eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Jamie, Si Genius Jazz

Saturday, June 17, 2006

Jamie, Si Genius Jazz



Berjaket hijau dengan singlet merah, berseluar jean koyak rabak dan sepasang sneakers hitam lusuh, Jamie Cullum menyapa sekumpulan wartawan dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan tuan rumah, Singapura yang diundang khas oleh Universal Music sempena konsertnya di kota singa itu.

Kelihatan segar dengan stail rambutnya yang tidak terurus, dia tersenyum, kemudian ketawa apabila mendengarkan soalan pertama yang dilemparkan.

“Melucukan apabila saya sering ditanya soalan yang serupa sebegini. Tiga tahun merantau ke serata dunia untuk promosi album dan konsert, saya sentiasa mendengar cerita yang kononnya peminat Asia lebih senyap dan tidak agresif. Tetapi saya tidak percaya dan meraguinya. Konsert saya di Hong Kong minggu lalu sangat menyeronokkan,” terang genius jazz muda ini.

Dilabel dengan pelbagai jolokan, antaranya ‘Sinatra in sneakers, the Beckham of jazz’ dan ‘the junior of Harry Connick Jr.’, Jamie Cullum mencetus kegemparan kerana kelainan muziknya yang mengangkat elemen jazz dalam cita rasa pop.

“Orang bertanya mengapa saya memilih jazz. Pada saya, muzik jazz amat bebas. Ia boleh ‘dibawa’ ke mana-mana saja, baik dalam irama dance, rock, klasik mahupun punk,” ujarnya yang mendapat kontrak bernilai sejuta pound sterling untuk rakaman album komersial pertama, Twentysomething tiga tahun lalu.

Dilahirkan di Essex, England dan dibesarkan di Whiltshire, Cullum obses terhadap muzik sejak kecil lagi dan mula meneroka keajaiban jazz sejak mendengar Miles Davis. Berkebolehan bermain (dan memecahkan) piano - mengikut rekod, dia telah memecahkan sekitar lima buah piano! - dia tidak pernah bermimpi untuk menjadi bintang terkenal seperti hari ini.

“Pada awalnya saya bermain muzik kerana minat semata-mata, bukan untuk duit poket. Biarpun saya sudah bergelar penyanyi rakaman sekarang, itu tidak bermakna saya hanya memikirkan keuntungan dan populariti. Saya masih mempunyai impuls dan keghairahan yang sama seperti dulu,” katanya yang terkenal dengan aksi melompat, memijak dan ‘memukul’ piano di atas pentas.

“Saya hanya mengikut gerak hati,” jawab Cullum mengenai ‘kelakuan liarnya’ itu. “Perkara sebegitu tidak boleh dielakkan. Saya tidak melihat ia sebagai gimik, sebaliknya satu perangai semula jadi.”

Twentysomething merekodkan Cullum sebagai artis jazz terlaris dalam sejarah di United Kingdom. Terjual sebanyak 2.5 juta unit, dia meneruskan karya-karya azimatnya menerusi Catching Tales yang diedarkan tahun lalu. Dalam album tersebut, Cullum lebih bereksperimentasi, termasuklah menggabungkan unsur elektrik bass.

“Catching Tales mewakili siapa saya dan apa yang saya mahukan sebagai pemuzik. Saya ingin muzik saya ‘berbicara’ sendiri tanpa saya menjelaskan apa maksudnya, menjadi satu pandangan yang progresif terhadap gabungan pop dan jazz,” tuturnya penuh karisma.

“Ia menggambarkan bagaimana saya melalui satu evolusi, antara Jamie yang lama dan Jamie yang baru. Saya tidak risau tentang angka jualan jika Catching Tales tidak mampu menandingi Twenstysomething. Apa yang lebih penting ialah saya bangga dengan apa yang saya ada sekarang,” tegas si kenit berusia 26 tahun ini.

Sebelum meninggalkan sidang media tersebut yang hanya berlangsung sekitar 20 minit, Cullum sempat melayan beberapa pertanyaan yang melucukan tanpa mengeluh atau melakarkan wajah masam.

“Kalau ada yang mahu membuat filem mengenai saya, silakan. Mungkin Brad Pitt sesuai melakonkan watak saya, tetapi nenek saya pernah berkata wajah saya seperti Leonardo DiCaprio!” katanya selamba.

HOBBIT TERHEBAT

Dia bertubuh kecil, malah ketinggiannya pun sekitar 164 sentimeter. Namun begitu, aura jiwa dan semangatnya yang besar telah meresapi segenap ruang Suntec Conventional Hall, tempat berlangsungnya konsert Jamie Cullum yang kedua di Singapura, baru-baru ini.

Tanpa sebarang gimik mahupun pengumuman, Cullum terus muncul di atas pentas sebaik saja lampu dewan dipadamkan. Ketika ini, berduyun-duyun penonton yang berada di tempat duduk belakang mula berlari, berpindah memenuhkan tempat yang kosong di depan (termasuklah penulis!)

Membuka tirai dengan Photograph, dia mengiringi persembahannya dengan petikan piano dan bantuan empat pemuzik lain yang terdiri daripada pemain bass, drum, trumpet/saksofon dan keyboard/percussion.

Mengenakan jean, kemeja putih dan tali leher tirus beserta jaket hitam, Cullum menghangatkan suasana dengan single pertama daripada Catching Tales, Get Your Way.

Audiens tidak perlu menunggu lama untuk melihat Cullum melakukan ‘stage antics’ nya. Memanjat papan piano dan memijak butang-butang putih hitam semasa menyampaikan lagu Twentysomething, dia menjawab jeritan ‘I Love You’ dari penonton dengan berkata: “Jangan terlalu cepat berkata demikian. Anda mungkin membenci saya semasa pertengahan persembahan.”

Di depan kira-kira 3,500 penonton, Cullum membuat saranan: “Kalau anda rasa mahu ke depan pentas, silakan. Jangan pedulikan pengawal keselamatan,” katanya antara gurau dan bersungguh.

“Malam ini England bertarung untuk Piala Dunia. Saya rasa mereka akan menang, tetapi sebelum anda menonton perlawanan tersebut, adalah elok untuk anda menyaksikan lelaki dari England yang seorang ini beraksi!” sambungnya.

Menyambung persembahan dengan What A Difference A Day Made, Cullum memaklumkan penonton bahawa penutup piano telah tercabut akibat aksi liarnya! (menurut buku cenderamata, sebelum ini dia pernah menerima 12 bil kerosakan piano daripada pihak penganjur).

Tidak mempedulikan insiden tersebut, dia membuatkan penonton teruja dengan dendangan lagu rap popular seperti So Sick, Gold Digger dan Frontin’ dengan caranya sendiri.

Turut membawakan lagu These Are The Days, Old Devil Moon dan Liar Liar, Cullum turut menunjukkan kebolehannya bermain gitar serta sempat membuat komen sinikal tentang program Singapore Idol.

“Saya dijemput untuk bertemu mereka sebentar tadi. Saya terkejut kerana pesertanya terlalu ramai. Sama macam teater Shakespeare, tentu program itu memakan masa tiga jam tetapi dengan lebih banyak ‘adegan kematian’!”

Turut mempergunakan saiz tubuhnya sebagai jenaka yang menurutnya, “sukar untuk memikat perempuan”, tenaga Cullum tidak pernah surut. Duduk di atas butang piano, menekannya dengan kerusi dan mengetuk drum sekuat hati, kemantapan vokalnya tidak terjejas semasa menyampaikan lagu London Skies, Lover You Should Have Come Over, I Could Have Danced All Night, Wind Cries Mary dan I Get A Kick Out Of You.

Seluruh stadium meluru ke bahagian depan pentas apabila Cullum dan pemuziknya turun ke bawah menyanyikan lagu klasik Nature Boy. Malang bagi penonton di belakang kerana tidak dapat menyaksikan apa yang berlaku. Mujurlah mereka tidak berasak-asak dan Cullum masih selamat untuk meneruskan persembahan selepas dikerumun.

Menghidangkan Mind Trick, High And Dry serta Seven Nation Army sebagai penutup tirai, audiens dari pelbagai generasi tidak segan silu berdiri dan menari di atas kerusi sebelum konsert dua jam itu berakhir.

Andai kata Jamie Cullum seorang hobbit dari hikayat legenda The Lord Of The Rings, percayalah dia lebih hebat dari Frodo Baggins!