eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Anugerah Dari Dubai

Thursday, December 07, 2006

Anugerah Dari Dubai



Sudah genap sedekad Raihan memperjuangkan nasyid dalam industri hiburan tanah air. Menaiktaraf serta meletakkan martabat irama berunsur keagamaan itu setanding dengan genre arus perdana yang lain, nama Raihan sudah boleh dianggap sebagai satu jenama muzik.

Selepas menerima pelbagai trofi dan pengiktirafan di negara sendiri, termasuklah Album Nasyid Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk beberapa tahun, Raihan akhirnya mencipta rekod peribadi apabila menerima penghargaan yang bersifat antarabangsa dari negara luar.

Tanggal 26 Oktober lalu, kumpulan yang dianggotai oleh Che Amran Idris, Abu Bakar Md. Yatim, Amran Ibrahim dan Nordin Jaafar ini telah terbang jauh ke Dubai untuk menerima anugerah Mahabba Awards: Art of Love atas kecemerlangan sebagai kumpulan nasyid kontemporari terkenal rantau ini.

Dianjurkan buat kali pertama bagi menghargai karyawan-karyawan seni keIslaman sedunia, Anugerah Mahabba yang bermaksud persahabatan atau persaudaraan berlangsung di Biyanas Ballroom, Hotel Grand Hyatt Dubai. Selain kategori nasyid, acara tersebut turut mewujudkan beberapa kategori lain seperti perfileman dan seni fotografi.

“Sebagai satu-satunya wakil kumpulan nasyid dari Asia, kami amat bersyukur dan terharu atas penganugerahan tersebut. Selain Raihan, kumpulan nasyid lain dari benua Eropah, Afrika dan Amerika Utara turut diberi penghargaan,” jelas Che Amran dalam satu sidang media yang diadakan di ibu kota, baru-baru ini.

Dilihat sebagai pencetus revolusi nasyid secara komersial di benua Asia, Raihan menganggap kejayaan tersebut besar ertinya.



“Kami melihat trofi itu bukan sekadar anugerah biasa, sebaliknya satu pengiktirafan daripada tanah Arab, tempat di mana berkembangnya irama Nasyid itu sendiri. Kalau ditanya apa kriteria yang menyebabkan para juri memilih Raihan, kami kurang pasti tetapi sudah tentu mereka mengikuti perkembangan Raihan sejak dulu lagi.

“Selama sepuluh tahun bergiat secara serius, kami telah merantau bukan saja ke negara jiran yang terdekat seperti Singapura, Brunei dan Indonesia, malah sampai ke Eropah, Kanada, Perancis, Rusia, Hong Kong dan beberapa negara timur tengah yang lain,” sambung Che Amran lagi.

Pernah bekerjasama dengan figura Islam terkemuka, Yusof Islam melalui lagu God Is The Light dan Seal Of The Prophet dalam album Syukur tidak lama dulu, portfolio Raihan sememangnya membanggakan. Tidak hairanlah mengapa kumpulan ini mendominasi kemenangan Anugerah Kembara AIM sebanyak tiga kali pada tahun 1998, 2001 dan 2006.

“Alhamdulillah, dalam kebanjiran banyak kumpulan nasyid di benua Asia dan Timur Tengah, Raihan mampu memberikan impak kepada komuniti Islam. Kami terkejut apabila di Afrika Selatan, terdapat kumpulan nasyid yang menamakan diri mereka Raihan II dan Raihan Girls kerana membawakan konsep nasyid yang serupa,” cerita Che Amran mewakili rakan-rakannya.



Turut menyatakan album Raihan telah dicetak dalam bahasa kebangsaan masing-masing di Rusia dan Perancis, mereka turut diberi peluang mengadakan persembahan dalam Festival Nasyid Kuwait ke-7 selama empat hari berturut-turut pada awal November lalu.

“Ini merupakan penyertaan kali kedua kami dalam pesta tersebut selepas diundang tahun lalu. Sekali lagi, kami mewakili benua Asia kerana kebanyakan peserta lain datang daripada negara-negara Timur Tengah,” tambahnya.

Ditanya tentang perancangan Raihan selepas ini untuk melebarkan lagi empayar nasyid, mereka yang baru muncul dengan album Tawakal dijadualkan ke negara Amerika Latin seperti Trinidad & Tobago, Gunaya dan Surinam pada pertengahan tahun depan.