eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Sheila dan Yu Zhong

Sunday, December 17, 2006

Sheila dan Yu Zhong



Biarpun kandungannya sudah hampir lima bulan, Sheila Majid masih mampu merakamkan suara. “Hanya satu lagu, masih boleh bertahan kalau hendak dibandingkan dengan 12 tahun lepas.

“Bayangkan ketika itu saya sedang sarat mengandung lapan bulan. Saya harus menyudahkan rakaman album Wanita untuk pasaran Jepun sebulan sebelum bersalin!” kata ibu kepada Wan Nur Khaleeda, 15, Megat Abdul Majid, 12 dan Khadeja Zaireen Murshim, 2, ini.

Bukan bererti mendabik dada, tamak atau meninggi diri, tetapi sudah namanya penghibur sejati, dia tidak betah duduk diam di rumah.

“Begitu pun, bukan semua tawaran saya terima. Mana yang tidak membebankan atau merumitkan saya ambil. Apatah lagi projek istimewa seperti ini tidak datang selalu,” ujar Sheila merujuk kepada rakaman duet terbarunya bersama penyanyi Cina popular, Rynn Lim Yu Zhong.

Diberi judul Melodi, lagu tersebut dimuatkan dalam album kedua Yu Zhong yang bakal dipasarkan Januari depan. Terdapat dua versi iaitu versi solo Mandarin dan versi duet Bahasa Malaysia. Sheila menulis sendiri lirik Melayunya dan diterbitkan bersama oleh Mac Chew.



“Semasa tawaran datang, saya sangkakan saya harus menyanyi dalam bahasa Mandarin. Bukan apa, bimbang tidak dapat menyampaikannya dengan baik.

“Namun telahan saya meleset, malah mereka memberikan saya kebebasan untuk menterjemahkan seni kata kepada bahasa ibunda,” sambungnya semasa ditemui di studio Babyboss, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menjelaskan mengapa dia bersetuju digandingkan dengan penyanyi baru seperti Yu Zhong, tegas Ratu Jazz negara ini: “Kerana dia anak Malaysia dan saya bangga dengan pencapaiannya.

“Walaupun masih baru, dia sudah berjaya mencipta nama di negara luar. Dia bukan saja berbakat besar sebagai penyanyi, malah boleh mencipta lagu sendiri. Saya terharu dan berbesar hati, apatah lagi kali pertama diundang menyanyi bersama penyanyi Cina.”

Sambil berjenaka, Sheila berkata, “Maklumlah, ingatkan penyanyi muda hari ini mahu berduet dengan yang muda saja!”

Mengakui lagu ciptaan Yu Zhong itu serasi benar dengan suara dan stail nyanyiannya, terang isteri kepada pemuzik terkemuka Acis: “Muzik sesuatu yang universal. Walau apa pun sebutan liriknya, bahasa muzik adalah sama.

“Saya bukan diminta menyanyikan lagu opera Cina. Jalur muzik kami masih dalam lingkungan yang sama iaitu pop kontemporari. Saya tidak melihat sebarang kesukaran menyanyikan lagu tersebut.”

Mengambil masa setengah hari untuk menyudahkan seni kata, cerita Sheila, “Inti pati lirik Melayu dan Mandarin tidak banyak berubah. Secara kasar, Melodi adalah gambaran sepasang kekasih yang diibaratkan seperti irama dan lagu.”

Sementara itu, Yu Zhong menyifatkan kesempatannya berduet dengan Sheila umpama bulan jatuh ke riba. “Sejak di bangku sekolah lagi saya selalu mendengar lagu-lagu Sheila, terutamanya Sinaran dan Legenda.

“Saya mengaguminya sampai kini kerana tidak ramai penyanyi yang mampu mempertahankan kedudukan dalam industri hiburan tanah air,” kata jejaka berusia 28 tahun ini.

Bagaimanapun, pemenang Anugerah Artis Harapan Golden Melody Awards Taiwan ini mengakui dia tidak pernah berangan-angan digandingkan dengan Sheila.

“Siapalah saya berbanding Sheila. Saya sedar ia satu impian yang mustahil sehinggalah label rakaman Halo Music memberitahu Sheila bersedia dipertemukan.

“Meskipun Melodi bukan dicipta khusus untuk duet, tetapi saya fikir ia lagu yang paling sesuai didendangkan bersama,” tambahnya yang pernah membintangi siri drama The Beginning di ntv7.

Ditanya jika ini merupakan strategi Yu Zhong menembusi pasaran muzik Melayu, dia menjawab: “Itu bukanlah sasaran utama. Apa yang penting saya gembira dengan projek ini. Kalau Melodi berjaya memikat hati para pendengar muzik Melayu, saya menganggapnya sebagai bonus.”