kandung. Apa yang ditentukan Allah, Siti terima seadanya. Berkenaan dengan gambar-gambar mereka yang disebarkan di internet, bagi Siti, dalam dunia siber macam-macam boleh berlaku. Biarkanlah,” tuturnya reda.

Sematang usianya yang sudah mencecah angka 27 tahun, Siti melihat kehidupan dari sisi yang lebih positif. Sebagai pemilik syarikat Siti Nurhaliza Production (SNP), dia tidak keberatan apabila diminta bercakap mengenai hubungan perniagaannya dengan Datuk K.

“Sebagai orang yang tahu selok-belok perniagaan, Siti menyifatkan Datuk sebagai penasihat dalam membimbing Siti menjadi usahawanita berjaya. Jalinan baru yang tercipta ini bukan untuk meraih keuntungan semata-mata, tetapi lebih kepada satu persefahaman yang dapat memberi manfaat bersama,” kata penyanyi Biarlah Rahsia ini.

Menurut Siti, selepas ini SNP tidak hanya bertindak menguruskan kerjayanya, tetapi akan beroperasi sebagai label rakaman yang menaungi beberapa orang artis. Sayap perniagaannya juga bakal dikembangkan melalui cabang yang lain seperti perniagaan teh jenama Ctea dan perniagaan interaktif.

Dalam kesibukannya mengatur jadual antara tugas seni dan persiapan sebagai ratu sehari, Siti tidak mengabaikan soal kecantikan dan penampilan diri.

Dilantik sebagai jurucakap produk Olay, Siti melancarkan rangkaian terkini jenama tersebut yang dipanggil Total Effects For Blemish Prone Skin di sebuah hotel di Kuala Lumpur minggu lalu.

“Dengan satu tiub saja, Siti tidak perlu risau tentang kulit muka. Maklumlah, ‘hari penting’ Siti semakin hampir. Produk ini menangani masalah tanda-tanda awal penuaan seperti bintik hitam dan bintik putih. Teksturnya kurang berminyak, lebih mudah menyerap pada kulit muka. Baunya juga menyenangkan,” kempen Siti.

Thursday, July 27, 2006

Nasihat Mawi Pada Ina



Dia mengukir senyum melihat kehadiran ramai wartawan pada petang itu. Tiada siapa yang dapat menduga apa yang sedang berlegar-legar di fikirannya.

“Rindu rasanya, dah lama tak jumpa anda semua,” katanya menyapa pihak media yang menunggu hampir sejam sebelum majlis pelancaran albumnya, Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu bermula.

Setelah tiga minggu ‘bercuti’ bagi menghormati pemergian ayahanda tercinta, Mawi kembali menjadi buruan. Banyak persoalan yang hendak diajukan, banyak juga spekulasi yang mesti diperjelaskan. Namun, riak wajahnya tenang seolah dapat menduga apa yang bakal dihadapinya.
Sudah hampir setahun bergelar artis, dia tampak bijak mengendalikan emosi. Dia sudah tidak melenting marah atau tersinggung, tidak juga menjawab ‘no comment’ meskipun ada di antara jawapannya berulang-ulang.

Topik apa lagi yang paling ingin ketahui ramai kalau bukan mengenai bekas tunangnya, Nordiana Naim atau Ina. Gadis berusia 22 tahun itu dilihat semakin bebas bersuara dan mendapat publisiti meluas meskipun dirinya bukan seorang artis. Kini berhijrah ke Kuala Lumpur, Ina khabarnya sudah bertugas sebagai Eksekutif Pemasaran di sebuah syarikat.

“Mungkin dia ada impian dan cita-citanya sendiri. Kalau sudah tertulis rezekinya di situ, baguslah. Saya doakan dia berjaya,” tegas Mawi.

Diasak dengan pertanyaan tidakkah dia terasa Ina menggunakan media untuk meraih simpati ataupun populariti, cepat-cepat dia menidakkan. “Tidaklah. Saya tidak rasa begitu. Kalau sudah rezeki dia...” ujarnya tergantung.

Mengakui melihat gambar-gambar Ina yang terpampang di akhbar, perasaan Mawi cuba diusik.

“Cantik tak dia,” tanya seorang wartawan. “Ok, ok,” jawabnya. “Menyesal tak putus tunang?” Mawi disakat lagi. Jejaka berusia 25 tahun itu terus menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia juga ketawa besar apabila ada yang bercadang untuk menggandingkan mereka berdua dalam satu sesi fotografi. “Tidak perlulah,” katanya pendek.

Terdiam sejenak apabila diminta memberikan nasihat kepada Ina memandangkan dia sudah merasai alam glamor terlebih dulu, saranan Mawi: “Dia harus bersedia dari awal dengan segala kemungkinan yang berlaku. Dugaan selepas ini lebih hebat. Kuatkan semangat, semoga berjaya.”

Jika benar bagai dikata, nyata Mawi tidak menyimpan dendam di hati. Biarpun album gambar yang dimintanya selepas putus tunang masih belum dikembalikan, Mawi reda. “Hendak pulang, pulanglah. Kalau tidak, ambillah,” tuturnya.

Sehebat fenomena yang dicipta Mawi, sehebat itulah kontroversi yang melanda dirinya. Tidakkah dia bimbang para pengikutnya semakin berkurangan lantaran cerita panas yang tersebar satu demi satu?

“Bila saya pergi pertunjukan pentas, peminat masih sama seperti biasa. Kurang pastilah pula kalau ramai yang semakin membenci. Saya tidak boleh paksa orang menyukai saya. Sebagai penyanyi, saya cubalah buat yang terbaik. Saya pun manusia biasa juga,” jelasnya seperti meminta kemaafan.

Tidak menafikan sensasi yang tercipta sedikit sebanyak menjejaskan reputasi, Mawi bagaimanapun tetap berpegang kepada alasan sebenarnya menceburi bidang nyanyian.

“Dari awal dulu saya beritahu, saya menyanyi kerana mahu bantu keluarga. Mulut orang tidak boleh saya tutup. Saya hanya boleh bersabar dan berhati-hati dengan apa yang saya buat selepas ini,” terangnya yang kelihatan lebih terbuka dan bersemangat baru.

Trivia

* Album Mawi Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu telah mencecah jualan melebihi 104,000 unit sejak dipasarkan 17 April lalu. Pada hari pertama saja, ia laris sebanyak 58,500 unit. Album ini layak menerima anugerah Cakera Platinum Berkembar Empat.

* Empat album Mawi iaitu Best Of Mawi World, Mawi Tercinta, Best Of Mawi World MTV Karaoke dan Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu telah terjual melebihi 450,000 unit dalam tempoh lapan bulan.

* Ditanya tidakkah Maestro Records memberi ganjaran kepada Mawi atas penjualan album yang memberangsangkan, Ketua Pegawai Eksekutif Maestro, Freddie Fernandez memberitahu: “Kita melihat keuntungan itu sebagai modal pusingan untuk menerbitkan album artis-artis lain yang bernaung di bawah kami. Ini satu perniagaan, kami juga ingin memberi peluang kepada barisan artis kami yang lain mencipta nama.”

* Majlis pelancaran album Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu telah disempurnakan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Yusof Nor.

* Album tersebut dijangka akan menembusi pasaran Indonesia November ini. Rancangan awal melancarkannya pada Julai lalu terpaksa ditangguh akibat kesibukan Mawi, serta pemergian arwah bapanya.


* Berat badan Mawi semakin bertambah. Daripada 55kg semasa keluar Akademi Fantasia tahun lalu, sekarang beratnya meningkat sehingga 65kg.

Wednesday, July 26, 2006

Harapan Fazli Menjadi Nyata




Daripada seorang pelayan hotel, dia berjinak-jinak mengasah bakat sebagai penyanyi kelab. Status anak tunggal dan yatim piatu yang digalas tidak pernah melemahkan semangat, malah mendidiknya menjadi seorang yang cekal dan tidak tahu erti putus asa.

Bertahun Fazli Zainal menyimpan hasrat sebagai penyanyi rakaman. Pelbagai pertandingan bakat dicubanya sehinggalah takdir menempatkan dia sebagai salah seorang peserta Top 12 Malaysian Idol musim pertama. Meskipun menjadi peserta paling awal tersingkir, jejaka berusia 29 tahun ini enggan menyerah kalah.

Terus menjaja kebolehan yang ada, suara gemersiknya mendapat perhatian beberapa syarikat rakaman sehinggalah dia bersetuju menerima pelawaan label baru, U’quotient Records. Single pertamanya, Harapan, membuahkan hasil apabila lagu ciptaan Hazami itu sering berkumandang dan tersenarai dalam beberapa carta radio.

Tanggal 14 Ogos ini bakal menjadi salah satu tarikh penting dalam sejarah hidupnya. Album sulungnya yang memakai judul serupa, Harapan, akan diedarkan oleh Sony BMG Music Entertainment pada hari tersebut.

“Saya melihat peluang ini sebagai satu rezeki. Selepas sekian lama menunggu, impian saya untuk mempunyai album sendiri akhirnya terlaksana,” lafaz Fazli penuh syukur.

Berkonsepkan variasi pop, Harapan mendapat sentuhan barisan komposer terkenal seperti Audi Mok, Adnan Abu Hassan, M. Nasir, Aidit Alfian dan Terry Lee. Selain itu, Hazami yang bertindak sebagai penata vokal Fazli turut menyumbang beberapa lagu, termasuklah sebuah lagu ciptaan Pengiran Haji Sufri Bolkiah dari Brunei berjudul Tetap Bersamamu.

“Salah satu alasan mengapa saya memilih U’quotient Records ialah mereka memberi saya kebebasan untuk menentukan corak lagu yang bakal dimuatkan dalam album. Selain itu, kepercayaan mereka menghasilkan Harapan sebagai produk sulung amat saya hargai,” jelas anak muda kelahiran Kg. Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor ini.

“Saya tidak mahu dituduh buat album syok sendiri. Sebagai orang baru, saya sentiasa mendapat khidmat nasihat dan pandangan dari mereka yang berpengalaman, terutamanya Ahmad Izham Omar yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif. Izham merupakan antara individu yang sentiasa mendorong saya bekerja keras sejak Malaysian Idol lagi,” sambungnya.

Semasa sesi pra-dengar album Harapan yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini, ramai yang berpendapat kekuatan suara Fazli lebih terserlah menyanyikan lagu-lagu balada. Tidak mengiyakan, tidak juga menidakkan kenyataan tersebut, Fazli menegaskan: “Saya tidak mahu menyempitkan keupayaan pada satu-satu jenis lagu saja.

“Berpengalaman menyanyi di kelab malam selama lapan tahun, saya juga terdedah dengan lagu-lagu rancak. Bagi saya, ini semua subjektif, terpulang kepada penilaian dan cita rasa masing-masing. Sebagai penyanyi, saya sentiasa cuba menjadi versatil.”

Justeru, single kedua Fazli akan menampilkan sebuah lagu pantas ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Ad Samad bertajuk Mantera Sakti.

Mengangkat Hazami dan Anuar Zain sebagai idola, Fazli hanya ketawa apabila dia dikatakan bakal menjadi saingan dua nama besar tersebut. “Penglibatan saya dalam industri hiburan bukan untuk memberi cabaran kepada sesiapa. Bukan juga untuk mencari glamor. Saya hanya ingin menonjolkan bakat yang ada dan semoga peminat di luar dapat menikmatinya,” tuturnya penuh hemah.

Tuesday, July 25, 2006

Tenggelam Atau Di Permukaan?

Tajuk: Lady In The Water

Pengarah/penulis: M. Night Shyamalan

Para pelakon: Paul Giamatti, Bryce Dallas Howard, Jeffrey Wright, Bob Balaban, Sarita Choudhury, Cindy Cheung, M. Night Shyamalan

Penilaian: 2.5 bintang

Ini sebuah filem fantasi, bukan filem seram atau thriller. Sebelum anda pergi menonton dan mungkin berasa kecewa, izinkan saya membocorkan satu rahsia: tiada kejutan besar dalam karya M. Night Shyamalan kali ini, baik di pertengahan mahupun di penghujung cerita.

Lady In The Water mengambil set The Cove, sebuah apartment di mana Cleveland Heep bertindak sebagai superintendent. Seorang yang sangat tekun pada tugas, suatu malam, dia terdengar bunyi air berkocak dari kolam renang. Cleveland dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita bernama Story yang mengakui dirinya adalah ‘narf’ - makhluk dari alam mistikal yang dipanggil Blue World.

Ingin bertemu seseorang bagi menyampaikan pesanan dari masa depan, kedatangan Story di atas bumi tidak disenangi oleh makhluk aneh, Scrunt yang menyerupai serigala. Berasa pelik namun mempercayainya, Cleveland menggali dasar cerita Story, lalu menemui persamaan dengan sebuah hikayat dongeng kanak-kanak.

Di sinilah bermulanya tanggungjawab Cleveland untuk menyelamatkan dan membawa Story pulang ke dunia asalnya semula. Selepas menghasilkan filem hebat The Sixth Sense, Shyamalan terus memanipulasi khayalannya ke alam nyata melalui Unbreakable, Signs dan The Village. Lady In The Water tidak terlepas dari pengaruh yang serupa, cuma tiada hantu, tiada postmodern superhero atau makhluk asing.

Namun demikian, Lady In The Water menampilkan karakter-karakter fantasi yang tidak familiar dan tidak mempunyai established cultural mythology. Ini membuatkan audiens menghadam dan memahami sendiri apa yang cuba disampaikan dalam masa yang singkat.

Sayang sekali, khayalan Shyamalan kali ini kurang menjadi dan tidak berjaya ‘dibeli’ penonton. Plotnya tidak kukuh, tenggelam jauh ke dalam fiksyen yang amat janggal. Story yang sepatutnya menjadi fokus cerita muncul sebagai watak yang kurang menarik, seolah terbiar dan tidak mendalam.

Kewujudan makhluk aneh seperti Scrunt, monyet jadian Tarturic dan helang gergasi, Giant Etlon juga gagal menangkap imaginasi. Tidak dinafikan skrip Shyamalan pintar dan kreatif, berjaya mengaitkan satu demi satu peristiwa dengan cantik. Tetapi, perlaksanaannya kurang menyakinkan. Mungkin dia patut memberi tumpuan di belakang kamera saja tanpa mengambil tugas sebagai pelakon? Mungkin penonton (sekurang-kurangnya saya) masih mengharapkan Shyamalan membikin sebuah filem yang penuh kejutan.

Mungkin para peminatnya menginginkan Shyamalan menjadi seorang pengarah yang stereotaip. Paul Giamatti meyakinkan sebagai Cleveland. Gagapnya menjadi, emosinya terkawal dan bahasa tubuhnya menyampaikan isyarat-isyarat yang tidak perlu diluah melalui perkataan. Bryce Dallas Howard pula mempunyai wajah yang cukup jernih, serasi dengan watak Story, tetapi keistimewaan itu hanya menjadi kelebihan yang tidak dipergunakan.

Dalam kerugian itu, skor ciptaan James Newton Howard terhasil dramatik, sesuai dengan mood penceritaan. Elemen-elemen humor yang cuba ditimbulkan juga mencuit hati dan tidak memperlekehkan penonton.

Lady In The Water mungkin bukan sebuah filem yang hanya mahu dinilai di permukaan. Ia mungkin ingin dilihat melalui perspektif yang berbeza - mengenai peperangan, harapan dan penyatuan seperti yang digambarkan melalui lukisan-lukisan hieroglif purbakala di awal filem. Mungkin melalui ‘mata yang lain’, filem ini lebih membawa makna.

Bukan Masa Tapi Rasa



Tajuk : The Lake House

Genre: Drama romantis

Pengarah: Alejandro Agresti

Pelakon: Keanu Reeves, Sandra Bullock, Shohreh Aghdashloo, Christopher Plummer, Ebon Moss-Bachrach, Willeke Van Ammelrooy, Dylan Walsh

Penilaian: 3.5 bintang

Dalam satu adegan The Lake House, Kate Forster memberitahu Alex Wyler mengapa dia menyukai novel klasik Jane Austen berjudul Persuasion.

Katanya, buku itu bercerita tentang cinta pada waktu yang salah, walaupun kita menunggu dan mengharapkan keajaiban. Alex bertanya lagi mengapa, Kate hanya ketawa.

Dalam kemeriahan blockbuster musim panas dan lambakan filem penuh efek, pengarah Alejandro Agresti membawakan sebuah filem romantis yang cukup ringkas. Filem mengenai seorang wanita yang menanti kehadiran seorang lelaki pada masa yang tepat.

Dari sebuah rumah di tepi tasik, Kate, seorang doktor yang kesunyian, terpaksa berpindah ke bandar demi tugas. Dia meninggalkan sekeping nota di peti surat untuk penduduk seterusnya – nota meminta tolong agar menyimpan surat-suratnya jika ia masih dihantar ke alamat yang lama.

Nota itu diterima oleh Alex, seorang arkitek muda yang membeli rumah tersebut. Bagaimana pun, persoalan mula timbul apabila Alex menerima nota itu pada tahun 2004, sebaliknya Kate meletakkannya pada tahun 2006. Mereka terpisah dengan jarak dua tahun tanpa penjelasan saintifik mahu pun logik.

Menemui persamaan dan keserasian, peti surat menjadi medium perhubungan mereka. Meskipun sedar menjalinkan hubungan di luar kewarasan, mereka merelakan hati dan menurut kehendak perasaan.

Ini bukan filem Back To The Future, bukan juga filem pengembaraan masa. Setiap karakter menjalani ‘masa’ mereka sendiri dalam kronologi yang linear.

Apa yang merubah Kate semasa melalui pengalaman aneh ini ialah perspektifnya tentang masa lampau, begitu juga dengan perspektif Alex mengenai masa depan. Bagaimana persepsi berkaitan masa lalu mampu menukar kejadian hari ini demi masa akan datang.

Keliru? Tidak juga. Filem ini membenarkan penonton untuk mengenepikan persoalan ‘bila’. Lupakan faktor masa kerana ia sudah tidak lagi relevan berbanding dengan apa yang Kate dan Alex rasai. Satu pengalaman yang cukup misteri tetapi membahagiakan.

Jalinan penceritaan Alejandro kemas, tidak membuatkan penonton terus-terusan bertanya dan dengan sabar menanti bagaimana cerita akan berakhir. Bagi sebuah filem yang menjadikan masa sebagai elemen terpenting, The Lake House berjaya menyampaikan an odd sense of universal timelessness.

Salah satu kekuatan filem ini ialah mainan sinematografi. Setnya atmospheric, menggunakan keindahan seni bina Chicago sebagai efek terbaik dalam mencipta mood yang suram dan romantis.

Sebagai Kate, Sandra Bullock menakjubkan. Keanu Reeves pula yang sebelum ini selalu tampil ‘kayu’, menjelmakan karakter Alex sebaiknya. Mereka adalah pasangan yang sama cantik, sama padan dan kelihatan sangat secocok bila disatukan. Ia bukan saja dari pandangan mata kasar, tetapi penonton seakan dapat merasai ‘perhubungan jiwa’ yang terjalin di sebaliknya.

The Lake House berkesan kerana Kate dan Alex. Penonton mahu melihat mereka bersama di akhir cerita.

Benarkan fikiran anda menerima fantasi. The Lake House akan menjadi sebuah filem cinta yang indah, mungkin yang terbaik dalam genrenya tahun ini.

Saturday, July 22, 2006

Orked, Mukhsin Dan Hujan



Judul: Mukhsin

Terbitan: Grand Brilliance Sdn Bhd

Pengarah/Penulis Skrip: Yasmin Ahmad

Para Pelakon:

Mohd. Syafie Naswip (Mukhsin)
Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid (Orked)
Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid (Mak Inom)
Irwan Iskandar (Pak Atan)
Adibah Noor (Kak Yam)
Makcik Senah (Mislina Mustafa)

Jurukamera: Keong Low

Gambar: Adam Ariel Tunguia

Suntingan: Affandi Jamaludin

Yasmin Ahmad tidak pernah gagal membuatkan saya menangis. Jangan salah faham. Sutradara kreatif ini tidak memarahi saya, jauh sekali mengasari.


Berpeluang menonton ‘rough cut’ filem terbarunya, Mukhsin, hati saya tersentuh. Sambil mata tertancap pada skrin, fikiran saya asyik berlegar-legar dengan persoalan bagaimana Yasmin boleh menjadi segenius ini.

Dia bukan saintis roket, bukan Einstein, bukan juga pembikin filem seperti Steven Speilberg atau John Woo. Namun, hasil kerjanya sentiasa memberi ‘rasa’ pada hati dan jiwa.




Yasmin pencemar budaya. Itu kata sesetengah orang, bukan kata saya. Justeru, saya juga berhak untuk mempunyai pendapat sendiri. Jika saya kata Yasmin hebat, hormatilah pandangan saya.

Mukhsin berkisar mengenai cinta pertama Orked. Masih ingat siapa Orked? Dialah tunjang utama dalam setiap filem Yasmin, bermula daripada Rabun, Sepet sehinggalah Gubra. Jika ada yang menganggap Mukhsin adalah prekuel Sepet, mungkin juga tetapi tidak semestinya.


Sama seperti Gubra, Yasmin tidak menggariskan atau meletakkan ia sebagai sekuel Sepet secara mutlak. Selama saya mengenalinya, dia seorang yang bebas berkarya, tidak gemar menentukan batas dan had atau berfikiran kotak.

“Alah, cerita saja. Usah pening-peningkan kepala berfikir,” pintasnya apabila saya berkata hasil kerjanya selalu menimbulkan misteri.




Mukhsin berakhir dengan tanda tanya? Saya tidak boleh beritahu. Anda harus tonton sendiri nanti apabila ia ditayangkan di pawagam.

“Ada adegan-adegan kontroversi tak? Lucah tak?” tanya beberapa orang teman kepada saya. Ringkas saya menjawab, “Lucah dan kontroversi tiada. Air mata banyak!” (Tuduhlah saya berat sebelah, katalah saya cengeng - saya tidak kisah.)

Orked, 10 tahun. Mukhsin, 13 tahun. Pertama kali Orked ternampak Mukhsin semasa Orked sedang main hujan. Semasa itu, tangan Mukhsin dari dalam teksi sedang ‘menari-nari’ mengikut irama lagu keroncong nyanyian Kak Yam.

Orked kasar. Dia tidak suka main kahwin-kahwin macam budak perempuan yang lain. Orked lebih suka bercampur dengan budak lelaki. Dia berkenalan dengan Mukhsin semasa bermain galah panjang. Mukhsin ialah anak saudara Makcik Senah, jiran sebelah rumah yang datang semasa cuti sekolah.





Mukhsin suka bawa Orked bersiar-siar dengan basikal, memanjat pokok dan bermain layang-layang. Mereka boleh berkongsi macam-macam cerita.

Makcik Senah tahu Mukhsin sukakan Orked. Kalau tidak, Mukhsin tidak akan pakai kemas-kemas dan letak minyak rambut banyak-banyak bila mahu berjumpa Orked.

Pak Atan dan Mak Inom pun tahu Orked sukakan Mukhsin. Kalau tidak, mereka tidak akan ajak Mukhsin sama-sama pergi menonton perlawanan bola sepak.

“Filem fasal budak-budak bercinta ke?” tanya seorang lagi teman kepada saya. “Ya, tapi bukan cinta nafsu-nafsi. Jangan tipu kalau kita semua tidak pernah melaluinya. Perasaan suka pada seseorang, tetapi kita tidak luahkan. Mungkin sebab kita malu dan kita sedar kita masih lagi kanak-kanak,” balas saya.




Satu hari, Mukhsin marahkan Orked sebab Orked tidak main galah panjang betul-betul. Waktu itu, Orked gelak ketawa bila dipeluk budak lain sampai berguling-guling. Orked merajuk bila kena marah. Dia hanya duduk terperap di dalam bilik sampai tidak mahu makan dan bercakap. Dia hanya menangis bila Pak Atan datang pujuk.



Mukhsin datang rumah Orked macam selalu, hendak ajak naik basikal, tetapi Orked diam saja tidak menjawab. Beberapa hari Mukhsin datang, Orked tidak layan sampai Mukhsin sanggup panjat pokok depan rumah semata-mata mahu melihat wajah Orked.

Satu hari, Mukhsin harus pulang ke kampungnya semula. Cuti sekolah hampir tamat. Dia pujuk Orked suruh keluar rumah, tapi Orked masih keras hati. Mukhsin menangis tetapi sempat berkata, ‘Orked dah baca tulisan dekat ekor layang-layang yang Mukhsin bagi?’




“Kita selalu sedar kita sayangkan seseorang itu bila dia sudah tiada,” kata Yasmin. “Mukhsin filem saya yang paling ringkas, tetapi yang paling sukar untuk dibuat. Skripnya ditukar berkali-kali, daripada masa latihan sampailah ke set penggambaran,” akui wanita berusia 47 tahun ini.

Ditanya jika dia sangat berhati-hati semasa menulis skrip dan membikin filem ini yang dilihat bebas kontroversi, ujarnya: “Tidak. Saya tulis saja ikut apa yang saya hendak.”

Yasmin selalu berkata dia buat filem untuk ibu bapanya. Dalam Mukhsin, ibunya, Inom Yon dan bapanya, Ahmad Hashim turut muncul menyanyikan lagu keroncong, Hujan yang mereka cipta sendiri.




“Saya minta mereka buat lirik tentang hujan. Bagi saya, hujan sangat cantik. Ia menurunkan banyak rahmat, bukan saja air tetapi kasih sayang,” jelas Yasmin berfalsafah. “Maaf ya saya buat awak menangis,” sambungnya sambil menepuk bahu saya.

Friday, July 21, 2006

Durian Runtuh Farish

Tidak susah untuk meminta Farish Aziz beraksi di depan kamera. Dalam masa sesaat, dia mampu menukar gaya dan mimik muka seperti karakter kartun di televisyen.

“Saya memang begini. Gila-gila, suka ketawa dan berjenaka, tetapi hati-hati ada masanya saya cepat panas baran,” jelasnya menceritakan personaliti yang berwarna-warni.

Menjadi wajah pujaan peminat setia program interaksi Durian Runtuh, Farish tidak menyangka cubaan pertama membuahkan hasil. Lebih mengujakan, Astro memberi kepercayaan kepadanya mengendalikan rancangan berbentuk siaran langsung dan diminta bercakap selama sejam tanpa henti!

“Terkejut bila ditawarkan peluang seperti ini. Maklum saja, saya tiada pengalaman mengacara. Walau bagaimanapun, latihan dua minggu yang diberikan sebelum muncul ke udara banyak membantu mengurangkan gementar dan tekanan,” katanya yang tidak berhenti melemparkan senyum.

“Sebenarnya saya tidak pernah tahu mengacara sebelum ini. Tetapi sudah sifat orang muda mahu mencuba semua, saya menyahut cabaran rakan-rakan dan keluarga,” sambungnya lagi yang menurut saranan pengacara Awal Ashaari untuk pergi ke sesi uji bakat.

Baru mencecah usia 22 tahun, Durian Runtuh telah memberikan Farish pengalaman bergelar selebriti. Dia sudah mula dirapati, diminta tandatangan, diajak bergambar dan tidak kurang juga yang sudah menghantarkan SMS serta menelefonnya.

“Banyak SMS yang saya tidak kenal siapa pengirimnya, begitu juga emel yang mahu berkenalan. Bila sudah keluar tv, saya anggap perkara ini sesuatu yang normal. Setakat ini, semuanya masih terkawal. Belum ada panggilan lucah!” ceritanya seraya ketawa.

Seorang yang cukup terbuka dan berterus-terang, anak muda kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini mengakui hatinya sudah dimiliki. “Kami sudah berkawan sekitar sepuluh tahun lalu. Menuntut di sekolah yang sama, dia kini sedang meneruskan pengajian di Australia,” ujar jejaka berbintang Aquarius ini mengenai teman wanitanya.

“Mengapa saya perlu bercakap bohong kalau betul sudah berpunya? Saya percaya peminat sekarang sudah tidak jumud macam dulu,” sambungnya lagi.

Sedang berada di tahun akhir sebelum bergelar pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Farish sedang menjalani latihan praktikalnya di Petrosains, KLCC sehingga awal Ogos ini.

“Saya masih belum memutuskan apa perancangan seterusnya. Sejujurnya saya tidak berminat untuk duduk di pejabat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang,” luah jejaka berdarah Melayu Brunei dan Pakistan ini.

Sementelah Durian Runtuh pun hanya bersiaran selama tiga bulan sehingga Akademi Fantasia 4 (AF4) berakhir, Farish sedang mengintai peluang untuk menceburkan diri dalam arena lakonan.

“Saya melihat Durian Runtuh sebagai platform untuk mencuba cabang seni yang lain. Tetapi, jangan suruh saya menyanyi. Memang tidak sedap!” beritahunya lalu menggeleng-gelengkan kepala.

TRIVIA

* Anak bongsu daripada dua adik-beradik.

* Pernah menjadi pemain kebangsaan pasukan bola sepak Sabah bawah 21 tahun. “Orang selalu fikir saya kaki bangku kerana saiz tubuh yang kecil,” akui Farish.

Sebelum ini dia juga pernah terpilih menyertai program Soccastar terbitan Astro, tetapi tidak dapat mengikuti prosedur yang ditetapkan atas sebab yang tidak boleh dielak.

* Memasang impian untuk mengacarakan program berbentuk pelancongan.

* Meminati Farhan dan Velvet dari AF4. “Mereka berbakat besar. Farhan misalnya, mampu menyanyikan lagu-lagu berirama blues, jazz dan R&B dengan baik. Tetapi, kalau Faizal yang menang pun okey juga,” katanya.

* Jejaka tampan yang meminati Michael Buble ini merupakan sepupu kepada penyanyi Elegi Sepi, Azharina Azhar.


Durian Runtuh ke udara di Astro Ria dan @15 setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 11.00 pagi dan 3.30 petang. Sementara itu, Durian Runtuh AF pula ke udara pada hari Ahad pukul 1.30 petang.

Thursday, July 20, 2006

Siti, Apek Masih Fenomena



Rakaman Konsert Fenomena Siti Nurhaliza dan Saiful Apek yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam Rabu lalu benar-benar mencetuskan fenomena. Masakan tidak, lautan manusia sudah ‘melimpah’ sejak awal lagi, sejam sebelum konsert bermula.

Kerusi tambahan sudah diletakkan, tetapi tetap penuh sehingga memaksa para penonton yang datang terkemudian duduk di tangga atau berdiri saja.

Beberapa minit sebelum rakaman dimulakan pun, peminat masih bertali arus dan akhirnya pengawal keselamatan yang bertugas mengambil keputusan mengunci pintu auditorium kerana ‘terlebih muatan’.

Mujurlah penonton lain yang lewat tidak kempunan untuk menonton. Mereka telah dipindahkan ke dewan sebelah iaitu di Auditorium P. Ramlee untuk menyaksikan ‘siaran langsung’ tersebut melalui layar besar.

Kalau ada yang beranggapan pengumuman perkahwinan Siti dengan Datuk Khalid Jiwa akan menyebabkan peminat lari, jangkaan itu jauh meleset. Berduyun-duyun pengikutnya masih sanggup datang, masih belum jemu, jauh sekali benci mendengarkan alunan lunak penyanyi berusia 27 tahun itu.

Dalam ribuan penonton, kelihatan bakal anak tiri Siti, Mohd Asraf turut hadir memberikan sokongan.

Demikian juga dengan Saiful Apek yang masih belum tergugat popularitinya, biarpun pelbagai dugaan atau gosip yang menimpa. Dia masih kekal di tangga teratas sebagai penghibur yang serba boleh. Siti dan Apek, satu gandingan yang tepat.

Memulakan persembahan dengan lagu dari filem Ali Baba Bujang Lapuk, Aiya Cik Siti, rakaman terpaksa diulang sebanyak tiga kali. Kali pertama, Apek tersasul lirik, kali kedua, kaki Apek tersadung di tangga sehingga Siti ketawa dan kali ketiga, rakaman berjalan lancar.

Dalam persalinan serba hijau, Siti yang tidak henti tersenyum seterusnya berpadu suara dengan Apek lagu duet Antara Mataku Dan Matamu serta Sedang Ingin Bercinta.

Sudah menjadi lumrah proses rakaman, ia tidak secepat siaran secara langsung. Menyedari keadaan penonton yang terpaksa menunggu sehingga ke penghujung, Siti beberapa kali memohon maaf dengan memujuk penonton supaya bersabar.

“Dah makan? Lapar? Sekejap ya. Rakaman memang macam ini, lama sikit. Tak lama lagi habislah,” ucapnya dalam nada manja sebelum menyanyikan lagu Destinasi Cinta. Siti tampil mewah mengenakan seluar biru dengan jaket songket merah jambu pemberian teman rapatnya, penyanyi tersohor Kris Dayanti.

Merangkaikan lagu-lagu popularnya Jerat Percintaan, Purnama Merindu dan Aku Cinta Padamu, Siti seterusnya menyerahkan pentas kepada Apek. Kata pelawak itu spontan sebelum menyanyikan lagu Pengiran Cinta: “Kalau suka tepuk, kalau tak, balinglah apa-apa objek pun!”

Tidak sah kalau ratu pop itu tidak membawakan lagu berhantunya, Biarlah Rahsia. Suaranya masih gemersik seperti selalu, tetapi entah mengapa, penghayatan Siti seakan kurang terasa. Mungkinkah kerana semua ‘rahsia’ sudah terlerai dan lagu itu sudah tiada kena dengan suasana yang dialaminya sekarang?

Apek meneruskan persembahan dengan Kasih Ku Pinjam Wajahmu sebelum berduet sekali lagi dengan Siti medley Teman Tapi Mesra, Pupus, Pudar dan Jujur. Benar, kemantapan suara Apek tidaklah sehebat Siti, namun kolaborasi mereka terjalin cantik dan dinamik.

Sesuai dengan perancangan RTM untuk menayangkan konsert ini pada musim Aidilfitri kelak, segmen hari raya menutup Konsert Fenomena dengan dendangan Balik Kampung daripada Apek, Nazam Lebaran oleh Siti dan nyanyian bersama lagu Selamat Hari Raya.

Mungkin sukar untuk mencari keistimewaan Konsert Fenomena ini memandangkan konsepnya masih sama seperti Konsert Fenomena tahun lalu. Apatah lagi program berkonsepkan raya, tiada apa yang baru yang boleh diperkatakan.

Namun, gabungan dua bintang paling popular ini berbaloi untuk ditonton.

Wednesday, July 19, 2006

Dayang After 7

20 Julai ini, Dayang Nurfaizah genap 25 tahun. Sudah pasti, tiada apa yang lebih menggembirakan dirinya selain dipanjangkan usia, diberikan kesihatan yang baik dan kerjaya seni yang memberangsangkan. Selama tujuh tahun bergelumang dalam dunia hiburan, bukan sedikit peristiwa pahit manis yang dilalui.

Mendaki populariti dari bawah, Dayang mengagumkan khalayak dengan kekuatan vokal dan seterusnya berjaya meletakkan diri sebaris dengan penyanyi-penyanyi terkenal negara.

Pengorbanannya bukan sedikit. Berhijrah dari Kuching, Sarawak ke Kuala Lumpur saja sudah dikira satu perhitungan besar, apatah lagi kemudiannya harus melalui episod turun naik mahkamah, dilarang menyanyikan lagu-lagu sendiri dan berhabis duit menerbitkan album.

Namun, setiap duka yang tertulis ada rahmatnya. Dia kini bangkit dan terus berjalan tanpa menoleh lagi. Mampu berbangga dengan lima buah album kesemuanya, Dayang mencabar diri memperjudikan nasib melalui One In A Million, juga bakal bergelar aktres tidak lama lagi.

Showcase Dayang After-7 di Planet Hollywood, Kuala Lumpur pada petang hujung minggu lalu mencerminkan kematangan penyanyi berkulit hitam manis itu. Dia tidak lagi kaku berinteraksi, malah bicaranya lebih lancar, tidak tersekat-sekat dan mampu bergurau senda secara spontan. Biarpun sudah beberapa kali beraksi di situ, Dayang tidak pernah puas, jauh sekali berasa jemu.

Tidak salah jika dikatakan, di kelab popular itulah dia menimba banyak pengalaman berdepan dengan audiens. “Selama ini pelbagai ‘lorong dan perhentian’ yang saya lalui. Alhamdulillah saya masih berdiri di sini. Saya berjanji akan terus menyanyi dan menghiburkan peminat walau apa pun yang terjadi,” ikrarnya selepas membuka tirai persembahan dengan lagu Kembalilah Sayang, Hujan Lagi Hati Ini dan Hakikat Cinta.

Sempat bercerita pengalaman pertama keluar televisyen menyertai pertandingan Golden Teen Search pada tahun 1997, Dayang mengimbas nostalgia dengan menyanyikan Where Do Broken Hearts Go yang membawa tuah kepadanya ketika itu. Merangkaikan lagu-lagu seperti Bahagia, Sekali Lagi, Sedingin Mana Cintamu dan Lenakan, si genit ini turut mendendangkan lagu popular Indonesia, Dealova, lagu lama Rindu Bayangan, Seandainya Masih Ada Cinta serta medley So Sick dan Be Without You.

Akibat terlalu lincah di atas pentas, tali kasutnya sampai terputus! “Mesti ada penonton yang tidak sedar, kan?” katanya cuba ‘menutup rahsia’ yang sudah terbongkar. Memberitahu satu insiden lucu berkaitan album ketiganya, Hembusan Asmara, ujar Dayang sambil tersenyum: “Bila saya nyanyikan lagu Pintaku Yang Terakhir, ada peminat cakap ‘oh, lagu dari album yang covernya gelap itu’. Saya fahamlah apa maksud mereka.”

Penonton juga seakan digeletek apabila Dayang bercerita mengenai kerenah peminat yang menghantarkan senarai lagu permintaan yang panjang berjela untuk dinyanyikan sepanjang persembahan tersebut.

“Awal-awal lagi dia sudah tolong pilihkan lagu,” katanya sambil ketawa. “Lagu-lagu saya separuh muka surat saja. Selebihnya semua lagu orang lain,” sambungnya lagi sambil menunjukkan dua helai kertas kepada penonton.

Menyanyikan sebaris dua ‘lagu-lagu permintaan’ seperti Tambak Johor dan She Works Hard For The Money, Dayang sendiri tidak dapat menahan ketawa semasa membaca judul-judul yang disenaraikan. “Dia mahu saya nyanyi My Humps dengan Cat Ruffedge dan duet dengan Anuar Zain lagu Could I Have This Kiss Forever. Bukan itu saja, lagu Seiring Sejalan dan Kuda Hitam pun dia minta! Dari mana dia dapat idea ini, saya pun kurang pasti,” terangnya teruja.

“Saya belajar dulu lagu-lagu ini, ya. Nanti kita boleh nyanyi sama-sama,” alasannya bijak. Sempat meniup lilin kek ulang tahunnya yang disambut lebih awal, buat pertama kalinya, ayah Dayang, Awang Dowty Awang Fauzi dan ibunya, Nona Nahrawi hadir di Planet Hollywood petang itu.

Sepanjang lebih dua jam, Dayang benar-benar menikmati kesempatan yang diberikan. Mendendangkan satu demi satu lagu, mengikut kronologi albumnya, antara yang disampaikan ialah Mana Mungkin, Dayang Sayang Kamu, Kau Pergi Jua, Kasih Maafkan, Erti Hidup dan Biar Akhirnya Di Sini.

Dayang turut menyanyikan lagu-lagu yang dipetik dari album terkininya, Kasih seperti Saat Yang Bahagia, Pujaan Hatiku, Gelora, Penawar Rindu dan Malam Bulan Di Pagar Bintang. Sebagai bonus, dia telah memperdengarkan buat julung kalinya lagu tema filem sulungnya, Luka yang bertajuk Terluka. Tiada apa yang perlu dia risaukan lagi.

Jalan cemerlangnya sedang luas terbentang. Selamat hari jadi, Dayang.

Penyeri Baru PGLM



Ada beberapa sebab mengapa Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) musim kedua mesti ditonton. Selain daripada janji persembahan yang lebih mantap, pementasan kali ini menampilkan barisan pelakon ‘simpanan’ atau alternatif sebagai kelainan serta tarikan.

“Sejak musim pertama lagi, beberapa watak utama sudah diberikan pelakon understudies. Mereka inilah yang sentiasa bersedia menggantikan pelakon asal sekiranya berlaku situasi kecemasan atau kemalangan yang tidak boleh dielakkan.

“Meskipun persembahan selalunya berjalan lancar seperti yang dirancang, kami tidak mahu mengambil risiko. Daripada kelangsungan tersebut, kami mendapat ilham untuk memberi peluang kepada pelakon-pelakon alternatif muncul sebagai teraju utama dalam dua malam persembahan,” terang pengarah Zahim Al-Bakri dalam satu sidang media khas, baru-baru ini.

Barisan pemain alternatif musim ini dianggotai oleh Baby Erin yang memegang peranan Gusti Puteri, Aqasha sebagai Hang Tuah, Wan Shades sebagai Adipati, Norien Sahari selaku Bayan dan Martin Sargeant sebagai Raja Ahmad. Untuk watak Sultan Melaka, penerbit masih menimbangkan dua calon terakhir dan namanya akan diumumkan kemudian.

Buat masa ini, para pelakon alternatif dijadualkan beraksi pada malam 13 dan 20 Ogos.

“Kami melihat percubaan ini sebagai sesuatu yang baru, di samping memberi pendedahan secukupnya kepada barisan understudies yang terpilih. Manalah tahu, jika ada rezeki mementaskan PGLM di tempat lain pada masa akan datang, kami mempunyai pilihan pelakon gantian, selain pelakon yang asal,” jelas Datin Seri Tiara Jacquelina yang bertindak sebagai penerbit dan bintang utama.

Bagaimana sekiranya pelakon alternatif mempamerkan persembahan yang lebih menarik berbanding pelakon asal? Menurut Tiara: “Ia seharusnya menjadi begitu. Saya dan Stephen tidak boleh menjadi Puteri dan Tuah selamanya. Kami memandang jauh prospek muzikal ini dan sangat mengalu-alukan kehadiran pelapis seperti mereka.”

Namun begitu, Stephen Rahman-Hughes yang sanggup terbang kembali dari England ke Malaysia berpendapat, itu bukan satu lesen mutlak untuk pelakon alternatif menjadi salinan karbon kepada pelakon asal.

