eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: “Saya Perlukan Pasangan Hidup”

Thursday, July 21, 2005

“Saya Perlukan Pasangan Hidup”




“SAYA memang terdesak!” akui Elly berani.

“Saya punya perancangan hidup sendiri. Kalau dimakbulkan Tuhan, saya mahu berkahwin sebelum umur mencecah angka 30,” sambungnya mempertahankan diri.

Malam tadi, program realiti terbaru TV3, Mencari Cinta telah mendedahkan identiti ‘gadis misteri’ yang menjadi rebutan sembilan jejaka terpilih.

Elly Zakaria, gadis berkulit hitam manis, punya rasional dan sebabnya sendiri mengapa dia begitu terbuka dalam mencari teman hidup.

“Bukan soal tekanan daripada keluarga, tetapi saya sendiri telah melukiskan garis masa untuk berumah tangga. Pada 20 November ini, genap usia saya 30 tahun. Kerisauan saya bertambah. Bayangkan, semua adik-beradik saya sudah berkahwin, termasuk yang bongsu,” kata anak kelima daripada enam beradik ini.

“Saya sedar saya akan berhadapan dengan umpatan dan kejian masyarakat. Tentu ada yang mempersoalkan sejauh mana keikhlasan saya.

“Pasti juga akan ada yang melabelkan saya dengan macam-macam panggilan. Saya bersedia untuk itu. Bila saya menerima tawaran Mencari Cinta, bererti saya berani untuk mengambil apa jua risiko,” tegasnya dalam nada tenang.

Jangan mudah membuat tuduhan terhadap gadis berbintang Scorpio ini.

Meskipun kejujurannya sukar untuk diterima sesetengah pihak, namun Elly percaya dia masih waras. Melihatkan keyakinannya ketika melontarkan jawapan kepada soalan yang bertubi-tubi, anak kelahiran Melaka ini bukan wanita sembarangan.

“Sejujurnya, saya memerlukan pasangan hidup, sama seperti wanita-wanita bujang yang lain. Bezanya, pencarian saya disiarkan melalui kaca televisyen. Itu saja.

“Saya tidak menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang memalukan, sebaliknya satu kelebihan. Berapa ramai gadis di luar sana yang mempunyai peluang seperti ini?” soalnya meluahkan perasaan terbuku.

Menafikan penglibatannya dalam program tersebut demi meraih glamor semata-mata, gadis yang bertugas sebagai setiausaha kepada Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan Utusan ini menjelaskan: “Saya tidak memperjudikan untung nasib hidup kerana populariti. Bagi saya, Mencari Cinta merupakan alternatif terbaik selepas puas mencuba di Internet mahupun melalui perkenalan rakan-rakan.”

Merenung jauh ke dalam matanya, Elly seolah-olah menyimpan harapan agar masyarakat mengerti dan tidak cepat menjatuhkan hukuman.

“Bukan bermaksud sebaik saja program ini tamat, saya harus berkahwin. Pilihan masih di tangan saya. Saya tahu kita tidak boleh mendesak jodoh, malah saya sedar untuk apa terburu-buru. Tetapi, dalam pada itu, saya tidak boleh duduk diam menanti tanpa berusaha,” Elly menyambung bicara.

Ditanya bagaimana dia boleh terjebak dalam ‘permainan’ Mencari Cinta ini, Elly menjawab tanpa berselindung.

“Melalui kenalan, saya diminta hadir uji bakat dan profil saya diteliti oleh pihak penerbit. Mulanya, saya tidak begitu ambil serius kerana hanya menyahut cabaran rakan-rakan.

“Tetapi, selepas melalui beberapa sesi temu bual termasuk dengan ahli keluarga, saya terfikir mengapa tidak? Mengapa harus saya menolak jika ada pihak yang sanggup membantu?” katanya.

Norma budaya masyarakat tempatan yang menganggap wanita mencari jodoh ibarat ‘perigi mencari timba’ ternyata tidak mengganggu Elly mahupun keluarganya.

“Pada mulanya ibu gusar dengan pandangan orang sekeliling, apatah lagi saudara mara. Tetapi, selepas berbincang dengan fikiran terbuka, dia menerimanya. Bapa tidak ada sebarang masalah, begitu juga dengan adik-beradik dan saudara ipar yang lain. Restu dan persetujuan mereka paling penting buat saya,” ujar Elly lagi.

Sukar benarkah bertemu dengan lelaki impian?

“Selepas putus cinta empat tahun lalu, saya tidak jumpa jejaka yang benar-benar mencuri hati. Saya tidak pernah menjalinkan hubungan yang serius selepas itu. Bukan enggan bercinta lagi, malangnya Mr. Right belum muncul. Siapa tahu, bakal suami saya di kalangan sembilan jejaka ‘pencari cinta’?” senyumnya.

Seorang gadis yang lasak dan aktif bersukan, Elly tidak memilih jodoh berdasarkan paras rupa atau pangkat dan status, tetapi dia mahukan seorang lelaki yang berinisiatif memperbaiki diri, tidak cepat puas dengan apa yang dimiliki.

“Saya sendiri sekarang sedang belajar dalam tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media di salah sebuah institut pengajian tinggi,” katanya.

Diusik tentang perasaannya menjadi rebutan sang jejaka, Elly berjenaka: “Seronok kerana dilimpahi hadiah setiap hari! Saya pernah bergurau dengan penerbit, kalau beri saya 50 pilihan kan lebih baik?”

Namun, dalam sendanya terselit kenyataan yang cukup telus.

“Setiap kali berjumpa, perasaan saya bercampur baur antara debar dan teruja. Saya ibarat nakhoda dalam perjalanan ini. Buruk dan baik keputusannya, saya yang bertanggungjawab,” kata Elly.

Demi berlaku adil kepada semua jejaka pencari cinta, Elly menetapkan dia akan menerima cuma dua khidmat pesanan ringkas (SMS) dan hanya lima minit panggilan telefon setiap hari.

“Kami bertemu pun hanya pada hujung minggu. Usah persoal sejauh mana kejujuran mereka ingin mendekati saya, tetapi saya yakin niat yang ikhlas akan dibalas dengan kebaikan.

“Selain ujian yang tersedia untuk mereka lalui, saya juga punya cara sendiri untuk menilai. Doakan agar saya tidak silap memilih,” ujarnya mengakhiri bicara.