eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Baik Punya Filem

Sunday, January 01, 2006

Baik Punya Filem



Tajuk: Baik Punya Cilok

Penerbit: Tayangan Unggul Sdn Bhd

Pengarah: Afdlin Shauki

Pelakon: Afdlin Shauki, Awie, Hans Isaac, AC Mizal, Patrick Teoh, Harun Salim Bachik, Riezman Khuzaimi, Carmen Soo

Penilaian: 3.5 bintang

Aben, Bob, Jerry dan Wak bersahabat baik. Biarpun mempunyai latar pendidikan dan peribadi yang berbeza, mereka berkongsi minat yang sama iaitu memancing. Hobi tersebut menjadi penyatu kepada kontradiksi yang wujud.

Aben (Afdlin Shauki) ialah pelajar undang-undang yang paling berusia dalam kelasnya. Dia juga mempunyai kepakaran dalam bidang komputer dan inventori, sering mencipta rekaan-rekaan terbaru, antaranya mata kail elektronik. Walaupun berbadan besar, dia seorang yang penakut dan cepat pitam bila tertekan.

Bob (Awie) pula bekerja sebagai kaki pukul di sebuah kelab dangdut. Sekali pandang, dia memang menggerunkan, apatah lagi dengan tubuhnya yang sasa. Ironinya, dia gemar membaca novel-novel cinta dan mudah tersentuh. ‘Mat jiwang’, pendek kata.

Jerry (Hans Isaac) merupakan pemuda yang paling kacak di antara berempat. Seorang jurujual kereta terpakai, dia menyimpan angan-angan untuk menjadi pemandu Formula 1. Seorang yang cekap dan tangkas, dia juga seorang ‘pembelit’, suka berjudi dan berhutang keliling pinggang.

Wak (AC Mizal), tukang tiket panggung wayang pula seorang yang lurus bendul dan berhati mulia. Amat sayangkan neneknya, dia tidak pandai berbohong. Baru berkahwin dengan Nazatul (Nadia Mustafar), Wak menjadi mangsa utama di dalam filem ini.

Kisah bermula apabila Wak ke kedai pajak yang dimiliki oleh Tauke Wong (Patrick Teoh) untuk menuntut kembali kerongsang neneknya. Tauke yang menyedari kerongsang itu bernilai tinggi, telah menipu Wak dengan menaikkan kadar bunga pajakan.

Berasa tertindas, apatah lagi rakan mereka Leman (Harun Salim Bachik) juga pernah menjadi mangsa, empat sekawan ini nekad merompak kedai Tauke Wong. Rompakan ala Robin Hood itu hanya bertujuan untuk mengambil semula kerongsang tersebut.

Pelbagai persiapan dilakukan, dari bersenam menguatkan stamina, melukis pelan, membuat tinjauan lokasi sehinggalah ‘mengukir’ senjata daripada lobak, petola dan terung. Meskipun berasa was-was dan ragu, mereka percaya apa yang dilakukan tidak salah dari segi moraliti.

Malangnya, pada hari rompakan, perancangan mereka telah dirosakkan oleh penyamun lain. Mereka ditangkap, disumbatkan ke dalam lokap kecuali Jerry yang berjaya meloloskan diri.

Selepas sukses dengan dramedy Buli sebagai percubaan sinema yang pertama, Afdlin menggeletek penonton dengan Baik Punya Cilok. Walaupun rakan penulis memberi komen - ‘filem ini macam cerita budak-budak main kombat’ - plotnya membawakan dimensi yang segar kepada dunia perfileman tempatan.

Dihasilkan dalam penceritaan yang ringan dan mudah, isu filem ini sebenarnya berlegar tentang akhlak, ketidakseimbangan sistem justifikasi yang sedia tertera di dalam perundangan dunia.

Afdlin cuba untuk mengadunkan perihal serius dengan elemen komedi, namun lawak jenakanya telah mengatasi ‘pati’ yang hendak disampaikan kepada audiens. (Begitupun, siapa sebenarnya yang mahu membayar RM10 untuk mendapat pendidikan moral? Semua orang menonton wayang untuk berhibur!)

Jika komedi selamba yang anda cari, inilah filemnya. Slapstick, tidak terlepas, tetapi dengan gandingan hebat para bintangnya, anda tidak akan peduli itu semua.

AC Mizal terserlah sebagai pelakon versatil, mampu beraksi lebih dari pegawai polis dalam filem sebelumnya. Mimik muka sensitif Awie juga menjadi, nampak asli dan tidak dibuat-buat. Tidak perlulah menyentuh kebolehan Afdlin dan Hans kerana mereka berdua memang sudah punya chemistry sejak Buli lagi.

Sesuatu yang baru dalam filem ini ialah teknik imbas kembali (flashback) yang menggunakan rentetan foto hitam putih, diiringi dikir tukang karut. Namun, adegan awal filem ini mungkin sedikit mengelirukan penonton.

Mampukah Jerry, yang terlepas dari tangkapan polis membantu melepaskan kawan-kawannya yang tidak bersalah? Adakah Baik Punya Cilok juga menyimpulkan ‘yang baik dibalas baik, yang jahat dibalas jahat’ pada pengakhiran cerita? Pergilah menonton.