Cahaya Cinta Buat Suami
Pada detik ini, Siti Nurhaliza bukan lagi perawan sepi. Dia sudah tidak bersendiri, hari-hari yang dilalui dikecapi penuh bahagia dengan orang yang paling dicintai, Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang sudah sah bergelar suami.
Lumrah insan terkenal, apatah dia penyanyi hebat nombor satu negara, perkahwinannya menjadi salah satu berita terpenting, bukan setakat di peringkat nasional, malah melarat sehingga ke tanah seberang Indonesia, Brunei dan Singapura.
Jika difikirkan, majlis perkahwinannya serupa saja dengan majlis perkahwinan orang lain. Namun, kerana dia Siti Nurhaliza yang tiada dua dalam Malaysia, hari bersejarahnya jadi tumpuan besar-besaran.
Disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen, diberi liputan media cetak tanpa henti berhari-hari, sudah tidak dapat dielakkan lagi apabila majlis perkahwinannya dilabel sebagai ‘wedding of the year’ (atau ada yang berasakan ia lebih sesuai dipanggil ‘wedding of the decade’!)
Terungkai sudah segala rahsia dan persoalan saat dua hati disatukan. Ikatan ijab kabul yang terikat erat pada hari kebesaran Israk Mikraj, tanggal 21 Ogos bersamaan 27 Rejab, menjadi saksi pernyataan cinta yang kebal dari kata tohmah, nista dan prasangka.
Pagi itu, senyuman tidak pernah terlepas dari ulas bibir Siti dan Khalid, atau lebih popular dengan nama Datuk K. Berpakaian sedondon putih warna suci, perbezaan usia 20 tahun antara mereka seakan tidak terlihat.
Seawal 7.30 pagi Siti sudah disiapkan oleh jurusolek kesayangannya, Nurul Shukor. Kata Nurul, Siti tidak banyak bercakap pagi itu. Namun melalui anak matanya, Nurul mampu memahami debar perasaan bakal ratu sehari.
“Saya nasihatkan dia supaya banyak bertenang, usah terlalu menekan diri dan nikmatilah saat-saat ini kerana ia datang hanya sekali dalam hidup. Saya dapat lihat mulutnya terkumat-kamit berselawat,” kata Nurul.
Menyarung persalinan rekaan Radzwan Radziwill yang diperbuat daripada lace Perancis bersulam kristal Swarovski, Siti tampil bak permaisuri.
Dilengkapi dengan tiara bernilai hampir sejuta ringgit, termasuk aksesori tambahan ehsan Elegance Club, di jari manisnya tersarung rapi dua cincin lambang cinta sejati.
“Yang satu ini, cincin tunang. Yang satu lagi cincin kahwin,” tuturnya lembut kepada pemberita selepas diakad nikahkan. Hanya tersenyum bila ditanya berapakah harganya, dia memintas: “Tanyalah Datuk.”
Syarat paling penting dalam perkahwinan sudah pun selamat dijalani. Selepas Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur menjadi saksi, giliran Dewan Pameran, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pula menjadi mercu tanda percintaan merpati dua sejoli ini.
Esok, 28 Ogos, hari mempelai diraikan di atas singgahsana nan menawan. Bertemakan perkahwinan dalam taman, para tetamu, termasuk daripada golongan VIP dan kenamaan akan disambut meriah dengan hiasan serba indah penuh bunga-bungaan.
Menurut perancang perkahwinan, Datuk Shah Rezza, antara golongan diraja yang sudah memberi persetujuan untuk hadir ialah Sultan serta Sutanah Pahang, Sultan serta Sultanah Terengganu serta Pemangku Raja Perlis.
Antara rakan-rakan seperjuangan Siti pula yang akan menyumbangkan suara secara sukarela pada majlis tersebut ialah Kris Dayanti, Melly Goeslaw, Ziana Zain, Nora dan Nash di bawah pimpinan pemuzik terkenal S. Atan.
Jika pada hari pernikahan, Siti dan Datuk K memberikan sekotak coklat bercetak gambar mereka sebagai cenderahati, apa pula buah tangan untuk dibawa pulang dari KLCC nanti?
Difahamkan para undangan akan menerima senaskhah buku cenderamata yang dihiasi dengan gambar-gambar eksklusif pasangan pengantin popular ini.
Bukan itu saja, Siti dan Datuk K turut menghadiahkan sekeping cakera padat yang memuatkan empat lagu popular Siti seperti Percayalah, Kau Kekasihku, Bukan Cinta Biasa dan Jerat Percintaan beserta sebuah lagu terbaru, Cahaya Cinta.
Digubah dan dinukilkan sendiri liriknya oleh Siti, Cahaya Cinta adalah satu dedikasi khas buat suaminya yang kini menyinari ruang hati.
Difahamkan, setiap baris kata menyimpan makna yang sangat mendalam, memohon agar percintaan mereka terus kekal sehingga ke akhir hayat.
Melalui lagu tersebut, Siti seakan memohon pengertian daripada semua pihak yang terus membuat spekulasi agar memahami apa yang terjadi sudah ditakdirkan Tuhan.
Mengharap agar cinta yang terjalin tidak disalah ertikan, bukan kerana harta tetapi atas kejujuran yang diberi, Siti mengakui inilah kebahagiaan yang dicari-cari.
Semoga kasih sayang yang termeterai akan terus mekar dan bercambah dari hari ke hari. Selamat pengantin baru Siti dan Datuk K.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru