Keputusan ABP 2005 Sudah Diduga
Selepas 19 tahun dianjurkan, Anugerah Bintang Popular (ABP) masih menjadi parameter terbaik untuk melihat sejauh mana seseorang artis itu berjaya menawan hati khalayak. Acara gilang-gemilang ini mewakili suara majoriti penggemar industri hiburan tempatan, seolah satu hadiah berharga dari peminat untuk mengiktiraf dan menyokong karier seni artis kesayangan mereka.
Bertempat di Arena of Stars, Genting Highlands malam kelmarin, rata-rata keputusan yang diumumkan bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan. Seperti yang diduga, Mawi menggondol gelaran Bintang Paling Popular dan membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta Kia Optima 2.0 Edisi Terhad serta set barang kemas Rafflesia bernilai RM 150,000.
Bertepatan dengan auranya yang dikatakan membawa fenomena, Mawi dengan mudah meraih sebanyak 351,570 undian menepis saingan yang lain. Juara Akademi Fantasia 3 (AF3) ini juga menyapu bersih dua kategori yang dipertandingkan iaitu Artis Baru Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular.
Kelihatan segak mengenakan tuksedo, pemuda ‘world’ ini nyata tenang seolah sudah tahu malam itu bakal menjadi miliknya. “Syukur Alhamdulillah. Bertambah-tambah lagi rezeki Allah. Saya masih ingat lagi tujuan asal masuk AF sebab mahu jadi deejay. Tetapi apa sudah jadi sekarang, saya pun tidak tahu,” katanya berlucu semasa memberi ucap penghargaan.
“Terima kasih banyak kepada mereka yang sanggup potong suratkhabar dan mengundi. Trofi ini akan saya jadikan pembakar semangat untuk memperbaiki diri,” sambungnya.
Biarpun Siti Nurhaliza terpaksa melepaskan gelaran Bintang Paling Popular yang disandangnya tahun lalu, diva kesayangan negara ini meneruskan legasinya untuk sembilan tahun berturut-turut di dalam kategori Penyanyi Wanita Popular – satu rekod yang belum pernah dicipta oleh mana-mana artis di Malaysia selama ini.
Selama sembilan tahun itu juga, Siti tidak pernah jemu mengucapkan terima kasih kepada orang yang sama, iaitu keluarga dan para peminat atas penghargaan yang diterima.
Rosyam Nor pula membuktikan usia bukanlah penghalang untuk mengekalkan populariti apabila buat kali ketujuh dia merangkul trofi Pelakon Filem Lelaki Popular dan kali ketiga untuk Pelakon TV Lelaki Popular. Namun, Rosyam membuatkan peminat tertanya-tanya apabila dia mengumumkan untuk ‘bersara’ dari dipertandingkan tahun depan bagi memberi laluan kemenangan kepada pelakon lain.
“Tetapi itu bukan bermakna saya tidak perlukan lagi sokongan anda. Saya akan terus memperbetulkan kelemahan dan berjanji akan sentiasa memberikan yang terbaik,” ujarnya penuh makna.
Selain Siti dan Rosyam, beberapa artis lain yang turut meneruskan kecemerlangan ialah Halim Othman (Penyampai Radio Lelaki untuk empat tahun berturut-turut), Linda Onn (Penyampai Radio Wanita Popular untuk lima tahun berturut-turut), Aznil Nawawi (Pengacara TV Lelaki Popular tiga tahun berturut-turut), Rabbani (Penyanyi Nasyid Popular lima tahun berturut-turut), Saiful Apek (Artis Komedi Lelaki Popular empat tahun berturut-turut) dan Sheila Rusly (Artis Komedi Wanita Popular tiga tahun berturut-turut).
Wajah-wajah baru dalam sejarah ABP pula dibarisi oleh Farah Fauzana (Pengacara TV Wanita Popular), Ruffedge (Artis Berkumpulan/Duo Popular), Farah (Artis Baru Wanita Popular), Fasha Sandha (Pelakon TV Wanita Popular) dan Maya Karin (Pelakon Filem Wanita Popular).
ABP tahun ini juga turut memberikan Anugerah Khas kepada Datuk Ahmad Nawab, serta Anugerah Seniman dan Seniwati kepada Hussien Abu Hassan dan Azean Irdawaty.
Disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen oleh TV3 dan saluran radio rasmi Era, tirai ABP 2005 dibuka dengan persembahan istimewa dari para pelakon filem Diva Popular iaitu Ezlynn, Umie Aida, Azean Irdawaty, M. Rajoli, Afdlin Shauki dan Sheila Rusly. Membawakan lagu Diva Bermimpi, saduran Jangan Kau Mimpi yang dipopularkan oleh Sarah Raisuddin, mereka menggamatkan suasana dengan aksi yang mencuit hati.
