eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Mencari Raja Lawak Negara

Sunday, December 10, 2006

Mencari Raja Lawak Negara



“Kita terlalu kerap menerbitkan pertandingan nyanyian sehingga kita ‘kekeringan’ bakat-bakat yang sebenar. Berdasarkan format realiti, tidak banyak perubahan yang boleh dilakukan melainkan kandungan program diubah,” kata Michael Christian Simon menjelaskan bagaimana dia muncul dengan idea menerbitkan Raja Lawak.

Mencipta satu lagi platform dalam dunia hiburan, program realiti terbaru terbitan Astro itu memberi fokus kepada pencarian bakat-bakat jenaka tempatan.

“Berbanding nyanyian, industri kita kekurangan bakat-bakat yang boleh melawak. Bilangannya boleh dikira. Dengan adanya program seperti ini, kami berharap ia mampu melahirkan lebih ramai lagi wajah baru komedian tanah air,” sambungnya yang berpengalaman menerbitkan Sinaran Pasport Kegemilangan, Malaysian Idol dan One In A Million.

Bakal bersiaran di Astro Ria mulai 23 Disember, Raja Lawak akan mengadakan sesi uji bakatnya di tiga bandar utama iaitu Johor Bahru, Pulau Pinang dan Shah Alam. Setiap peserta diberikan masa tiga ke empat minit untuk mempersembahkan sketsa mereka.

Diadili barisan panel profesional yang terdiri dari Datuk Jamali Shadat, Jalil Hamid, Sabri Yunus dan A.R Badul selaku ketua juri, empat pelawak terkemuka ini juga bakal bergelar tenaga pengajar untuk membimbing peserta yang berjaya ke pusingan seterusnya.

“Mereka yang melepasi uji bakat akan mara ke Pusingan Latihan Pusat. Di sinilah barisan tenaga pengajar akan memerhati, menilai bakat sebenar serta memilih hanya 14 peserta, baik secara solo atau berkumpulan, yang dirasakan benar-benar layak menyertai rancangan ini.

“Mereka yang dipilih akan mendaftar di Pusat Latihan untuk sesi akademik dan mengikuti kelas yang diadakan tiga kali seminggu. Proses penyingkiran hanya bermula apabila mereka bersaing sesama sendiri dalam setiap persembahan hujung minggu,” ujar Michael lagi semasa sidang media, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Program Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh; Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul; Penerbit Eksekutif Raja Lawak, Adi Shamsul Abdul Hayee; serta dua orang tenaga pengajar iaitu A.R Badul dan Jalil Hamid.

Mempunyai beberapa persamaan dengan konsep Akademi Fantasia, Raja Lawak juga menggunakan kaedah undian khidmat pesanan ringkas (SMS) seratus peratus untuk menentukan siapa tersingkir dan siapa bergelar juara.

Bukan itu saja, para peminat boleh menyaksikan apa yang berlaku di dalam Pusat Latihan setiap hari Rabu, Khamis dan Jumaat menerusi Ceritera Raja Lawak, sebelum mengundi peserta kegemaran yang bertarung dalam Gelanggang Raja Lawak setiap Sabtu.

“Menghakimi komedi rasanya lebih mudah dari pertandingan nyanyian. Alasannya lebih jelas - apa yang penonton rasakan lucu dan menambat hati, itulah yang mereka undi. Siapa yang paling kelakar, dialah yang akan menjadi paling popular. Justeru sistem penjurian SMS dilihat sangat bertepatan dengan program ini,” terang Khairul Anwar.

Sementara itu, ketua juri A.R Badul memberitahu, kehadiran tenaga pengajar bukanlah untuk menjadikan seseorang itu pandai berjenaka, sebaliknya mereka hanya bertanggungjawab menggilap bakat yang sedia ada.

“Kami diberi kuasa memilih serta menggabungkan mana-mana individu menjadi kumpulan jika ia satu tindakan yang patut. Secara kasar, kriteria pemilihan merangkumi keaslian sesebuah persembahan, kreativiti serta potensi yang ditonjolkan,” kata pelakon serta pengarah terkenal itu.

Jalil pula berpendapat, tugas tenaga pengajar adalah untuk memantau mutu persembahan setiap peserta.

“Mereka harus memikirkan sendiri idea-idea yang baru, segar dan bernas untuk menarik minat penonton. Kami cuma memastikan komedi yang disampaikan tidak tersasar dari tugasan atau tema setiap minggu,” tambah Jalil.

Sesi uji bakat Raja Lawak
* 9 Disember - Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor (10 pagi-10 malam)
* 16 Disember - Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (10 pagi-10 malam)
* 23 Disember - Plaza Alam Sentral, Shah Alam (10 pagi-10 malam)

Informasi Raja Lawak
* Alkisah Raja Lawak (episod pengenalan) - setiap Sabtu, mulai 23 Disember, 9.30 malam
* Ceritera Raja Lawak - setiap Rabu, Khamis, Jumaat, mulai 17 Januari, 9.00 malam
* Gelanggang Raja Lawak - setiap Sabtu, mulai 20 Januari, 9.30 malam

** Hanya terbuka kepada warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas