Episod Baru Gol & Gincu
Meskipun Gol & Gincu tidak meraih kutipan box-office di pawagam, penerbitnya Red Communications enggan patah semangat. Mereka percaya ia mempunyai pengikut tersendiri, bahkan berasa teruja apabila 8TV memberikan mandat untuk memanjangkan kisah remaja itu ke kaca televisyen.
“Gagal di panggung bukan bererti gagal dari segi kualiti. Kami sudah memberikan yang sehabis baik dan tidak menyesal sama sekali. Namun begitu, cadangan untuk membikin sekuel tidak pernah timbul sehinggalah 8TV menunjukkan minat bagi penerbitan siri tv. Ia satu peluang yang lebih baik!” kata penerbit eksekutif, Lina Tan.
Memulakan perbincangan idea sejak awal tahun lagi, Lina dibantu oleh ketua penulis skrip, Rafidah Abdullah dan pengarah Bernard Chauly.
“Kebanyakan tenaga kerja yang pernah terlibat dalam filem bergabung semula untuk Gol & Gincu The Series. Bermula dari barisan pelakon, penulis, pengarah dan jurukamera, sehinggalah kepada tatarias dan jurusolek,” sambung Lina.
Meneruskan apa yang terhenti dari versi filem, siri ini menyaksikan penyatuan cinta antara Putri dan Reza, apa yang terjadi kepada Eddy selepas ditinggalkan Shasha dan konflik-konflik lain yang timbul berlatar belakangkan generasi remaja urban.
“Sebaik saja projek ini dilancarkan, kesemua pelakon dan krew yang terlibat telah memberi kata persetujuan dan tidak sabar-sabar untuk turun ke lokasi,” akui Bernard.
“Malah, ada di antara mereka yang sudah mula membayangkan sendiri bagaimana mahu mengembangkan karakter masing-masing,” ujarnya lagi. Bagi tugas pengarahan, Bernard dibantu oleh beberapa sutradara lain seperti Low Ngai Yuen, Imri Nasution dan Lina Tan sendiri.
Ditanya mengenai cabaran menulis skrip untuk 13 episod yang setiap satunya berdurasi sejam, Rafidah memberitahu: “Saya mengambil masa setahun untuk menulis skrip filem yang memakan masa 90 minit. Bayangkan pula bagaimana mahu menulis untuk sirinya!
“Saya beruntung kerana dibantu oleh penulis-penulis yang lain seperti Mira Mustafa dan Fahmi Fadzil. Begitu pun, bukan satu perkara yang mudah untuk memastikan momentum tontonan siri ini berterusan dan menjadikan ia bertambah menarik. Kami sentiasa cuba mencari idea-idea terbaru yang belum pernah dipaparkan sebelum ini.”
Menolak andaian Gol & Gincu The Series bakal menjadi sebuah lagi produk klon 3R (memandangkan tenaga kreatifnya terdiri daripada orang yang sama), Rafidah menegaskan keduanya berbeza dari segi format.
“3R berbentuk majalah, manakala siri ini adalah sebuah drama. Mungkin siri ini akan turut menyelitkan isu-isu semasa, tetapi gaya penyampaiannya subtle berbanding gaya 3R yang lebih jelas dan fokus,” terangnya.
Dari layar lebar ke layar kaca, Putri akan dijelmakan semula oleh Fazura, Eddy (Ashraf Sinclair), Shasha (Sazzy Falak), Reza (Pierre Andre), Mia (Melissa Maureen), Zie (Rafidah Abdullah), Sarah (Kartini Kamalul Ariffin), Ling (Celina Khor), J (Fasha Rahman), Dayang (Zarina AF) dan Datin Aina (Bernard Chauly).
Dua wajah baru turut diperkenalkan iaitu Razif Hashim sebagai Haikal dan Mazlyna Hasan memainkan watak Ayu. Beberapa pelakon terkenal juga bakal muncul sebagai undangan antaranya Que Haidar, Jit Murad, Vanida Imran serta Elaine Daly, termasuk pelakon asal versi filem, Sharifah Amani.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, penerbitan Gol & Gincu The Series adalah seiring dengan kehendak dan cita rasa penggemar stesen tersebut.
“Versi filemnya sangat menarik dan mempunyai tarikan kepada golongan remaja. Kami melihat potensi untuk Gol & Gincu dipanjangkan kepada siri tv, apatah lagi ketika demam bola Piala Dunia sedang melanda,” jelasnya.
Optimis siri ini bakal menerima sambutan memberangsangkan, Gol & Gincu The Series juga menjadi penyambung kepada usaha stesen milik Media Prima Berhad itu menayangkan lebih banyak lagi produk-produk keluaran tempatan.
Sinopsis Gol & Gincu The Series
Putri dan Reza merupakan sepasang kekasih dari latar belakang yang berbeza. Selain dari persamaan minat terhadap sukan futsal dan perasaan cinta yang dikongsi bersama, sebenarnya mereka amat terasing.
Putri datang dari keluarga berada yang gilakan fesyen, manakala Reza pula terpaksa bekerja separuh masa untuk menanggung pengajiannya dalam bidang undang-undang di sebuah universiti tempatan.
Masalah bermula apabila Reza masih dibayangi oleh kekasih lama Putri, Eddy. Berasa rendah diri dan insecure, dia mula dirapati oleh rakan baru Putri, Ayu. Ayu sebenarnya sudah lama menaruh perasaan kepada Reza dan berniat menghancurkan percintaan mereka.
Dalam masa yang sama, kawan rapat Putri, Mia memutuskan untuk berkahwin awal dan berhenti belajar. Rakan-rakan sepasukannya bermain futsal, Bukan Team Biasa (BTB) juga mula membawa haluan sendiri.
Ironinya, Shasha yang dulu memusuhi Putri kini mula berbaik-baik. Tanpa sedar, ibu Putri pula diburu kekalutan apabila seseorang yang tidak diundang muncul tiba-tiba.
Apa kata para pelakon?
“Peminat akan dapat menyaksikan transformasi Putri daripada seorang gadis lemah kepada wanita matang yang pintar. Bagaimana dia menangani masalahnya di samping rakan-rakan yang sentiasa membantu dalam susah dan senang.
“Saya tidak menafikan yang Putri dan diri saya yang sebenar banyak persamaan. Tetapi, itu bukan alasan untuk saya bekerja sambil lewa. Ia memudahkan saya untuk menghayati karakter dengan lebih berkesan” - Fazura
“Saya teruja untuk melihat sejauh mana watak Eddy ‘membesar’. Durasi filem terlalu pendek untuk melihat perkembangan itu” - Ashraf Sinclair
“Saya seronok dapat kembali ke set Gol & Gincu yang menyeronokkan kerana kami tidak terasa seperti bekerja. Saya percaya dengan sokongan tenaga yang terlibat, siri ini akan menghasilkan sebuah hidangan yang menghiburkan” - Sazzy Falak
“Dalam siri ini, Reza lebih banyak berdepan dengan konflik dan sudah pasti, tanggungjawab untuk merealisasikan karakter tersebut lebih berat. Walau bagaimanapun, saya gembira kerana berpeluang sekali lagi untuk ‘mengenali’ Reza dengan lebih mendalam” - Pierre Andre
** Gol & Gincu The Series akan mula ditayangkan di 8TV selama 13 minggu mulai 4 Jun ini, pukul 10 malam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru