eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Peluang Kedua Amani

Tuesday, August 01, 2006

Peluang Kedua Amani



Bukan suratan, cuma kebetulan. Sharifah Amani ‘dipertemukan’ lagi dengan Gavin Yap buat kali kedua di atas pentas teater. Jika tahun lalu Gavin menjadi kekasih hatinya bernama Hamlet, kali ini Gavin bertindak sebagai tuan pengarah teater Endgame.

“Dia seorang yang sangat serius,” kata Amani atau lebih mesra dipanggil Nani membuka bicara. “Baik sebagai pelakon atau pengarah, Gavin sangat komited walaupun sebelum latihan bermula, dia boleh menjadi orang paling gila yang pernah saya jumpa!” sambungnya.

Biar masih muda, Gavin, menurut Nani merupakan seorang sutradara yang berbakat besar dan memahami apa yang dirasai oleh seseorang pelakon.

“Untungnya bekerja dengan Gavin, dia tahu apa yang pelakon lalui kerana dia juga bermula sebagai seorang pelakon. Dia memberi kebebasan untuk pelakon meneroka sendiri watak yang dipegang, dalam masa yang sama memberi petunjuk agar tidak tersasar dari misi pengarahannya,” tutur anak kepada pelakon Fatimah Abu Bakar ini lancar.

Berlangsung di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) mulai 2 hingga 6 Ogos, Endgame dipentaskan sempena sambutan ulang tahun ke-100 penulis tersohor Ireland, Samuel Beckett yang pernah memenangi Hadiah Nobel.

Teater ini dipentaskan pertama kalinya dalam bahasa Perancis di Royal Court Theatre, London pada tahun 1957.

Disifatkan sebagai karya Beckett yang paling mengagumkan, Endgame mengambil latar sebuah bilik kosong yang menjadi tempat perlindungan empat karakter - Hamm; ketua, Clov; orang suruhan, Nell; ibu Hamm dan Nagg; bapa Hamm. Keadaan di luar bilik tersebut senyap sunyi seakan mati, sementara di dalamnya empat karakter itu bermain dengan ilusi dan kemungkinan tentang masa depan.

Percaya atau tidak, Nani yang baru berusia 20 tahun ini diberikan tanggungjawab memainkan peranan Nell. “Apa salahnya? Saya tidak mahu membocorkan fantasi atau kelainan yang dijanjikan, peminat mesti datang sendiri menonton. Saya memang memegang watak wanita berusia tetapi tidaklah macam nenek kebayan!” petahnya berjenaka.

Telah memulakan latihan sejak sebulan lalu, Endgame turut menampilkan U-En Ng, Alvin Wong dan Kelvin Wong. Pementasan ini diterbitkan oleh Datuk Faridah Merican dan Joe Hasham bertindak sebagai Pengarah Artistik.

Ditanya mengapa dia kurang aktif bermain teater berbanding filem, jawabnya pantas: “Saya ingin berlakon teater selalu, tetapi masa adakalanya tidak mengizinkan. Teater bukan untuk main-main atau suka-suka. Komitmen yang diberikan mesti seratus peratus. Paling utama ialah disiplin, yang mana ia menjadi kelemahan semula jadi saya!”

Menjadikan ibunya sebagai idola, dia mengakui pentas teater banyak membentuknya menjadi seorang aktres yang baik. “Kepuasan beraksi di depan penonton secara langsung lain sifatnya dengan kepuasan berlakon di depan kamera. Adrenalin sentiasa memuncak, apatah lagi kita tahu kita sedang berdepan dengan cabaran untuk tidak melakukan kesilapan.”

Menyentuh tentang pencalonannya dalam Festival Filem Malaysia ke-19 melalui filem Gubra, dia enggan meletakkan sebarang harapan.

“Sebagai insan seni, kita sentiasa berasa seronok apabila mendapat penghargaan. Pada saya, kejayaan filem itu lebih bergantung kepada keberkesanannya kepada penonton. Saya tahu usaha keras saya berbaloi. Kalau ada rezeki nanti, Alhamdulillah,” jawabnya yang telah dianugerahkan trofi Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia ke-18 atas kecemerlangannya mewarnai watak Orked dalam Sepet.

Info Endgame

Lokasi:
Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac),
Jalan Strachan,
Off Jalan Sentul,
Kuala Lumpur

Tarikh & Masa:
2 hingga 5 Ogos pada pukul 8.30 malam dan 6 Ogos pada 3.00 petang

Harga tiket:
RM30 dan RM20 (pelajar, warga emas & yang kurang berkemampuan)