eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Superhero Impian Yusry

Friday, December 01, 2006

Superhero Impian Yusry



‘Sebab hendak jadi Superman’ - antara alasan utama mengapa Yusry begitu teruja membikin filem pertamanya, Cicak Man.

“Sejak kecil lagi saya berangan mahu jadi superhero. Kerana itu apabila diberi peluang mengarah filem, saya terus ‘bermain’ dengan idea mencipta satu karakter seperti itu,” jelas Yusry Abdul Halim ketika sesi pratonton filem bernilai RM2 juta itu di Cathay Cineleisure, Damansara, baru-baru ini.

Mengakui menerima tanggapan negatif dan pandangan skeptikal sesetengah pihak pada awalnya, kata sutradara muda ini: “Ada yang kata ilham saya merepek kerana dengan bajet yang terhad, mustahil saya mampu melakukannya.

“Penonton sudah pasti akan menyamakan Cicak Man dengan produk-produk Hollywood yang jauh lebih hebat. Tetapi kerana saya sendiri tahu tentang CGI (imej penjanaan komputer), saya yakin ia boleh direalisasikan.”

Menjadi produk sulung KRU Films Sdn. Bhd., salah satu cabang bisnes di bawah empayar KRU Berhad, Cicak Man juga diterbitkan atas dasar ingin menunaikan janji.

“Para peminat KRU selalu bertanya bila kami mahu buat filem. Justeru saya menghadiahkan mereka dengan sesuatu yang berlainan dan yang pertama seumpamanya di Malaysia,” sambung Yusry lagi.



Filem yang diletakkan di bawah genre aksi komedi ini menjalani proses pra produksi selama enam bulan sebelum memulakan penggambaran di Putrajaya, Cyberjaya, Technology Park Malaysia, KL Sentral dan sekitar Lembah Klang.

Biarpun penggambaran memakan masa sekitar 35 hari saja, proses pasca produksi mengambil tempoh sehingga sembilan bulan.

“Selain tugas pengarahan, saya turut bertindak secara langsung dalam proses animasi dan penciptaan efek. Hampir 350 daripada jumlah 480 shot CGI saya hasilkan sendiri,” ujarnya bangga sambil memberitahu hampir 60 peratus penggambaran dilakukan di sebuah gedung dengan teknik menggunakan skrin hijau.

Ditanya akan kesukaran membayangkan setiap visual seperti yang dikehendaki tanpa kewujudan set sebenar, terang Yusry yang berpengalaman mengarah beberapa video muzik dan iklan: “Setiap adegan telah dilukiskan pada storyboard, bermula dari frame yang pertama hingga frame terakhir. Saya akui agak susah pada mulanya untuk menjadikan ia satu realiti, tetapi itulah ‘keajaiban’ CGI.”

Turut bertindak sebagai pelakon, selain Yusry yang membawakan watak Danny, Cicak Man dibantu dengan kehadiran nama-nama besar industri hiburan seperti Saiful Apek (Hairi, Cicak Man), Fasha Sandha (Tania), Aznil Nawawi (Profesor Klon), Adlin Aman Ramlie (Ginger 1), AC Mizal (Ginger 2) dan Yasmin Hani (Nadia).

“Semasa proses penciptaan karakter dan penulisan skrip, saya sudah membayangkan siapa pelakon yang paling sesuai memainkan peranan masing-masing kecuali karakter Danny. Mungkin saya tidak jumpa aktor yang sesuai sehingga saya sendiri terpaksa berlakon,” beritahu Yusry.

Menerangkan mengapa dia membentuk imej Metrofulus sebuah negara beriklim sejuk, Yusry mempunyai alasannya tersendiri.

“Ia bukan saja mencipta satu kelainan, tetapi saya mahukan ‘rupa dan perasaan’ seperti buku-buku komik yang selalu kita baca. Tambahan pula Cicak Man memakai sut kulit. Kalau dengan cuaca Malaysia, sudah tentu dia kepanasan dan tidak boleh jadi hero!” pintasnya lagi.

Sudah bersedia menerima sebarang kritikan apabila Cicak Man ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 Disember, Yusry meminta agar ‘bayi sulungnya’ ini tidak dibandingkan dengan cereka-cereka Hollywood.

“Jika ada yang mempersoalkan keaslian ilham filem ini, ingin saya katakan plot filem superhero selalunya berlegar pada isu yang serupa, iaitu ingin membanteras kejahatan. Seperti Superman yang takutkan kryptonite, Cicak Man juga mempunyai kelemahan apabila tewas dengan gelang getah yang digunakan untuk melastiknya.

“Persamaan-persamaan seperti itu memang tidak boleh dielakkan,” tegas Yusry. Dengan peruntukan yang ada, ruang masa yang singkat dan beberapa kekurangan lain, bagaimanapun, dia merasakan Cicak Man boleh dibanggakan.

Digerakkan dengan sokongan publisiti dari syarikat telekomunikasi DiGi, Cicak Man turut mendapat hak penayangan di beberapa negara rantau ini seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

Sementara itu, Aznil mengakui tidak teragak-agak menerima tawaran membintangi filem ini kerana tahu hasil kerja Yusry tidak pernah mengecewakan.



“Apatah lagi bekerja dengan seorang pengarah yang berfikiran terbuka sepertinya, saya diberikan kelonggaran mewarnai sendiri karakter Profesor Klon. Cara berjalan, bercakap malah ketawa adalah gabungan idea saya dan Yusry.

“Sebetulnya semasa berlakon, saya tidak pasti bagaimana hasilnya kerana kebanyakan adegan dibuat dalam gudang. Selepas menyaksikannya di layar, saya sangat kagum, cuma agak berdebar dengan reaksi anak-anak saya melihat bapanya berupa seperti itu!” beritahu pengacara nombor satu tersebut.

Begitu juga dengan Fasha yang menganggap Cicak Man satu pengalaman menyeronokkan. “Begitu pun, saya sangat gementar melakonkan babak bertentang mata dengan Yusry. Adegan-adegan romantis seperti itu memang kelemahan saya,” akui bintang jelita yang paling laris ketika ini.

Ditanya jika kemunculan Cicak Man akan membuatkan pengikutnya bosan selepas menonton Nana Tanjung dan Cinta yang ditayangkan serentak, dia membalas optimis: “Setiap watak yang saya lakonkan adalah berbeza, begitu juga dengan genre filem. Saya sendiri tidak sangka ketiga-tiganya ditayangkan pada masa yang sama, tetapi berharap peminat akan tetap memberikan sokongan.”


Sinopsis Cicak Man

Mengambil latar sebuah kota fantasi ala Gotham City dari filem Batman bernama Metrofulus, Hairi dan Danny bekerja dengan Klon Techologies kepunyaan Profesor Klon. Satu hari tanpa disengajakan, Hairi telah melepaskan seekor cicak uji kaji vaksin terbaru, lalu termasuk ke dalam minumannya.

Satu virus penyakit telah menular secara besar-besaran di Metrofulus menyebabkan Profesor Klon tampil memberi bantuan. Mengesyaki majikan mereka menjadi dalang utama di sebalik penyebaran virus tersebut, Hairi dan Danny cuba mencuri masuk ke pejabat Profesor Klon dengan menggunakan pas kerja setiausahanya, Tania.

Dalam pada itu, Hairi mula merasakan perubahan dirinya yang bersifat seperti seekor cicak. Dia mengeluarkan bunyi yang aneh, berkebolehan memanjat dinding serta berlidah elastik untuk menangkap serangga. Dengan ‘kuasa’ luar biasa itu, dia cuba menyiasat apa yang berlaku sebenarnya.