eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Umie Terpaksa Cagar Rumah

Friday, September 22, 2006

Umie Terpaksa Cagar Rumah



“Diva Popular adalah tanda kasih dan cinta saya pada seorang adik. Saya tidak akan mengarah filem sebegini jika penerbitnya bukan Umie Aida,” kata Erma Fatima.

“Kerana dia, saya terpaksa berubah ‘mazhab’. Cukuplah sekali saya korbankan prinsip dan kedegilan saya,” sambungnya berterus-terang semasa tayangan perdana filem tersebut di TGV, KLCC, kelmarin.

Sutradara yang terkenal menerusi filem-filem berat seperti Jimi Asmara, Perempuan Melayu Terakhir dan Embun ini pernah merajuk untuk tidak mengarah lagi. Bukan kerana kegagalan karya-karyanya, tetapi serik dan kecewa dengan industri perfileman.

“Saya bikin Diva Popular atas tanggungjawab seorang kakak kepada adiknya yang baru belajar merangkak menjadi produser. Tiada apa yang saya harapkan melalui filem ini selain ia meletup di panggung,” tambahnya lagi.

Membariskan nama-nama popular sebagai tonggak utama seperti Umie Aida sendiri, Afdlin Shauki, Ezlynn, Awie, Sheila Rusly, Azean Irdawaty dan Ellie Suriaty, Diva Popular merupakan sebuah parodi kehidupan selebriti Malaysia yang penuh glamor dan ‘kekacauan’.

Menurut Erma: “Sebaik saja Umie meminta saya mengarahkan filem sulung keluarannya, dia memberi amaran supaya buat sesuatu yang boleh dijual.

“Saya memberikan beberapa skrip kepadanya, termasuklah sebuah kisah cinta tetapi dia menolak. Sebaliknya dia mahukan filem komedi seperti drama Pengantin Popular terbitan saya beberapa tahun lalu.”

Tidak sampai sebulan Erma menulis skripnya dan filem ini kemudian menjalani penggambaran selama 35 hari.

“Bukan mahu bercakap besar, tetapi saya merasakan kerja pengarahan Diva Popular amat mudah. Saya sendiri seorang artis, jadi apa yang saya lakukan amat dekat dengan pengalaman sendiri. Jika suruh saya buat filem mengenai ahli politik, itu mungkin sukar,” jelas isteri kepada pengarah Bade Hj Azmi ini.



Pernah merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali, Erma juga mendedahkan Diva Popular adalah filem arahannya yang paling jimat menggunakan filem.

“Saya buat Jimi Asmara guna 120 gulung filem, Perempuan Melayu Terakhir 180 gulung dan Embun 235 gulung. Umie cabar saya kalau Diva Popular guna kurang daripada 100 gulung, dia akan bayar ekstra RM5,000 pada saya.

“Saya sahut cabaran itu, saya hanya guna 94 gulung filem. Tetapi janji tinggal janji, sampai sekarang dia masih berhutang dengan saya!” ujarnya.

Begitu pun, di sebalik gurauan tersebut, hati Erma tersentuh apabila memberitahu adiknya sanggup berhutang dengan bank sehingga mencagarkan rumah bagi memastikan Diva Popular menemui penonton.

“Filem ini sudah dua tahun terperap kerana kekurangan dana. Umie terpaksa meminjam duit rakan-rakan dan bank untuk membuat salinan filem, kos promosi dan sebagainya,” ulas Erma sambil menyatakan bajet keseluruhan bernilai RM1.5 juta.

Sementara itu, Umie Aida yang mengakui sangat berdebar dengan penerimaan penonton berkata: “Saya tahu risiko menerbitkan filem, tetapi sampai bila saya mahu bergelar pelakon saja? Ini peluang saya untuk lebih berdikari sekali gus melebarkan sayap sebagai seorang usahawan.”

Mengulas rasional memilih komedi sebagai buah tangan pertama, ujarnya, “Susah untuk menduga cita rasa penonton tetapi selepas melihat situasi pasaran, rasanya genre yang ringan lebih menjadi tumpuan.

“Bukan bermaksud mengenepikan kualiti, tetapi ini soal perniagaan. Biarlah saya ‘bernafas’ dulu sebelum mampu menerbitkan cereka-cereka yang berbentuk serius. Sebagai permulaan, saya mahu orang masuk panggung dan berhibur sepenuhnya apabila menonton Diva Popular.”

Diajukan pertanyaan jika filem ini cuba membuka pekung dunia artis tempatan dan memburukkan orang-orang industri hiburan, pintas Umie: “Kalau filem ini tidak diterbitkan pun, setiap hari orang boleh membaca pelbagai keburukan artis di dada akhbar dan majalah. Apa yang dipaparkan adalah realiti.

“Perkara-perkara sedemikian sebenarnya bukan saja berlaku dalam dunia hiburan, sebaliknya boleh berlaku kepada sesiapa saja. Selagi kita bernama manusia, kita tidak akan terlepas daripada kekurangan dan kesilapan.”
Diva Popular yang bakal ditayangkan mulai Hari Raya Pertama ini turut diperkuat dengan kemunculan istimewa Anita Sarawak, Datuk Sharifah Aini, Saiful Apek, Ifa Raziah, Aziz Satar, Khatijah Tan, Liza Hanim, Awal Ashaari dan pelakon Indonesia, Adam Jordan.



SINOPSIS DIVA POPULAR

Erna Teteyye (Umie Aida) merupakan seorang pelakon terkenal dan pernah meraih beberapa anugerah Aktres Terbaik. Bagaimanapun, Erna berasa tercabar dengan kemunculan bakat baru juara Malaysia Fantasia, Tasha (Ezlynn).

Perkara menjadi rumit apabila kekasih Erna, Faizal (Awie) mendapat tawaran mengarahkan filem terbitan Puan Julie (Azean Irdawaty). Faizal diminta mengambil Tasha sebagai pelakon utama, menyebabkan Erna naik angin dan mencari jalan untuk menjatuhkan lawannya.

Pertemuan dengan Datuk Seri Syeikh Sabaruddin (M. Rajoli) membuka jalan untuk Erna membalas dendam. Dengan bantuan pengurusnya Jojo (Afdlin Shauki), dia menggoda lelaki mata keranjang itu supaya dia boleh bergelar produser dan menerbitkan filemnya sendiri.

Sementara itu, Tasha terus hanyut dibuai populariti. Reputasinya sebagai artis tidak berdisiplin tersebar luas akibat sikap pengurusnya, Rin (Sheila Rusly) yang tamak mahu mengambil segala undangan lakonan dan nyanyian yang ditawarkan.

Kekalutan tercetus apabila Erna dan Tasha dicalonkan untuk Anugerah Diva Popular. Pelbagai strategi dan muslihat dipasang bagi memastikan mereka berjaya, termasuklah mengutuk dan memburukkan saingan masing-masing sehingga pertelingkahan itu terpaksa diselesaikan di mahkamah.