Siti, Apek Masih Fenomena
Rakaman Konsert Fenomena Siti Nurhaliza dan Saiful Apek yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam Rabu lalu benar-benar mencetuskan fenomena. Masakan tidak, lautan manusia sudah ‘melimpah’ sejak awal lagi, sejam sebelum konsert bermula.
Kerusi tambahan sudah diletakkan, tetapi tetap penuh sehingga memaksa para penonton yang datang terkemudian duduk di tangga atau berdiri saja.
Beberapa minit sebelum rakaman dimulakan pun, peminat masih bertali arus dan akhirnya pengawal keselamatan yang bertugas mengambil keputusan mengunci pintu auditorium kerana ‘terlebih muatan’.
Mujurlah penonton lain yang lewat tidak kempunan untuk menonton. Mereka telah dipindahkan ke dewan sebelah iaitu di Auditorium P. Ramlee untuk menyaksikan ‘siaran langsung’ tersebut melalui layar besar.
Kalau ada yang beranggapan pengumuman perkahwinan Siti dengan Datuk Khalid Jiwa akan menyebabkan peminat lari, jangkaan itu jauh meleset. Berduyun-duyun pengikutnya masih sanggup datang, masih belum jemu, jauh sekali benci mendengarkan alunan lunak penyanyi berusia 27 tahun itu.
Dalam ribuan penonton, kelihatan bakal anak tiri Siti, Mohd Asraf turut hadir memberikan sokongan.
Demikian juga dengan Saiful Apek yang masih belum tergugat popularitinya, biarpun pelbagai dugaan atau gosip yang menimpa. Dia masih kekal di tangga teratas sebagai penghibur yang serba boleh. Siti dan Apek, satu gandingan yang tepat.
Memulakan persembahan dengan lagu dari filem Ali Baba Bujang Lapuk, Aiya Cik Siti, rakaman terpaksa diulang sebanyak tiga kali. Kali pertama, Apek tersasul lirik, kali kedua, kaki Apek tersadung di tangga sehingga Siti ketawa dan kali ketiga, rakaman berjalan lancar.
Dalam persalinan serba hijau, Siti yang tidak henti tersenyum seterusnya berpadu suara dengan Apek lagu duet Antara Mataku Dan Matamu serta Sedang Ingin Bercinta.
Sudah menjadi lumrah proses rakaman, ia tidak secepat siaran secara langsung. Menyedari keadaan penonton yang terpaksa menunggu sehingga ke penghujung, Siti beberapa kali memohon maaf dengan memujuk penonton supaya bersabar.
“Dah makan? Lapar? Sekejap ya. Rakaman memang macam ini, lama sikit. Tak lama lagi habislah,” ucapnya dalam nada manja sebelum menyanyikan lagu Destinasi Cinta. Siti tampil mewah mengenakan seluar biru dengan jaket songket merah jambu pemberian teman rapatnya, penyanyi tersohor Kris Dayanti.
Merangkaikan lagu-lagu popularnya Jerat Percintaan, Purnama Merindu dan Aku Cinta Padamu, Siti seterusnya menyerahkan pentas kepada Apek. Kata pelawak itu spontan sebelum menyanyikan lagu Pengiran Cinta: “Kalau suka tepuk, kalau tak, balinglah apa-apa objek pun!”
Tidak sah kalau ratu pop itu tidak membawakan lagu berhantunya, Biarlah Rahsia. Suaranya masih gemersik seperti selalu, tetapi entah mengapa, penghayatan Siti seakan kurang terasa. Mungkinkah kerana semua ‘rahsia’ sudah terlerai dan lagu itu sudah tiada kena dengan suasana yang dialaminya sekarang?
Apek meneruskan persembahan dengan Kasih Ku Pinjam Wajahmu sebelum berduet sekali lagi dengan Siti medley Teman Tapi Mesra, Pupus, Pudar dan Jujur. Benar, kemantapan suara Apek tidaklah sehebat Siti, namun kolaborasi mereka terjalin cantik dan dinamik.
Sesuai dengan perancangan RTM untuk menayangkan konsert ini pada musim Aidilfitri kelak, segmen hari raya menutup Konsert Fenomena dengan dendangan Balik Kampung daripada Apek, Nazam Lebaran oleh Siti dan nyanyian bersama lagu Selamat Hari Raya.
Mungkin sukar untuk mencari keistimewaan Konsert Fenomena ini memandangkan konsepnya masih sama seperti Konsert Fenomena tahun lalu. Apatah lagi program berkonsepkan raya, tiada apa yang baru yang boleh diperkatakan.
Namun, gabungan dua bintang paling popular ini berbaloi untuk ditonton.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru