eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: 06/06

Tuesday, June 27, 2006

Kematangan Manusia Super



Tajuk: Superman Returns

Genre: Aksi/Adventure/Fantasi

Pengarah: Bryan Singer

Para pelakon: Brandon Routh, Kate Bosworth, Kevin Spacey, James Marsden, Parker Posey, Frank Langella, Sam Huntington

Penilaian: 3 bintang

Dua dekad berlalu, Superman kembali ke layar lebar (kali terakhir ialah Superman IV: The Quest For Peace). Filem ini bukanlah sebuah remake atau sambungan kepada francais yang sebelumnya, namun ia mewarisi ‘semangat dan perasaan’ filem Superman pertama yang diterbitkan pada 1978.

Persembahan kredit pembukaan saja sudah cukup klasik, memberikan imbasan nostalgia legasi hero fantasi terunggul ini. Diikuti dengan adegan flashback Clark Kent semasa kanak-kanak, memori audiens seakan dibawa semula mengingati siapa dia Superman, sesuai dengan tajuk filem - Superman Returns.

Selama lima tahun, Superman menghilangkan diri dari bandar Metropolis, mencari kesahihan jika dia merupakan satu-satunya waris dari Planet Krypton yang masih hidup. Pulang tepat pada masa ketika musuh ketatnya, Lex Luthor telah dibebaskan dari penjara, Superman terpaksa menerima kenyataan bahawa dunia sedang ‘belajar melupakan dirinya’.

Dengan alter ego sebagai Clark Kent, dia bertugas semula sebagai pemberita di Daily Planet. Kepulangan ini menemukan kembali Clark dengan Lois Lane, yang mencintai Superman tanpa mengetahui Clark adalah orang yang sama.

Sifat Lois sebagai wartawan penuh dedikasi masih tidak berubah, cuma dia kini sudah mempunyai teman baru, Richard dan seorang anak, Jason. Dia juga telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pulitzer atas esei yang berjudul ‘mengapa dunia tidak memerlukan Superman’.

Meskipun pada penglihatan kasar Lois sudah mempunyai kehidupan yang baru, dia sebenarnya masih memendam kepahitan ditinggalkan Superman. Esei tulisannya itu seolah satu refleks di bawah sedar untuk melepaskan kemarahan.

Lex pula cuba mengaut keuntungan, ingin menjadikan masyarakat sengsara dengan menggunakan teknologi yang dicuri dari planet Krypton. Dengan pelbagai konflik yang timbul, di titik inilah Superman harus meraih semula kepercayaan dunia dan Lois terhadapnya.

Superman Returns menampilkan sebuah plot yang matang dan impresif. Tidak seperti versi-versi asalnya (yang lebih banyak menekankan aspek heroism, hubungan antara Clark dengan ibu bapa angkatnya serta percintaannya dengan Lois), filem kali ini lebih bersifat kemanusiaan.

Seperti mana Christopher Nolan mendefinisikan semula imej Batman menerusi Batman Begins, Bryan Singer melakukan perkara yang serupa kepada Superman. Dia dilihat sebagai satu karakter yang cukup legenda, berkuasa luar biasa tetapi masih rapat dengan sifat-sifat manusia normal.

Dengan bantuan cemerlang efek CGI, penonton seolah terbawa ke alam Metropolis, mempercayai bahawa di luar sana memang Superman benar-benar wujud.

Namun di sebalik kesungguhan itu (serta publisiti filem yang besar-besaran), Superman Returns tidak berjaya mengangkat Brandon Routh sedarjat dengan Christopher Reeve. Lakonannya sederhana, tidak mengujakan selain daripada berwajah tampan. Mungkin inilah kesukaran meneruskan jawatan yang telah serasi dipegang oleh Reeve.

Bukan Kate Bosworth tidak cantik, tetapi apabila penonton membandingkan dia dengan Margot Kidder, penampilan Lois dulu dan kini ibarat langit dan bumi.

Bosworth tidak memiliki kualiti yang dipunyai oleh Kidder - seksi dan berani tetapi dalam masa yang sama vulnerable. Sementara itu, Kevin Spacey merupakan pilihan yang baik untuk Lex Luthor. Dia mempunyai keupayaan untuk memberikan wajah yang multi dimensi kepada karakter tersebut.

Perancangan Warner Bros untuk menerbitkan sekuel Superman pada tahun 2009 harus dijalankan. Mungkin Lois Lane patut meneruskan niatnya menulis esei baru berjudul ‘mengapa dunia memerlukan Superman.’

Saturday, June 17, 2006

Jamie, Si Genius Jazz



Berjaket hijau dengan singlet merah, berseluar jean koyak rabak dan sepasang sneakers hitam lusuh, Jamie Cullum menyapa sekumpulan wartawan dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan tuan rumah, Singapura yang diundang khas oleh Universal Music sempena konsertnya di kota singa itu.

Kelihatan segar dengan stail rambutnya yang tidak terurus, dia tersenyum, kemudian ketawa apabila mendengarkan soalan pertama yang dilemparkan.

“Melucukan apabila saya sering ditanya soalan yang serupa sebegini. Tiga tahun merantau ke serata dunia untuk promosi album dan konsert, saya sentiasa mendengar cerita yang kononnya peminat Asia lebih senyap dan tidak agresif. Tetapi saya tidak percaya dan meraguinya. Konsert saya di Hong Kong minggu lalu sangat menyeronokkan,” terang genius jazz muda ini.

Dilabel dengan pelbagai jolokan, antaranya ‘Sinatra in sneakers, the Beckham of jazz’ dan ‘the junior of Harry Connick Jr.’, Jamie Cullum mencetus kegemparan kerana kelainan muziknya yang mengangkat elemen jazz dalam cita rasa pop.

“Orang bertanya mengapa saya memilih jazz. Pada saya, muzik jazz amat bebas. Ia boleh ‘dibawa’ ke mana-mana saja, baik dalam irama dance, rock, klasik mahupun punk,” ujarnya yang mendapat kontrak bernilai sejuta pound sterling untuk rakaman album komersial pertama, Twentysomething tiga tahun lalu.

Dilahirkan di Essex, England dan dibesarkan di Whiltshire, Cullum obses terhadap muzik sejak kecil lagi dan mula meneroka keajaiban jazz sejak mendengar Miles Davis. Berkebolehan bermain (dan memecahkan) piano - mengikut rekod, dia telah memecahkan sekitar lima buah piano! - dia tidak pernah bermimpi untuk menjadi bintang terkenal seperti hari ini.

“Pada awalnya saya bermain muzik kerana minat semata-mata, bukan untuk duit poket. Biarpun saya sudah bergelar penyanyi rakaman sekarang, itu tidak bermakna saya hanya memikirkan keuntungan dan populariti. Saya masih mempunyai impuls dan keghairahan yang sama seperti dulu,” katanya yang terkenal dengan aksi melompat, memijak dan ‘memukul’ piano di atas pentas.

“Saya hanya mengikut gerak hati,” jawab Cullum mengenai ‘kelakuan liarnya’ itu. “Perkara sebegitu tidak boleh dielakkan. Saya tidak melihat ia sebagai gimik, sebaliknya satu perangai semula jadi.”

Twentysomething merekodkan Cullum sebagai artis jazz terlaris dalam sejarah di United Kingdom. Terjual sebanyak 2.5 juta unit, dia meneruskan karya-karya azimatnya menerusi Catching Tales yang diedarkan tahun lalu. Dalam album tersebut, Cullum lebih bereksperimentasi, termasuklah menggabungkan unsur elektrik bass.

“Catching Tales mewakili siapa saya dan apa yang saya mahukan sebagai pemuzik. Saya ingin muzik saya ‘berbicara’ sendiri tanpa saya menjelaskan apa maksudnya, menjadi satu pandangan yang progresif terhadap gabungan pop dan jazz,” tuturnya penuh karisma.

“Ia menggambarkan bagaimana saya melalui satu evolusi, antara Jamie yang lama dan Jamie yang baru. Saya tidak risau tentang angka jualan jika Catching Tales tidak mampu menandingi Twenstysomething. Apa yang lebih penting ialah saya bangga dengan apa yang saya ada sekarang,” tegas si kenit berusia 26 tahun ini.

Sebelum meninggalkan sidang media tersebut yang hanya berlangsung sekitar 20 minit, Cullum sempat melayan beberapa pertanyaan yang melucukan tanpa mengeluh atau melakarkan wajah masam.

“Kalau ada yang mahu membuat filem mengenai saya, silakan. Mungkin Brad Pitt sesuai melakonkan watak saya, tetapi nenek saya pernah berkata wajah saya seperti Leonardo DiCaprio!” katanya selamba.

HOBBIT TERHEBAT

Dia bertubuh kecil, malah ketinggiannya pun sekitar 164 sentimeter. Namun begitu, aura jiwa dan semangatnya yang besar telah meresapi segenap ruang Suntec Conventional Hall, tempat berlangsungnya konsert Jamie Cullum yang kedua di Singapura, baru-baru ini.

Tanpa sebarang gimik mahupun pengumuman, Cullum terus muncul di atas pentas sebaik saja lampu dewan dipadamkan. Ketika ini, berduyun-duyun penonton yang berada di tempat duduk belakang mula berlari, berpindah memenuhkan tempat yang kosong di depan (termasuklah penulis!)

Membuka tirai dengan Photograph, dia mengiringi persembahannya dengan petikan piano dan bantuan empat pemuzik lain yang terdiri daripada pemain bass, drum, trumpet/saksofon dan keyboard/percussion.

Mengenakan jean, kemeja putih dan tali leher tirus beserta jaket hitam, Cullum menghangatkan suasana dengan single pertama daripada Catching Tales, Get Your Way.

Audiens tidak perlu menunggu lama untuk melihat Cullum melakukan ‘stage antics’ nya. Memanjat papan piano dan memijak butang-butang putih hitam semasa menyampaikan lagu Twentysomething, dia menjawab jeritan ‘I Love You’ dari penonton dengan berkata: “Jangan terlalu cepat berkata demikian. Anda mungkin membenci saya semasa pertengahan persembahan.”

Di depan kira-kira 3,500 penonton, Cullum membuat saranan: “Kalau anda rasa mahu ke depan pentas, silakan. Jangan pedulikan pengawal keselamatan,” katanya antara gurau dan bersungguh.

“Malam ini England bertarung untuk Piala Dunia. Saya rasa mereka akan menang, tetapi sebelum anda menonton perlawanan tersebut, adalah elok untuk anda menyaksikan lelaki dari England yang seorang ini beraksi!” sambungnya.

Menyambung persembahan dengan What A Difference A Day Made, Cullum memaklumkan penonton bahawa penutup piano telah tercabut akibat aksi liarnya! (menurut buku cenderamata, sebelum ini dia pernah menerima 12 bil kerosakan piano daripada pihak penganjur).

Tidak mempedulikan insiden tersebut, dia membuatkan penonton teruja dengan dendangan lagu rap popular seperti So Sick, Gold Digger dan Frontin’ dengan caranya sendiri.

Turut membawakan lagu These Are The Days, Old Devil Moon dan Liar Liar, Cullum turut menunjukkan kebolehannya bermain gitar serta sempat membuat komen sinikal tentang program Singapore Idol.

“Saya dijemput untuk bertemu mereka sebentar tadi. Saya terkejut kerana pesertanya terlalu ramai. Sama macam teater Shakespeare, tentu program itu memakan masa tiga jam tetapi dengan lebih banyak ‘adegan kematian’!”

Turut mempergunakan saiz tubuhnya sebagai jenaka yang menurutnya, “sukar untuk memikat perempuan”, tenaga Cullum tidak pernah surut. Duduk di atas butang piano, menekannya dengan kerusi dan mengetuk drum sekuat hati, kemantapan vokalnya tidak terjejas semasa menyampaikan lagu London Skies, Lover You Should Have Come Over, I Could Have Danced All Night, Wind Cries Mary dan I Get A Kick Out Of You.

Seluruh stadium meluru ke bahagian depan pentas apabila Cullum dan pemuziknya turun ke bawah menyanyikan lagu klasik Nature Boy. Malang bagi penonton di belakang kerana tidak dapat menyaksikan apa yang berlaku. Mujurlah mereka tidak berasak-asak dan Cullum masih selamat untuk meneruskan persembahan selepas dikerumun.

Menghidangkan Mind Trick, High And Dry serta Seven Nation Army sebagai penutup tirai, audiens dari pelbagai generasi tidak segan silu berdiri dan menari di atas kerusi sebelum konsert dua jam itu berakhir.

Andai kata Jamie Cullum seorang hobbit dari hikayat legenda The Lord Of The Rings, percayalah dia lebih hebat dari Frodo Baggins!

Monday, June 12, 2006

Membongkar Wan Kamarudin

Bukan mudah untuk mendalami personaliti sebenar Wan Kamarudin Wan Ibrahim. Menolak tanggapan dirinya seorang selebriti, dia enggan bercerita panjang soal peribadinya, sebaliknya lebih teruja berbicara tentang kerjaya.

“Tak payahlah. Saya segan,” tolaknya berkali penuh hemah. Sering mengelak apabila diajukan soalan yang terkeluar daripada bidang kariernya, dia memberitahu: “Apa yang saya lakukan bukan untuk glamor atau publisiti. Selain menjadi periuk nasi, saya menganggap ia sebagai satu tanggungjawab untuk memberi maklumat dan sedikit kesedaran kepada masyarakat.”

Menempa nama melalui Edisi Siasat di ntv7, Wan juga ‘dipaksa’ untuk senyum ketika jurugambar merakamkan wajahnya di Studio Utusan, baru-baru ini. “Tak biasalah,” akuinya malu-malu. “Awak mahu buat cerita fasal Bongkar atau fasal saya?” tanyanya meminta kepastian penulis.

Kini muncul dengan sebuah lagi program penyiasatan berjudul Bongkar, ia menjadi buah tangan pertama Wan selepas meninggalkan stesen kepunyaan Media Prima Berhad itu.

Menubuhkan One-To-One View Sdn Bhd bersama dua rakan kongsi, program tersebut menyelongkar sisi gelap kehidupan insan seperti gejala pelacuran, ponteng sekolah, bahana gam, mangsa AIDS/HIV, mat rempit dan bekas penagih dadah.

“Ada yang berpandangan Bongkar tidak banyak bezanya dengan program yang saya hoskan sebelum ini. Tetapi jika diperhatikan, pendekatan dan gaya penyampaiannya berbeza.

“Dulu saya hanya menjadi pengantara, menyampaikan isi kandungan tanpa melalui pengalaman penyiasatan. Sekarang, saya sendiri turun padang, mendekati dan menyelami perasaan subjek yang ditemu bual,” tuturnya terperinci.

Ditayangkan pada setiap Isnin pukul 12. 30 tengah malam di RTM2, Wan berfikiran terbuka apabila ditanya tentang waktu siarannya yang dikatakan tidak sesuai dan gagal meraih ramai penonton. “Setiap waktu tayangan adalah waktu prima mengikut kesesuaian audiens. Saya fikir ada rasionalnya RTM meletakkan Bongkar pada slot tersebut.

“Mungkin kerana Bongkar merupakan program yang berbentuk majalah informasi, ia tidak sesuai bersaing dengan program hiburan atau drama yang rata-ratanya bersiaran selepas berita utama,” hujah anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini.

Bakal muncul dengan sebuah program realiti berbentuk motivasi berjudul Kem Karismatik tidak lama lagi, Wan hanya ketawa apabila ditanya kemungkinan dia bertukar angin mengacarakan program hiburan. “Saya mengalah. Tiada kemahiran, lagi pula kekuatan saya bukan di situ,” ujarnya jujur.

Melihat keterampilannya di layar kaca, tentu ramai yang merasakan dia seorang yang sangat serius dan sukar didekati. Mungkin juga tidak tahu tersenyum?

“Tidaklah sampai ke situ. Saya juga manusia biasa. Bila bersantai, saya masih keluar menonton wayang, bermain boling atau memancing dengan kawan-kawan. Kalau ada yang menyapa, saya membalas. Tidaklah sombong,” jawabnya mempertahankan diri.

Mengimbas kembali detik bagaimana graduan akauntan sepertinya boleh terjerumus ke arena penyiaran, dia ‘membongkar’ rahsianya. “Kalau mahu tahu, Wan Kamarudin yang orang lihat sekarang tidak sama dengan Wan Kamarudin sepuluh tahun dulu. Saya bukan saja pendiam, tidak banyak bercakap, malah selalu sangat berasa rendah diri.

“Saya bermula sebagai pegawai penyelidik di ntv7 selepas berhenti dari industri perbankan. Tidak pernah terlintas untuk menjadi pembaca berita, sampailah saya diminta menyumbangkan suara bagi satu program. Dari situ, mereka melihat bakat yang ada, meminta saya datang ke sesi uji bakat dan tanpa sedar, kehidupan saya mula berubah,” katanya panjang lebar.

Selain tugasnya sebagai penerbit eksekutif di One-To-One View, Wan kini turut aktif mengendalikan kursus pengacaraan, pengucapan awam dan komunikasi efektif bersama teman seperjuangannya, Dang Suria Zainurdin.
Masih bujang meskipun usia sudah menginjak ke angka 36, dia mengakui: “Saya sudah ada teman istimewa, tetapi untuk membincangkan soal kahwin belum lagi. Kami masih memberi keutamaan kepada kerjaya. Tunggulah, sampai seru nanti kami akan tentukan hala tuju perhubungan.”

Thursday, June 08, 2006

Wajah Baru Ning Baizura



“Tak jadilah. Sayang pula hendak potong,” jawab Ning Baizura hujung minggu lalu semasa penulis bertemunya di rumah seorang teman.

Beberapa hari sebelum itu, kami saling berbalas SMS bertanyakan khabar dan berkongsi cerita terbaru, termasuklah hasratnya untuk muncul dengan imej yang berlainan. “Bosan, dah lama berambut panjang,” adu Ning.

Selang sehari selepas itu, saya menerima lagi SMS daripadanya yang berbunyi: “I dah kerat rambut! Malam ni ada recording Diari Akademi Fantasia”. Segera penyanyi bersuara soprano ini dihubungi, lantas temu janji ditetapkan keesokan harinya di studio Babyboss, Petaling Jaya kerana Ning terlibat dengan rakaman sebuah lagu di situ.

Kenapa Ning potong rambut? Ceria suaranya menjelaskan, “Saya mahukan perubahan. Sudah lama rasanya tidak mengubah stail penampilan. Lagi pula tahun ini genap 13 tahun saya mengabdikan diri dalam industri hiburan. Angka tersebut jika diterbalikkan menjadi usia saya tahun ini! Menarik, kan?”

Masyhur dengan lagu Awan Yang Terpilu, Ning mengakui pada mulanya berasa berat hati ‘melepaskan’ rambut yang disimpan sejak tujuh tahun lalu.

“Manakan tidak, kali terakhir saya berambut pendek sekitar tahun 1999 semasa penerbitan album Pujaanku,” katanya sambil memberitahu potongan rambutnya dikenali sebagai ‘fusion bob’ dan sedang menjadi trend hangat di Jepun.

“Jangan ingat makanan saja dilabelkan fusion!” gelaknya seraya menyambung bicara. ”Selepas mencuba beberapa rambut palsu, saya nekad mengikut gerak hati. Cuaca pun sekarang terlalu panas. Bila berambut begini, saya rasa lega dan selesa.”

Muncul pertama kali di kaca televisyen dalam program Diari Akademi Fantasia (AF) Rabu lalu, undangan ke program realiti paling popular itu juga menjadi penyebab mengapa Ning sanggup ‘mengorbankan’ rambutnya.

“Bukankah AF penuh dengan kejutan? Inilah kejutan peribadi saya kepada para pelajar musim keempat,” tuturnya. “Saya dipanggil oleh pihak Astro sehari sebelum rakaman. Diminta bercakap tentang imej dan personaliti, saya fikir ada signifikannya untuk saya ‘berwajah baru’.”

Bercadang untuk mengekalkan gaya sebegini buat beberapa ketika, Ning melihat perubahan seperti ini sebagai satu transisi positif dalam melayari kehidupan, baik dari segi kerjaya mahupun personal.

“Hidup adalah inspirasi saya. Setiap masa manusia inginkan kemajuan dan enggan berada di takuk yang lama. Secara simbolik, saya ingin menyampaikan hasrat dan keinginan tersebut,” terangnya berfalsafah.

Sering diletakkan dalam senarai selebriti yang pandai bergaya serta bercita rasa tinggi, tidak hairanlah dia dianugerahkan dengan trofi Fashionista Award oleh Anugerah Fesyen Malaysia Antarabangsa (MIFA) tahun lalu bersama dua lagi selebriti iaitu Camelia dan Sheila Majid.

Menyelusuri ‘pengembaraan’ imej Ning Baizura, 13 tahun lalu anak kecil dari Kajang, Selangor ini mempunyai susuk tubuh yang agak montok dan berambut kerinting besar. Mengadaptasikan imej penyanyi berkulit hitam melalui album sulungnya Dekat Padamu, Ning belajar untuk nampak matang dan dewasa menerusi album keduanya, Ning.

Melihat betapa pentingnya keterampilan di samping bakat, Ning meluruskan rambut untuk album ketiga Teguh dan saat ini, namanya mula diperkatakan akibat berpakaian seksi dan menjolok mata. Dia dilabel sebagai artis tempatan yang sangat berani, lebih-lebih lagi apabila dia muncul dengan album keempatnya, Ke Sayup Bintang.

Waktu ini, dia berambut pendek tercacak dengan warna jingga kemerahan. Berani melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan, dalam kecanggungan itu, dia masih diberi kepercayaan untuk membawa nama beberapa label seperti Adidas dan Guess.

Sebelum terbang ke Jepun untuk projek album Inggerisnya, Natural Woman, Ning sempat melahirkan album terakhirnya di bawah label BMG berjudul Always. Mendapat sokongan daripada rumah fesyen Christian Dior, tubuh Ning disalut kemewahan jenama itu.

Setahun berada di Jepun, Ning berambut kerinting halus dan mengenakan tiara kecil di atas kepala sebagai ‘signature’ gayanya. Bangga dengan kulit sawo matang yang dimiliki, Ning tidak mengenakan sebarang mekap tebal, sebaliknya percaya kepada prinsip kecantikan semula jadi.

Akibat tragedi hitam yang melanda hidupnya dan menerima aib seMalaysia, Ning bangkit dan kembali ke ‘akar’. Imejnya untuk album comeback, Selagi Ada sangat rapat dengan penampilan yang khalayak umum mahukan. Sejak itu, dia tidak pernah menggunting rambut dan pertengahan tahun 2006 ini, Ning mahukan sedikit warna dalam kepompong stailnya.

ANTARA MENTOR DAN DIVA

Semua sudah tahu Ning mempunyai labelnya sendiri, Artistes United Records (AUR) bersama rakan kongsinya, Vernon Kedit dan Michael Ang.

Melahirkan bintang pertama, Nikki yang popular menerusi Pinta dan Caramu, AUR kini sedang bersiap sedia untuk melancarkan produk kedua mereka iaitu Yanie, anak didik Ning semasa program Mentor musim pertama.

“Buat masa ini, Yanie sedang sibuk menjalani proses rakaman album sulungnya yang berkonsepkan pop. Antara komposer yang terlibat ialah Azmeer, Sharon Paul, Ajai dan Audi Mok. Kalau tiada aral, album ini akan berada di pasaran sekitar Ogos kelak,” kata usahawanita ini optimis.

Sedang mencari material untuk album terbarunya selepas Erti Pertemuan yang diterbitkan dua tahun lalu, ujar Ning: ”Biarlah Yanie lepas dulu. Saya akan muncul dengan lagu-lagu baru selepas Aidilfitri nanti.”

Terkini, Ning terlibat sebagai salah seorang penyanyi yang merakamkan semula lagu kebangsaan Negaraku untuk siaran stesen televisyen ntv7. Digubah oleh Acis dan Jenny Chin, antara penyanyi lain yang diundang ialah Dayang Nurfaizah, Hazami dan Reshmonu.

Menyentuh mengenai filem lakonannya, Diva yang masih tertangguh penggambaran, Ning menjawab ringkas: “Saya hanya dimaklumkan yang ia akan disambung semula Julai depan. Maklumat selanjutnya saya sendiri kurang pasti.”

Wednesday, June 07, 2006

Shanon Enggan Terus Sepi

Album sulungnya, Dilanda Cinta sudah setahun berada di pasaran. Namun demikian, entah di mana silapnya dia kurang mendapat pendedahan sehinggalah namanya diangkat sebagai penerima trofi Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Album oleh Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13) yang lalu.

Khalayak tertanya siapa Shanon Shah? Rahmat di sebalik kemenangan itu ialah apabila mereka mula menyedari kehadirannya, menyelidik apa kelebihan jejaka berusia 28 tahun ini yang mampu menewaskan angkatan senior seperti Jamal Abdillah dan Hazami dalam acara berprestij tersebut.

Berbakat besar bukan saja sebagai penyanyi, malah berkemampuan mencipta lagu dan lirik sendiri, Shanon tidak dapat memberikan jawapan pasti mengapa dia sepi dari sebarang publisiti. Mungkinkah selera muziknya terlalu asing bagi penggemar muzik tempatan?

“Saya tidak pasti mengapa ada yang melabelkan muzik saya di dalam kelas yang lain kerana ia masih berjalurkan pop. Ada yang berpendapat ia tidak sealiran dengan pasaran mainstream, sedangkan bagi saya bunyinya masih radio-friendly,” jelas Shanon dalam sebuah sidang media bertempat di The Cotton Club, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Shanon merasakan jurang itu mungkin terjadi kerana dia ‘membesar’ dan menimba pengalaman awal daripada kelab-kelab eksklusif seperti No Black Tie dan Alexis.

“Kerana itu, peminat barangkali mempunyai persepsi yang berbeza terhadap muzik saya. Tetapi kalau mahu tahu, saya masih menyanyikan lagu-lagu Melayu di situ,” terangnya yang melabelkan muziknya sebagai pop kreatif.

Di situ jugalah, impiannya sebagai penyanyi rakaman tercapai apabila dia dilamar oleh Pengarah Urusan Interglobal Music, Cheah Mun Kit.

“Shanon mempunyai keistimewaannya sendiri. Dengan hanya bermain piano dan menyanyi, kekuatannya sebagai penghibur terserlah. Dia mempunyai bakat yang jarang dimiliki oleh kebanyakan artis tempatan yang sedia ada,” kata Cheah.

Meskipun berdepan dengan risiko, Cheah optimis kepada ekspresi seni Shanon. Dia menganggap usaha tersebut sebagai satu galakan dan anjakan dalam arena muzik tanah air.

“Saya melihat muziknya sebagai satu nafas baru. Justeru, saya memberikan kepadanya sepenuh kebebasan untuk mencorakkan konsep album dan tidak meletakkan apa-apa syarat. Saya mahu dia muncul dengan keunikan sendiri,” ujarnya panjang lebar.

Dilanda Cinta memuatkan sepuluh trek dan sembilan daripadanya adalah hasil nukilan Shanon, antaranya Bila Engkau Jauh, Tidur Tak Lena dan Angkasawan. Turut dimuatkan ialah rakaman semula hit lama kumpulan Gersang, Masih Aku Terasa.

“Saya pilih lagu tersebut kerana ia menjadi kegemaran saya semasa di bangku sekolah,” beritahunya yang mendapat tunjuk ajar vokal daripada rakan seperjuangan, Sandra Sodhy. Album tersebut turut mendapat sentuhan beberapa penggubah muzik terbaik seperti Jenny Chin, Mac Chew, Aubrey Suwito dan Peter Chong.