Namun begitu, pengacara tidak sepatutnya menganggu konsentrasi penonton dengan memperkenalkan mereka ketika mereka sedang menyanyi. Mereka sudah cukup dikenali ramai untuk mendapatkan tepukan secara spontan tanpa ‘disuruh’. Apatah lagi waktu itu penonton sedang cuba menangkap setiap baris seni kata lucu yang disampaikan.
Walau bagaimanapun, syabas buat keenam-enam artis tersebut yang berjaya memanaskan pentas sebelum persembahan menjadi mendatar sedikit. Entah di mana silapnya, keghairahan penonton pada awal tadi tidak dapat bertahan lama.
Kolaborasi hip hop dan rock gaya Ruffedge dan Amuk melalui lagu Membebel memang menarik, tetapi mudah dilupakan sebaik saja ia berakhir. Sementara itu, persembahan dari Jay Jay dan kumpulan Mirwarna (lagu Aku Tanpa Cintamu) serta Zainal Abidin dan Pija (Kau Di Hatiku) pula tidak memberi apa-apa yang ekstra untuk acara ini. Rasanya, bukan kali pertama gandingan seperti ini dilakukan.
Kemantapan vokal Jaclyn Victor memang tidak boleh dipertikaikan, namun Sekadar
Di Pinggiran nyanyiannya masih tidak boleh menandingi keseronokan penonton menyaksikan dia bergandingan dengan Hazami pada ABP tahun lalu semasa membawakan Gemilang.
Segmen penghargaan kepada Datuk Ahmad Nawab juga tidak begitu terasa, biarpun ia dijayakan oleh penyanyi hebat seperti Ning Baizura (Tiada Maaf Bagimu), Zahid (Wajah Kesayangan Hamba), Adibah Noor (Ku Gembira Di Sampingmu) dan Hazami (Kasih).
ABP 2005 bernasib baik kerana mempunyai pasangan pengacara ‘banyak mulut’ Raja
Azura dan Sharifah Shahira yang banyak menggeletek penonton dengan anekdot mereka yang bersahaja. Begitu pun, adakalanya mereka terpaksa memotong pendek celoteh kerana kesuntukan masa.
Persembahan juga diselamatkan oleh showmanship hebat Anita Sarawak yang membawakan lagu Proud Mary. Mengajak seisi stadium menari bersamanya, Anita membuktikan bahawa dia memang penghibur sejati, masih kuat dan bertenaga biarpun usianya sudah mencecah usia seorang nenek.
Seharusnya, persembahan ini diletakkan sebagai penutup tirai, bukan gandingan Mawi dan M. Nasir yang menyampaikan Lagu Jiwa Lagu Cinta, kerana persembahan sifu dan anak muridnya itu biasa saja.
Walau bagaimanapun, tahniah buat seluruh tenaga kerja ABP 2005 kerana kelancaran acara yang berlangsung, tiada kecacatan teknikal seperti yang berlaku tahun lalu.
PETIKAN MENARIK PEMENANG
“Saya tidak pernah rasa begitu kacak seperti malam ini. Setiap kali naik Genting, ada saja kenangan manis yang dibawa pulang” – Halim Othman
“Sumpah saya gementar! Selama ini saya tidak tahu saya ada peminat kerana kerja saya di konti radio” – Linda Onn
“Saya belum pernah bermimpi untuk mengulangi kejayaan ini sebanyak tiga kali.
Terima kasih kepada mereka yang memangkah nama saya” – Aznil Nawawi
“Terima kasih kepada anda semua, para peminat yang pernah beri saya kunci kereta!” – Saiful Apek
“Mak memang ‘world’! Terima kasih kerana semakin memahami kerjaya baru saya” – Mawi
“Minta maaf kalau saya gelabah (menangis). Saya tidak sangka langsung akan menang” – Fasha Sandha
“Kepada Yang Maha Esa, terima kasih atas peluang dan kebahagiaan dalam hidup saya” – Maya Karin
“Selama 48 tahun berjuang dalam seni, saya bangga berdiri di sini. Trofi ini begitu berharga kepada saya, berkat doa anak-anak dan cucu-cucu saya, serta anak dan cucu seni tanah air” – Hussien Abu Hassan.
“Tiada kata secantik bahasa untuk meluah rasa. Syukur atas pengiktirafan semulia ini, sekadar terima kasih tidak memadai. Meredah hidup sebagai anak wayang, pernahkah saya puas? Belum sekali. Pernahkah saya menyesal? Berpantang maut sebelum ajal” – Azean Irdawaty
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru