eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Dalam Memori

Thursday, October 19, 2006

Dalam Memori

Tiada siapa yang menginginkan perpisahan, biar dalam apa jua bentuk dan rupa. Namun sebagai insan kerdil yang tidak punya kuasa melebihi Yang Maha Esa, kita harus pasrah dan reda dengan ketentuan yang sudah tertulis di Loh Mahfuz.

Cinta adalah nyawa, kata pujangga. Justeru, kehilangan orang yang tersayang tidak pernah menjadi impian atau cita-cita sesiapa.

Berita kematian tidak pernah gagal menjadi perkhabaran yang amat memilukan, begitu juga dengan perceraian. Sekuat mana kudrat manusia cuba menahan, takdir Tuhan tetap yang teratas.

Bukan niat menjentik perasaan, bukan mahu mengungkit kepahitan. Khusus sempena lebaran yang bakal menjelang, VAZZ mengabadikan kenangan mereka yang pernah berjasa dan bersama mengikat cinta, namun terpisah kerana ajal dan jodoh.

Buat mereka yang telah pergi, sedekahkan Al-Fatihah. Bagi mereka yang tidak sehaluan lagi, usah simpan benci di hati. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

Yang Pergi



Rosiah Chik (1931-2006)

Tanggal 20 Januari lalu, nafasnya terhenti, jantungnya tidak berdegup lagi dan matanya terpejam buat selama-lamanya.

Di atas katil Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Besar Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.50 pagi, Allahyarham Rosiah Chik membawa bersama seluruh kegembiraan dan keceriaan mereka yang akrab dengannya.

Lebih lima dekad menghiburkan masyarakat dengan irama asli dan tradisional, Rosiah atau nama sebenarnya Rosiah Abdullah dipanggil menemui penciptaNya pada usia 75 tahun. Dia meninggalkan enam orang anak, 20 orang cucu dan 15 orang cicit yang tidak pernah jemu mengharapkan sinar kasihnya.

Dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Karah, Gombak, Allahyarham meninggal akibat serangan jantung. Meskipun berita itu agak mengejutkan kaum keluarga kerana Rosiah tidak pernah disahkan menghidapnya, mereka pasrah dengan kehendak Ilahi.

Meski jasad telah tiada, suara emas anak kelahiran Kampung Sembahyong, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor ini akan tetap terngiang-ngiang di cuping telinga.



S. Jibeng (1942-2006)

Syawal ini, tiada senyuman mengiringi bibir Maznah Sidek tatkala terdengarkan lagu Musafir Di Aidilfitri. Suami yang tercinta, S. Jibeng telah pergi meninggalkan dirinya di samping lima orang anak sejak 7 Februari lalu.

Pesanan terakhir arwah kepada anak sulungnya, Saadiah, cukup menghibakan. Katanya, jaga emak baik-baik sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 7.45 pagi akibat serangan jantung.

Meski cacat penglihatan, semangatnya untuk membina keluarga bahagia tidak pernah runtuh. Muzik memberikannya harapan, menggunakan bakat kurniaan Tuhan untuk mencari sesuap nasi tanpa mengenal erti malu, jerih dan putus asa.

Sehari sebelum dia menutup mata pun, dia masih aktif memenuhi undangan persembahan demi meneruskan kehidupan. Kini yang tinggal hanyalah kenangan. Jaafar Sidiq, pergimu tiada ganti.



Hani Mohsin (1965-2006)

Saban malam kita terpesona dengan senyuman dan keriangannya mengacarakan Roda Impian. Tiada siapa yang pernah menjangka mahupun menduga, Tuhan akan menjemputnya pada usia semuda 41 tahun.

Pemergian Hani Mohsin Hanafi sangat mengejutkan. Rebah di sisi satu-satunya waris yang tinggal, Hani Karmila, mereka tidak sempat bercuti bersama seperti yang dirancangkan.

Betapa robeknya hati seorang anak menyaksikan ayahanda tercinta menghembuskan nafas yang terakhir di tempat yang paling janggal - kaunter pelepasan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Perjalanan hidup Mohsin penuh berliku. Selepas kematian kedua orang tuanya, sebagai anak tunggal, dia mengemudi hidup sendirian.

Untunglah dia mempunyai hubungan yang baik dengan bekas isteri, Datin Seri Tiara Jacquelina. Dialah orangnya yang bersusah payah menguruskan jenazah arwah sementara menanti kehadiran saudara-mara dari Perlis.

Pada hari pengkebumian, lebih 2,000 orang datang menziarah dan memberi penghormatan terakhir. Banyak air mata yang tumpah mengenangkan betapa dunia kehilangan seorang yang sangat budiman. Terkesima dengan penyebab kematian, ramai yang tidak tahu dia menghidap sakit jantung. Semoga rohnya dicucuri rahmat.



Seha (1962-2006)

Pada hening 18 Ramadan bersamaan 11 Oktober lalu, Norsehah Abu Bakar atau Seha menghembuskan nafas yang terakhir di sisi suami tercinta, Azmi Thambi Chik di Hospital Kuala Lumpur.

Selepas tiga bulan melawan derita akibat kanser paru-paru, Seha akhirnya mengalah dan menerima jemputan Tuhan, meskipun menanggung rindu yang tidak tertahan terhadap anak sulungnya, Misha Kyrie Lund yang terpisah lebih lapan tahun.

Sejak menyepi dari dunia seni tanah air beberapa tahun kebelakangan ini, Seha enggan menerima kunjungan tetamu yang tahu akan sakit yang ditanggungnya. Tabah dan patuh menjalani rawatan kimoterapi serta radioterapi, hanya doa yang diharapkan dari rakan-rakan.

Hasratnya untuk beraya di kampungnya, di Air Putih, Kuantan, Pahang menjadi impian yang tidak tertunai. Meninggalkan suami serta seorang lagi anak, Karissa, Seha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Yang Terpisah



Noraniza Idris & Fareez (1988 - 2006)

Selama 18 tahun mengemudi cinta, akhirnya pasangan Noraniza Idris dan Fareez memutuskan untuk menjalani hidup masing-masing. Apakan daya, mereka tidak mampu melawan badai yang datang mengganas.

Kekalutan mula tercetus apabila amarah menguasai diri. Mesej telefon bimbit Fareez, 43 yang menjatuhkan talak kepada Noraniza, 38 menjadi titik mula mereka duduk berasingan. Biarpun selepas dirujuk mahkamah bahawa ikatan perkahwinan masih sah, mereka memilih untuk berpisah.

Fareez atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Mohd. Tajuddin melafazkan cerai talak satu terhadap Noraniza di rumah abangnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur pada 7 April lalu.

Aidilfitri ini, mereka sekeluarga tidak pulang ke kampung bersama-sama lagi. Mohd. Alif Haikal, 17, dan Mohd. Alfeq Haikal, 13 akan menyambut raya tanpa kedua-dua ibu bapa mereka di sisi, sebaliknya bertemu secara berasingan.




Khadijah Ibrahim & Khaled Bensalah (2000-2006)

Perkahwinan kedua Khadijah Ibrahim atau Khaty tidak mendapat liputan yang meluas daripada pihak media.

Lebih gemar menyimpannya sebagai satu perkara yang amat peribadi, Khaty menikahi seorang lelaki Arab Tunisia, Khaled Bensalah Ben Houcine pada 1 Ogos 2000.

Menuntut cerai secara taklik selepas suaminya menghilangkan diri selepas enam bulan berumah tangga, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Begitu pun, Khaty mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dengan Mohd. Rashid Fahmi Bastaloo iaitu Siti Hajar Aisyah dan Mohd Khoirul Kamal.

Ketika ditanya mengenai perkahwinannya, Khaty hanya menjawab, “Semua di tangan Tuhan. Kalau ada jodoh kita kahwin, kalau tiada jodoh, kita bercerai. Sama dalam keadaan ini.”



Erra Fazira & Yusry (2003-2006)

Sebaik saja Erra dan Yusry mencanangkan kepada dunia mereka akan mendirikan rumah tangga, para peminat mendoakan agar pasangan ini kekal bahagia selamanya. Sama cantik, sama padan, ramai yang membayangkan anak-anak mereka pasti comel-comel belaka.

Perkahwinan mereka pernah mendapat jolokan Wedding of the Year. Bernikah pada tanggal 15 Jun 2003 dan meraikannya dalam sebuah majlis resepsi besar-besaran di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, Erra dan Yusry mendapat jolokan pasangan paling romantis.

Sayangnya, panas yang disangka hingga ke petang bertukar menjadi hujan di tengah hari. Berita mereka tidak tinggal sebumbung sejak akhir tahun lalu menjadi paparan muka depan akhbar dan bulan-bulan berikutnya mereka menjadi buruan media.

Akhirnya pada 16 Jun lalu, terbukti secara sah yang mereka bukan suami isteri lagi. Yusry Abdul Halim, 33, dalam keterangannya di mahkamah mengaku telah menceraikan Erra atau Fazira Wan Chek, 32 dengan talak satu pada 4.55 petang, 26 April lalu di kediaman mereka di Damansara Utama.

Berakhirnya sebuah hikayat cinta, ternoktahlah kenangan-kenangan indah bersama. Aidilfitri ini mereka bersendirian kembali.


Awie & Arni Nazira (1998-2006)

Lagu Tragedi Oktober nyanyiannya ibarat satu sumpahan.

Selepas puas mempertahankan mahligai yang dibina bersama Arni Nazira lapan tahun lalu, Awie reda menuturkan lafaz cerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuantan, Pahang pada 16 Oktober selepas Arni memfailkan permohonan perpisahan sejak bulan Julai tahun ini.

Perpisahan itu diiringi dengan linangan air mata. Ternyata, Awie atau nama penuhnya Ahmad Azhar Othman, 38 juga tidak mampu menyembunyikan kesedihan apabila titisan jernih di kelopak matanya masih bersisa ketika melangkah keluar dari mahkamah.

Ketika khalayak masih mencari punca sebenar perpisahan, Awie dan Arni, 28, lebih senang mendiamkan diri sehingga tiba masa yang paling tepat untuk diuar-uarkan.

Berpisah di bulan mulia Ramadan, apatah lagi hanya tinggal seminggu datangnya Syawal, ke manakah anak mereka, Puteri Aleeya Antasha, 6, dan Puteri Aleefa Antasha, 4 akan beraya tahun ini?