eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Raja Azmi Tegar Mencuba

Monday, October 09, 2006

Raja Azmi Tegar Mencuba

Raja Azmi tidak kenal erti serik, apatah lagi berputus asa. Meski ada segelintir yang memandang sinis dan bersikap skeptikal dengan setiap usahanya, dia enggan menunduk kalah. Katalah apa saja, dia kebal di sebalik tembok kemahuan.

Mula dikenali sebagai penulis novel berjudul Black Widow Wajah Ayu, inisiatifnya memindahkan karya tersebut ke layar perak menemui kegagalan. Ditipu pengarah dari luar negara semasa membikin filem kedua, Pure Gold: Emas Malaya, penggambarannya tersadai akibat dana yang dilarikan.

Selepas itu nama Raja Azmi tenggelam timbul sehinggalah dia menerbitkan filem Cinta 200 Ela. Dihambat dengan sensasi versi novelnya yang dikatakan lucah sehingga diharamkan penjualan, wanita berusia 47 tahun ini mendapat kutukan bertubi-tubi kerana ‘buah tangannya’ selalu saja tidak menjadi.

Apa sebenarnya yang dia inginkan?

“Saya akui saya buat filem untuk suka-suka dan mencari glamor. Dulu saya tidak kisah apa orang hendak kata, saya berangan saja,” akui Raja Azmi telus dan tidak bersembunyi.

“Saya jadi produser untuk keseronokan. Ramai yang tidak tahu sebetulnya perniagaan utama saya ialah penerbitan. Di bawah payung Pengedaran J.A.S Sdn Bhd, selain menerbitkan cereka tv, siri animasi dan filem, kami turut mengeluarkan majalah seperti Anak-Anak Sidek, Motosikal dan Kereta,” sambung isteri kepada bekas jaguh badminton negara, Jailani Sidek ini.

Kini tampil dengan produk terbaru, sebuah majalah bernama Harga Sebuah Perkahwinan (HSP), Raja Azmi mengambil masa kira-kira dua tahun untuk merealisasikannya.

“Idea asal HSP bukan datang dari saya, sebaliknya ilham seorang rakan. Bagaimanapun, pada ketika itu HSP merupakan sebuah projek program televisyen. Tertarik dengan konsepnya, saya bersetuju melaburkan modal bagi penerbitan episod pengenalan untuk dihantar ke stesen televisyen sebagai penilaian.

“Kerana tidak mendapat sebarang respons, HSP terkubur begitu saja sehinggalah awal tahun ini apabila saya diajak oleh rumah produksi Pulau Cendana Sdn Bhd untuk bekerjasama. Dengan persetujuan RTM, akhirnya projek televisyen HSP diteruskan dan musim pertama sebanyak 13 episod akan ditayangkan tidak lama lagi,” ceritanya teruja.

Raja Azmi menambah, kerana minat yang mendalam untuk mengupas isu-isu rumah tangga dengan perspektif yang lebih meluas, dia mengambil keputusan untuk menerbitkan HSP versi majalah pula secara bulanan.

“Secara kebetulan, isteri adik ipar saya, Rashid Sidek iaitu Noor Azehan Abd Halim juga minat menulis dan berpengalaman dalam bidang penerbitan. Lantas kami berdua pun menggerakkan majalah ini dan keluaran sulungnya sudah pun berada di pasaran sekarang,” ujarnya semasa majlis pelancaran majalah HSP di sebuah hotel terkemuka, baru-baru ini.

Menampilkan pasangan romantis Anita Sarawak dan suaminya, Mahathir Abdullah sebagai penghias kulit yang pertama, Raja Azmi menjelaskan kandungan majalah lebih bervariasi daripada program televisyen.

“Bukan semua bahan daripada majalah dipertontonkan di televisyen, begitu juga sebaliknya,” beritahunya yang turut berkolaborasi dengan laman web www.perkahwinan.com.my bagi menjayakan penerbitan ini.

Ditanya mengapa memilih topik rumah tangga untuk ditampilkan, jawabnya: “Saya fikir isu ini tidak pernah kehabisan cerita, dari dulu sampailah bila-bila pun. Ada saja subjek menarik yang boleh dicungkil dan direnungkan bersama.”

Beralih cerita kepada filem terbarunya, Haru Biru yang akan masuk panggung Januari tahun depan, kata ibu kepada tiga orang anak ini: “Entah kenapa selepas terbit tiga filem, baru sekarang saya rasa takut dan gementar menanti respons khalayak. Setakat ini, reaksi yang diterima memberangsangkan berdasarkan beberapa tayangan persendirian yang kami lakukan.”

Haru Biru asalnya merupakan sebuah filem eksperimen yang dibikin dengan kamera mini video digital dua tahun lalu. Selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membawa masuk sebuah alat yang dinamakan Kini Transfer pada awal tahun, Haru Biru telah pun ditukarkan ke format 35mm untuk tayangan pawagam.

Filem arahan Shadan Hashim itu dilakonkan oleh Que Haidar, Dynaz, Ijoy Azhari dan Betty Banafe dengan skrip tulisan Adlin Aman Ramlie.