eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Ajai Tanpa Nurul

Sunday, November 19, 2006

Ajai Tanpa Nurul



Tidak pernah dia menduga pada usia 31 tahun, dia didatangkan Tuhan dengan ujian yang amat berat. Sepuluh tahun membina mahligai bersama seorang hawa bernama Nurul Huda Abdul Wahab, Ajai pasrah apabila ikatan perkahwinan akhirnya terlerai.

“Tiada siapa yang menginginkan perpisahan,” ujar Ajai seakan mengeluh ketika membuka bicara tentang penceraiannya dengan Nurul.

“Mustahillah kalau saya katakan tidak sedih atau kecewa, tetapi saya reda. Apa jua yang berlaku saya percaya Tuhan menuliskan hikmah di sebaliknya,” sambung pemilik nama penuh Mohd. Faizal Maas ini.

Di ruang pejabatnya, masih tergantung kukuh potret keluarga. Dilukiskan seniman popular Imuda tiga tahun lalu, dia tersenyum apabila ditanya tidakkah terasa pilu setiap kali memandang lukisan tersebut.

“Hanya mereka yang berada di tempat saya tahu apa rasanya,” jawab Ajai ringkas penuh makna.

Petang Khamis itu, dia ditemani anak sulung kesayangan, Ayu Nazirah yang baru pulang dari sekolah.

Betah membawa diri sendirian - sekejap melayan kartun di televisyen, sekejap ralit dengan permainan video di komputer - sebentar pun anak kecil berusia lapan tahun itu tidak mempamerkan reaksi berduka.

Diujar persoalan ‘mama mana?’ oleh penulis, dia membalas pendek: “Kerja.”

“Minggu ini giliran saya menjaga Ayu dan Fairul. Minggu depan Nurul pula. Kami tidak pernah bertelingkah soal anak-anak. Kebajikan mereka tanggungjawab kami berdua. Kalau tidak bersama pun, masing-masing masih bebas menziarah atau berhubung melalui telefon,” beritahu Ajai.



Tenang menjawab pelbagai pertanyaan yang diajukan, kata bapa muda ini: “Kami telah memberitahu Ayu sejelas mungkin apa yang berlaku di antara papa dan mamanya. Saya tahu, Ayu anak yang sangat memahami.”

Bagaimana pula dengan Fairul yang baru berusia sepuluh bulan? Apakah keputusan mengambil Muhd. Fairul Ihsan sebagai anak angkat suatu masa dulu merupakan salah satu jalan untuk menyelamatkan rumah tangga yang sedang bergoncang?

Lama Ajai terdiam sebelum meneruskan perbualan.

“Kami memelihara Fairul untuk menceriakan lagi suasana rumah tangga. Bagaimanapun, takdir Yang Maha Esa tidak mampu kami lawan. Mungkin perpisahan lebih membawa kebaikan kepada semua.”

Sebelum Ajai dan Nurul melangkah ke Mahkamah Rendah Syariah bagi memutuskan ikatan ijab kabul secara rasmi awal bulan ini, heboh tersebar berita mereka dilanda kemelut.

Berterusan menafikan sehingga Nurul mengakui kebenarannya awal Oktober lepas, Ajai terus mengunci mulut, enggan memberi sebarang kenyataan balas.



Luah Ajai: “Meskipun saya bergelar selebriti, saya masih berpegang kepada privasi. Apa yang dirasakan terlalu peribadi, saya akan simpan sendiri.

“Semua pasangan suami isteri pernah berselisih faham. Bagi saya, Nurul seorang isteri dan ibu yang baik sampai sekarang. Saya tidak pernah menolak atau menafikan kelebihannya.”

Tidak berasa rumit untuk memulakan ‘hidup baru’, tambahnya, “Inilah yang dikatakan sebuah pengorbanan. Kehidupan mesti diteruskan. Saya mesti kerja lebih kuat demi anak-anak, demi perkembangan kerjaya dan demi hari tua.”

Terlalu kejam rasanya jika soal orang ketiga atau penyebab utama penceraian dibangkitkan. Lebih tidak beradab lagi jika penulis bertanya jika Ajai sudah cuba-cuba mencari pengganti.

“Secara profesional, kami masih boleh bekerja bersama. Malah untuk Separuh Akhir Juara Lagu 2006 bulan depan, kami tiada masalah untuk berduet menyanyikan Serasi Bersama,” tuturnya.

Bagaimana jika ada sesetengah peminat yang berpendapat label Nurul Ajai hanyalah satu khayalan semata-mata suatu ketika dulu? Kemesraan yang ditunjukkan di atas pentas tidak lebih sekadar satu lakonan?

“Kami pernah bahagia, kami pernah tinggal sebumbung. Saya yakin bukan semua yang dipamerkan itu setakat mahu menutup mata orang. Sebagai public figure, ada masanya kita harus belajar untuk melindung kepahitan,” terangnya matang.

Kata Ajai, sepanjang ribut petir perkahwinannya kuat sabung-menyabung, diperkatakan orang dan menjadi bahan berita media massa, dia lebih selesa berkurung dalam studio menyibukkan diri.



Kini memiliki Wake The Baby secara total selepas Nurul melepaskan bahagiannya, visi Ajai terhadap syarikatnya itu menggunung tinggi. Selain studio rakaman dan syarikat pengurusan acara, dia ingin Wake The Baby dikenali sebagai label rakaman yang dihormati.

“Alhamdulillah, rezeki saya tidak putus-putus,” kata komposer yang memiliki arkib lagu-lagu popular, antaranya Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah), Pulangkan (Misha Omar), Percayalah (Siti Nurhaliza) dan lagu duet pertamanya bersama Nurul yang menyimpan banyak kenangan, Aku Cinta Aku Rindu.

“Buat masa ini saya sedang mengerjakan album sulung Marsha Akademi Fantasia 3 (AF3) yang akan berada di pasaran tahun depan. Saya melihat Marsha mempunyai pakej dan potensi yang besar untuk diketengahkan,” ulasnya yang turut mengambil Ilyka bernaung di bawah Wake The Baby.

Ilyka, yang pernah popular dengan lagu Diusung Duka pada tahun 1994 yakin ‘kuasa’ Ajai mampu menaikkan semula namanya dalam industri hiburan tanah air.

“Saya mahu setiap artis Wake The Baby tampil dengan konsep berlainan. Marsha, misalnya akan tampil dengan pop urban sementara Ilyka lebih terarah kepada genre folk pop. Saya juga akan memperkenalkan sebuah band pop yang menamakan diri mereka Sad Angry Babies,” cerita anak jati Johor ini penuh teruja.

Masih menjadi pilihan pengarah Shuhaimi Baba untuk menciptakan lagu tema filem terbarunya, Waris Jari Hantu, Ajai juga sedang sibuk menyiapkan album bekas peserta pertandingan nyanyian Suara Jati serta runut bunyi filem komedi romantis, Kayangan.

“Saya juga ada perancangan muncul sebagai artis solo. Tetapi sebelum itu, saya akan menerbitkan sebuah album bertajuk Ajai & Friends yang menggabungkan saya dengan barisan graduan Akademi Fantasia. Kami akan menyanyikan semula lagu-lagu hit saya dalam bentuk unplugged,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, penulis sempat mengusik Ajai jika dia sudah bersedia menerima gelaran ‘duda idaman Malaya’ selepas ini? Dia hanya ketawa sambil menggelengkan kepala.