Anugerah Ini Milikku!
Mungkin di dalam kamus sesetengah pihak nama Yasmin Ahmad bererti kontroversi. Dugaan yang diterimanya bertimpa-timpa. Namun dalam kepahitan yang terpaksa ditelan, dia juga menerima rahmat dan rezeki Tuhan.
Selepas Sepet dikatakan tidak layak menerima gelaran Filem Terbaik di tanah air sendiri, Gubra turut menerima padah yang serupa.
Biarpun panel juri Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) sudah sebulat suara mengangkat Gubra sebagai sebuah karya yang cemerlang, masih ada pihak yang cuba mempertikaikan keputusan tersebut.
‘Mana mungkin filem pencemar budaya menang?’ soal mereka. Dan bagi menguatkan hujah tersebut, Sharifah Amani yang meraih gelaran Pelakon Wanita Terbaik diheret bersama dalam kancah penuh sensasi ekoran ucapan kemenangannya yang dilabel sebagai kurang ajar dan tidak menghormati bahasa Melayu.
Tidak cukup terlukakah Yasmin? “Sedih, saya akui saya menangis tetapi sebagai seorang yang berusia, saya fikir saya tahu bagaimana mahu mendepaninya,” tegas sutradara berkaliber ini.
Mengulas mengenai tulisan-tulisan yang menyakitkan, katanya: “Kalau dulu, saya cepat terasa dan tersinggung. Tetapi apabila saya diperlakukan seperti itu hampir beratus kali sekarang, saya sudah tidak rasa apa-apa.
“Mengapa saya harus ambil serius dengan golongan yang asyik menghentam? Kadangkala saya fikir Gubra bukan puncanya. Mereka tidak begitu membenci filem saya sebagaimana mereka membenci pembikinnya.”
Reda dengan segala kritikan dan cemuhan, wanita yang cukup berani bersuara ini menjelaskan sepanjang dia bergiat dalam industri perfileman tempatan, dia tidak pernah memburuk-burukkan hasil kerja orang lain.
“Tanpa rasa bersalah, orang mudah menjatuhkan hukuman terhadap saya dan filem saya. Mereka mengutuk secara terbuka, sedangkan saya tidak pernah mengata filem pengarah lain. Saya hormati karya mereka,” tuturnya kesal.
“Kalau ada pihak yang mencadangkan anugerah saya ditarik balik, saya tidak peduli. Saya akan terus menyimpannya kerana ia milik saya. Bukannya saya mencuri atau merasuah juri untuk mendapatkannya,” sambungnya lagi.
Sebagai pengarah yang ‘melahirkan’ Sharifah Amani sebagai sebutir bintang, Yasmin turut merasa tempias atas kemelut yang melanda pelakon muda itu.
“Amani tidak henti menangis beberapa hari. Kasihan dia. Dia sudah pun mengungkapkan perkataan maaf, malangnya soal ini masih dipanjangkan. Sehingga ada yang mahu dia dihalang dari menghadiri festival, mengharamkan dia berlakon - mengapa sebegitu kejam?” luahnya bersungguh.
“Tidak hairanlah orang kita suka sangat menonton gusti. Mungkin menyaksikan orang lain dipukul menjadi satu kenikmatan,” spontan Yasmin mengulas antara jenaka dan serius.
Sudah tercatat sebagai satu lagi bab ‘drama’ dalam buku kehidupannya, Yasmin nekad melangkah laju. Di dalam fikirannya tercetus bermacam idea untuk difilemkan, meskipun buah tangannya selepas Gubra, Mukhsin sedang menunggu masa tayangan pawagam.
Satu cerita menarik yang sempat dikongsi bersama: “Saya menerima e-mel dari seorang wanita yang mendakwa bapanya mungkin Mukhsin yang saya maksudkan. Dia belum menonton filem itu, tetapi apa yang bapanya ceritakan sama dengan apa yang dia baca di akhbar!”
Ketawa apabila diusik tidakkah dia teringin bertemu cinta pertamanya, pintas Yasmin: “Risau suami saya cemburu.”
Mukhsin terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. merupakan kisah sebenar Yasmin sekitar usia 10 tahun. Wataknya dijelmakan melalui peranan Orked lakonan Sharifah Aryana dan peranan Mukhsin digalas oleh Mohd. Syafie Naswip.
“Insya Allah, filem saya yang seterusnya berjudul May 13. Ia berdasarkan kejadian sebenar yang berlaku di negara kita pada tahun 1969.
“Saya mahu melihat insiden tersebut dari perspektif yang berbeza - bukan sekadar satu rusuhan mahupun pembunuhan, tetapi rasa kasih dan sayang yang terjalin antara kaum ketika itu,” ujarnya.
Sedang mencari penerbit yang berminat untuk projek tersebut, angan Yasmin: “Alangkah seronoknya jika May 13 dapat membuka tayangan pada tarikh yang sama tahun depan!”
Pelakon utamanya? “Sudah tentu Sharifah Amani. Dia akan terus menjadi anak emas saya,” beritahunya menutup bicara.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru