eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: 08/06

Thursday, August 31, 2006

Hebatnya Kuasa Cinta




Benarlah kata pujangga, cinta itu besar kuasanya. Dianugerahkan Tuhan kepada semua yang bernyawa, cinta adalah satu naluri aneh yang sukar diungkapkan melalui kata-kata, hanya bisa dirasai bila kita merasainya.

Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, bukti tanda ‘bukan cinta biasa’. Beruntungnya mereka menjadi insan yang masyhur dan ternama, pernyataan kasih mampu diluahkan dalam suasana yang penuh spektakular.

Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) menjadi saksi gemilangnya majlis persandingan penyanyi nombor satu negara dengan usahawan berjaya. Menjadi pasangan mempelai pertama yang meraikan hari bahagia di dewan mercu tanda ibu kota, fantasi perkahwinan Siti menjadi nyata.

Meskipun impian berkereta kuda terpaksa dilupakan atas sebab-sebab keselamatan, wanita berusia 27 tahun yang kini bergelar Datin itu tetap mahu bertemu para peminat walau seketika.

Sekitar 5.45 petang, di ruang balkoni aras tiga pusat persidangan tersebut, dia menitiskan air mata. Sebak di jiwa tidak tertahan, menyaksikan kira-kira 1,000 penyokong setianya melambaikan tangan.

Akuinya, ralat terasa di hati kerana tidak berkesempatan berlama-lama di situ apatah lagi mendekati insan-insan yang menjadi tulang belakang kejayaannya lebih sedekad dalam gelanggang seni. Apakan daya, dia terpaksa akur dengan perjalanan acara yang sudah direncanakan.

Selesai melambai, suami tercinta menanti di sebuah pelamin khas yang meraikan pihak media dan golongan kenamaan. Tersenyum bak permaisuri dalam gaun rekaan Khoon Hooi bernama Dewi Mustika, tertib dia menyusun bicara.

“Doakan Siti bahagia. Alhamdulillah, Datuk seorang suami yang baik, tidak cerewet dan sangat mengambil berat. Usah bimbang,” tuturnya lembut, sopannya masih tidak berubah seperti Siti yang dikenali dulu.

Menukar persalinan yang dinamakan Badarsila ciptaan Radzwan Radziwill untuk acara utama, pengantin diarak masuk ke Dewan Pameran 1 dan 2, tempat terciptanya sejarah perkahwinan yang disiarkan secara langsung melalui TV3 bermula tepat 9.00 malam.

Sesuai tema perkahwinan dalam taman, seluruh dewan dilatari ribuan bungaan segar berwarna putih pelbagai jenis. Lampu-lampu chandelier dihiasi indah dengan lilitan dahan dan daun, segenap ruang bertukar menjadi istana kayangan.

Dihadiri undangan dari segenap lapisan usia dan darjat, bunyi seruling lagu Percayalah mengiringi pengantin melangkah ke pelamin serba gah yang diberi gelaran Mahligai Asmara.

Saling bertukar pandangan, terpancar jelas kebahagiaan yang dinikmati Siti dan Khalid biarpun dada kuat bergoncang kerana berdebar. Doa dan selawat dibacakan memohon restu agar ikatan ijab kabul terus berkekalan.

Sambil mempelai menikmati santapan, satu demi satu melodi cinta dialunkan oleh rakan-rakan seperjuangan Siti, daripada Azlina Aziz, Ziana Zain, Uji Rashid sehinggalah bintang seberang, Kris Dayanti dan Hetty Koes Endang.

Semuanya percuma, tanpa bayaran. Can’t Help Falling In Love, Syurga Di Hati Kita, Mencintaimu, Most Beautiful Girl, Percayalah dan Hanya Satu menterjemah perasaan merpati dua sejoli ini.

Siti pernah berkata, dia ingin menjadi Cinderella dan malam itu, Michael Ong merealisasikan anganannya. Bergaun putih kembang dipenuhi kristal Swarovski merah jambu, Siti memotong kek Indah Percintaan setinggi tujuh tingkat di samping suami yang segak bersut hitam.

Saling suap menyuap, mempelai turut meraikan ibu bapa Siti, Siti Salmah Bachik dan Tarudin Ismail dengan upacara memotong pulut kuning sebagai tanda genap ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-38.

“Saya bersyukur kerana segalanya berjalan dengan baik. Ini merupakan hari yang sangat bermakna buat saya dan suami kerana dapat menghimpunkan rakan-rakan serta saudara yang banyak membantu kerjaya kami.

“Perkahwinan adalah satu kebahagiaan. Sebagai insan biasa, saya mengharapkan cahaya kehidupan yang terbaik dengan iringan doa anda semua.

“Buat suami tercinta, terima kasih kerana sudi berkongsi suara hati dan mengenali siapa saya yang sebenar,” ucap Siti sebelum mendendangkan lagu khas perkahwinan, Cahaya Cinta yang dicipta sendiri olehnya. Lagu tersebut dirakamkan sehari selepas majlis akad nikah 21 Ogos lalu.

Benar kata pujangga, cinta mampu menakluk segala. Percayalah, episod perkahwinan mega ini akan dikenang, tercatat dalam lipatan sejarah sampai bila-bila.

APA YANG BOLEH DIBILANG DENGAN ANGKA...

* RM 22,222 nilai mas kahwin
* RM 30,000 wang hantaran
* RM 500,000 perbelanjaan secara kasar untuk majlis persandingan di KLCC
* 8,888 butir mutiara menghiasi gaun rekaan Khoon Hooi yang bernilai RM 300,000 yang digayakan semasa sesi bertemu peminat.
* RM 35,000 merupakan harga gaun rekaan Michael Ong dengan ekor gaun sepanjang enam meter yang disarung Siti semasa sesi memotong kek
* Seramai 80 orang krew teknikal TV3 yang terlibat secara keseluruhan untuk program siaran langsung dari pukul 9.00 malam hingga 11.30 malam. 14 daripadanya adalah jurukamera.
* Seramai 22 orang flowergirl mengiringi Siti dan Khalid masuk ke Dewan Pameran 1 & 2 untuk acara persandingan
* Kek Indah Percintaan setinggi tujuh tingkat berharga RM 12,000

“Usahkan mahu menyentuh hati, mengintai cintanya juga tidak ku berani. Membiarkan masa menjadi saksi, biar mencintainya tidakkan ku berhenti namun sebagai lelaki aku semakin menyedari, di hadapanku bukan sekadar bidadari, tetapi seseorang yang mahu ku jadikan isteri. Aku mahu menyintaimu sepenuh hati dan membawa cinta ini hingga ke mati” - Khalid

“Sewaktu hati mahu dicinta, yang kucari adalah bahagia. Bila cahaya tersuluh di wajahnya, aku merasa getarnya seluruh jiwa. Tak terbayang kelainan rasa, mungkinkah ini destinasinya. Aku tidak pernah mencari namun yang telah kutemui ini adalah kasih sejati. Seorang lelaki dan suami yang kucintai, memberiku dunia yang tidak pernah sepi” - Siti Nurhaliza

Cahaya Cinta

Dia telah menentukannya
Kita bertemu dan bercinta
Inilah oh takdirNya
Bukan kerana harta
Inilah citra cahaya cinta

Pintu hatiku telah kau buka
Tak mampuku menafikannya
Kejujuran diberi
Kasih takkan terhenti
Ini bahagia yang ku cari

Sayangi daku
Peluklah daku
Janji denganku
Semai cinta nan satu

Tuhan menguji
Takkan berhenti
Hanya ku pinta
Sama setia menjaga
Hingga ke alam syurga

Sayangi daku

Monday, August 28, 2006

Terbaik Terakhir Dari Lokman



Bukan rezeki Lokman. Lagu Terbaik yang dibawakannya minggu lalu ternyata tidak cukup baik dan gagal meyakinkan para pengundi untuk membenarkan dia terus bersaing dalam merebut ganjaran RM1 juta yang ditawarkan oleh One In A Million (OIAM).

Menjadi peserta keenam yang tersingkir, perjuangan Lokman terhenti dalam persaingan Top 6 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu.

Menunjukkan reaksi tenang semasa pengacara Awal Ashaari dan Marion Caunter mengumumkan namanya, sebetulnya dia tidak menyangka akan mengucapkan selamat tinggal pada malam itu.

“Apabila diumumkan berada dalam kelompok undian terendah, saya akui agak tertekan tetapi tidaklah menjangka akan terkeluar. Secara peribadi, saya fikir nyanyian saya tidaklah begitu teruk,” kata pemilik nama penuh Mohd. Lokman Aslam Abdul Mutalib ini berterus-terang.

Mendedikasikan lagu dendangan minggu lalu buat ibu tersayang, begitu pun, Lokman menerima takdir yang tertulis dengan hati terbuka.

“Bohonglah kalau saya kata tidak sedih, tetapi sudah tiada rezeki. Mungkin selepas ini Tuhan membukakan peluang yang lebih besar dan indah untuk saya,” ujarnya positif.

Menyerahkan perjalanan kariernya kepada 8TV dalam jangka masa terdekat, jejaka berusia 19 tahun ini menolak andaian kononnya dia tidak komited semasa bertanding.

Lewat kebelakangan ini, juri Syafinaz dan Paul Moss merasakan persembahannya tidak konsisten, kelihatan ‘main-main’ dan tidak bersungguh.

“Sejujurnya saya serius ingin memenangi ganjaran yang ditawarkan. Penonton mungkin tidak dapat melihat saya bekerja keras semasa latihan dan hanya menilai nyanyian saya di atas pentas. Mungkin kekurangan saya dari segi persembahan, tetapi tidak vokal,” jawabnya mempertahankan diri.

Sempat menyanyikan lagu Jujur buat penonton sebelum mengundurkan diri, pemergian peserta kelahiran Masai, Johor ini diiringi dengan ‘mata berkaca’ teman-teman seperjuangan, terutamanya Alif.

Selain Lokman, peserta yang turut berada dalam carta undian terendah ialah Faizal, Farah dan Azfar.

Faizal yang menunjukkan prestasi mengagumkan menerusi Warisan Wanita Terakhir minggu lalu sebenarnya tidak terkejut apabila kurang mendapat undian.

“Apa pun boleh terjadi dalam program realiti seperti ini. Saya tidak pernah merasakan diri selamat kerana undian peminat sukar dijangka,” terangnya.

Tidak menafikan faktor dia mungkin kehilangan undi selepas mendedahkan isteri dan anak kepada media massa, bagaimanapun, Faizal memberitahu: “Kalau saya tersingkir pun, biarlah kerana persembahan yang kurang meyakinkan. Bukan kerana hal-hal peribadi.”

Sementara itu, Farah yang sekali lagi berada di tempat antara tercorot seakan pasrah dengan pola undian peminat.

“Sekuat mana pun saya mencuba, saya tetap berada di antara yang terbawah. Saya terima kenyataan kalau minggu depan saya tidak lagi berada di sini,” ucapnya perlahan.

Selepas penyingkiran Anny Johanna Mohamad Sharif (Anny), Norshammeme Arzeyana Shamsudin (Mimi), Shahmeen Shah Halim Shah (Ameen), Norhasliah Abu Hassan (Aliya), Zaihanee Zainal Abidin (Zai) dan yang terbaru Lokman, tinggal tiga jejaka serta tiga gadis berpeluang mara ke peringkat seterusnya.

Persaingan Top 6 menyaksikan para peserta menyanyikan dua buah lagu. Satu daripadanya adalah pilihan pengarah muzik Aubrey Suwito manakala satu lagi dipilih oleh peserta sendiri.

Kata Paul, “Dengan format sebegini, kita dapat melihat bagaimana pengarah muzik tahu apa yang terbaik buat para peserta. Kebanyakan lagu pilihannya sesuai dengan suara, penampilan dan personaliti peserta.”

Seperti lazimnya, Dayang dan Faizal menerima komentar yang positif dari pihak juri, sementara Farah dan Suki gagal memikat hati mereka.