“Tidak salah untuk belajar, tetapi bukan meniru seratus peratus. Pelakon alternatif juga mesti berusaha keras menghayati dan paling penting memahami karakter,” beritahu jejaka kacukan tersebut.

PGLM musim terbaru akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 6 hingga 21 Ogos ini. Selain Tiara dan Stephen, pelakon-pelakon asal yang masih kekal ialah Adlin Aman Ramlie (Sultan Melaka), AC Mizal (Adipati), Yalal Chin (Patih) dan Mohd. Afif Halim (Raja Ahmad).

Karakter Bayan akan digantikan oleh pelakon baru, Ida Mariana dan Bendahara akan dilakonkan oleh Aqasha. Aktor veteran berpengalaman, Zulkifli Zain pula telah dilantik sebagai jurulatih silat.

Tiket-tiket berharga RM150, RM100, RM70, RM50 dan RM30 sudah boleh didapati mulai 1 Julai lalu. Menurut Tiara, sebanyak 55% tiket sudah habis dijual.


APA KATA MEREKA

“Saya tidak risau dibandingkan dengan Tiara. Saya percaya, setiap pelakon punyai keistimewaan tersendiri. Sebagai orang baru, saya terharu dengan kepercayaan yang diberi dan tidak akan mensia-siakannya” - Baby Erin

“Semasa menonton PGLM musim lepas, terdetik di fikiran bila agaknya saya akan berpeluang menjadi sebahagian daripada mereka. Ternyata impian saya tercapai. Sebagai seorang pelakon, perkara yang susahlah mesti dicari” - Aqasha

“Saya mesti bekerja lebih keras lagi kerana AC Mizal begitu serasi dengan watak Adipati. Banyak perkara yang harus saya belajar dan rujuk dalam waktu yang singkat seperti ini” - Wan Shades

“Musim lalu saya bertindak sebagai guru bahasa Melayu Stephen. Hari-hari mendengar dialognya, saya pun sudah hafal. Bekerja dengan mereka sejak awal lagi memberi saya keyakinan untuk mencuba melakonkan Bayan sebaik mungkin” - Norien

“Mulanya saya sendiri tidak pasti jika boleh beri komitmen untuk PGLM musim kedua. Jadual saya semakin padat. Tetapi, sukar untuk melepaskan peluang sebesar ini begitu saja” - AC Mizal

Tuesday, July 18, 2006

Legenda Cinta Siti, Khalid

Mereka bukan Princess Diana dengan Prince Charles. Bukan juga Hamlet dan Ophelia, Romeo dan Juliet, Uda dan Dara atau Hang Tuah dengan Puteri Gunung Ledang.

Namun, legenda cinta insan bernama Siti Nurhaliza, 27 dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47 tidak kalah hebatnya.

Bukan mitos lagi. Segala-galanya telah terungkai jelas, tiada lagi teka-teki siapa jejaka yang bakal menghuni hati penyanyi nombor satu negara itu. Hebatnya kuasa Siti, kisah kasih sayangnya menjadi isu nasional, menjadi perkara yang paling ingin diketahui khalayak buat ketika ini.

Kalau tidak, masakan pengumuman perkahwinannya disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen, dihadiri pula beratus wartawan dari media tempatan dan antarabangsa. Kepada mereka, bertalu-talu soalan dilemparkan, rasa ingin tahu meluap-luap.

Sekian lama mendiamkan diri, Siti dan Khalid serta keluarga kedua belah pihak akhirnya tampil berani menjelaskan segala spekulasi yang timbul sejak setahun lalu. Meskipun beberapa rahsia masih terkunci rapi, dua insan bercinta ini sudah hampir pasti menjejaki pelamin bahagia tidak lama lagi.

Soalan seperti ‘siapalah yang bakal beristerikan Siti Nurhaliza?’ sudah tidak releven. Direstui atau tidak, bukan peminat yang berhak menentukan. Setelah puas dikaitkan dengan si polan itu, si polan ini, pada usia 27 tahun, Siti telah menetapkan hati.

Bagaimana semua ini bermula hanya mereka dan Tuhan yang tahu. Begitu pun, pada sidang media khas yang diadakan di Hotel Zone On The Park, Kuala Lumpur semalam, Siti mengakui: “Kami mula rapat selepas saya selesai mengadakan konsert di Royal Albert Hall, London, April tahun lepas. Sebelum itu, saya hanya mengenalinya sebagai rakan perniagaan.”

Enggan mengulas lanjut apa yang membuatkan hatinya terpaut pada duda beranak empat itu, katanya ringkas: “Biarlah saya simpan sendiri sebabnya. Tetapi, apa yang boleh saya kongsikan bersama ialah sifat penyayang Khalid sebagai seorang bapa. Saya amat mengaguminya.”

Duduk tersenyum di sebelah Siti, Khalid seakan malu apabila diasak dengan pertanyaan ‘mengapa Siti?’. Luahnya pendek, “Dia seorang yang istimewa. Dalam banyak segi.”

Gosip cinta merpati dua sejoli ini mula hangat diperkatakan apabila KOSMO! AHAD keluaran 31 Julai 2005 menyiarkan muka depan bertajuk ‘Gosip Panas Siti, Datuk K’. Meskipun khabar angin itu sudah mula tersebar untuk beberapa ketika, Siti mula diburu media rentetan daripada artikel tersebut.

Satu demi satu cebisan puzzle dicantumkan. Khalid Mohamad Jiwa mula dicari, diintai dan diteropong mengalahkan personaliti tv. Biarpun jenuh menafikan dan mengunci mulut, ramai sumber ‘membantu’ mengesahkan yang kisah cinta mereka bukan satu rekaan.

Dramatik dan penuh suspen. Ada pula yang membawa mulut perhubungan mereka tidak direstui keluarga Siti. Kononnya, Khalid bukan calon yang sesuai atas bermacam-macam alasan - statusnya sebagai suami orang dipersoal, lelaki berhidung belang dan ada juga tohmahan yang amat memedihkan seperti Siti menjadi orang ketiga.

Semuanya mereka hadapi dengan tenang. Tidak sedikit pun menjadi kudis di hati, Siti kemudiannya mengakui bahawa hatinya sudah dimiliki sekitar Februari tahun ini. Para peminatnya mula membuat andaian sendiri, menyenaraikan beberapa nama calon lelaki seolahnya mereka itu ahli nujum.

Seperti bermain tarik tali, Siti menegaskan pendiriannya bahawa dia sendiri akan membuat kenyataan siapa, di mana, mengapa dan bagaimana bila tiba masanya. Sudah lumrah artis paling popular, dia tidak henti didesak, malah ada ketikanya kesabarannya sebagai seorang manusia biasa tercabar.

Tanggal 17 Julai menjadi tarikh yang amat bersejarah, bukan saja buat pasangan bakal pengantin ini, tetapi buat seluruh rakyat Malaysia. Hari itu, hari mereka berdepan dengan realiti, menyatakan rasa cinta dan kesungguhan untuk mendirikan mahligai rumah tangga.

Pada hari itu juga, Ayahanda Siti, Tarudin Ismail berpantun memberikan restu:

“Berapa jauh rumah puteri,
Berteman berkereta,
Berapa susah melepaskan Siti,
Macam-macam tohmahan dan sengketa.”


Wakil keluarga Khalid pula membalas:

“Pahlawan Pahang berbadan sasa,
Tidak gentar akan sesiapa,
Datuk Mat Kilau akan namanya,
Baik pekerti sopan berbahasa,
Terpikatlah kami seisi keluarga.”


Semoga Siti Nurhaliza dan Khalid Mohamad Jiwa mampu menghapuskan sihir cinta yang pernah dilalui oleh Princess Diana dengan Prince Charles, Hamlet dan Ophelia, Romeo dan Juliet, Uda dan Dara serta Hang Tuah dengan Puteri Gunung Ledang.

Semoga cinta mereka sentiasa mekar dan bercambah sehingga ke hujung hayat. Selamat berbahagia.

Monday, July 17, 2006

Anak Halal

Anak Halal. Judulnya tidak menyinggung, tetapi membawa banyak persoalan dan tanda tanya. “Filem ini mengangkat kisah sekumpulan remaja dalam era post-modernisme yang terpesong dan salah langkah akibat kemiskinan.

“Apa yang ingin diutarakan secara simbolik melalui tajuk tersebut ialah mereka menjadi mangsa keadaan akibat desakan hidup, bukan kerana kekurangan kasih sayang,” terang sutradara muda, Osman Ali semasa pelancaran filem tersebut baru-baru ini.

Pernah mengarahkan sebuah cereka pendek dengan tajuk yang sama lapan tahun lalu semasa menuntut di Akademi Seni Kebangsaan, Osman menjelaskan: “Saya tidak menafikan ilham menulis skrip filem ini tercetus daripada cereka pendek tersebut. Banyak isu yang boleh dikembangkan, memandangkan dulu ia hanya berdurasi 10 minit dan merupakan hasil kerja pengarahan saya yang pertama.”

Dikenali ramai sebagai pengarah yang lahir dari aliran independen, namanya disebut-sebut atas kecemerlangan menghasilkan naskhah provokasi, Bukak Api dan Malaikat Di Jendela.

Turut aktif mengarahkan drama-drama televisyen seperti Surat Untuk Bulan dan Toll Gate Girl, melalui Anak Halal, Osman cuba mengutarakan tema berat yang berlatar belakangkan sisi gelap kehidupan anak muda Kuala Lumpur.

“Cita rasa audiens tempatan sangat subjektif dan sukar diduga. Ada waktunya drama berat sukar diterima, tetapi dalam masa yang sama mereka turut menolak komedi slapstik. Saya fikir jalan terbaik bagi memikat minat penonton ialah membawa isu yang berlaku di sekeliling kita.

“Anak Halal tidak akan terlepas daripada memasukkan elemen-elemen penting dalam sesebuah penceritaan seperti cinta, persahabatan, drama dan aksi,” sambung Osman lagi.

Menampilkan barisan pelakon baru yang ternama dan berbakat, filem ini ditunjangi oleh Farid Kamil, Maya Karin, Fasha Sandha, Adi Putra, Raja Farah, Zulhuzaimi, Aqasha, Jehan Miskin, Saufi Jikan dan Remmy.

Bakal menelan belanja kira-kira RM1.5 juta, Osman sempat mengadakan beberapa sesi latihan dengan para pelakon sebelum turun ke lokasi penggambaran yang dijadualkan bermula tidak lama lagi.

“Cabaran utama mengarahkan filem ini ialah menghasilkan adegan-adegan aksi dan perkelahian yang realistik. Ini merupakan karya pertama saya yang menampilkan babak sedemikian. Selain itu, saya juga bertanggungjawab melarikan ‘imej pontianak’ Maya Karin dari pandangan penonton dan menjelmakan karakter baru dalam dirinya,” ujar Osman bersungguh.

Anak Halal diterbitkan oleh Tayangan Unggul Sdn Bhd, syarikat yang sama menerbitkan filem komersial pertama Osman berjudul Puaka Tebing Biru. Filem tersebut yang sedang menjalani proses adunan terakhir pernah mengalami masalah penggambaran tertangguh untuk tempoh yang agak panjang.

Tidakkah Osman serik dengan pengalaman tersebut? “Saya tidak melihat itu sebagai halangan untuk bekerjasama dengan Tayangan Unggul sekali lagi. Masalah yang melanda Puaka Tebing Biru adalah kerana keadaan, bukan silap saya atau penerbit. Begitu pun, ia berjaya diselesaikan dan filem tersebut bakal masuk panggung hujung tahun ini,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Puaka Tebing Biru telah menerima undangan ke Festival Filem Antarabangsa Venice yang akan berlangsung sekitar September ini. “Beberapa minggu lalu, saya dihubungi oleh pihak penganjur yang berminat untuk mendapatkan salinan ‘rough-cut’ filem tersebut. Mereka akan menentukan sama ada filem itu layak bertanding atau sebagai tayangan saja,” ujar Osman.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, pemilihan Osman Ali untuk mengarahkan filem terbitan mereka yang ke-17 adalah satu tindakan yang tepat.

“Walaupun Puaka Tebing Biru belum lagi menerima sebarang respons daripada penonton, kami yakin dengan kebolehan Osman dan menyokong aspirasinya dalam memberikan kelainan untuk industri sinema tempatan.

“Apabila menyebut filem aksi, pasti penonton akan mengaitkannya dengan pengarah Badarudin Hj Azmi. Tetapi kami percaya Osman juga mampu melakukannya dengan cara tersendiri,” tutur Gayatri penuh optimis.

SINOPSIS ANAK HALAL

Hisham, seorang penjenayah yang dalam keadaan tersepit telah menyerahkan bayi lelakinya kepada seorang perempuan gila bernama Mariam. Mariam yang hidup di jalanan telah membesarkan anak tersebut, Putra (Farid Kamil) dalam serba kedaifan.

Mereka tinggal di kawasan setinggan, berjiran dengan Bu Leha dan anak perempuannya, Johanna (Maya Karin). Dalam diam, Johanna menyukai Putra tetapi perasaan itu terlindung di sebalik sifat kasarnya.

Satu hari, Mariam telah ditahan oleh pihak berkuasa menyebabkan Putra terpaksa mengikut Bu Leha dan Johanna berpindah ke Kuala Lumpur. Membesar sebagai remaja jalanan, Putra bekerja di bengkel kereta, manakala Johanna pula membantu ibunya menjual buah-buahan di pasar Chow Kit.

Putra dan Johanna berkawan rapat dengan Erzan (Adi Putra) dan Amiera (Fasha Sandha). Kedua-duanya merupakan pengedar dan penagih dadah. Erzan terpaksa menanggung beban hutang tinggalan ayahnya dan sentiasa menjadi buruan konco-konco Hisham.

Apabila Putra mendapat tahu perkara tersebut, dia bercadang untuk membalas dendam kepada ayahnya sendiri.

Wednesday, July 12, 2006

Gimik Murahan AF4



Lima minggu Akademi Fantasia 4 (AF4) bersiaran dengan lancar tanpa sebarang ‘kezutan’. Satu demi satu pelajar tersingkir, meneruskan rutin format yang sudah termaktub sejak musim pertama lagi.

Namun demikian, malam Sabtu lalu, ASTRO mencetuskan keriuhan di kalangan penonton program realiti popular tersebut. Penyerapan semula salah seorang calon Konsert Prelude yang lalu menimbulkan banyak keraguan dan tanda tanya.

Ada yang memandang tindakan ini sebagai sesuatu yang amat terdesak ekoran AF4 dikatakan semakin lesu dan hilang sengatnya. Rasional yang diberikan ASTRO atas keputusan tersebut tidak cukup konkrit dan adil, sehingga ia dilihat sebagai satu gimik murahan yang sangat manipulatif.

Apa kewajarannya membawa Leez atau Rosliza Rosli, 19 dari Kuala Lumpur untuk kembali ke AF4 jika dia hanya diberi peluang seminggu? Hos Aznil Nawawi memaklumkan kepada penonton bahawa Leez tidak layak untuk bertanding, tidak layak untuk diundi apatah lagi bergelar juara.

“Keputusan ini dibuat untuk membuka peluang kepada calon yang terpilih merasai sendiri pengalaman belajar di AF4. Bagi berlaku adil, dia tidak boleh bertanding seperti pelajar yang lain.

“Kami melihat ini sebagai satu evolusi dalam format program. Suntikan kejutan seperti ini diharapkan dapat memberi satu sinergi baru dalam penerbitan,” kata Pengarah Kanan Program Melayu, Khairul Anwar Saleh.

Namun begitu, dari perspektif lain, tidakkah tindakan ini dilihat seperti ‘mempermain-mainkan’ Leez? Penonton sendiri dapat melihat riak wajahnya yang berubah sebaik saja status sebenarnya diumumkan. Kegirangan telah bertukar kepada senyuman kelat dan titisan airmata.

“Kami tidak fikir begitu. Kami hanya ingin menunaikan hajat mereka menyertai AF4 dan merasai suasana baru yang tidak pernah dialaminya,” pintas Khairul.

Dalam masa yang sama, tidakkah kemasukan Leez seakan ‘menceroboh’ rahsia AF4 yang sepatutnya tersimpan rapi dan tidak boleh dibawa keluar? Bukankah ini melanggar etika akademi itu sendiri?

“AF kini sudah masuk tahun keempat, jadi kami fikir banyak yang telah diketahui oleh penonton dan para pelajar. Tiada rahsia besar yang perlu kami sorokkan,” terangnya lagi.

Ditebak dengan pertanyaan mengapa pelajar yang tertinggi undiannya (Farhan) diminta membuat keputusan memilih calon yang layak, Khairul menjelaskan: “Dia ibarat ketua dalam menentukan siapa yang layak bersaing sesama mereka. Kami juga mahu dia menjadi contoh kerana telah melakukan persembahan terbaik.”

Yang nyatanya, Farhan kelihatan tertekan dan berada di dalam keadaan serba salah untuk membuat keputusan. Kasihan Farhan.

AIRMATA DIDDY

Tiada drama, tiada kata yang meleret-leret. Sebaik saja Aznil merentap tag nama yang terlekat di bagasi malang itu, nama tuan empunyanya diumumkan. Diddy atau Syamsul Hirdy Muhid dari Kuala Lumpur terpaksa menerima kenyataan.

Anak muda berusia 21 tahun itu ternyata tenang menerima keputusan. Biarpun airmata nampak bergenang di kelompak mata, dia mengerti perjalanannya di AF4 sudah berakhir. Sekurang-kurangnya hajat Diddy untuk menyanyikan lagu ibu sendiri, Airmata Kasih sudah tercapai.

“Sekurang-kurangnya dia sudah cuba membawakan lagu tersebut dengan baik. Bukan senang untuk orang muda sepertinya menyanyikan lagu lama,” tutur ibunya, Kamariah Ahmad, 55.

Tidak terguris dengan kritikan pedas yang dilemparkan, kata Kamariah lagi: “Sebenarnya, berdetik juga dalam hati bimbang kalau Diddy terkeluar minggu ini. Tetapi, doa ibu sentiasa mahukan yang terbaik untuk anaknya.

“Saya tidak ralat. Saya faham ini Akademi Fantasia. Sekurang-kurangnya saya telah memenuhi permintaannya untuk datang sendiri ke Dewan Sivik menonton. Selalunya saya tolak. Bukan apa, perasaan saya sebak bila tengok dia menyanyi secara langsung.”

Akan terus memberikan sokongan kepada Diddy untuk terus bergelar penyanyi, bapanya juga, Muhid Sulaiman, 59 menerima keputusan dengan fikiran terbuka. “Kami percaya ini bukan jalan penamat untuknya,” ujar Muhid.

APA KATA PENGKRITIK...

FAIZAL (Senandung Anak Laut)
Adnan
: Elakkan daripada menekan telinga. Mungkin anda risau masalah pitching, tetapi ia mengganggu pergerakan. Untuk lagu seperti ini, anda harus membina dinamik.
Raja Azura: Sudah lama saya tidak mendengar suara segemersik ini. Semoga anda jadi juara.
Adlin: Saya ada masalah dengan nyanyian awak di rangkap pertama. Yang lain, okey.

LOTTER (Da Bomb)
Adnan
: Persembahan anda menghiburkan. Kalau buat album, anda sesuai dengan konsep sebegini.
Raja Azura: Anda pandai menyanyi, tetapi tiada fokus. Mimik muka macam hendak marah. Anda kenalah jadi ‘da bomb’ juga.
Adlin: Saya dapat lihat anda sangat komited dengan setiap tugasan yang diserahkan. Anda ghairah untuk mengawal setiap ruang yang ada.

HAZIQ (Seruan)
Adnan
: Lagu ini bunyinya berat, tapi feel anda macam Jeffrydin. Pergerakan anda tidak spontan. Anda kena belajar bagaimana mahu nyanyi lagu rock.
Raja Azura: Anda menyanyi seperti sedang geram. Anda tidak bebas menggunakan pentas.
Adlin: Saya ada banyak masalah dengan persembahan anda. Anda tidak faham lagu, anda tidak tahu apa yang anda buat. Anda macam tidak buat latihan langsung.

VELVET (Run Baby Run)
Adnan
: Artikulasi vokal anda sangat bagus. Saya dapat menjiwai dan merasainya di dalam hati.
Raja Azura: Persembahan yang baik. Saya suka suara anda. Cuma anda kena lebih seksi.
Adlin: Kalau anda buat seksi tadi, ia sudah salah. Jadi satu dosa pula kerana anda kena tahu bagaimana mahu interpretasi lagu. Anda mesti hati-hati.

DIDDY (Airmata Kasih)
Adnan
: Nyanyian anda terlalu kasar, tiada kemerduan. Tapi pitching anda tiada masalah.
Raja Azura: Saya setuju dengan Adnan. Saya rasa pakaian anda tidak sesuai. Lebih elok kalau berbaju Melayu.
Adlin: Anda harus beri nyawa pada lagu ini. Nyanyikan dengan alunan yang baik.

FARHAN (Kopi Dangdut)
Adnan
: Sebagai pelajar yang cenderung pada irama R&B, saya dapat lihat lagu ini sukar untuk anda. Tetapi, persembahan anda bagus. Kalau boleh untuk genre dangdut, anda kena guna hidung untuk efek sengau.
Raja Azura: Gerak laku anda tersekat, seperti diatur-atur. Anda kena buat lebih melampau daripada ini.
Adlin: Anda tidak betul-betul ‘masuk’ dalam irama dangdut. Gedik anda tidak cukup.

AMIRUL (Sedang Ingin Bercinta)
Adnan
: Pitching kena jaga, selarikan dengan tempo. Bila menari dan menyanyi sekali gus kena jaga nafas. Kalau tidak awak akan semput.
Raja Azura: Gaya anda seolah-olah penyanyi profesional. Anda lebih menonjol daripada penari-penari latar.
Adlin: Mood anda bagus. Saya gembira dengan kesungguhan anda. Saya puji dengan persembahan anda yang seimbang antara nyanyian dan tarian.


Sebelum persembahan

1. Velvet 15%
2. Lotter 15%
3. Faizal 15%
4. Farhan 15%
5. Amirul 15%
6. Diddy 14%
7. Haziq 11%


Selepas persembahan

1. Farhan 17%
2. Faizal 15%
3. Haziq 15%
4. Lotter 15%
5. Amirul 14%
6. Velvet 13%
7. Diddy 12%

Tuesday, July 11, 2006

Bahang Mentor Belum Terasa



Tirai Mentor musim kedua diselak dengan persembahan yang kurang impresif. Mungkin kerana kehangatannya belum lagi dirasakan, apatah lagi ketika ini khalayak lebih memberi tumpuan kepada Akademi Fantasia 4 dan One In A Million yang sudah dimulakan lebih awal.

Terlalu banyak program realiti? Tepuk dada tanya selera. Meskipun Mentor dilihat tiada banyak bezanya dengan program-program hiburan yang sedia ada, sekurang-kurangnya ia menyuntik sedikit kelainan dan inovasi apabila penyanyi popular diberi peluang mendidik bakat baru untuk muncul sebagai bintang.

Namun demikian, sejauh mana artis-artis tersebut mampu memberikan komitmen dan benar-benar serius sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan penerbitan?

Ini dapat dilihat menerusi Konsert Prolog Mentor yang berlangsung di Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam Ahad lalu. Daripada enam mentor yang dipilih, hanya dua yang dapat menghadirkan diri memberi sokongan iaitu Nurul dan Amy Search. Manakala Siti Nurhaliza, Hazami, Yassin dan Zaf VE tidak nampak bayang.

Benar, mereka sempat merakamkan video ucapan selamat maju jaya kepada protege masing-masing. Besar kemungkinan mereka sudah mempunyai komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.

Begitu pun, ia meninggalkan kesan yang kurang manis pada pandangan mata penonton. Jangan sampai audiens beranggapan Mentor hanya mahu ‘meminjam’ nama-nama artis popular untuk melariskan rancangan.

Berbanding musim yang pertama, impak Mentor kali ini seakan tidak terasa. Sepatutnya apabila sudah masuk musim kedua, ia lebih menimbulkan keterujaan dan keseronokan.

Mungkin kerana menyedari ‘kekurangan’ tersebut, musim kedua ini dimulakan dengan sedikit elemen saspen iaitu persaingan 12 peserta untuk merebut tempat sebagai protege. Penonton diberi kuasa mutlak untuk menentukan enam yang layak ke peringkat seterusnya menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) atau talian tetap.

Persembahan dimulakan dengan pertarungan untuk menjadi protege Zaf VE di antara Syed Alfrizal Syed Alwi (Rizal), 18 dari Kota Bharu, Kelantan dengan Nur Raihan Mat Zaki (Wunny), 18 dari Kemaman, Terengganu.

Rizal mempamerkan vokal yang lunak, agak terkawal dan tidak berlebihan, berbanding Wunny yang kelihatan sangat berkeyakinan tetapi tidak fokus. Wunny lebih menumpukan aspek persembahan tanpa mempedulikan suaranya yang tenggelam timbul dan butir lirik yang tidak jelas.

Calon protege Nurul pula mempunyai keseimbangan antara kekuatan dan kelemahan. Rachel James Ansibin (Rachel), 23 dari Kota Kinabalu, Sabah nampak gugup semasa menyampaikan Cobalah Untuk Setia menyebabkan suaranya ‘tidak lepas keluar’. Sementara itu, anak jati Kuala Lumpur, Nuriylia Zailani (Nieyl), 21, tidak mempunyai masalah berhadapan dengan penonton ketika membawakan lagu Dua Insan Bercinta.

Persepsi bahawa Yassin akan memilih calon protege yang mempunyai kecenderungan muzik etnik nampaknya meleset. Hidayah Othman (Eiya), 19 dari Alor Setar, Kedah menampilkan suara pop balada yang mendayu menerusi lagu Seputeh Hati, manakala Hal Husaini Razmi (Hal), 18 dari Kuala Lumpur menyanyikan irama sentimental Semusim. Malangnya, suara Hal kedengaran sumbang pada beberapa bahagian.

Mentor Siti Nurhaliza pula mempunyai dua pilihan protege yang berkongsi sama keupayaan. Ayu Safina Sahidan (Fina), 20 dari Ampang nampak selesa menyampaikan lagu Pudar. Nurnadia Rusali (Nadia), 21 dari Masai, Johor pula ada waktunya ‘terlebih selesa’ sehingga persembahannya sedikit ‘over’ semasa mendendangkan lagu Asmara.

Tidak dapat dinafikan Farizzudin Mohamad Taib (Faris), 25 dari Kuala Lumpur mempunyai suara yang sedap, tetapi apa yang membimbangkan ialah kemungkinan dia akan menjadi klon Hazami. Menyanyikan lagu Harapan, Faris bersaing dengan Rahayu Baharuddin (Ayu), 23 dari Melaka untuk menjadi protege Hazami. Ayu mempunyai vokal yang besar dan lantang sewaktu mengalunkan Hanyalah Satu.

Para peminat Amy Search pula pasti menghadapi dilema untuk mengundi siapa yang paling layak bergelar protege raja rock itu. Meskipun berpersonaliti sederhana, Mohd Firdaus Abd Halim (Fiq), 23 dari Sandakan, Sabah mengagumkan penonton dengan kebolehannya membawakan nada tinggi lagu Kejoraku Bersatu. Sementara itu, Siti Khatijah Hassan (Kat), 19 pula dirasakan mempunyai pakej yang baik untuk bergelar penghibur.

Keputusan barisan protege yang terpilih akan diumumkan dalam Mentor episod depan selepas undian ditutup pada 16 Julai pukul 12.30 tengah hari.

Selain Siti Nurhaliza, Amy Search, Yassin, Nurul, Hazami dan Zaf VE, Mentor musim kedua turut melantik Azmeer selaku penasihat, Zainal Abidin selaku ketua juri, Mohamad Ali Azman untuk koreografi lagu tema, Profesor Dr Ibrahim sebagai pakar motivasi manakala Eliza Mohamed serta Nizal Mohamad sebagai penasihat perantaraan dan komunikasi. Ezlynn pula diberi tugas sebagai pengacara bergandingan dengan Ashraff Sinclair yang menggantikan JFK.

APA KATA MENTOR

Amy Search

“Saya tidak berhak untuk mengatakan calon mana yang paling layak bergelar protege saya kerana keputusan terletak pada undian peminat. Walaupun nyanyian Fiq dan Kat hari ini agak baik, tetapi masih banyak lagi aspek lain yang harus diberi perhatian.

“Ini bukan pertandingan adu bakat yang biasa. Untuk menjadi bintang, mereka harus mengambil kira soal pakej, baik dari segi suara, persembahan dan imej.

“Saya akui Kat mempunyai hubungan persaudaraan dengan saya, tetapi kalau dia tidak berbakat, saya tidak akan memalukan diri untuk mengambilnya sebagai calon.

“Apa yang paling penting ialah di penghujung hari, saya mahu khalayak melihat Mentor bukan sekadar satu lagi program realiti tv. Saya mahu bakat-bakat di sini menggunakan sebaiknya platform yang ada dan meletakkan diri pada satu tahap yang boleh dibanggakan.”

Nurul

“Pada saya, Rachel dan Nieyl kedua-duanya bagus, cuma kita harus mengambil kira faktor tertekan dan gementar bila berada di atas pentas. Saya mengagumi semangat Rachel yang sanggup melawan ketakutannya tetapi sedikit sebanyak ia menganggu kelancaran suara.

“Saya menyerahkan kepada mereka untuk memilih lagu sendiri, tetapi sebagai penyanyi yang berpengalaman, saya ada memberi nasihat dan panduan. Saya mahu lagu yang dipilih dapat menonjolkan kemampuan vokal sebenar.

“Kepada yang tidak terpilih nanti, saya berharap mereka tidak akan berputus asa. Ini merupakan satu pendedahan awal. Mereka masih muda, masih banyak ruang dan jalan untuk terus berusaha memperbaiki diri.”

Friday, July 07, 2006

Kembalinya Sang Puteri



Melangkah masuk ke kondominium mewah Datin Seri Tiara Jacquelina yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, mata tertancap pada sekeping lukisan besar yang menghiasi dinding ruang tamu. Catan itu menggambarkan seorang wanita bertangan liuk lentuk seakan sedang menari.

“Saya langsung jatuh cinta,” kata Tiara membuka cerita sewaktu pertama kali memandang lukisan tersebut di sebuah pameran tidak lama dulu.

“Apabila berbual dengan pelukisnya, Nizam Ambia, saya seolah tidak percaya dengan apa yang diucapkan. Lukisan ini diinspirasikan daripada Puteri Gunung Ledang dan dia sudah lama berhajat untuk bertemu saya!” sambungnya dalam nada penuh ceria.

Bertemankan secangkir kopi panas, sepiring pisang goreng dan kuih lopes buatan tangan pembantu rumahnya, pagi Jumaat lalu, Tiara berkongsi berita terbarunya selepas sekian lama reda dari sebarang publisiti.

Tiara hari ini bukan lagi dilihat seperti Tiara sepuluh tahun dulu. Dia bukan lagi gadis kampung yang mencari cinta dalam Irisan-Irisan Hati, atau kerani yang berjiran dengan Mat Som, bukan juga wanita penggoda dalam Ringgit Kasorrga. Tiara kini seorang puteri.

Imej bidadari legenda itu sudah melekat padanya. Ke mana saja dia pergi, apa saja yang dilakukannya, bayang Puteri Gunung Ledang seperti dibawa bersama.

Versi filemnya mencipta kenangan yang tidak sedikit luar biasa. Merantau sampai ke Venice, menjadi calon unggul ke Anugerah Academy dan Tiara sendiri diiktiraf sebagai Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-50.

Kemudian, apabila ia dibawa ke pentas, diberikan sentuhan Broadway, Puteri Gunung Ledang melakar satu mercu tanda. Muzikalnya dikagumi, menjadi fenomena dan sampai ke saat ini, orang masih tidak berhenti bercakap mengenainya.

“Saya sendiri terbayang-bayang bila agaknya dapat mengecap kembali nikmat beraksi di atas pentas Istana Budaya,” imbas primadona hebat ini tentang impiannya mementaskan semula Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) selepas ia berakhir hujung Februari lepas.

Ternyata doanya dikabulkan apabila pentas bertaraf dunia itu memberikan kata persetujuan. “Sebenarnya kita memohon untuk pertunjukan Februari tahun depan, tetapi inilah namanya peluang dan rezeki,” tuturnya tersenyum.

Sudah tentu khabar itu disambut girang oleh seluruh tenaga kreatif yang terlibat. Masih mengekalkan kepala-kepala utama seperti Zahim Al-Bakri selaku pengarah, Roslan Aziz sebagai pengarah muzik, Raja Malik selaku pereka set dan Pat Ibrahim sebagai koreografer, PGLM kali ini turut menghimpunkan semula kebanyakan ensemble yang terbabit dalam pementasan sulung.

“Mereka semua menjerit apabila diberitahu. Seronoknya bukan kepalang apabila diminta datang latihan. Tanpa saya tahu, rupanya selama ini, mereka selalu berkumpul menari dan menyanyi lagu-lagu PGLM walaupun pementasan sudah lama selesai!” ujar Tiara bersungguh.

Seperti Tiara sendiri, meskipun masa sudah beredar lebih tiga bulan, dia masih mampu mengingati bait-bait lirik, patah kata dan langkah tari Raden Ajeng Retno Putri Dumilah.

“Harus dipertajamkan lagi. Nampaknya saya kena kembali kepada rutin dulu - jaga diet, jaga stamina, asah vokal, aduh...semasa hari pertama latihan, badan saya sakit-sakit sebab sudah lama tidak menari,” kata ibu kepada dua orang anak ini.

Meskipun kos perbelanjaan dapat dikurangkan daripada RM1.8 juta ke RM1.6 juta, Tiara berdepan dengan masalah pelakon. Selaku penerbit, dia juga bertanggungjawab atas kelancaran produksi, bukan sekadar merealisasikan watak Gusti Puteri.

Beritahunya, “Kami terpaksa mencari pengganti Bayan kerana Sukania Venugopal mempunyai komitmen lain. Begitu juga dengan AC Mizal yang memerlukan pelakon understudies kerana jadualnya agak ketat. Ertinya, AC tidak akan muncul dalam semua pementasan dan watak Adipati akan dilakonkan oleh dua aktor pada malam yang berlainan.”

Nama barisan bintang baru, termasuk pelakon cilik untuk watak Raja Ahmad, akan diumumkan tidak lama lagi. Namun demikian beberapa pemain asal sudah bersetuju untuk sama-sama turun padang seperti Adlin Aman Ramlie, Yalal Chin dan Stephen Rahman-Hughes bagi menggalas peranan Hang Tuah.

“Sepatutnya Stephen menjalani penggambaran sebuah filem di London. Nasib baiklah penerbit di sana sanggup memberikan pelepasan. Kalau tidak, saya tidak boleh bayangkan betapa susahnya mahu mencari Hang Tuah yang baru.”

Dalam keterujaan menghitung hari yang tidak sampai sebulan lagi sebelum PGLM dipentaskan semula, Tiara selalu mengingatkan dirinya dia sedang berdepan dengan satu risiko yang sangat besar.

“Pementasan sulung dulu telah mengangkat PGLM dan nama-nama yang terlibat ke satu tahap yang tinggi. Justeru, kami harus memastikan yang pementasan kedua tidak akan merosakkan atau merubah reputasi tersebut. Kami hanya punya dua pilihan - buat yang lebih baik atau mengecewakan peminat dan khalayak yang datang,” Tiara berterus-terang.

Sebelum PGLM dipentaskan kembali dari 6 Ogos hingga 21 Ogos akan datang, album runut bunyi yang dirakamkan secara langsung akan mula diedarkan pertengahan bulan ini. Enfiniti Productions juga sedang merangka strategi pengiklanan dan pemasaran bagi memantapkan sambutan.

“Bukan kejutan namanya kalau saya beritahu apa yang baru dalam PGLM kali ini. Apa yang boleh saya katakan, pementasan ini akan dipertingkatkan kualitinya dan mengambil kira segala kritikan yang pernah diberikan,” ucapnya sambil memperdengarkan album runut bunyi tersebut.

Sedang penulis ralit mengingat semula imej-imej spektakular PGLM yang masih berbekas di benak kepala, jurulatih yoga Tiara, Dominique Lonchant datang untuk memulakan sesi senaman.

“Ramai yang bertanya bagaimana saya boleh bertahan menyanyi dan menari untuk 23 persembahan lepas tanpa henti. Jawapannya ialah pengawalan pernafasan dan saya banyak belajar daripada Dominique. Inilah rahsia yang sebenar,” jelasnya sebelum penulis memohon mengundurkan diri kembali ke pejabat.

“Kita jumpa di hari persembahan nanti, ya?” pelawanya lembut.

Thursday, July 06, 2006

Padang Karnival James Blunt



James Blunt tidak ke Malaysia ya?” mesra pertanyaan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Heathrow, London semasa penulis menyatakan tujuan kedatangan sambil mengemukakan dokumen perjalanan.

Dari jauh, kami berenam, termasuk para pegawai Warner Music Malaysia, bertahan selama 14 jam di dalam perut kapal terbang untuk menyaksikan konsert penyanyi kelahiran Wiltshire, England itu. Turut serta ialah pemenang peraduan James Blunt anjuran Era, Suzana Mohd. Said dan penyampai radio tersebut, ZZ.

Seawal 5 petang lagi tanggal 1 Julai lalu, kami sudah terpacak di depan pintu masuk Blenheim Palace di Oxfordshire, tempat konsert diadakan. Ketika itu, terdengar jelas siaran perlawanan Piala Dunia antara England dan Portugal sedang dipancarkan di layar besar di dalam kawasan konsert.

Bertempat di padang luas, berdekatan lokasi penuh sejarah tapak istana kediaman Duke of Marlborough ke-11 dan tempat lahir Sir Winston Churchill, ramai yang mengambil kesempatan datang awal, berpiknik dan menikmati mentari musim panas di situ.

Ibarat satu karnival, ternyata kekalahan pasukan England sedikit pun tidak menjadi luka untuk 16,000 penonton yang hadir memenuhi segenap ruang.

Penyanyi berdarah separa Malaysia, Bic Runga tampil sebagai opening act cuba menghidupkan suasana dan menambah keterujaan. Sedang asyik mendengar dendangannya, kami diberitahu wakil Warner Music: “Kita jumpa James Blunt sebentar lagi di belakang pentas!”

Tidak lokek senyuman, Blunt menyambut kami dengan jabat tangan penuh mesra. Berterima kasih kerana sanggup datang dari jauh, penyanyi berusia 29 tahun itu sempat berfoto kenangan, menurunkan autograf dan membuka rahsia kecilnya.

“Saya pernah ke Malaysia kira-kira sembilan tahun lepas. Ke Pulau Pinang kalau tidak silap. Semasa itu, saya masih bertugas sebagai pegawai tentera. Kononnya ingin bercuti, perasaan sedang memberontak untuk mendapatkan kebebasan,” ceritanya sambil ketawa.

Kini, kebebasan mutlak sudah di genggamannya. Dia tidak perlu lagi berada di markas perang menyaksikan penderitaan manusia, sebaliknya beralih arah menjadi bintang rock yang disegani seantero dunia. Dalam masa dua tahun saja, dia berjaya mencipta nama.

Meskipun begitu, dunia muzik sudah lekat di hatinya sejak berusia 14 tahun lagi - semasa kali pertama dia memetik gitar. Melalui album sulungnya, Back To Bedlam, dia meluahkan ekspresi rasa dan apa yang sering berlegar dalam fikiran.

“Saya sangat suka mencipta lagu. Ia merupakan satu-satunya platform emosi yang saya ada dan sangat personal. Secara semula jadi, saya mahu orang mendengarnya, menikmati dan memahami apa yang ingin saya luahkan.

“Saya merasai satu naluri yang amat menakjubkan apabila mengetahui berjuta manusia di luar sana mengerti apa yang saya tulis. Saya menghargai bagaimana mereka cuba mengaitkan maksud lirik-lirik saya dengan kehidupan masing-masing,” ujarnya.

Tahun lalu saja, Blunt telah mengadakan lebih 330 persembahan live di merata tempat dan tahun ini tiada bezanya. Selama sembilan bulan dia berkelana untuk menjayakan konsert jelajahnya, merapati para peminat.

Dengan bantuan pemuzik lain seperti Karl Brazil (drum), Malcolm Moore (bass) dan Ben Castle (gitar elektrik), Blunt membuka tirai konsert di Blenheim Palace tepat pukul 9.15 malam (meskipun sewaktu itu langit masih terang-benderang kerana hari siang musim panas yang panjang!).

Mengajak penonton berdiri dan menari, dia mendayukan lagu-lagu hitnya seperti Billy, High dan Cry. Sorakan bertambah kuat apabila dia menyanyikan Goodbye My Lover diiringi petikan piano. Suaranya yang sejernih kristal menjadikan suasana malam semakin hening.

Blunt tidak banyak bertutur kerana bicara dan komunikasinya lebih bermakna melalui lagu. Semasa mendendangkan No Bravery, layar besar turut memaparkan video yang dirakamnya sendiri semasa berada di Kosovo pada tahun 1999.

Tears And Rain, Out Of Mind, Wisemen, So Long Jimmy, I Can’t Hear The Music dan You’re Beautiful telah mencuri masa. Konsert ini dirasakan terlalu pendek.

TRIVIA

* Back To Bedlam telah terjual sebanyak 2.4 juta unit di United Kingdom, menjadikan ia album terlaris sepanjang tahun lalu. Ini juga menjadikan James Blunt sebagai artis lelaki pertama dalam tempoh sebelas tahun yang berjaya mencipta rekod tersebut.

* Di Amerika Syarikat, Back To Bedlam telah terjual sebanyak setengah juta unit dan terus mendaki carta Billboard Top 200 Album.

* Back To Bedlam terjual melebihi 5.6 juta unit di seluruh dunia.

* Blunt telah dicalonkan untuk BRIT Awards dalam lima kategori seperti Penyanyi Lelaki Terbaik, Album Terbaik, Penyanyi Pop Terbaik, Penyanyi Baru Terbaik dan Single Terbaik untuk You’re Beautiful.

* Dia telah dianugerahkan trofi Artis Baru Terbaik oleh MTV Europe Music Awards dan The Q Award serta Artis Pop Terbaik oleh Digital Music Awards di London.

** Untuk lebih informasi mengenai konsert-konsert di Britain pada masa akan datang, layari laman web www.visitbritain.com/my

Perjalanan dari London ke Oxford menjadi lebih mudah dan selesa dengan kereta api BritRail.