Pernah memenangi Pertandingan Lagu Patriotik Alaf Baru anjuran Kolej Muzik Antarabangsa Malaysia (ICOM) dan Anugerah Seni BOH untuk Artis Harapan, Shanon tidak pernah menyesal meletakkan jawatan Eksekutif Penganalisa Risiko Kredit di Petronas selepas tiga tahun bekerja.

“Memang susah untuk membuat keputusan itu pada mulanya, apatah lagi dengan ganjaran kewangan yang lumayan. Tetapi lebih sukar untuk saya melupakan hasrat dan keinginan bergelar penyanyi. Saya mahu lebih fokus terhadap minat dan cinta saya dalam bidang seni,” akuinya jujur.

Turut terlibat dalam penciptaan lagu-lagu teater, Shanon enggan berpaling lagi dan terus melangkah menjejak impiannya. “Saya tidak akan jemu untuk memikat hati pendengar tanpa menukar stail. Saya mahu peminat menerima saya seadanya, tanpa membandingkan saya dengan penyanyi-penyanyi lain,” pintanya.

Shanon kini merancang untuk merakamkan album keduanya yang berkemungkinan besar dalam Bahasa Inggeris. “Tetapi, saya beritahu Cheah, ilham bukan turun dari langit! Saya tidak mahu menghasilkannya dengan tergesa-gesa,” katanya diiringi ketawa.

Live journal of Shahnon Shah boleh di jenguk di http://shanonshah.livejournal.com/

Monday, June 05, 2006

Cinta Platonik Orked



Apa yang terjadi sekiranya rakan karib kita - seseorang yang sama-sama memanjat pokok, bermain layang-layang, mengayuh basikal dan saling berkelahi dengan budak-budak yang lain - mula menaruh perasaan terhadap kita?

Melalui Mukhsin, Yasmin Ahmad cuba memaparkan satu pengalaman yang pelik dan kurang menyenangkan, tetapi amat biasa berlaku.

“Saya melihat ia sebagai satu hakikat yang menarik, kerana saya sendiri sukar untuk mengerti bagaimana sesuatu yang sangat indah seperti cinta mampu menggugat sebuah persahabatan,” ujar sutradara hebat ini ketika ditemui di set penggambaran naskhah terbarunya itu di Kuala Selangor, baru-baru ini.

Diterbitkan oleh Grand Brilliance Sdn Bhd, Mukhsin menyaksikan pengalaman cinta Orked semasa berusia 10 tahun. Bagaimana dia menangani perasaan aneh terhadap Mukhsin, seorang jejaka 13 tahun, anak saudara jirannya yang datang bertandang semasa cuti sekolah.

“Saya yakin setiap dari kita pernah melalui pengalaman sedemikian. Bagaimana kita cuba menafikan perasaan suka dan sayang dengan menunjukkan kebencian, kemudian menyedarinya apabila kehilangan,” tambah Yasmin berfalsafah.

Mengakui Mukhsin berdasarkan kisah hidupnya sendiri, dia menjelaskan: “Sebenarnya idea membikin filem ini tidak pernah terlintas sehinggalah pihak Grand Brilliance mempelawa saya untuk bekerjasama.

“Saya mengambil masa dua jam menulis sinopsis filem ini sebelum dipersembahkan kepada pihak penerbit. Apabila mereka bersetuju, saya terus menyediakan skripnya. Alhamdulillah, proses itu hanya memakan masa kira-kira lima hari.”

Namun begitu, menurutnya, skrip tersebut masih diperbaiki semasa latihan berlangsung. Bahkan ketika di lokasi pun, Yasmin sempat mengolahnya lagi.

Sama seperti Sepet dan Gubra, Mukhsin dijadualkan menjalani penggambaran kurang daripada dua minggu kerana para pelakon yang terlibat telah menjalani latihan selama dua bulan.

Memperkenalkan bintang kecil berbakat besar seperti Mohd Syafie Naswip, 13 sebagai Mohsin dan Sharifah Arriana Yahya, 11 selaku Orked, Mukhsin turut dibantu oleh Sharifah Aleya (Mak Inom), Mislina Mustaffa (Mak Senah) dan Irwan Iskandar (Pak Atan).

“Saya beruntung kerana ‘dikurniakan’ dengan barisan pelakon yang sangat komited. Syafie, misalnya, sudah menghafal keseluruhan skrip sejak hari pertama latihan,” terangnya yang senang dikelilingi kanak-kanak, sementelah dia berpengalaman mengarahkan banyak iklan syarikat korporat gergasi, Petronas.

“Mudah menerima apa yang diajarkan, pelakon kanak-kanak senang dibentuk. Mereka tidak berpura-pura, menjadikan proses lakonan nampak asli dan semula jadi,” kata Yasmin.

Pertama kali melihat gambar Syafie sebelum dipanggil uji bakat, Yasmin gagal mengesan sebarang keistimewaan yang ada padanya. Sehinggalah pada satu hari, penuntut tingkatan dua Sekolah Menengah Gombak Setia ini datang untuk sesi pemilihan pelakon ditemani makciknya.

“Syafie memenuhi kriteria Mukhsin yang saya cari-cari,” beritahu sutradara berusia 48 tahun itu ringkas. “Arriana pula memang sudah melakonkan watak Orked semasa kecil dalam Sepet lagi,” sambungnya.

Enggan memberatkan kepala jika Mukhsin mencetuskan kontroversi dan menjadi sasaran kebencian sesetengah pihak, katanya dalam nada bersahaja: “Saya reda dengan rezeki yang diberikan Tuhan. Kalau orang sudah tidak suka, perkara yang biasa pun boleh dianggap mencemar. Tiada apa-apa pun, mereka boleh buat kontroversi.”

Bakal memasuki panggung hujung tahun ini, Mukhsin turut mengundang kira-kira 40 orang anak yatim dari Rumah Tunas Harapan sebagai pelakon tambahan.


JIWA SENSITIF SYAFIE

Syafie tidak pernah berlakon langsung. Dia juga tidak pernah menonton Rabun, Sepet atau Gubra. Namun begitu, rezeki menyebelahinya apabila dia terpilih memerankan watak Mukhsin.

“Datang audition pun suka-suka saja,” katanya sambil tersenyum. Tidak pernah merancang untuk bergelar bintang, bagaimanapun dia mengaku berasa teruja dengan ‘dunia barunya’. “Seronok sebab dapat jumpa ramai pelakon,” jawabnya jujur.

Anak tunggal berusia 13 tahun ini tidak segan menyatakan dia berasal dari keluarga berpendapatan rendah. Secara terbuka juga, dia berterus-terang pernah jatuh cinta!

“Dululah. Sekarang sudah tiada (teman wanita),” ujarnya spontan. Meminati aktor Tobey Maguire dan filem-filem Hindustan, tidak hairanlah jika Syafie mudah mengalirkan air mata. “Saya seorang yang pemalu, pendiam dan sensitif. Kadang-kadang, tiada sebab pun saya boleh menangis,” ceritanya.

Menyenangi Arriana sebagai temannya di dalam Mukhsin, katanya memuji: “Dia baik dan cantik. Saya senang bekerja dengannya.”


PERSEPSI CINTA ARRIANA

Berlawanan dengan sifat Syafie yang pemalu, Sharifah Arriana lebih petah berbicara. Meskipun baru berusia 11 tahun, dia mempunyai pengertian sendiri tentang cinta. “Cinta adalah satu perkara yang baik, sama seperti kecantikan. Tetapi, baik boleh bertukar menjadi buruk apabila ada kebencian,” jawabnya matang.

Pernah muncul dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam, anak kepada pasangan Fatimah Abu Bakar dan Syed Zainal Rashid Al-Yahya ini mengakui kesukaran membawakan watak Orked. “Kalau dalam Sepet dulu dua adegan saja, tetapi kali ini lebih banyak,” terang pelajar darjah lima Sekolah Bandar Sri Damansara (3) ini.

Selesa berlakon di samping kakaknya sendiri, Sharifah Aleya yang membawakan watak Mak Inom, dia merasakan terdapat persamaan antara karakternya yang sebenar dengan Orked.
“Dia seorang gadis yang manis, tetapi kuat semangat dan tidak mudah menangis. Satu perkara yang paling dibencinya ialah orang menganggu keharmonian keluarganya,” ujar Arriana penuh yakin.

Thursday, June 01, 2006

Fantasi Sejuta Ringgit Dayang



Apabila Dayang Nurfaizah memberanikan diri menyertai One In A Million, ramai yang terkejut dengan keputusannya. Pelbagai persepsi yang timbul, positif dan negatif. Namun begitu, sekali gadis manis kelahiran Kuching, Sarawak ini melangkah, dia tidak akan berundur lagi.

Penyanyi berusia 25 tahun ini berkongsi rasa dan bicara, memberikan justifikasi mengapa dia sanggup mengambil risiko bertanding dalam program realiti terbitan 8TV itu.

Di sebalik semangat wajanya, terselit juga ketakutan, bukan saja bagi merebut kontrak rakaman bernilai sejuta ringgit, malah untuk berhadapan dengan Luka tidak lama lagi.

Orang kata Dayang sangat berani. Bukan semua artis rakaman sanggup menghadapi risiko bersaing dengan bakat-bakat baru dan amatur dalam One In A Million.

Saya terkejut juga bila ramai yang mempersoalkan penyertaan saya. Tiada salahnya mencuba, apatah lagi ia merupakan satu peluang keemasan yang bukan datang setiap hari atau setiap tahun.



Saya melihat One In A Million sebagai platform terbaik untuk menguji sejauh mana kemampuan diri. Soal kalah menang saya tolak ke tepi. Bagi saya, tiada bezanya pertandingan ini dengan Juara Lagu, Hits 1 atau Voice of Asia sekali pun.

Mungkin khalayak terkeliru, menganggap One In A Million sama seperti Akademi Fantasia (AF) dan Malaysian Idol (MI). Sebenarnya ia berbeza. AF dan MI mencungkil bakat-bakat baru, sebaliknya One In A Million mencari yang terbaik. Siapa yang layak dan bertuah, dialah yang akan menang sejuta ringgit.

Dayang tidak risau jika nasib kurang memihak? Pernah terfikir akan reputasi sebagai penyanyi hebat terjejas kerana tewas dengan bakat baru?

Jika ditakdirkan saya kalah, itu bermakna saya perlu berusaha dengan lebih kuat. Kalau menang, Alhamdulillah, saya ingin meneruskan apa yang saya mimpi-mimpikan selama ini.

Saya tidak merasakan diri hebat, malah semasa hendak ke sesi uji bakat pun, hanya Tuhan yang tahu betapa gemuruhnya perasaan. Saya meletakkan diri saya serupa dengan semua peserta yang datang mencuba nasib.

Saya tidak pernah merendah-rendahkan pesaing saya. Ada di antara mereka yang benar-benar bagus, berpengalaman bertahun-tahun menyanyi di kelab. Cuma, khalayak tidak mengenali mereka kerana mereka bukan penyanyi rakaman.