APA KATA JURI

Muhammad Alif Mohd. Satar (Alif)
Lagu: Tak Bisakah & Harder To Breath

Syafinaz: Nasib baik anda diberikan peluang menyanyikan dua lagu kerana penyampaian yang kedua lebih baik. Orang suka melihat anda di atas pentas kerana anda mempunyai karisma. Begitu pun, pergerakan harus mempunyai tujuan.

Paul: Saya tidak tahu siapa yang mengundi anda. Selama ini anda tampilkan imej lucu dan bersahaja, tetapi untuk lagu kedua anda berubah menjadi ‘garang’ dan rock. Saya rasa seperti ada yang tidak kena.

Alif Azfar Ishak (Azfar)
Lagu: Inayah & Andalusia

Syafinaz: Boleh tahan tetapi tidaklah hebat. Sekurang-kurangnya lebih baik dari minggu lepas. Anda bermula dengan baik tetapi di pertengahan seperti ada gangguan. Tiada salahnya memilih jalur muzik nusantara, tetapi cuba suntik elemen moden ke dalamnya.

Paul: Lagu pertama dan lagu kedua sangat berbeza. Saya tidak pasti jika muzik yang anda bawakan relevan dengan pendengar masa kini.

Dayang Nurfaizah Awang Dowty (Dayang)
Lagu: Fever & Be Without You

Syafinaz: Kadang-kadang kita perlukan visual untuk menjadikan sesuatu itu sedap, tetapi tidak untuk anda. Dengar suara saja sudah cukup. Saya suka keyakinan yang ditonjolkan, dinamik suara yang diberi dan anda sangat seksi malam ini. Anda juga mampu mengawal penonton dengan baik.

Paul: Pilihan lagu yang baik tetapi saya rasa anda masih belum ‘mengeluarkan’ kesemua yang anda ada. Tiada artis lain yang mampu menjadi ‘R&B, funky diva’ seperti anda.

Ahmad Faizal Mohd. Tahir (Faizal)
Lagu: Superstition & Elevation

Syafinaz: Sangat-sangat menghiburkan. Bukan semua orang mampu membawakan lagu Stevie Wonder. Satu perkara yang pasti ialah anda penuh dengan tenaga. Saya ingin lihat satu hari nanti anda mampu mengawal penonton tanpa anda sendiri bergerak.

Paul: Bagus, ada stail, seperti menonton sebuah konsert rock. Anda tidak meniru cara nyanyian Stevie Wonder dan anda adalah penghibur terbaik dalam program ini. Begitu pun untuk lagu kedua, ia kelihatan terlalu mudah untuk anda. Penonton sudah boleh mengagak bagaimana persembahan anda seterusnya.

Farah Asyikin Zulkifli (Farah)
Lagu: Tak Tercapai Akalmu & Takkan Ada Cinta Yang Lain

Syafinaz: Suara anda sedikit bergetar, anda lupa lirik dan tidak konsisten. Satu perkara yang saya paling menyampah ialah bila sebutan tidak betul. Ini adalah perkara yang paling asas. Saya fikir posisi anda minggu ini sangat rapuh.

Paul: Nyanyian anda satu dimensi saja, tidak rock langsung, malah banyak sangat menjerit. Anda nampaknya seperti tidak komited. Anda benar-benar dalam bahaya.

Low Sook Yee (Suki)
Lagu: Pudar & When It Falls Apart

Syafinaz: Persembahan yang memberangsangkan untuk lagu pertama. Tetapi untuk lagu kedua, anda harus lebih berani untuk mengubah susunan vokal. Mungkin kerana terlalu muda, anda tidak tahu lagi apa yang dimahukan sebenarnya.

Paul: Saya tahu saya banyak mengkritik anda sejak kebelakangan ini tetapi untuk lagu yang pertama, saya tidak menafikan ia sangat baik. Anda boleh menjadi lebih bagus. Malangnya anda salah memilih lagu kedua. Pilihan lagu sangat teruk. Dengan nyanyian seperti itu, jangan kata RM1 juta, RM1 pun belum anda dapat.

Masih Seorang Ratu



Jangka masa 20 tahun dalam industri hiburan bukan satu tempoh yang singkat. Bagi ribuan, mungkin juga jutaan peminat Sheila Majid, dia masih seorang ratu yang duduk kekal di singgahsananya sendiri tanpa ada pengganti.

Malam tanggal 12 Ogos lalu, segenap ruang di dewan gah Esplanade, Singapura penuh terisi. Kira-kira 1,500 penonton ralit menyaksikan penyanyi berketinggian 4 kaki 11.5 inci ini melontarkan suaranya yang besar, tidak sepadan dengan saiz tubuh badan.

Bertahun lama dia menantikan waktu ini. Kali terakhir Sheila beraksi dalam konsert solo di tanah air sendiri kira-kira enam tahun lepas, di panggung berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.

Sementara rindu untuk bertamu di rumah jiran, di Kota Singa lebih kuat mencengkam apabila persembahan solonya di Harbour Pavilion sudah genap lapan tahun berlalu.

“Undangan dari Esplanade merupakan satu penghormatan dan peluang keemasan, apatah lagi selepas sekian lama tidak bertemu para peminat di tanah seberang,” ujar wanita berusia 41 tahun ini .

Meskipun berlangsung hanya satu malam, Legenda Concert Sheila Majid Celebrating 20 Years In Music mencatatkan kenangan manis yang bukan sedikit.

Diiringi lapan pemuzik handalan negara di bawah pimpinan suaminya Acis, konsert ini menampilkan kira-kira 44 buah lagu yang dipetik dari album pertama, Dimensi Baru sehinggalah yang terkini, Legenda XV XX.

“Bukan mudah mahu menghimpunkan kesemua lagu dalam durasi tiga jam. Risau ada yang tertinggal, ada juga lagu yang terpaksa diketepikan. Terdapat lagu-lagu yang terpaksa dibawa secara medley kerana saya tiada pilihan. Bayangkan kalau dinyanyikan satu persatu, tiga malam pun belum tentu mencukupi!” jelas Sheila.

Menyingkap tirai persembahan dengan Memori, lagu tersebut seakan satu petanda supaya audiens bersiap sedia untuk menyusuri ‘pengembaraan’ kerjaya Sheila yang penuh nostalgik.

Mengenakan gaun kuning ilham Calvin Thoo dengan perhiasan aksesori Habib Jewels, dia turut menyanyikan lagu-lagu zaman remajanya seperti Wajah Rahsia Hati, Pengemis Muda dan Dia.

Seperti yang direbiu oleh akhbar The Straits Times, Singapura - ‘para peminat mengikut setiap nota dan menyanyi bersama’ - situasi seperti itu sangat sinonim dalam setiap persembahan Sheila.

Dengan tutur kata yang bersahaja serta celoteh spontan yang menyenangkan, inilah di antara resipi mengapa dia dengan mudahnya mampu menawan hati para peminat dari pelbagai peringkat, meskipun rata-rata yang hadir pada malam itu bukan berbangsa Melayu.

“Semasa sesi bertemu peminat selepas konsert, saya dikejutkan dengan kehadiran ramai penonton dari golongan remaja. Saya sangkakan peminat saya hanya berusia 35 tahun ke atas!” ceritanya sambil ketawa.

Bersyukur kerana masih ada yang sudi mendengar dendangannya, sambung ibu kepada tiga cahaya mata ini: “Saya didekati oleh seorang jejaka berbangsa Jepun.

“Katanya, dia menanti saya selama 15 tahun untuk ke Singapura sejak dia bermastautin di sana. Lidah saya jadi kelu sebentar, tidak tahu bagaimana mahu menjawab betapa berterima kasihnya saya atas sokongan seperti itu.”

Tidak lupa membawakan Embun, Bila Larut Malam, Kasih, Datanglah Ke Dalam Mimpiku, Kepergianmu, Di Dalam Emosi Ini, Tua Sebelum Waktunya dan Sinaran, Sheila tersenyum lebar apabila atmosfera formal yang menyelubungi Esplanade pada awal konsert akhirnya bertukar menjadi riuh.

“Semua berdiri dan bergoyang, seperti tidak mampu menahan perasaan untuk terus duduk diam. Setiap kali melihat penonton menyanyi bersama, saya tidak dapat gambarkan betapa seronoknya perasaan itu.

“Apatah lagi, ada di antara lagu yang saya sendiri terpaksa membaca lirik, sedangkan mereka menghafalnya penuh tanpa silap,” akuinya.

Tamat lewat sekitar pukul 1.30 pagi, Sheila berseloroh: “Saya tahu mungkin ada penonton yang tidak dapat tidur malam jika saya tidak menyampaikan ‘lagu-lagu wajib’.

“Justeru sebagai penutup, saya menghadiahkan Manusia, Warna, Legenda serta medley Cinta Jangan Kau Pergi, Gerimis Semalam, Antara Anyir dan Jakarta, Ku Mohon dan Aku Cinta Padamu. Lihatlah betapa banyaknya lagu penghabisan!”

Dalam keterujaan atas sambutan hebat konsert tersebut, tidakkah terkilan di hati Sheila mengapa kesempatan mengadakan konsert berskala sebegini tidak lagi diberikan di tempat kelahiran sendiri?



“Entahlah. Mungkin para penganjur dan penaja sekarang lebih memberi tumpuan kepada bintang-bintang muda. Namun demikian, saya tidak merajuk atau berkecil hati. Saya sendiri pernah merasai zaman tersebut. Kalau ada rezeki lagi, Alhamdulillah,” jawabnya penuh rasional.

Berkemungkinan besar mengadakan konsert di Indonesia tahun depan, Sheila sebutir permata yang tidak akan dilupakan. Tapi, kenapa tunggu 20 tahun untuk ke Singapura?

Cahaya Cinta Buat Suami



Pada detik ini, Siti Nurhaliza bukan lagi perawan sepi. Dia sudah tidak bersendiri, hari-hari yang dilalui dikecapi penuh bahagia dengan orang yang paling dicintai, Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang sudah sah bergelar suami.

Lumrah insan terkenal, apatah dia penyanyi hebat nombor satu negara, perkahwinannya menjadi salah satu berita terpenting, bukan setakat di peringkat nasional, malah melarat sehingga ke tanah seberang Indonesia, Brunei dan Singapura.

Jika difikirkan, majlis perkahwinannya serupa saja dengan majlis perkahwinan orang lain. Namun, kerana dia Siti Nurhaliza yang tiada dua dalam Malaysia, hari bersejarahnya jadi tumpuan besar-besaran.

Disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen, diberi liputan media cetak tanpa henti berhari-hari, sudah tidak dapat dielakkan lagi apabila majlis perkahwinannya dilabel sebagai ‘wedding of the year’ (atau ada yang berasakan ia lebih sesuai dipanggil ‘wedding of the decade’!)

Terungkai sudah segala rahsia dan persoalan saat dua hati disatukan. Ikatan ijab kabul yang terikat erat pada hari kebesaran Israk Mikraj, tanggal 21 Ogos bersamaan 27 Rejab, menjadi saksi pernyataan cinta yang kebal dari kata tohmah, nista dan prasangka.

Pagi itu, senyuman tidak pernah terlepas dari ulas bibir Siti dan Khalid, atau lebih popular dengan nama Datuk K. Berpakaian sedondon putih warna suci, perbezaan usia 20 tahun antara mereka seakan tidak terlihat.

Seawal 7.30 pagi Siti sudah disiapkan oleh jurusolek kesayangannya, Nurul Shukor. Kata Nurul, Siti tidak banyak bercakap pagi itu. Namun melalui anak matanya, Nurul mampu memahami debar perasaan bakal ratu sehari.

“Saya nasihatkan dia supaya banyak bertenang, usah terlalu menekan diri dan nikmatilah saat-saat ini kerana ia datang hanya sekali dalam hidup. Saya dapat lihat mulutnya terkumat-kamit berselawat,” kata Nurul.

Menyarung persalinan rekaan Radzwan Radziwill yang diperbuat daripada lace Perancis bersulam kristal Swarovski, Siti tampil bak permaisuri.

Dilengkapi dengan tiara bernilai hampir sejuta ringgit, termasuk aksesori tambahan ehsan Elegance Club, di jari manisnya tersarung rapi dua cincin lambang cinta sejati.

“Yang satu ini, cincin tunang. Yang satu lagi cincin kahwin,” tuturnya lembut kepada pemberita selepas diakad nikahkan. Hanya tersenyum bila ditanya berapakah harganya, dia memintas: “Tanyalah Datuk.”



Syarat paling penting dalam perkahwinan sudah pun selamat dijalani. Selepas Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur menjadi saksi, giliran Dewan Pameran, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pula menjadi mercu tanda percintaan merpati dua sejoli ini.

Esok, 28 Ogos, hari mempelai diraikan di atas singgahsana nan menawan. Bertemakan perkahwinan dalam taman, para tetamu, termasuk daripada golongan VIP dan kenamaan akan disambut meriah dengan hiasan serba indah penuh bunga-bungaan.

Menurut perancang perkahwinan, Datuk Shah Rezza, antara golongan diraja yang sudah memberi persetujuan untuk hadir ialah Sultan serta Sutanah Pahang, Sultan serta Sultanah Terengganu serta Pemangku Raja Perlis.

Antara rakan-rakan seperjuangan Siti pula yang akan menyumbangkan suara secara sukarela pada majlis tersebut ialah Kris Dayanti, Melly Goeslaw, Ziana Zain, Nora dan Nash di bawah pimpinan pemuzik terkenal S. Atan.

Jika pada hari pernikahan, Siti dan Datuk K memberikan sekotak coklat bercetak gambar mereka sebagai cenderahati, apa pula buah tangan untuk dibawa pulang dari KLCC nanti?

Difahamkan para undangan akan menerima senaskhah buku cenderamata yang dihiasi dengan gambar-gambar eksklusif pasangan pengantin popular ini.

Bukan itu saja, Siti dan Datuk K turut menghadiahkan sekeping cakera padat yang memuatkan empat lagu popular Siti seperti Percayalah, Kau Kekasihku, Bukan Cinta Biasa dan Jerat Percintaan beserta sebuah lagu terbaru, Cahaya Cinta.

Digubah dan dinukilkan sendiri liriknya oleh Siti, Cahaya Cinta adalah satu dedikasi khas buat suaminya yang kini menyinari ruang hati.

Difahamkan, setiap baris kata menyimpan makna yang sangat mendalam, memohon agar percintaan mereka terus kekal sehingga ke akhir hayat.

Melalui lagu tersebut, Siti seakan memohon pengertian daripada semua pihak yang terus membuat spekulasi agar memahami apa yang terjadi sudah ditakdirkan Tuhan.

Mengharap agar cinta yang terjalin tidak disalah ertikan, bukan kerana harta tetapi atas kejujuran yang diberi, Siti mengakui inilah kebahagiaan yang dicari-cari.

Semoga kasih sayang yang termeterai akan terus mekar dan bercambah dari hari ke hari. Selamat pengantin baru Siti dan Datuk K.

Sunday, August 27, 2006

Perintis ‘Chic Pop’



Sudah lama penulis tidak ketemu dengan penyanyi cantik ini. Kali terakhir rasanya semasa pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) di Istana Budaya Februari lalu, itu pun tidak sempat berbual panjang sekadar bertukar salam.

Sementelah wanita berusia 32 tahun ini sering sibuk dengan urusan kerjaya, masa sering mencemburui kami untuk berjumpa sehinggalah minggu lalu, pengurusnya Maggie menetapkan temu janji.

“Gambar cover album Camelia sudah siap. I bawa untuk you nanti,” janji Maggie beberapa hari sebelumnya. Petang itu dalam suasana yang cukup santai di Alexis Bar & Bistro, Ampang, kami berbicara mengenai perkembangan terkininya.

“Siti Nurhaliza dah selamat berkahwin, Camelia bila lagi?” usikan spontan penulis yang mengundang tawa besar jelitawan itu.

“Dia tunggu Pharrell Williams datang meminang,” sampuk Maggie merujuk kepada penyanyi rap hip hop terkenal dari Amerika Syarikat.

Mengenali Camelia, dia enggan membuka mulut tentang hubungan cintanya selagi belum ada ikatan pasti. Dia hanya tersenyum panjang, tidak memberi sebarang respons. “Belum masanya,” ujarnya pendek membiarkan persoalan tadi tergantung tanpa jawapan.

Cuaca petang itu sangat cerah. Meskipun terpaksa menahan terik mentari, Camelia tidak merungut apabila diminta beraksi oleh jurugambar. Lagak seorang profesional, dia tiada masalah menukar gaya dan riak muka dalam masa sesaat.

Sambil mengibas-ngibaskan rambut, dia berbisik perlahan, “Hendak potong rambutlah.” Penulis membalas, “Pantene tidak marah?” Bergelar jurucakap produk syampu terkenal itu sejak tahun lalu, jawabnya pantas: “Sikit saja. Mungkin sejengkal.”



Semua orang tahu Camelia antara wanita tercantik di Asia. Sebut saja siapa artis kita yang paling fashionable, namanya pasti tidak terlepas. Kerana statusnya sebagai ikon gaya, wajahnya terpampang gah di depan bangunan pusat beli-belah Avenue K sejak beberapa bulan lalu.

“Gambar itu diambil di New York setahun lalu. Jurukamera dan stylist yang terlibat ialah kumpulan kreatif yang bekerja untuk Conde Nast, pengeluar majalah terkemuka seperti Vogue, GQ dan Vanity Fair,” beritahu Maggie.

Menjadi wajah rebutan para pengiklan, rezeki Camelia bertambah lagi apabila dia dilantik sebagai duta Omega Malaysia baru-baru ini di samping Ziana Zain dan Amy Mastura. Pengumuman rasminya akan diadakan sempena pembukaan butik Omega di Starhill, Bukit Bintang tidak lama lagi.

Sambil bersandar di sofa empuk ungu, kami terus bersembang bermacam cerita. Borak kami terhenti apabila Maggie menunjukkan gambar kulit album terbaru Camelia, Mysticam. “What do you think?” tanya mereka kepada penulis dalam nada hampir serentak.

Selepas lima tahun tidak muncul dengan album studio, Mysticam membawa transformasi penyanyi kelahiran Sarawak ini dalam arena muzik. Tiada lagi irama sendu, tiada lagi melodi balada merayu. Temponya lebih laju, positif dan membuatkan badan ingin bergoyang.

Menulis hampir kesemua lagu dengan bantuan DJ Gabriel, Mysticam memberi kepuasan yang tiada tolok bandingnya buat Camelia.

“Semuanya bermula secara tidak sengaja. Lagu Jari Jemari menjadi titik tolak percintaan saya dalam dunia penciptaan,” tuturnya lembut.

Sepatutnya sudah berada di pasaran Jun lalu, pemilik nama sebenar Dayang Norcamelia Abang Khalid menjelaskan mengapa album yang menggunakan belanja sendiri itu masih ‘diperam’.

“Banyak faktor yang menyumbang kepada kelewatan dan salah satu daripadanya ialah kesukaran mencari pengedar yang tepat. Apabila Virgin Records, anak syarikat EMI berminat untuk bekerjasama dalam projek ini, saya tidak teragak-agak kerana label tersebut sesuai dengan konsep keseluruhan album,” terangnya.

Merupakan artis pertama label tersebut di negara ini, hasrat untuk melahirkan mini album dengan lima buah lagu saja terpaksa dilupakan apabila pihak Virgin mahu Mysticam diterbitkan sebagai sebuah album penuh.

“Asalnya album ini hanya memuatkan Jari Jemari, Closer, Hipnosis serta susunan baru lagu lama Seiring Sejalan dan Puteri Santubong. Atas permintaan Virgin, tiga lagu lagi ditambah iaitu Kool, Du Du Du dan Cong. Mysticam akan turut memuatkan remix Jari Jemari dan Seiring Sejalan oleh DJ Romy dari Jakarta,” kata Camelia bersungguh.

Dia tidak menafikan ilham membikin Mysticam sedikit sebanyak lahir dari pengalamannya merantau ke negara orang. Baginya muzik sebegini merentasi bahasa, budaya dan warna kulit. Sudah lama memasang angan menerbitkan album berkonsep sedemikian, dia percaya ini adalah masa yang tepat.

Ujarnya: “Saya dan DJ Gabriel pernah bereksprimentasi dalam beberapa persembahan di kelab-kelab sebelum ini. Ternyata sambutan yang diterima amat menggalakkan. Ia bukan saja menarik perhatian peminat tempatan malah orang luar turut bertanya.”



Menamakan konsep albumnya sebagai ‘chic pop’, dia menolak tanggapan Mysticam hanya sesuai dengan selera pendengar urban.

“Muzik sesuatu yang sangat universal. Saya bikin album ini untuk peminat tanpa mengira dari mana mereka datang atau latar belakang mereka,” tegasnya.

Begitu pun, dia tidak mendesak agar peminatnya yang sudah terbiasa dengan Rindu Padanya atau Terlanjur Sayang menerima Mysticam secara mendadak.

“Secara peribadi, saya tidak melihat perubahan yang ketara. Mungkin arah muzik kali ini berlainan tetapi gaya dan cara nyanyian saya serupa. Mysticam menterjemah siapa saya yang sebenarnya, menjadi refleksi kepada kedewasaan dan kematangan saya sebagai penyanyi,” tuturnya panjang lebar.

Ingin membawa angin perubahan kepada industri muzik tempatan, katanya beranalogi: “Muzik sama seperti kita makan nasi lemak. Kita masih sukakan rasa asalnya, tetapi kita juga mahu lauk yang berbeza untuk menambah keenakan.”

Ditanya jika projek album dengan Roslan Aziz yang diuar-uarkan sedikit masa dulu sudah dibatalkan, pintasnya, “Bukan batal tetapi dihentikan sementara.”

Lantas, adakah Mysticam satu projek istimewa sebelum Camelia menjadi penyanyi pop balada semula? “Kita tunggu dan lihat,” ulasnya sambil menguntum senyum penuh makna.

Sebelum kami berpisah petang itu, Camelia sempat mengkhabarkan sebuah berita gembira. Dia akan terbang ke Shanghai bulan depan untuk mengadakan persembahan sempena pembukaan butik Hugo Boss di sana.

“Video muzik Jari Jemari juga akan disiarkan buat pertama kalinya di Muzik@Ria pada 5 September ini. Jangan lupa tonton ya!” pesannya.

Friday, August 25, 2006

Diana Terjerat Dalam Populariti

Berkali-kali dia memohon maaf sebaik saja bibirnya menuturkan bicara. Tidak juga lupa mengucapkan terima kasih kerana sudi memberinya ruang meluahkan apa yang terpendam, Nordiana Mohd. Naim nyata masih gentar menghadapi dunia baru.

“Saya minta maaf jika kata-kata atau jawapan yang diberikan kurang bernas kerana saya masih lagi mentah dalam bidang ini,” jelasnya berhemah semasa sidang media ‘Diana Naim Ke Dimensi Baru’ yang diadakan di VIP Lounge, Kuala Lumpur Golf & Country Club, Bukit Kiara baru-baru ini.

Merantau dari Kota Tinggi, Johor ke ibukota dengan harapan mengubah kehidupan, bekas tunangan Mawi yang lebih senang dipanggil Ina ini tanpa dirancang terperangkap dalam sangkar populariti.

Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan disalahtafsir sehingga dia dikatakan sengaja meraih simpati dan mencari publisiti. Dia diasak dengan pelbagai soalan, dituduh dengan bermacam kutukan dan dihukum tanpa belas kasihan.



Melalui sokongan yang diberikan majikan terbarunya, Etnik Harmoni Sdn Bhd, Ina menemui medium terbaik untuk berterus-terang.

Catatan Duka Diana Naim merakamkan segala pahit manis sejarah hubungan cintanya dengan penyanyi lelaki paling popular itu, bermula saat pertama bertemu dua tahun lepas sehinggalah ikatan pertunangan terputus akhir Jun lalu.

“Buku ini menjadi medan untuk saya menjelaskan keadaan sebenar, sekali gus membersihkan semula nama saya dan keluarga. Tiada niat untuk membuka pekung di dada atau memburuk-burukkan sesiapa, tetapi apa yang tertulis memang kisah hidup saya,” tegasnya mempertahankan diri.

Dibantu oleh penulis Zurilawati Ku Zaifah, buku setebal 145 halaman yang dijual dengan harga RM19.90 itu turut memuatkan gambar-gambar kenangan Ina bersama ‘jantung hatinya’.

Begitu juga dengan foto-foto transformasi Ina dari seorang gadis pingitan menjadi selebriti rebutan media.



Tidakkah dia terasa tindakannya mengeluarkan buku ini seperti menangguk di air yang keruh? Jika ‘dimensi baru’ yang dicari dalam hidup, mengapa Ina masih mahu bercerita soal lalu dan masih mengaitkan dirinya dengan Mawi?

“Seandainya ikatan pertunangan masih terikat, buku ini tidak akan menjadi kenyataan. Lama juga saya berfikir bagaimana caranya untuk saya berkongsi cerita sebenar. Biarlah buku ini menjadi tempat terakhir untuk saya bercakap mengenai Mawi.

“Bukan saya sengaja mencari sebab untuk dikaitkan dengannya, tetapi saya tidak mampu menolak kenyataan orang mengenali saya kerana dia. Selepas ini, izinkanlah saya memberi fokus kepada kehidupan yang sedang saya jalani,” katanya meminta pengertian.

Diasak pertanyaan jika hatinya masih mendambakan kasih juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu, dia pantas membalas: “Kalau boleh, saya enggan bercakap soal jodoh. Tetapi, siapa yang dapat melupakan cinta pertama?”

Beralih kepada soal kerjaya, Ina kelihatan kurang jelas dan masih teragak-agak dengan apa yang diingininya.

Soalan demi soalan gagal dijawab dengan baik sehingga menimbulkan keraguan kepada pihak media - adakah Ina melakukan semua ini semata-mata ingin membalas dendam kepada Mawi?

Atau adakah dia menjadi mangsa manipulasi pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kenaifannya?

“Tidak, saya lakukan ini bukan kerana mahu membuktikan sesuatu kepada bekas tunang,” jawab Ina yakin. “Kebetulan selepas tragedi hitam yang melanda, rezeki saya datang bertimpa. Saya fikir demi membantu keluarga apa salahnya mencuba nasib,” sambung gadis berusia 22 tahun ini.

Turut menolak tafsiran dia dipergunakan untuk kepentingan sesetengah pihak, kata Ina: “Pada mulanya saya ditawarkan bekerja dengan Etnik Harmoni sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan. Tanpa disangka, tawaran demi tawaran diterima dan kini Etnik Harmoni bertindak sebagai ejen pengurusan saya.”



Mendedahkan satu rahsia, bongkarnya: “Sebenarnya dari kecil saya memang minat menyanyi. Perkara ini diketahui sendiri oleh Mawi. Namun kerana dia tidak merestui, saya lupakan hasrat tersebut sehinggalah sekarang apabila saya kembali bebas membuat keputusan sendiri.”

Ironinya, dia masih kabur dengan jalur muzik yang akan dibawakan. Ujarnya ringkas, ”Irama yang sederhana yang boleh diterima ramai.” Setelah didesak beberapa kali, barulah dia memberi alasan bahawa segalanya masih lagi dalam perbincangan akhir.

“Saya diminta untuk tidak mendedahkan nama syarikat rakaman kerana kontrak belum lagi ditandatangani. Apa yang saya tahu buat permulaan, saya akan merakamkan sebuah lagu baru untuk album kompilasi lagu-lagu Aidilfitri,” akuinya jujur. Sebagai persediaan, Ina akan memasuki kelas vokal tidak lama lagi.

Turut menghadiri sesi uji bakat sebagai pengacara di dua stesen televisyen terbesar negara, Ina memberitahu: “Setakat ini masih belum ada apa-apa kepastian tentang tawaran tersebut. Sejujurnya saya akui masih lemah dalam komunikasi dan memerlukan masa untuk belajar sebelum tampil sebagai pengacara.”

Belum terfikir untuk bergelar aktres, Ina bagaimanapun menerima ajakan Profesor Rahman Shaari membuat kemunculan istimewa di atas pentas teater berjudul Petua Perkahwinan yang akan dipersembahkan hujung September ini.

Terlalu banyak yang ingin dilakukan dalam jangka waktu yang suntuk, tidakkah Ina takut tidak terpikul tanggungjawab seberat itu? Apatah lagi ia merupakan perkara-perkara yang amat asing buatnya.



“Memang takut, kerana itu saya sangat berhati-hati apabila menimbangkan sesuatu tawaran,” ulasnya pendek yang akan muncul dalam sebuah program khas di RTM1 pada 28 Ogos ini bertajuk ...Ina.

Sebelum perbualan berakhir, Ina diusik dengan satu pertanyaan - ‘adakah kini Ina mengerti situasi Mawi yang sentiasa tertekan akibat populariti mendadak?’

Jawabnya tenang dalam nada simpati, “Mungkin dia pernah merasai tekanan yang lebih hebat dari apa yang Ina rasai sekarang.”

Thursday, August 24, 2006

Sama Tidak Serupa



Tajuk: The Ant Bully

Genre: Animasi keluarga

Pengarah: John A. Davis

Pelakon (Suara):
Julia Roberts, Zach Tyler, Paul Giamatti, Nicolas Cage, Meryl Streep, Regina King, Bruce Campbell

Penilaian: 2 bintang

Pada tahun 1998, Pixar menerbitkan A Bug’s Life dan Dreamworks mengeluarkan Antz. Dengan ingatan penonton yang masih kuat kepada dua filem tersebut, Warner Bros. mengambil risiko menerbitkan The Ant Bully tahun ini.

Jika dinilai dari perspektif identiti dan pembaharuan, The Ant Bully tidak mempunyai kelainan yang ketara. Kisah serangga yang dianimasikan, peminat mungkin tidak teruja untuk pergi menonton memandangkan yang terdahulu sudah dicap cemerlang dan klasik.



Namun demikian, barisan bintang terkemuka yang terlibat meminjamkan suara mungkin menjadi faktor utama menarik khalayak ke panggung.

Diterbitkan oleh Tom Hanks, filem ini menghimpunkan Julia Roberts (Hova), Nicolas Cage (Zoc), Meryl Streep (Queen Ant), Paul Giamatti (Stan Beals), Lily Tomlin (Mommo), Regina King (Kreela) dan Bruce Campbell (Fugax).

Berdasarkan buku tulisan John Nickle, arah penceritaan The Ant Bully sedikit bertentangan daripada A Bug’s Life dan Antz, tetapi tidaklah jauh berbeza.

Lucas (suara Zach Tyler) merupakan seorang kanak-kanak mangsa buli rakan sebaya. Dia menjadikan busut semut tempat melepas dendam bagi menyalurkan kemarahannya. Berasakan dirinya lebih berkuasa berbanding serangga, dia sering menyembur air ke busut tersebut tanpa menyedari semut juga mempunyai perasaan.

Kerana begitu berang, seekor penduduk koloni bernama Zoc telah mencipta sejenis cecair, lantas menuangnya ke dalam telinga Lucas semasa dia sedang tidur. Posyen itu telah mengakibatkan Lucas bertukar saiz menjadi sekecil semut.

Atas arahan Queen Ant, Lucas terpaksa menjalani hukuman kerana perbuatannya. Dia mesti belajar cara kehidupan semut supaya dia faham serangga itu juga seperti makhluk lain yang ingin tinggal di muka bumi dengan aman damai tanpa gangguan.



Dari titik inilah berkembangnya cerita. Seperti selalu, setiap perlakuan mempunyai moral dan mesej yang ingin disampaikan. Namun demikian, ada ketikanya lawak The Ant Bully tidak menjadi.

Terdapat babak yang dirasakan mengarut, yang hanya sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur, sebagai contoh jenaka nenek Lucas yang obses dengan kewujudan makhluk asing. Adakah sasaran The Ant Bully untuk kanak-kanak saja?

Tidak seperti animasi-animasi yang lain, filem ini dirasakan seolah tidak secocok dengan penonton dewasa. Temanya tidak cukup menyeluruh, terlalu standard dan dihasilkan ‘mengikut buku’. The Ant Bully tidak mempunyai tarikan universal untuk memikat semua golongan demografi penonton.

Bukan bermaksud filem ini hancur, tetapi ia tidak menarik. Walaupun bintang-bintang popular telah sedaya upaya menghidupkan filem ini, tetapi usaha itu tidak dapat menyelamatkan skrip tulisan pengarah John A. Davis yang ‘tersekat’ dan tiada momentum kemuncak.

Secara visual, filem ini membawa wajah yang sangat ‘cartoonish’. Tidak dinafikan, dunia yang terhasil berwarna-warni tetapi tiada satu pun karakter yang benar-benar menonjol.

Kebanyakan penduduk koloni kelihatan serupa, cuma apabila mereka bersuara barulah penonton mengenali siapa yang dimaksudkan. Lukisan latar belakang juga tidak banyak berubah.



The Ant Bully merupakan contoh terbaik bagaimana genre animasi seperti ini sudah tidak memiliki keunikan. Benar, terdapat karakter mahupun idea cerita yang kreatif tetapi material tersebut belum cukup menandingi saingan yang sedia ada. Mungkin khalayak tidak memerlukan sebuah lagi filem kartun mengenai serangga.

Wednesday, August 23, 2006

Destinasi Cinta Siti, Khalid



Selesai sudah episod lama kehidupannya sebagai seorang gadis pingitan. Epilog baru kini dibuka dengan kenangan dan peristiwa yang bukan sedikit manisnya.

Pagi itu, di rumah Tuhan, Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta yang sangat indah seni binanya, ribuan tetamu menyaksikan noktah sejarah zaman solo penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza. Di situlah tempat termeterainya sebuah cinta suci.

Tanggal 21 Ogos 2006 bersamaan dengan 27 Rejab 1427, Siti sah diijabkabulkan dengan Datuk Khalid Muhammad Jiwa atau lebih dikenali dengan nama Datuk K. Mereka selamat dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Nasroddin Mat Daud.



Dengan sekali lafaz, penyanyi berusia 27 tahun ini menerima mas kahwin sebanyak RM22,222 mengambil sempena tempoh 22 tahun, dua bulan dan dua hari Al-Quran disempurnakan.

Diiringi dengan wang hantaran berjumlah RM30,000 bersempena dengan jumlah 30 juzuk Al-Quran, Siti turut menerima tujuh dulang hantaran dari sang suami.

Mengambil keberkatan sambutan hari mulia Israk Mikraj, dunia baru Siti bermula saat akad dilafazkan tepat pukul 11.35 pagi. Berbunga-bunga wajahnya, penuh bahagia. Tiada segaris pun tanda duka terlihat.

Riak sayu hanya dipamerkan saat mengenang diri bukan lagi milik keluarga sepenuhnya dan cabaran sebagai seorang isteri menanti di depan. Titis air mata yang mungkin cuba ditahan terlerai jua saat memeluk ayahanda tercinta, Tarudin Ismail dan ibunda Siti Salmah Bachik.

“Alhamdulillah, syukur semuanya berjalan lancar dan kini Siti sudahpun menjadi isteri orang. Siti harap fasa baru kehidupan ini mampu Siti jalani dengan sempurna. Siti berjanji untuk menjadi isteri yang solehah,” tutur pengantin baru ini pada sesi sidang media yang diadakan selesai majlis akad nikah.



Menawan dalam persalinan serba putih lengkap bertudung, Siti berseorangan ketika itu tanpa kehadiran suami di sisi. Alasannya pihak masjid tidak mengizinkan 'Pak Besaq'nya bersanding sama di atas pelamin yang didirikan di dalam Dewan Serbaguna. Namun, dalam senyum manis dia menjawab semua soalan yang dilontar.

Perancangan kerjaya seni dan hidup berkeluarga menjadi topik utama. Tiada perubahan besar bakal berlaku pada kerjaya seninya. Kecuali kata anak jati Pahang ini, jadual seninya tidak akan sesibuk dahulu. Keluarga harus menjadi keutamaan.

“Mungkin dalam seminggu Siti hanya akan ambil dua persembahan berbanding sebelum ini. Selebihnya Siti mahu fokus kepada keluarga yang baru dibina,” jelas Siti yang bercuti selama dua minggu selepas diijabkabulkan.

Tambahnya mengenai perancangan keluarga ringkas: “Siti tidak merancang soal anak. Jika ada rezeki awal Siti bersedia kerana usia begini sudah layak benar Siti bergelar ibu selain Siti juga memang sukakan kanak-kanak.”

Ditebak dengan spekulasi liar yang melingkari hubungan mereka sebelum sah disatukan, Siti mengambil jalan tengah dengan tidak melihat hal tersebut sebagai satu beban.

Namun secara terbuka dia meminta agar jika masih lagi cakap-cakap liar ini rancak diperdebatkan, usah ia terlalu melampaui batas.



“Saya tidak boleh tutup mulut orang untuk bercakap hal-hal negatif. Tetapi janganlah bersifat keterlaluan. Niat kami baik, biarlah perkahwinan ini direstui. Siti harap semua mendoakan yang terbaik buat Siti dan suami,” pintanya penuh ikhlas.

Mengelak untuk disapa dengan panggilan Datin selepas ini, pantas Siti memberi alasan. Luahnya jujur: ”Tidak payahlah. Tetapi kalau dalam acara formal Siti tidak boleh menolak pangkat itu. Dalam karier dan pada majlis biasa, panggil Siti saja cukup asalkan selesa.”

Siti juga memberitahu khabar gembira bahawa dia bakal mengerjakan umrah pada Ramadan depan dan tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan tudung apabila tiba serunya.

“Insya Allah, satu hari nanti Siti akan mengerjakan haji dan sekembalinya dari Mekah, Siti berjanji untuk memakai tudung. Begitu pun buat masa ini, Siti masih belum tahu bilakah masanya,” ucapnya lembut.

Sementara Siti tidak sedikit pun melepas keluhan melayan pelbagai soalan yang singgah, suami tercinta, Datuk K pula lebih senang bersikap tegas, tetapi masih menghormati permintaan media.



Dia yang diserbu sebaik keluar dari bilik VIP sebelum beredar sempat memanjatkan seribu syukur terhadap majlis yang berjalan lancar. “Perasaan saya tiada lain kecuali bersyukur,” katanya ringkas.

Terus diasak destinasi bulan madu, di manakah kediaman cintanya dengan Siti selepas ini, Datuk K dalam senyum manis terus menjawab ringkas.

Ujarnya: “Saya tak kisah berbulan madu di dalam atau luar negara. Sementara kediaman baru kami pula di Kuala Lumpur, cuma tidak pasti lagi di mana.”

Kini dua merpati sedang mengembang sayap, menerawang jauh nun di awan. Mengharap sinar mentari tidak akan berhenti menyinari kehidupan baru yang dibina atas bukti cinta sejati.



PESANAN YANG TERSAYANG

TARUDIN ISMAIL (bapa)
“Saya harap Siti dan suami berbahagia hingga ke akhir hayat. Jaga maruah sebagai isteri dan jalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan baik.”

SITI SALMAH BACHIK (ibu)
“Saya lega, syukur Alhamdulillah ke hadrat Ilahi, semuanya sudah selamat.

ROZI ABDUL RAZAK (kakak ipar)
“Memang sedih untuk saya melepaskan dia, tetapi perkara seperti alam perkahwinan pernah kami bincangkan tidak lama dulu. Dalam sedar dan tidak, hari itu muncul jua.

“Walau sedih, saya berasa ini adalah waktu yang tepat buat Siti mengakhiri zaman solonya dan saya percaya walaupun jarak usia mereka berbeza 20 tahun, saya tahu Siti mampu mengendalikan rumah tangga mereka kelak dengan baik.”

TEH BINTI AHMAD (nenek)
“Semoga Siti dan suami selamat sehingga ke akhir hayat.”

MAJLIS PERTUNANGAN



Hantaran dari pihak lelaki

Tema: Adiwarna yang berlatarkan warna emas dengan lapik dulang kain tenunan songket

1. Sirih junjung
2. Cincin jenama Bvlgari beserta bunga rampai
3. Kalung emas putih dan berlian yang bertuliskan kalimah Allah
4. Halwa manisan
5. Telekung

Hantaran dari pihak perempuan

Tema: Sanggar Bayu yang berlatarkan warna putih dan perak

1. Sejadah
2. Al-Quran
3. Manisan
4. Sepersalinan kain songket dan baju Melayu
5. Bunga Rampai
6. Wajik
7. Kek



MAJLIS PERKAHWINAN

Hantaran dari pihak lelaki

Tema: Azimat Cinta yang berlatarkan warna pink dengan hiasan bunga emas

1. Wang hantaran
2. Tas tangan jenama Louis Vuitton
3. Jam tangan jenama Roger Dubuis
4. Bunga rampai
5. Sepersalinan kain
6. Manisan strawberi bercecah coklat
7. Set aksesori Chopard

Hantaran dari pihak perempuan

Tema: Sebenar Cinta yang berlatarkan warna hijau limau dengan dulang perak

1. Cincin jenama Audemars Piguet
2. Jam tangan Richard Mille
3. Tali pinggang jenama Brioni
4. Set cufflink jenama Louis Vuitton
5. Sepersalinan kain songket dan baju Melayu
6. Sepasang sut hitam
7. Butang baju Melayu
8. Kek
9. Bunga rampai

APA YANG TERJADI...

* Lebih 2,000 tetamu memenuhi Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur seawal pukul 8.30 pagi lagi. Selain keluarga daripada kedua belah pihak, majlis bersejarah ini juga turut disaksikan oleh para jemputan yang terdiri daripada golongan kenamaan dan selebriti.

Antara yang hadir ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah serta isteri.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob bertindak sebagai ketua adat bagi pihak pengantin perempuan, sementara bekas Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib dilantik sebagai ketua adat bagi pihak pengantin lelaki.

* Selain wartawan tempatan, masjid akad nikah ‘terbesar’ ini turut mendapat liputan pihak media Indonesia yang datang sendiri ke Kuala Lumpur beberapa hari lebih awal. Tidak kurang 30 orang kesemuanya, kehadiran mereka diselenggarakan oleh pembantu khas Siti di Indonesia bernama Dimas.

* Kira-kira sejam sebelum majlis bermula, kelihatan ulama terkemuka Datuk Dr. Harun Din bersama pembantunya meninjau sekitar kawasan dewan solat utama, tempat majlis akad nikah akan dilangsungkan.

* Sistem audio tidak berfungsi dengan baik menyebabkan kelancaran majlis terganggu. Sesi berbalas pantun antara jurucakap pihak lelaki dengan pihak perempuan tidak kedengaran biji butirnya.



Begitu juga semasa Datuk Khalid melafazkan akad nikah, suaranya tidak kedengaran menyebabkan ramai hadirin terpinga-pinga apabila pengacara Nizal Mohamed memberitahu acara sudah selesai.

* Idea jumlah wang hantaran dan mas kahwin dicetuskan oleh bapa Siti, Tarudin Ismail. Wang hantaran bernilai RM30,000 itu diilhamkan daripada jumlah 30 juzuk surah dalam Al-Quran, manakala mas kahwin berjumlah RM 22,222.00 mengambil berkat tempoh Al-Quran disiapkan iaitu 22 tahun 2 bulan dan 22 hari.

Menurut Siti, angka itu dirahsiakan selama ini untuk mengelakkan bertambahnya lagi pelbagai spekulasi. “Lagi pun, kami rasa biarlah ia diketahui ramai pada hari yang tepat (hari perkahwinan),” jelasnya.

* Baju kurung Siti diperbuat daripada material net dan lace Perancis serta kilauan kristal Swarovski. Pereka pakaian, Radzuan Radziwill enggan mendedahkan nilai harga persalinan tersebut.

Penampilan Siti turut diserikan dengan tiara bernilai hampir sejuta ringgit, seutas rantai dan cincin bertatahkan permata biru ehsan Elegance Club.

* Jurusolek kesayangan Siti, Nurul Shukor mula menyolekkan penyanyi tersohor itu seawal pukul 7.30 pagi. Mengambil masa sejam setengah, dia mengakui turut berasa berdebar.

“Siti tidak banyak bercakap, tetapi dari anak matanya saya dapat membaca betapa dia gementar. Saya nasihatkan dia agar tidak terlalu tertekan, sebaliknya nikmatilah saat-saat mengecap hari bahagia,” beritahu Nurul.

* Para media dihadiahkan dengan beg kertas comel berwarna merah jambu dengan nama Siti dan Datuk K tertulis di atasnya. Di dalam beg tersebut terdapat lilin berbentuk daun, sekotak teh Ctea dan kepingan coklat dengan cetakan wajah pasangan pengantin popular ini.

* Sukarnya mendapat sebarang kenyataan daripada ibu bapa Siti. Mereka menolak untuk berkata sesuatu kecuali sebaris dua ayat yang membawa maksud ‘semuanya sudah selamat, doakan yang terbaik.’

Datuk K juga enggan menyertai sidang media yang diadakan di pelamin khas dalam Dewan Serbaguna atas alasan mereka tidak dibenarkan bersanding di dalam masjid.

* Penyanyi Juliza Adzlizan diberikan anak tudung oleh pihak pengurusan masjid kerana tidak memenuhi etika pakaian yang ditetapkan. Semua tetamu sebelum ini sudah dimaklumkan supaya hadir bertudung litup dan selendang biasa tidak dibenarkan.

Sunday, August 20, 2006

Anugerah Ini Milikku!



Mungkin di dalam kamus sesetengah pihak nama Yasmin Ahmad bererti kontroversi. Dugaan yang diterimanya bertimpa-timpa. Namun dalam kepahitan yang terpaksa ditelan, dia juga menerima rahmat dan rezeki Tuhan.

Selepas Sepet dikatakan tidak layak menerima gelaran Filem Terbaik di tanah air sendiri, Gubra turut menerima padah yang serupa.

Biarpun panel juri Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) sudah sebulat suara mengangkat Gubra sebagai sebuah karya yang cemerlang, masih ada pihak yang cuba mempertikaikan keputusan tersebut.

‘Mana mungkin filem pencemar budaya menang?’ soal mereka. Dan bagi menguatkan hujah tersebut, Sharifah Amani yang meraih gelaran Pelakon Wanita Terbaik diheret bersama dalam kancah penuh sensasi ekoran ucapan kemenangannya yang dilabel sebagai kurang ajar dan tidak menghormati bahasa Melayu.

Tidak cukup terlukakah Yasmin? “Sedih, saya akui saya menangis tetapi sebagai seorang yang berusia, saya fikir saya tahu bagaimana mahu mendepaninya,” tegas sutradara berkaliber ini.

Mengulas mengenai tulisan-tulisan yang menyakitkan, katanya: “Kalau dulu, saya cepat terasa dan tersinggung. Tetapi apabila saya diperlakukan seperti itu hampir beratus kali sekarang, saya sudah tidak rasa apa-apa.



“Mengapa saya harus ambil serius dengan golongan yang asyik menghentam? Kadangkala saya fikir Gubra bukan puncanya. Mereka tidak begitu membenci filem saya sebagaimana mereka membenci pembikinnya.”

Reda dengan segala kritikan dan cemuhan, wanita yang cukup berani bersuara ini menjelaskan sepanjang dia bergiat dalam industri perfileman tempatan, dia tidak pernah memburuk-burukkan hasil kerja orang lain.

“Tanpa rasa bersalah, orang mudah menjatuhkan hukuman terhadap saya dan filem saya. Mereka mengutuk secara terbuka, sedangkan saya tidak pernah mengata filem pengarah lain. Saya hormati karya mereka,” tuturnya kesal.

“Kalau ada pihak yang mencadangkan anugerah saya ditarik balik, saya tidak peduli. Saya akan terus menyimpannya kerana ia milik saya. Bukannya saya mencuri atau merasuah juri untuk mendapatkannya,” sambungnya lagi.

Sebagai pengarah yang ‘melahirkan’ Sharifah Amani sebagai sebutir bintang, Yasmin turut merasa tempias atas kemelut yang melanda pelakon muda itu.

“Amani tidak henti menangis beberapa hari. Kasihan dia. Dia sudah pun mengungkapkan perkataan maaf, malangnya soal ini masih dipanjangkan. Sehingga ada yang mahu dia dihalang dari menghadiri festival, mengharamkan dia berlakon - mengapa sebegitu kejam?” luahnya bersungguh.

“Tidak hairanlah orang kita suka sangat menonton gusti. Mungkin menyaksikan orang lain dipukul menjadi satu kenikmatan,” spontan Yasmin mengulas antara jenaka dan serius.

Sudah tercatat sebagai satu lagi bab ‘drama’ dalam buku kehidupannya, Yasmin nekad melangkah laju. Di dalam fikirannya tercetus bermacam idea untuk difilemkan, meskipun buah tangannya selepas Gubra, Mukhsin sedang menunggu masa tayangan pawagam.



Satu cerita menarik yang sempat dikongsi bersama: “Saya menerima e-mel dari seorang wanita yang mendakwa bapanya mungkin Mukhsin yang saya maksudkan. Dia belum menonton filem itu, tetapi apa yang bapanya ceritakan sama dengan apa yang dia baca di akhbar!”
Ketawa apabila diusik tidakkah dia teringin bertemu cinta pertamanya, pintas Yasmin: “Risau suami saya cemburu.”

Mukhsin terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. merupakan kisah sebenar Yasmin sekitar usia 10 tahun. Wataknya dijelmakan melalui peranan Orked lakonan Sharifah Aryana dan peranan Mukhsin digalas oleh Mohd. Syafie Naswip.

“Insya Allah, filem saya yang seterusnya berjudul May 13. Ia berdasarkan kejadian sebenar yang berlaku di negara kita pada tahun 1969.

“Saya mahu melihat insiden tersebut dari perspektif yang berbeza - bukan sekadar satu rusuhan mahupun pembunuhan, tetapi rasa kasih dan sayang yang terjalin antara kaum ketika itu,” ujarnya.

Sedang mencari penerbit yang berminat untuk projek tersebut, angan Yasmin: “Alangkah seronoknya jika May 13 dapat membuka tayangan pada tarikh yang sama tahun depan!”

Pelakon utamanya? “Sudah tentu Sharifah Amani. Dia akan terus menjadi anak emas saya,” beritahunya menutup bicara.

Saturday, August 19, 2006

Simpati Anak-Anak Seni















Rasa simpati dan keprihatinan masyarakat kita terhadap mangsa kezaliman di Lubnan tidak pernah berakhir. Meskipun tiada banyak yang boleh dilakukan untuk membantu, sekurang-kurangnya kita masih punya ruang untuk menzahirkan kemarahan dan menunjukkan tanda protes.

Malam Ekspresi...Lubnan Gurisan Anak Seni merupakan kesinambungan kepada Malam Ekspresi...Kezaliman Yang Direstui yang diterbitkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira dua minggu lalu.

Diteruskan atas sambutan positif khalayak, Malam Ekspresi...Lubnan Gurisan Anak Seni membariskan bintang-bintang ternama yang tidak lokek masa menjayakan hasrat murni tersebut. Program itu diadakan dalam suasana yang cukup sederhana di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri baru-baru ini dan disiarkan secara langsung menerusi RTM1.

Tanpa gangguan sebarang iklan, Malam Ekspresi dibuka dengan bacaan sajak dari Tengku Khalidah Tengku Bidin sebelum diteruskan oleh Juanita Ismail yang mendendangkan Gurindam. Khalayak tidak bertepuk tangan seakan memahami bahawa apa yang dipersembahkan itu bukan satu keraian mahupun hiburan.

Pantomin kanak-kanak dari Kumpulan Bingkas Kebayan yang berjudul Satu Cerita Di Bumi Anbiya sangat menginsafkan. Begitu juga dengan lakonan berdasarkan sajak Datuk Dr Usman Awang, Ke Makam Bonda yang mencairkan hati. Turut mementaskan dekon (deklamasi sajak dan lakonan) pada malam tersebut ialah Rosyam Nor serta Erma Fatima.














“Saya memuji dan menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh Kementerian Penerangan di bawah pimpinan Datuk Zainuddin Maidin. Program seperti ini dilihat menjadi medium terbaik untuk anak-anak seni mempamerkan perasaan terhadap keganasan yang berlaku.

“Untuk ke Lubnan kita tidak mampu, tetapi inilah usaha yang boleh dilaksanakan atas nama kemanusiaan. Ia juga sebenarnya satu peringatan kepada masyarakat kita supaya menjaga keamanan dan kesejahteraan negara,” ujar Rosyam memberi pandangan.

Artis lain yang turut menggembling tenaga menjayakan Malam Ekspresi ini ialah Lisa Suri Hani, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali, Datuk Jins Shamsudin dan Mawi yang membacakan puisi.

“Menerusi program ini, kita dapat menyalurkan mesej tentang penderitaan orang lain. Ia seharusnya dijadikan teladan supaya masyarakat Malaysia hari ini bersyukur dengan apa yang kita ada,” kata Mawi yang tampil segak berbaju Melayu merah.

Mengakui program ini dapat menyemai rasa kecintaan kepada negara, Mawi juga tidak menolak ia bertepatan dengan kempen bulan kemerdekaan.

M. Nasir turut menyumbangkan suaranya menerusi lagu khusus untuk malam tersebut, Tidak Pernah Mati, Azharina Azhar dengan Akan Ku Jejaki, Akbar dan Mirwana dengan lagu Perhitung, Khir Rahman menyanyikan lagu Panglima Jihad sementara Liza Hanim berduet dengan Kelvin Lau lagu Tiang Keamanan.

“Saya mengharapkan usaha seperti ini akan diadakan dengan lebih kerap dan berterusan. Bukan itu saja, publisiti mengenainya haruslah besar-besaran supaya lebih ramai yang akan menonton.

“Sebagai seorang karyawan seni, undangan menjayakan program ini amat saya hargai. Setidak-tidaknya golongan artis juga diberi peluang untuk berkongsi kesedihan dan mengambil tahu hal dunia, bukan semata-mata mengenai glamor dan popular saja,” jelas Liza Hanim pula.

Friday, August 18, 2006

Bukan Semua Boleh Berlakon



Bukan merajuk, bukan juga berkecil hati tetapi kekecewaan Fauziah Ahmad Daud terhadap senario industri perfileman hari ini membuatkan dia menyepi diri. Meskipun lakonan ibarat hati dan jiwanya, dia rela menolak tawaran yang diberikan kerana tidak mahu bersekongkol dengan karakter tipikal dan komersialisme.

“Bukan tidak mendapat tawaran, tetapi watak yang diberikan kepada saya selalunya serupa, tidak berubah. Terpulang kalau ada yang mengatakan saya cerewet tetapi saya mahukan karakter pelbagai dimensi. Saya mahu bakat lakonan saya dipergunakan sepenuhnya,” tegas wanita berusia 43 tahun ini yang lebih mesra dipanggil Ogy.

Sesuai dengan labelnya sebagai aktres hebat yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik beberapa kali, Ogy tidak merasakan tindakannya itu sebagai jual mahal.

“Saya sedar mungkin apa yang saya mahukan sukar untuk dipenuhi, tetapi itu tidak menjadi masalah. Saya boleh berlakon dalam drama terbitan sendiri, mencari watak yang benar-benar sesuai dengan saya,” katanya yang menerajui syarikat produksi Artistic Preview.

Tidak melarikan diri terus dari dunia hiburan, Ogy masih aktif sebagai penerbit, pengarah dan pengacara. Program bual bicaranya yang terbaru bersama Salih Yaacob, Ogy & Salih mengembalikan kerinduan peminat terhadap keletahnya yang bersahaja.

Namun begitu, di sebalik sifatnya yang ‘banyak mulut’ dan gemar ketawa, ramai yang membawa cerita kononnya Ogy cepat naik angin ketika di set.

“Saya tidak boleh menutup mulut orang yang membuat fitnah, itu hak mereka. Namun saya akui saya seorang yang sangat serius bila bekerja. Saya tidak akan bertolak ansur dengan para pelakon atau krew yang tidak tahu memegang amanah sejujurnya.

“Bukan semua orang boleh berlakon. Saya berani mengatakan yang pelakon kita kebanyakannya mekanikal. Hafal skrip, bercakap kemudian menangis tanpa mengetahui dan merasai apa yang karakter mahukan. Saya kecewa dengan keadaan ini. Sudahlah kita kekurangan pelakon,” luahnya berterus-terang.

Bercadang membuka kelas lakonan, Ogy mengakui: “Bukan kerana mahu menunjukkan yang saya sudah bagus. Saya sendiri masih lagi belajar. Tetapi, saya mahu membantu bakat-bakat muda yang ada. Sayang rasanya jika bakat mereka tidak dipertajamkan. Lakonan bukan sekadar bakat semata-mata tetapi sikap dan pengetahuan.”

Sedang mengerjakan beberapa program Aidilfitri untuk tayangan RTM seperti Ogy & Salih Special: Misteri Syawal dan Menjejaki Bintang, aktres versatil ini juga baru muncul dengan VCD Selera Thai yang berada di pasaran sejak 25 Julai lalu.

VCD terbitan Karya Prima edaran Wayang Tinggi Corporation itu mengenengahkan Ogy sebagai pengarah dan pencetus konsep.

“Tidak saya nafikan ilham asal tercetus daripada program The Globe Trekker, namun saya tidak meniru seratus peratus. Saya cuba mengadaptasikan konsep rancangan dengan kehendak penerbit. Saya bukan hanya bertindak sebagai hos, tetapi turut mencuba memasak sajian yang disediakan,” terangnya.

Antara resipi yang ditonjolkan ialah Salad Herba Limau Bali, Ikan Siakap Goreng Herba Bersalut Daun Kadok, Daging Kambing Panggang dan Tom Yam Udang.

Dijual dengan harga RM16.90 setiap siri yang mengandungi enam resipi, VCD ini diterbitkan dalam 16 siri.

“Uniknya mengenai Selera Thai, ia tidak hanya berkisar mengenai penyediaan makanan. Penonton juga akan turut dibawa bersiar-siar ke beberapa tempat menarik dan bersejarah di negara Gajah Putih itu,” sambung Ogy.

Menambahkan lagi tarikan Selera Thai ialah kemunculan istimewa artis-artis terkenal Thailand yang turut memasak dan membantu chef terlibat seperti Sine Chrenpura dari filem Nang Nak, Ying Julalak dan Hene Sasithorn dari Taloompok.

Memakan masa sebulan penggambaran, bagaimanapun Ogy kurang pasti mengapa VCD ini lewat dipasarkan memandangkan penggambarannya sudah dilakukan hampir dua tahun lalu.
“Sebagai pengarah saya sudah menjalankan tugas sebaiknya. Saya fikir mungkin penerbit mempunyai strateginya sendiri,” beritahunya ringkas menutup perbualan.

Tuesday, August 15, 2006

Gubra Menjejaki Sepet



Yasmin Ahmad tidak merajuk lagi. “Dah dipujuk,” katanya mengukir senyum seraya menunjukkan trofi Lakon Layar Terbaik yang dimenanginya menerusi Gubra.

Dalam Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18) tahun lalu, Yasmin dikecam teruk kerana filem arahannya, Sepet merangkul anugerah Filem Terbaik.

Rentetan kontroversi tersebut, sutradara berusia 48 tahun itu pernah membuat kenyataan untuk tidak lagi mencalonkan sebarang karyanya kerana serik.

Begitu pun, Gubra terpaksa akur untuk bersaing dalam Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) tahun ini atas kehendak penerbit, Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd. dan pencalonan itu ternyata tidak sia-sia.

Gubra muncul juara apabila diangkat sebagai Filem Terbaik menewaskan saingan terdekatnya Pontianak Harum Sundal Malam 2 (PHSM2), Bilut, Baik Punya Cilok dan The 3rd Generation.

Menerima 11 pencalonan akhir, selain Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik, Gubra turut memayungi kemenangan Sharifah Amani sebagai Pelakon Wanita Terbaik dan kategori Poster Terbaik.

Untuk dua tahun berturut-turut, filem arahan Yasmin dijulang cemerlang - sesuatu yang sangat ironi apabila Sepet dan Gubra sebelum ini dilabel ramai sebagai pencemar budaya.

“Saya hanya ingin buat filem yang baik. Saya tidak perlu buktikan apa-apa pada sesiapa,” komen Yasmin yang ditemui selepas majlis anugerah berakhir.

Terlibat sebagai juri Anugerah Filem Pendek anjuran Starlight Cinema semasa acara berlangsung, dia tidak sempat naik ke atas pentas menerima trofi dan memberi ucapan.

“Tidak pernah terlintas untuk membangga diri. Kalau orang puji dan suka filem saya, Alhamdulillah. Kalau orang kutuk pun, saya bersyukur. Saya tidak akan sesekali berasa angkuh mengatakan yang pendapat orang lain salah,” sambungnya tenang.

Walaupun tewas di tangan Shuhaimi Baba (PHSM2) untuk gelaran Pengarah Terbaik, Yasmin tidak kecewa.

Tidak menganggap kekalahannya sebagai satu ‘konspirasi’ memandangkan tahun lepas juga dia gagal kepada Saw Teong Hin (Puteri Gunung Ledang), jelasnya: “Sudah bukan rezeki. Saya sendiri meminati kerja-kerja Shuhaimi Baba, terutamanya Layar Lara.

“Saya teringat kata-kata pengarah Sidney Lumet dari bukunya, Making Movies. Sebuah filem yang baik dihasilkan atas kekuatan skrip dan barisan pemainnya. Justeru, apabila Gubra menang kategori lakon layar dan pelakon utama, saya sudah dapat satu ‘trofi halimunan’ dalam hati saya.”

Ketepikan soal ucapan kemenangan Sharifah Amani yang kontroversi. Daripada membangkitkan isu kelancangan mulutnya, adakah kita menyedari gadis berusia 20 tahun ini merupakan pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik termuda dalam sejarah sinema Malaysia?

Menghidupkan semula karakter Orked, anak kepada pelakon Fatimah Abu Bakar ini mendedikasikan trofi tersebut untuk ibu dan ayahnya, Syed Zainal Rashid Yahya yang dianggap sebagai hero.

Gubra merupakan satu pengalaman yang menakjubkan. Anugerah ini juga khusus buat Yasmin yang mampu ‘melihat’ siapa saya yang sebenar,” kata Amani.

Tidak gundah jika selepas ini lakonannya dibayangi peranan Orked, balasnya: “Saya tidak kisah kerana saya sukakan Orked. Tetapi sebagai seorang yang masih lagi belajar, saya tidak akan cepat berpuas hati. Kalau berpeluang, saya ingin cemerlang di belakang tabir pula.”

Sementara itu, PHSM2 yang mendominasi pencalonan terakhir dalam 14 kategori hanya mampu berpuas hati dengan kemenangan Penataan Seni Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik selain daripada Pengarah Terbaik.

Afdlin Shauki, pembikin filem paling aktif tahun lalu boleh tersenyum lebar dengan kejayaan peribadinya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Buli Balik dan Cerita Asal Terbaik melalui Baik Punya Cilok.

“Siapa kata orang gemuk tidak boleh menang?” ucapan pertamanya membuka bicara sewaktu menerima anugerah. “Saya percaya pelakon-pelakon lain banyak membantu dan membakar semangat saya atas kemenangan ini,” tuturnya lagi.

Melalui Buli Balik juga, Hans Isaac telah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik.

Bintang muda yang pertama kali berlakon di layar perak menerusi Gol & Gincu, Sazzy Falak pula dipilih sebagai Pelakon Wanita Pembantu Terbaik meskipun dia tewas dengan Carmen Soo (The 3rd Generation) dalam kategori Pelakon Harapan Wanita.

Selain kejayaan Carmen, filem berbahasa Cina arahan Hor Chee Leong itu mengejutkan khalayak dengan dua anugerah lain yang tidak kurang mustahak seperti Sinematografi Terbaik dan Pereka Kostum/Busana Terbaik.

Filem terbitan aktor Rosyam Nor, Castello pula turut menang tiga anugerah iaitu Penyunting Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik dan Pelakon Harapan Lelaki untuk Que Haidar.

Seiring dengan peredaran masa dan kepesatan teknologi, FFM juga tidak mahu ketinggalan menggunakan sistem undian khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memilih pemenang bagi empat kategori iaitu Filem Pilihan, Pelakon Lelaki Pilihan, Pelakon Wanita Pilihan dan Lagu Tema Pilihan.

Keputusannya? Tepuk dada tanya selera. Ukuran dibuat bukan berdasarkan mutu semata-mata, sebaliknya mengikut populariti dan kehendak peminat secara majoriti.

PETIKAN MENARIK PEMENANG

“Pelbagai cabaran yang kakak saya tempuhi sebelum dan selepas membuat filem ini. Bagi pihaknya, saya ingin berterima kasih kepada pihak juri kerana melihat Gubra bukan saja mengenai punggung seseorang, tetapi lebih daripada itu” - Orked Ahmad, adik Yasmin

“Saya datang untuk bertepuk tangan dan memeriahkan majlis tanpa mengharapkan sebarang kemenangan. Saya hampir pasti PHSM2 tidak akan menang Filem Terbaik kerana ia filem seram.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana hasil usaha krew dan pelakon terbalas dengan pengiktirafan seperti ini. Berkenaan kekalahan Maya pada Amani, saya menghormati pandangan juri yang berbeza-beza pada setiap festival” - Shuhaimi Baba

“Selama 14 tahun berlakon, inilah pertama kali saya mendapat anugerah ‘terbaik’. Lepas nama saya diumumkan, akal saya seperti terhenti tiga ke empat saat untuk menerima kenyataan.

“Afdlin pernah menghadiahkan saya sebuah topi yang bertulis ‘kalau kau tak menang award untuk filem ini (Buli Balik), aku akan mandi bunga’. Saya akan bingkaikan topi tersebut selepas ini!” - Hans Isaac

“Saya mencintai bidang lakonan sejak kecil lagi. Saya tidak peduli jika menang anugerah atau tidak. Kerana itu, saya tidak mahu merunsingkan kepala atau memberi tekanan kepada diri jika kalah. Begitu pun, saya terkejut atas trofi ini kerana menyangkakan Ida Nerina yang akan membawanya pulang. Saya akan terus berlakon dan ini bukan noktahnya” - Sazzy Falak

“Memang saya dicalonkan lebih dari satu kategori, tetapi apalah gunanya kuantiti tanpa kualiti. Saya percaya calon-calon yang lain juga bagus dan ada kekuatan masing-masing. Mungkin malam ini rezeki saya” - Que Haidar

“Walaupun Bilut belum ditayangkan, peminat sudah memilih saya. Terima kasih banyak. Semoga kemenangan ini membuka lebih peluang untuk saya mengembangkan kebolehan berlakon filem selepas lama dalam arena drama” - Eja

KEPUTUSAN PENUH FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-19

Anugerah Perdana

* Filem Terbaik - Gubra
* Pengarah Terbaik - Shuhaimi Baba (Pontianak Harum Sundal Malam 2)
* Pelakon Lelaki Terbaik - Afdlin Shauki (Buli Balik)
* Pelakon Wanita Terbaik - Sharifah Amani (Gubra)
* Lakon Layar Terbaik - Yasmin Ahmad (Gubra)
* Cerita Asal Terbaik - Afdlin Shauki (Baik Punya Cilok)
* Sinematografi Terbaik - Yong Choon Lin (The 3rd Generation)
* Penyunting Terbaik - Bade Hj Azmi (Castello)
* Skor Muzik Asal Terbaik - Khoo Fok Sin (Bilut)
* Filem Dokumentari Terbaik - Profil Seni: Pak Dolah Baju Merah (Lina Tan)
* Filem Animasi Terbaik - Long Lost Love
* Filem Pendek Terbaik - Marginal (Liyana Syairah)

Anugerah Cipta

* Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik - Hans Isaac (Buli Balik)
* Pelakon Wanita Pembantu Terbaik - Sazzy Falak (Gol & Gincu)
* Penataan Seni Terbaik - Kamarul Nizam & Aida Fitri Buyung (Pontianak Harum Sundal Malam 2)
* Penataan Bunyi Terbaik - Azman Abu Hassan (Castello)
* Pelakon Kanak-Kanak Terbaik - Tiada pemenang
* Pelakon Harapan Lelaki - Que Haidar (Castello)
* Pelakon Harapan Wanita - Carmen Soo (The 3rd Generation)
* Lagu Tema Asal Terbaik - Ku Seru (Pontianak Harum Sundal Malam 2)
* Pereka Kostum/Busana Terbaik - Eric Cheong (The 3rd Generation)
* Poster Terbaik - Gubra

Anugerah Khas Juri

* Memperkukuhkan rasa sayang terhadap negara - Bilut
* Rekabentuk idea yang jujur dan inovatif - Man Laksa
* Penonjolan stunt yang menyerlah - Remp-It
* Pengarah Harapan - Syed Azidi Al-Bukhary (Persona Non Grata)
* Filem Box-Office - Bujang Senang

Anugerah Pilihan Penonton

* Filem Pilihan - Gol & Gincu
* Pelakon Lelaki Pilihan - Adam AF2 (Main-Main Cinta)
* Pelakon Wanita Pilihan - Eja (Bilut)
* Lagu Tema Pilihan - Hanya Untukmu (Persona Non Grata)

Wednesday, August 09, 2006

Antara Baru Dan Puas



Malam Ahad lalu, setiap ruang di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur penuh terisi gara-gara Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) kembali membuka tirainya untuk musim kedua.

Kepada mereka yang pernah menonton musim pertama, soalan yang pasti berlegar di kepala - ‘adakah musim ini akan menghidangkan persembahan yang lebih baik?’.

Kepada mereka yang belum pernah menyaksikannya pula, naluri didesak perasaan ingin tahu - ‘apa hebatnya PGLM sehingga mencipta riuh rendah yang luar biasa?’.

Sebelum meneruskan ulasan, izinkan penulis memberitahu sesuatu. Penulis berpeluang menonton PGLM musim lalu sebanyak empat kali (dan maaf jika ia menjadi salah satu sebab mengapa tiket lekas habis!). Justeru, sedikit sebanyak impak pementasan lepas masih kuat berbekas di fikiran.

Dalam rasa debar dan teruja, tirai dibuka seraya menggemakan lagu Suatu Hari Nanti dengan puluhan ensemble menari serta berdiri di atas stupa.

Menyedari faktor bilangan penyanyi latar yang berkurangan berbanding dulu, penulis faham mengapa suara yang terhasil kali ini tidak begitu ‘gegak gempita’.



Namun, energi yang merasuki barisan ensemble serta AC Mizal, Yalal Chin dan Datin Seri Tiara Jacquelina di babak pertama membuatkan kekurangan tadi dimaafkan.

Di wajah Tiara, terpancar jelas kepuasannya melepaskan rindu beraksi semula di atas pentas, menjelmakan kembali watak mitos seorang puteri. Tetapi kali ini, watak Bayan pengasuhnya bukan lagi digalas Sukania Venugopal, sebaliknya diserahkan kepada Ida Mariana.

‘Apa lagi yang baru?’ - satu lagi soalan yang mungkin terpacul di fikiran penonton semasa menyaksikan PGLM musim kedua. Ingin penulis ingatkan, musim kedua bukan menawarkan pembaharuan semata-mata, sebaliknya cuba mengutamakan kepuasan.

Stephen Rahman-Hughes berusaha keras mempertingkatkan sebutan dan patah katanya sebagai Laksamana Hang Tuah. Hasilnya ternyata membanggakan.

Membayangkan Stephen sebagai pendekar terulung itu sudah tidak menjadi gambaran yang janggal. Diksi nyanyiannya lebih jelas dan dia sudah tidak kekok lagi membuka silat.

Saat intro lagu Keranamu Kekasih berkumandang pada babak yang kesembilan, bulu roma penulis meremang. Menjadi lagu kegemaran peribadi, apatah lagi menyaksikan Puteri dan Tuah berdiri teguh di atas puncak Ledang, hati penulis diresapi perasaan yang cukup sentimental.

Terus dibuai dengan babak-babak yang disusun, adegan pelayaran Puteri diperbaharui dengan penggunaan layar kapal yang tidak wujud semasa PGLM musim pertama. Adegan tersebut menjadikan visual imaginasi penonton lebih realistik dan bermakna.

Di tangan Roslan Aziz, PGLM tidak akan silap. Meskipun menurut Roslan, 70 peratus daripada barisan pemuzik lama tidak dapat dikekalkan, namun bunyi-bunyian yang terhasil untuk musim kedua lebih berperisa.

Bunyi percussion dan gendang lebih menggegar, begitu juga dengan seruling dan elemen muzik tradisi yang kuat terasa di celah-celah irama kontemporari ala Broadway.

Kalau orang kata Adlin Aman Ramlie hanya bijak mengkritik, tuduhan itu dirasakan kurang tepat. Menerusi PGLM musim kedua, dia membuktikan kepakarannya tentang seni persembahan melalui pembawaan karakter Sultan Melaka.

Semangatnya untuk beraksi di atas pentas berada di tahap maksimum. Dia tidak teragak-agak dengan segala tindakan mahupun langkah tarinya. Mungkin suaranya tidak semerdu juara Akademi Fantasia 4, tetapi nyanyiannya meyakinkan.

Sementara itu, AC Mizal masih kekal konsisten sebagai Gusti Adipati Handaya Nigrat. Suaranya memecah kesunyian panggung, jiwanya masih tebal dengan roh Raja Majapahit. Jika ada pun improvisasi, gerak lentuk tangan dan kakinya sudah tidak sekejang dulu.

Secara peribadi, penulis rindukan Bayan yang pertama. Dari segi penjiwaan, mungkin Ida tewas kepada Sukania, namun nyanyian Ida lebih bulat bunyinya.

Malang buat Aqasha, penonton tidak menyedari kehadirannya sebagai Bendahara. Penyamarannya di sebalik misai dan jambang palsu yang tebal memang berhasil, tetapi kata-katanya kurang dapat didengar akibat mikrofon yang terselindung.



Mungkin itu patut dijadikan alasan untuk Aqasha berusaha lebih keras menghidupkan karakter Hang Tuah semasa malam persembahan understudies pada 13 dan 20 Ogos nanti.

Selain Aqasha, Baby Erin akan mengambil alih tempat Gusti Puteri, Wan Shades sebagai Gusti Adipati, Jeffry Haikel sebagai Sultan Melaka dan Norenshah Sahari selaku Bayan pada dua malam tersebut.

Pat Ibrahim, sekalung tahniah sekali lagi atas koreografi yang kemas dan cantik, terutamanya pada adegan Khabar Hanyalah Khabar dan adegan sekumpulan nenek kebayan di puncak Ledang. Ilham Raja Maliq dan Akma Suriati Awang dalam mengindahkan set, props dan pakaian juga patut diberi tepukan.

Buat Tiara selaku penerbit eksekutif, penulis kehabisan kata-kata pujian atas usahanya mengangkat martabat PGLM ke satu lagi peringkat. Ia bukan kerja yang mudah, bukan juga sebuah angan-angan kosong. Dan buat Tiara sebagai pelakon, anda satu dalam berjuta.

Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) musim kedua kini sedang rancak dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur sehingga 21 Ogos.

Tiket-tiket berharga RM180, RM150, RM100, RM70, RM50 & RM30 boleh didapati di kaunter box-office, Istana Budaya.

Monday, August 07, 2006

AF Kerajaan Lelaki



Setelah empat musim bersiaran, tradisi Akademi Fantasia (AF) masih gagal dipecahkan. Seorang demi seorang juara ditabalkan, namun kesemuanya didominasi kaum lelaki. ‘Kerajaan’ program realiti paling popular itu kini menerima seorang lagi ketua baru selepas Vince, Zahid dan Mawi.

Faizal atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ramly menjadi pemenang tunggal dari negeri sebelah Pantai Timur. Berasal dari Marang, Terengganu, jejaka berusia 22 tahun ini meneruskan legasi AF yang seakan enggan melepaskan takhta penaklukan kepada wanita.

Bukan mahu membangkitkan soal diskriminasi gender, namun adakah ini satu petanda bahawa AF bukan platform terbaik untuk mengiktiraf bakat peserta perempuan?

Menjadikan ‘inilah program realiti’ sebagai alasan utama, khalayak terpaksa menerima segala keputusan yang tersurat dengan fikiran terbuka. Sementelah formatnya juga sama dan tidak berubah, pola undian penonton sudah boleh dibaca sejak awal lagi.

Memetik kata Pengarah Kanan Astro, Zainir Aminullah dalam sidang media selepas Konsert Akhir AF4: “Tidak dinafikan pada satu peringkat, penonton meletakkan kepercayaan untuk peserta wanita bergelar juara tahun ini. Namun malangnya, para penyokong Faizal lebih agresif dan mendahului penyokong yang lain. Kita mesti menerima kenyataan tersebut.”

Pengetua AF4, Ramli Sarip pula berpandangan lebih jauh dan beranggapan perjuangan barisan finalis ini baru bermula. “Sekurang-kurangnya peserta wanita ada harapan. Mereka tidak bergelar juara di sini, tetapi mungkin di luar nanti sinar bintang mereka akan lebih cerah.”

Tinggalkan persoalan, terimalah hakikat. Faizal sudah menjadi pilihan majoriti, malah corak pengundian tidak banyak berubah sebelum dan selepas Konsert Akhir AF4 melabuhkan tirai.

Mendendangkan lagu Allahyarham Sudirman, Hujan dan lagu baru ciptaan M. Nasir/Loloq berjudul Lihatlah, dia meraih undian sebanyak 34 peratus.

Pengkritik Mamat Khalid melabelkan Faizal sebagai dahsyat dan cukup serba serbi, manakala Siti Hajar merasakan pemuda tampan itu mempunyai fleksibiliti suara dan mood yang sangat baik. Adlin Aman Ramlie pula selaku pengkritik tetap berkias menerima kehadiran Faizal sebagai bintang baru.

Ujarnya, “Anda telah ditemui, telah diterokai di sini. Malam ini ibarat ijab kabul anda dengan industri hiburan. Saya berharap anda gunakan pengalaman yang ada dan tidak siakan hari-hari mendatang.”

Gelaran juara melayakkan Faizal membawa pulang hadiah bernilai hampir RM400,000, termasuk sebuah kondominium A’Famosa di Melaka, sebuah kereta Toyota Vios, pakej percutian ke Paris dan wang tunai RM20,000.

Selepas tersingkir dan diserap semula melalui undian AFMasuk, Lotter menjejaki langkah Linda Nawuwil semasa AF2 dua tahun lalu. Jejaka berusia 23 tahun kelahiran Membakut Sabah itu terus merampas tempat kedua menerusi dendangan lagu In The End dan Yang Berlalu Tak Berulang.

Gagal mengatasi undian Faizal dan sekadar mampu berpuas hati dengan undian sebanyak 28 peratus, Lotter P. Edwin Edin menolak persepsi dia telah meragut peluang kemenangan peserta lain.

“Peluang kedua yang saya perolehi adalah atas pilihan peminat. Saya hormati dan hargai kesempatan yang diberikan,” katanya pendek.

Jejaka berperwatakan lucu ini menerima hadiah bernilai hampir RM120,000, termasuklah sebuah kereta Toyota Vios, pakej percutian ke Paris dan wang tunai RM10,000.

Nur Farhan Azizan yang sebelum ini disebut-sebut bakal meleraikan ikatan monopoli pemenang lelaki, hanya diletakkan di tempat ketiga dengan undian 20 peratus.

Meremangkan bulu roma penonton dengan vokal mantapnya melalui Aku Saja Yang Tahu dan melepasi kesukaran menyanyikan lagu Spain dengan cemerlang, awal-awal lagi dia sudah dilabel ‘diva’ oleh Mamat Khalid.

Pengarah filem itu tidak teragak-agak meletakkan Farhan sebaris dengan Whitney Houston dan Nina Simone. Siti Hajar juga akur bahawa persembahan gadis berusia 22 tahun itu memuaskan, begitu juga dengan Adlin yang tidak mempertikaikan kemampuan Farhan sebagai penyanyi.

Mensyukuri kemenangannya, Farhan dari Kuala Lumpur merangkul hadiah bernilai hampir RM30,000, termasuklah pakej percutian ke Paris dan wang tunai RM5,000.

Walaupun kebanyakan ramalan menepati sasaran, Konsert Akhir AF4 memberikan kejutan kecil apabila Haziq yang dijangka akan mendiami tempat kelima, naik satu tangga ke tempat keempat.

Hazwan Haziq Rosebi, 18 dari Kluang, Johor memikat penonton dengan kekuatan ‘akar’ Melayunya melalui dendangan Cubit-Cubit Sayang dan Gurindam Anak Muda. Dia menerima ganjaran bernilai hampir RM20,000.

Sementara itu, finalis ‘malatup’, Velvet Lawrence Aduk, 19 dari Penampang, Sabah terpaksa reda dan menerima kententuannya berada di tangga terakhir. Diserahkan tanggungjawab menyampaikan lagu Rembulan dan Kini Detiknya, Velvet membawa pulang hadiah bernilai RM12,500.

Peratus undi sebelum konsert
Faizal 35%
Lotter 27%
Farhan 17%
Velvet 11%
Haziq 10%

Peratus undi selepas konsert
Faizal 34%
Lotter 28%
Farhan 20%
Haziq 11%
Velvet 8%

Undi Merosot, Bukti AF4 Lesu?

Jumlah undian keseluruhan AF4 merosot lagi. Bermula dengan angka yang gemilang iaitu 15 juta undi untuk AF2, kemudian berkurangan ke 10.7 juta untuk AF3, AF4 hanya mampu menerima 7.4 juta undi. Daripada jumlah tersebut, Konsert Akhir AF4 memungut 1.3 juta undi.

“Kami melihat penurunan undi ini disebabkan oleh beberapa faktor. Antara yang dapat dikesan ialah demam Piala Dunia dan faktor ‘TsuMawi’ yang masih melanda. Namun begitu, kami percaya AF masih menjadi jenama Astro yang kuat berdasarkan jumlah langganan dan tontonan yang meningkat dari masa ke semasa.

“Kami tidak menyangkal akan kemungkinan penonton sudah terbiasa dengan format AF. Keghairahan terhadapnya mungkin tidak sehebat dulu, tetapi kami sentiasa berusaha menghidangkan yang terbaik untuk penonton,” jelas Pengarah Kanan Astro, Zainir Aminullah.

Menolak tanggapan AF4 gagal sepenuhnya dan hilang sengat, Zainir menambah: “Kami meneruskan musim ini dengan cabaran yang besar kerana penonton semakin arif dengan konsep program itu sendiri.

“Bercakap mengenai pemilihan lagu yang dikatakan hambar dan soal pemakaian peserta yang dikritik, kami mempunyai panel yang dilantik berdasarkan kepakaran dan pengetahuan. Cita rasa penonton pelbagai dan kami melihat perkara ini sebagai sesuatu yang sangat subjektif.”

Enggan mengesahkan jika AF disambung ke musim kelima, Zainir mengulang kata-kata tahun sebelum ini: “Mungkin ada, mungkin tidak.”