eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Klon Sempurna Elvis Presley

Saturday, December 02, 2006

Klon Sempurna Elvis Presley



Selepas 29 tahun Elvis Presley dikebumikan, ‘semangatnya’ masih hidup di mana-mana ceruk rantau dunia dan lagu-lagunya tetap segar kedengaran di telinga. Lumrah seorang legenda sepertinya, Elvis menjadi ikutan dan pujaan sampai sekarang.

Sebutir ikon seni hiburan, dia satu antara berjuta. Untuk menjadi seakan Elvis - meniru apa yang dilakukannya dari segi gerak tari, bahasa tubuh dan penampilan - turut menuntut kebolehan bakat yang bukan sebarangan.

Kerana itu, apabila Max Pellicano ‘merubah’ dirinya menjadi Elvis, para peminat bintang rock ‘n’ roll teruja dengan persamaan yang wujud pada mereka. Persamaan itu bukan sekadar pada props dan gaya, tetapi pada rupa paras serta vokal, seolah mereka bersaudara.

Memulakan karier sebagai pelakon filem dan aktor muzikal, Max kini menjelajah dunia sebagai ‘klon terdekat’ Elvis Presley.



Memetik kata bekas penyanyi latar Elvis sendiri, Charlie Hodge: “Menyaksikan persembahan Max ibarat dibawa semula ke dalam kehidupan lama saya.”

Menghibur audiens dari Las Vegas, United Kingdom, Kanada, Perancis, New Zealand sampailah ke Jerman, Max pernah bergandingan dengan nama-nama besar industri muzik dunia, antaranya The Platters, Dion, The Coasters, George Burns, Helen Reddy dan Dolly Parton.

Malah pada tahun 2002, dia berpusing satu Australia menjayakan 25th Anniversary Farewell Tour, satu parodi persembahan Elvis yang terakhir sebelum dia memejamkan mata.

Malam minggu lalu, Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur disimbah keajaiban yang serupa.

Sempena malam amal anjuran Lejadi Group of Companies, Max telah diterbangkan khas dari Amerika Syarikat untuk menghibur dan dalam masa yang sama terlibat dalam sebuah projek kebajikan.



Dinamakan A Charity Evening with Max Pellicano as Elvis To The Max, setiap kutipan atas jualan tiket disalurkan kepada The Force of Nature Aid Foundation serta Yayasan Amal Wangsa yang dinaungi oleh Datin Siti Nooriah Ana Razak, isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique.

Malam yang ‘bernilai’ lebih RM200,000 itu mula hangat sekitar pukul 10.45 malam apabila Max muncul di atas pentas. Dengan iringan lapan orang pemuzik serta empat penyanyi latar, satu demi satu lagu hit Elvis dibawakan sepenuh perasaan.

Lengkap dengan sut ‘signature’ Elvis dan rambut berjambul, Max membuai perasaan penonton melalui dendangan seperti Hound Dog, Love Me Tender, All Shook Up, Jailhouse Rock, Stuck On You, It’s Now Or Never dan Can’t Help Falling In Love.

Meskipun adakalanya dia kelihatan mengah dan tercungap-cungap kerana terlalu ligat menari, para tetamu malam itu memaafkan kekurangan tersebut kerana kemampuan Max menjadi Elvis sudah cukup membuatkan mereka terpesona.

Tidak hairanlah mengapa majalah terkemuka Rolling Stone mengatakan, ‘terlalu ramai orang meniru Elvis, tetapi Max adalah yang terbaik’.