Wajah Baru Ning Baizura
“Tak jadilah. Sayang pula hendak potong,” jawab Ning Baizura hujung minggu lalu semasa penulis bertemunya di rumah seorang teman.
Beberapa hari sebelum itu, kami saling berbalas SMS bertanyakan khabar dan berkongsi cerita terbaru, termasuklah hasratnya untuk muncul dengan imej yang berlainan. “Bosan, dah lama berambut panjang,” adu Ning.
Selang sehari selepas itu, saya menerima lagi SMS daripadanya yang berbunyi: “I dah kerat rambut! Malam ni ada recording Diari Akademi Fantasia”. Segera penyanyi bersuara soprano ini dihubungi, lantas temu janji ditetapkan keesokan harinya di studio Babyboss, Petaling Jaya kerana Ning terlibat dengan rakaman sebuah lagu di situ.
Kenapa Ning potong rambut? Ceria suaranya menjelaskan, “Saya mahukan perubahan. Sudah lama rasanya tidak mengubah stail penampilan. Lagi pula tahun ini genap 13 tahun saya mengabdikan diri dalam industri hiburan. Angka tersebut jika diterbalikkan menjadi usia saya tahun ini! Menarik, kan?”
Masyhur dengan lagu Awan Yang Terpilu, Ning mengakui pada mulanya berasa berat hati ‘melepaskan’ rambut yang disimpan sejak tujuh tahun lalu.
“Manakan tidak, kali terakhir saya berambut pendek sekitar tahun 1999 semasa penerbitan album Pujaanku,” katanya sambil memberitahu potongan rambutnya dikenali sebagai ‘fusion bob’ dan sedang menjadi trend hangat di Jepun.
“Jangan ingat makanan saja dilabelkan fusion!” gelaknya seraya menyambung bicara. ”Selepas mencuba beberapa rambut palsu, saya nekad mengikut gerak hati. Cuaca pun sekarang terlalu panas. Bila berambut begini, saya rasa lega dan selesa.”
Muncul pertama kali di kaca televisyen dalam program Diari Akademi Fantasia (AF) Rabu lalu, undangan ke program realiti paling popular itu juga menjadi penyebab mengapa Ning sanggup ‘mengorbankan’ rambutnya.
“Bukankah AF penuh dengan kejutan? Inilah kejutan peribadi saya kepada para pelajar musim keempat,” tuturnya. “Saya dipanggil oleh pihak Astro sehari sebelum rakaman. Diminta bercakap tentang imej dan personaliti, saya fikir ada signifikannya untuk saya ‘berwajah baru’.”
Bercadang untuk mengekalkan gaya sebegini buat beberapa ketika, Ning melihat perubahan seperti ini sebagai satu transisi positif dalam melayari kehidupan, baik dari segi kerjaya mahupun personal.
“Hidup adalah inspirasi saya. Setiap masa manusia inginkan kemajuan dan enggan berada di takuk yang lama. Secara simbolik, saya ingin menyampaikan hasrat dan keinginan tersebut,” terangnya berfalsafah.
Sering diletakkan dalam senarai selebriti yang pandai bergaya serta bercita rasa tinggi, tidak hairanlah dia dianugerahkan dengan trofi Fashionista Award oleh Anugerah Fesyen Malaysia Antarabangsa (MIFA) tahun lalu bersama dua lagi selebriti iaitu Camelia dan Sheila Majid.
Menyelusuri ‘pengembaraan’ imej Ning Baizura, 13 tahun lalu anak kecil dari Kajang, Selangor ini mempunyai susuk tubuh yang agak montok dan berambut kerinting besar. Mengadaptasikan imej penyanyi berkulit hitam melalui album sulungnya Dekat Padamu, Ning belajar untuk nampak matang dan dewasa menerusi album keduanya, Ning.
Melihat betapa pentingnya keterampilan di samping bakat, Ning meluruskan rambut untuk album ketiga Teguh dan saat ini, namanya mula diperkatakan akibat berpakaian seksi dan menjolok mata. Dia dilabel sebagai artis tempatan yang sangat berani, lebih-lebih lagi apabila dia muncul dengan album keempatnya, Ke Sayup Bintang.
Waktu ini, dia berambut pendek tercacak dengan warna jingga kemerahan. Berani melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan, dalam kecanggungan itu, dia masih diberi kepercayaan untuk membawa nama beberapa label seperti Adidas dan Guess.
Sebelum terbang ke Jepun untuk projek album Inggerisnya, Natural Woman, Ning sempat melahirkan album terakhirnya di bawah label BMG berjudul Always. Mendapat sokongan daripada rumah fesyen Christian Dior, tubuh Ning disalut kemewahan jenama itu.
Setahun berada di Jepun, Ning berambut kerinting halus dan mengenakan tiara kecil di atas kepala sebagai ‘signature’ gayanya. Bangga dengan kulit sawo matang yang dimiliki, Ning tidak mengenakan sebarang mekap tebal, sebaliknya percaya kepada prinsip kecantikan semula jadi.
Akibat tragedi hitam yang melanda hidupnya dan menerima aib seMalaysia, Ning bangkit dan kembali ke ‘akar’. Imejnya untuk album comeback, Selagi Ada sangat rapat dengan penampilan yang khalayak umum mahukan. Sejak itu, dia tidak pernah menggunting rambut dan pertengahan tahun 2006 ini, Ning mahukan sedikit warna dalam kepompong stailnya.
ANTARA MENTOR DAN DIVA
Semua sudah tahu Ning mempunyai labelnya sendiri, Artistes United Records (AUR) bersama rakan kongsinya, Vernon Kedit dan Michael Ang.
Melahirkan bintang pertama, Nikki yang popular menerusi Pinta dan Caramu, AUR kini sedang bersiap sedia untuk melancarkan produk kedua mereka iaitu Yanie, anak didik Ning semasa program Mentor musim pertama.
“Buat masa ini, Yanie sedang sibuk menjalani proses rakaman album sulungnya yang berkonsepkan pop. Antara komposer yang terlibat ialah Azmeer, Sharon Paul, Ajai dan Audi Mok. Kalau tiada aral, album ini akan berada di pasaran sekitar Ogos kelak,” kata usahawanita ini optimis.
Sedang mencari material untuk album terbarunya selepas Erti Pertemuan yang diterbitkan dua tahun lalu, ujar Ning: ”Biarlah Yanie lepas dulu. Saya akan muncul dengan lagu-lagu baru selepas Aidilfitri nanti.”
Terkini, Ning terlibat sebagai salah seorang penyanyi yang merakamkan semula lagu kebangsaan Negaraku untuk siaran stesen televisyen ntv7. Digubah oleh Acis dan Jenny Chin, antara penyanyi lain yang diundang ialah Dayang Nurfaizah, Hazami dan Reshmonu.
Menyentuh mengenai filem lakonannya, Diva yang masih tertangguh penggambaran, Ning menjawab ringkas: “Saya hanya dimaklumkan yang ia akan disambung semula Julai depan. Maklumat selanjutnya saya sendiri kurang pasti.”
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru