eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Intuisi Noryn Aziz

Monday, December 04, 2006

Intuisi Noryn Aziz



Masih ingat dengan Noryn yang popular sekitar lapan tahun dulu? Penyanyi ini pernah mencipta nama menerusi kumpulan Sister Sister serta sebuah album berjalur alternatif, Fantasi O Realiti.

Ketika memula bicara, kematangan Noryn yang sekarang ingin dikenali sebagai Noryn Aziz jelas terserlah. Nyata peralihan usia dari gadis remaja ke wanita yang sudah dewasa mengubah penampilan. Dia melangkah lebih elegan, seksi dan menawan hati.

Sesuai dengan irama yang mendasari jiwanya, Noryn selesa diajak berbual tentang muzik terutamanya jazz yang sudah menjadi darah dagingnya sejak mula mengikuti jurusan muzik di International College Of Music (ICOM) lima tahun lalu.

Mengakui pernah keliru dalam memilih arah muzik mana yang mahu dikuasainya, dia yakin kemunculannya kali ini menuju destinasi yang pasti.

Biarpun sudah ramai penyanyi yang lebih popular dan muda ‘tumbuh melata’ di persada muzik tanah air, dengan langkah berani wanita berusia 29 ini yakin, kelainan muziknya mampu meletakkan dia di aras yang kukuh.

“Dengan pengalaman dan ilmu yang saya kutip selama ini, bukan mahu mendabik dada, tetapi saya optimis irama yang saya pilih tidak tersasar jauh dari kehendak para peminat muzik tanah air,” jelasnya sambil menguntum senyum.

“Ketika saya masih hijau dalam dunia showbiz, saya akui naif dan terkapai-kapai. Selepas Sister Sister dibubarkan, saya muncul pula dengan album solo namun album tersebut tidak mampu pergi jauh membuatkan saya sedikit kecewa, lalu berundur sebentar dari dunia hiburan,” tambahnya.

Mahu meluaskan pengaruh empayar jazz kepada pendengar tempatan, kata Noryn, jazz mempunyai kedudukan dan keistimewaan tersendiri dalam hierarki muzik. Justeru, dia memilih jazz yang lebih sederhana dan ringan berbanding jazz klasikal yang agak sukar diterima di sini.

“Tidak ramai penyanyi Melayu yang memilih irama jazz. Mungkin kerana kurang pendedahan, atau mungkin persepsi orang yang menganggap jazz bukan tiket untuk cepat popular.



“Bukan kerana tiada saingan atau setakat mahu mencuba nasib, tetapi saya benar-benar meminati jazz. Pengalaman menghibur di kelab-kelab jazz banyak melatih saya untuk menjadi penyanyi yang baik,” terangnya yang pernah diundang menjayakan Festival Java Jazz Antarabangsa di Jakarta, Indonesia awal tahun ini.

Teruja bercerita mengenai album terbarunya, Alam Maya yang sudah berada di pasaran sejak 29 November, ia menggabungkan irama jazz kontemporari, R&B dan soul dalam nuansa pop.

Kesemua 11 trek yang dimuatkan dalam Alam Maya, termasuk dua buah lagu Inggeris adalah hasil tulisan Noryn sendiri. Single pertamanya, Cerita Cinta sudahpun berlagu di corong-corong radio.

“Saya bertuah kerana berjaya mendapatkan khidmat pemuzik jazz terkenal, Michael Verrapan sebagai penerbit. Dengan bantuan anaknya, pemuzik muda Daniel Verrapan, mereka menghasilkan satu produk yang segar dan sangat berlainan,” ujarnya yang membelanjakan kira-kira RM80,000 di bawah naungan labelnya sendiri, Maze Entertainment.

Menolak tanggapan enggan bekerjasama dengan mana-mana komposer lain, tegas Noryn yang ‘bertapa’ dalam studio rakaman sejak awal tahun ini: “Lagu-lagu yang termuat adalah hasil ciptaan saya sejak zaman remaja lagi. Bukan saya tamak, mahu buat semuanya tetapi saya fikir saya mahu dikenali lebih dari seorang penyanyi. Saya menginginkan kepuasan.

“Tentang pelaburan yang dibuat, saya sedar akan risiko yang perlu ditanggung. Nilai yang dibelanjakan itu memang besar, namun untuk sebuah album yang berkualiti seperti Alam Maya, saya rasa ia sangat berbaloi.”

Sedang rancak dia bercerita tentang ‘sayap’ terbarunya, Noryn diajukan dengan satu pertanyaan: adakah dia kembali aktif kerana kecewa dengan kegagalan rumah tangga?

Pintasnya telus: “Semasa mendirikan rumah tangga tujuh tahun lalu, saya memang berhasrat untuk terus berhenti menyanyi. Saya bercita-cita menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga. Begitu pun takdir Tuhan tiada siapa dapat menghalang.

“Perkahwinan yang dibina tidak bertahan lama, hanya kekal setahun setengah saja. Untuk meneruskan kelangsungan hidup, saya harus bangkit dan tidak bergantung harap kepada sesiapa. Sejak itulah saya menyanyi semula.”

Mengakui menyanyi bukanlah hobi, sebaliknya demi mencari sesuap nasi, kata pemilik nama penuh Norazmahwati Abdul Aziz ini, “Sejujurnya, apa yang berlaku hari ini tidak pernah saya rancangkan. Sambung belajar dalam bidang muzik, buat album dan terus menyanyi, saya hanya mengikut intuisi hati. Doakan saya untuk ‘terbang’ tinggi selepas ini.”

Masih betah sendirian dan belum memikirkan untuk kembali berpasangan, dia hanya mahu fokus pada kerja buat masa ini.

Ujarnya sebelum mengakhiri perbualan: “Saya tidak pernah kesal dengan perkahwinan yang lalu. Ia banyak mendewasakan saya. Mungkin bekas suami bukan orang yang tepat. Saya tidak menyimpan dendam dalam hati. Mungkin satu hari nanti saya ditemukan dengan insan yang sepadan.”