eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Sean Ghazi Impikan Bintang

Monday, November 27, 2006

Sean Ghazi Impikan Bintang

Sebentar dia muncul, sekejap dia hilang. Umpama sebutir bintang antara berjuta di celah awan, Sean Ghazi kini menyuluhkan sinar yang terang. Masanya sudah tiba, masa untuk dia mendekati khalayak Malaysia dalam ruang lingkup yang lebih besar.

Mengimbas kembali sepuluh tahun lampau, namanya mula dikenali menerusi soap opera tempatan, Idaman. Berlakon beberapa drama, teater dan sempat menimba pengalaman membintangi cereka Hollywood, Anna And The King, Sean sering berpergian ke London mengutip ilmu seni persembahan.

Biarpun publisiti mengenainya kurang diuar-uarkan, Sean Ghazi mempunyai senarai portfolio yang sangat mengagumkan.



Dia pernah beraksi bersama Elaine Paige dan Jason Scott Lee di pentas London West End untuk The King And I, melakonkan watak Thuy dalam Miss Saigon dan Angel dalam muzikal Rent, malah berkongsi pentas dengan Julie Andrews, Judi Dench dan Hugh Jackman di London Lyceum Theatre untuk Hey, Mr. Producer!

Turut merantau ke Jerman atas tiket lakonan, kelangsungan ini memberi peluang kepadanya merakamkan suara secara berkumpulan untuk runut bunyi teater-teater tersebut, termasuklah bersama 70 orang pemuzik orkestra di Abbey Road Studios, London kira-kira enam tahun lalu.

“Tiga tahun belajar di Laine Theatre Arts, London, saya dilatih untuk tidak menumpukan perhatian kepada sesuatu kebolehan saja. Baik lakonan, nyanyian mahupun tarian, saya harus arif dalam kesemuanya. Tiada forte, tidak boleh melebihkan satu-satu perkara dari yang lain.

“Justeru kalau ditanya yang mana satu kekuatan saya, saya sukar beri jawapan. Kalau ada pun yang perlu dikurangkan sekarang, mungkin bidang tarian kerana sudah tidak sesuai dengan usia!” seloroh jejaka Pan Asian berusia 37 tahun ini.

Cenderung menyanyi sejak kecil lagi, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini sudah berjinak-jinak dengan hiburan ketika berusia 22 tahun. Selain London, pengalamannya menetap di Singapura dan Boston, Amerika Syarikat banyak mendedahkannya kepada keindahan dan kehalusan seni.

Namun begitu, dalam kegembiraan meraikan hampir setengah hayat di tempat orang, Sean sebenarnya masih belum puas. Dia mahu bakatnya dihargai ‘kaum keluarga sendiri’ di sini.

Pulang dari London pada tahun 2001, dia menyibukkan diri dengan memenuhi pelbagai undangan, daripada yang berskala kecil di kelab-kelab jazz, sehinggalah di pentas gah menjayakan malam amal bencana Tsunami, Konsert Kasih di Istana Budaya, Kuala Lumpur dua tahun lepas.

“Ramai juga penonton di sini yang terkejut bila saya menyanyi. Mereka sangkakan saya berlakon saja,” kata pemilik nama penuh Sean William Ghazi ini.

Menerima pengiktirafan Produksi Terbaik dan Pilihan Peminat dalam Anugerah Seni BOH Cameronian 2005 untuk persembahannya, I Have Dreamed - An Evening With Sean Ghazi di Actors Studio, Bangsar, kemenangan itu meyakinkan dia untuk menghasilkan album.

“Saya sering mengimpikan sebuah produk yang boleh merapatkan para pengikut dunia hiburan tanpa ada batasan status, tanpa pengkelasan kasta, bahasa pertuturan mahupun warna kulit. Apa yang saya mahu hanya menghibur dan berharap orang akan terhibur,” tegasnya.

Membawakan konsep klasik Big Band dan Swing yang cukup serasi dengan jiwanya, dia membuat kemunculan perdana di Anugerah Era ‘06 baru-baru ini menyanyikan lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Jeritan Batinku.

“Bermacam reaksi yang saya terima, termasuklah ‘oh, muzik kamu macam Michael Buble!’” beritahu Sean sambil ketawa.

Tidak menafikan muzik sedemikian memberinya inspirasi, tetapi bukan berniat meniru, jelasnya: “Idea merakamkan semula lagu-lagu lama sudah terlintas di fikiran sejak saya bermastautin di London lagi.

“Tahu-tahu selepas itu Robbie Williams buat album dengan konsep yang sama, kemudian muncul pula Buble. Begitu pun, saya tidak mengambilnya secara negatif. Melihatkan sambutan peminat yang memberangsangkan, saya tahu ia masa yang tepat. Saya terus memulakan langkah, tidak mahu tunggu lagi, enggan ketinggalan.”

Dua tahun menghimpun dana dan mencari material yang secocok, akhirnya Semalam menjengah pasaran mulai 20 November lalu. Diterbitkan oleh label kepunyaannya sendiri, Baby Grand Productions, album ini diedarkan oleh Universal Music (M) Sdn. Bhd.

Mendapatkan khidmat Guy Noble, konduktor terkemuka Australia sebagai pengarah muzik, keseluruhan melodi dalam album tersebut dirakamkan di Sydney bersama iringan para pemain orkestra. Seminggu berkampung di sana, Sean menyudahkan rakaman vokal di Kuala Lumpur dengan bantuan penerbit tempatan, Peter Chong.




“Dari segi pengedaran, saya beruntung kerana belum pun album siap dibikin, Pengarah Urusan Universal Music, Sandy Monteiro sudah menunjukkan minat. Cabaran sebenar menghasilkan Semalam terletak pada pencarian penerbit dan penyusun lagu yang betul-betul menepati tema, selain memilih lagu daripada senarai yang panjang!” akui Sean.

Semalam memuatkan 12 buah trek, antaranya I Have Dreamed (dari filem The King And I), Somewhere My Love (lagu tema Dr. Zhivago), lagu P. Ramlee seperti Hujan Di Tengahari, Getaran Jiwa dan Dengar Ini Cerita, lagu rancak Sudirman berjudul Punch Card, Jauh Jauh dari Jimmy Boyle, Rambut Hitam Matanya Galak dari Aneke Gronloh serta komposisi seniman negara, Datuk Ahmad Nawab bertajuk Sabarlah Menanti.

Bagi menambahkan variasi, Sean turut menyanyikan semula Let’s Never Stop Falling In Love (versi Melayunya, Ku Impikan Bintang) dendangan asal kumpulan dari Amerika Syarikat, Pink Martini dan sebuah lagu ciptaan baru, Semalam hasil tulisannya bersama Izlyn Ramli.

“Walaupun sering dipanggil ‘budak campur’, saya masih anak Malaysia, saya bangga menyampaikan lagu-lagu Melayu. Untuk apa merakamkan semula lagu-lagu klasik Inggeris yang sudah sedia popular, sedang lagu warisan kita sendiri sangat indah dan menarik?” jelasnya seakan bertanya.

Menolak hakikat mengambil jalan mudah, sambungnya: “Saya akui menyanyikan lagu-lagu lama satu kelebihan untuk lekas dikenali, tetapi itu bukan motif utama. Saya percaya lagu-lagu seperti ini malar segar, sentiasa mempunyai penggemar dan tidak jemu didengar sampai bila-bila.”

Tidak tunduk pada persaingan artis-artis lain yang lebih muda, Sean menganggap Semalam lahir pada waktu yang sesuai.

“Tahun depan genap 50 tahun Malaysia merdeka. Secara simbolik, ini adalah suara dan emosi patriotik saya yang berbangga dengan khazanah seni tinggalan seniman-seniman terdahulu,” bicaranya mengakhiri kata.