Ini soal kepuasan dan cara saya mengukuhkan keyakinan diri. Saya mencari jalan untuk memperkembangkan bakat dan pengalaman. Saya yakin peminat akan sentiasa berada di belakang saya tanpa mengira kejayaan atau kegagalan.

Ini satu pertaruhan besar yang Dayang pernah ambil sejak bergelar penyanyi. Mesti ada cerita menarik di sebalik keputusan ini.

(Sampuk pengurus Dayang, Shaliza Kader Sultan) Tanyalah dia berapa lama masa yang diambil untuk bersetuju ke uji bakat!

Ada pihak yang mendesak Dayang, mungkin? Atau Dayang sengaja mencipta gimik untuk meningkatkan populariti?

Pada mulanya, saya sekadar dengar-dengar cerita orang mengenai One In A Million. Bila saya selidik, timbul juga perasaan teruja, tetapi saya bermain dengan masa untuk memberi kata putus.

Bila tiba hari uji bakat, saya masih berkira-kira. Tinggal tiga jam saja lagi, barulah saya berkata ‘ya’ kepada Shaliza. Tiada sesiapa yang mendesak atau menghalang. Malah, apabila saya beritahu bapa, dia sangat menggalakkan dan memberi kata-kata perangsang.

Yang mendorong saya untuk mencuba ialah kata hati sendiri. Sebelum ini, saya terlalu mengharapkan pandangan orang lain sehingga saya jadi keliru.

Menyentuh soal gimik, terpulang kalau ada yang menganggap sedemikian. Saya tahu apa yang saya buat. Kelakar juga bila ada yang kata, 8TV sengaja ajak saya kerana mahu menarik minat penonton. Saya rasa bangga jika dianggap begitu!

Nyanyi lagu apa ya tempoh hari?

Lucunya, semasa hendak masuk ke bilik uji bakat pun, saya masih tidak tahu mahu nyanyi lagu apa! Akhirnya, apa saja yang terlintas di fikiran. (Dayang memilih lagu popular Whitney Houston, Where Do Broken Hearts Go).

Bagaimana rasanya bila berdepan dengan juri, Paul Moss dan Syafinaz? Mereka bukan orang yang asing bagi Dayang.

Itu lebih menakutkan! Macam-macam yang berlegar dalam fikiran. Bimbang mereka sengaja mencari kesilapan, bimbang tersilap lirik, tersalah cakap. Saya jadi tak keruan! Di kepala ingat lain, di hati rasa lain. Apa yang Paul dan Syafinaz cakapkan pun saya tidak pasti. Tahu-tahu, saya sudah terpilih ke peringkat seterusnya (ketawa).



Menolak topik kegagalan atau kemenangan, apa perkara lain yang paling merunsingkan Dayang ketika ini?

Saya risau tersalah pilih lagu. Saya juga berdoa supaya kesihatan dan kemampuan fizikal tidak terjejas.

Takut salah pilih lagu, nyanyi saja lagu sendiri.

(Ketawa). Tengoklah keadaan. Saya tidak mahu orang mengata saya promosi album pula.

Dayang masih bebas menerima undangan pertunjukan? Tidak dikuarantin?

Sebaik saja bersetuju menyertainya, saya memberitahu pihak 8TV yang saya terikat dengan beberapa komitmen yang sudah dipersetujui lebih awal. Jadual saya penuh sehingga ke bulan Disember nanti.

Begitu pun, 8TV memberikan kerjasama yang cukup baik, memahami tanggungjawab saya yang lain. Setakat ini, tiada masalah. Saya masih memenuhi undangan seperti biasa.

Tetapi, penggambaran filem Luka terpaksa ditangguh sehingga Dayang selesai dengan One In A Million. Kasihan peminat, terpaksa menunggu lagi untuk lihat Dayang berlakon.

Saya sangat-sangat berterima kasih kepada penerbit Luka yang sanggup menunggu. Khabarnya, Dian Sastrowordoyo juga sedang terlibat dengan produksi lain. Apa pun, penggambaran pasti dijalankan tidak lama lagi kerana mereka mahu menayangkan Luka serentak di Malaysia dan Indonesia pada bulan Februari tahun depan.

Untuk peminat, apa yang boleh saya katakan nanti ialah penantian anda akan berbaloi. Bukan saja filem yang menyusul, malah saya akan masuk studio untuk rakaman album runut bunyi filem tersebut pada bulan puasa nanti.

Awal tahun ini, Dayang berguru dengan aktres ternama Indonesia, Ria Irawan. Bukan calang-calang pelakon. Sudah tentu segala rahsia kehebatannya diperturunkan kepada Dayang.

(Ketawa) Sebenarnya saya tidak percaya yang saya akan bergelar pelakon. Melalui pengalaman latihan bersama Ria, saya rasakan pelik. Susah dan penat, rasanya lebih baik berikan saya mikrofon daripada skrip!

Tetapi, saya fikir kalau tidak sekarang, bila lagi? Lagi pula, skrip itu ditulis khusus untuk saya. Saya tidak mahu mengecewakan harapan orang. Insya Allah, saya akan cuba buat yang terbaik.

Berbalik kepada One In A Million, apa sebenarnya yang Dayang hendak buat dengan duit sebanyak itu?

Inilah soalan yang paling saya nanti-nantikan! Saya punya banyak fantasi. Kalau boleh, saya mahu dapatkan karya-karya daripada Babyface, R. Kelly, Brian McKnight atau Usher. Lebih seronok kalau saya berpeluang berduet dengan mereka! Waktu itu, tidak perlu gaduh-gaduh lagi dengan NSR (syarikat rakamannya bernaung) soal bajet (ketawa).