Anugerah Skrin Setahun Sekali?
Acara anugerah anjuran TV3, Anugerah Skrin yang sebelum ini diadakan dua tahun sekali telah dirombak menjadi acara tahunan. Merasakan industri hiburan tempatan semakin berkembang, penghargaan seumpama ini dilihat dapat menyumbang kepada tumbesaran dan kemajuan para karyawan.
Di sebuah restoran di ibu kota baru-baru ini, pengumuman tersebut telah dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan dalam sidang media sulung Anugerah Skrin ke 8.
“Atas kejayaan Anugerah Skrin ke 7 tahun lalu, kami membuat keputusan sewajarnya acara seperti ini dianjurkan setiap tahun,” ujarnya.
Menolak andaian kewujudan Anugerah Skrin akan menambahkan bilangan majlis anugerah yang terlalu banyak di Malaysia, Farid mengambil contoh kejayaan industri seni di Hollywood.
Terangnya, “Sepanjang tahun, mereka mempunyai banyak acara anugerah dan ini semua adalah penting dalam mengiktiraf bakat-bakat terbaik yang dihasilkan.
“Perlu diingat, Anugerah Skrin lebih menjurus kepada penghargaan dunia perfileman dan produksi, justeru ia berbeza daripada anugerah-anugerah muzik yang sedia ada.”
Bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 22 Disember, Anugerah Skrin ke 8 turut mengorak pembaharuan apabila mengundang stesen jiran iaitu RTM dan Astro untuk bersaing, selain stesen di bawah rangkaian Media Prima Berhad seperti ntv7 dan 8TV.
Menepis acara itu cuba meniru format Anugerah Sri Angkasa anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Farid menegaskan: “Sasaran Anugerah Skrin diwujudkan adalah bagi meningkatkan mutu perfileman tanah air. Bukan sebab untuk bertanding siapa lebih hebat, tetapi untuk sama-sama mengangkat industri ke tahap yang lebih baik.”
Meskipun semua stesen televisyen menghantarkan calon, namun, tambah Farid, yang menang adalah rumah produksi drama atau perfileman, bukan stesen.
Bagi pencalonan awal, sebanyak 14 buah drama, lapan drama bersiri dan lima drama komedi dipilih untuk merebut sembilan kategori yang dipertandingkan, antaranya Drama Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pengarah Terbaik.
Sebanyak 31 buah filem cereka pula akan merebut enam trofi yang disediakan, seperti Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Sinema Alternatif Terbaik.
Pencalonan drama dan drama bersiri yang diterima adalah berdasarkan rating tertinggi sepanjang Januari tahun lalu hingga Jun tahun ini. Sementara filem-filem cereka yang layak bertanding pula adalah filem yang diterbitkan dalam tempoh tersebut.
Seperti tahun-tahun yang lalu, Anugerah Skrin ke 8 juga tidak melupakan kategori penerbitan televisyen menerusi enam kategori, antaranya ialah dokumentari terbaik dan rancangan hiburan terbaik.
Mengulas situasi apabila pemenang acara anugerah lain tewas di dalam Anugerah Skrin, Farid berkata semua keputusan terletak di tangan juri.
“Panel yang akan dilantik kelak merupakan barisan pengadil yang tidak terikat dengan mana-mana produksi yang dipertandingkan. Bergantung kepada kriteria yang ditetapkan, mereka bebas membuat keputusan tanpa dipengaruhi mana-mana keputusan pertandingan lain sebelum ini,” jawabnya.
Selain wakil-wakil daripada setiap stesen terbabit, ramai artis yang hadir pada sidang media tersebut, antaranya ialah Datuk Sarimah Ahmad, Ziela Jalil, Rita Rudaini, Nora Danish, Zul Huzaimy, Ady Putra, Nadia Mustafar dan Cico.
Perjanjian antara TV3 dengan penaja utama, Procter & Gamble Malaysia Sdn. Bhd. (Pantene) turut dimeterai pada majlis itu.
Antara pencalonan awal
Kategori Drama
* Episod Terakhir
* Korban Kala
* Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan
* Nur Di Pintu Syurga
* Al-Kausar
* Mek Salmah Dari Scotland
Kategori Drama Bersiri
* Mya Zara
* Natasha
* Gol & Gincu
* Mentari Jingga
* Rafflesia
* Cinta Madinah
Kategori Drama Komedi Bersiri
* Puteri
* Dunia Anita
* Gila-Gila Pengantin
* Mat Dom Teksi
* KB Sentral
Kategori Filem
* Sepet
* Pontianak Harum Sundal Malam 2
* Baik Punya Cilok
* Buli Balik
* Gubra
* The Third Generation
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru