Cinta Platonik Orked
Apa yang terjadi sekiranya rakan karib kita - seseorang yang sama-sama memanjat pokok, bermain layang-layang, mengayuh basikal dan saling berkelahi dengan budak-budak yang lain - mula menaruh perasaan terhadap kita?
Melalui Mukhsin, Yasmin Ahmad cuba memaparkan satu pengalaman yang pelik dan kurang menyenangkan, tetapi amat biasa berlaku.
“Saya melihat ia sebagai satu hakikat yang menarik, kerana saya sendiri sukar untuk mengerti bagaimana sesuatu yang sangat indah seperti cinta mampu menggugat sebuah persahabatan,” ujar sutradara hebat ini ketika ditemui di set penggambaran naskhah terbarunya itu di Kuala Selangor, baru-baru ini.
Diterbitkan oleh Grand Brilliance Sdn Bhd, Mukhsin menyaksikan pengalaman cinta Orked semasa berusia 10 tahun. Bagaimana dia menangani perasaan aneh terhadap Mukhsin, seorang jejaka 13 tahun, anak saudara jirannya yang datang bertandang semasa cuti sekolah.
“Saya yakin setiap dari kita pernah melalui pengalaman sedemikian. Bagaimana kita cuba menafikan perasaan suka dan sayang dengan menunjukkan kebencian, kemudian menyedarinya apabila kehilangan,” tambah Yasmin berfalsafah.
Mengakui Mukhsin berdasarkan kisah hidupnya sendiri, dia menjelaskan: “Sebenarnya idea membikin filem ini tidak pernah terlintas sehinggalah pihak Grand Brilliance mempelawa saya untuk bekerjasama.
“Saya mengambil masa dua jam menulis sinopsis filem ini sebelum dipersembahkan kepada pihak penerbit. Apabila mereka bersetuju, saya terus menyediakan skripnya. Alhamdulillah, proses itu hanya memakan masa kira-kira lima hari.”
Namun begitu, menurutnya, skrip tersebut masih diperbaiki semasa latihan berlangsung. Bahkan ketika di lokasi pun, Yasmin sempat mengolahnya lagi.
Sama seperti Sepet dan Gubra, Mukhsin dijadualkan menjalani penggambaran kurang daripada dua minggu kerana para pelakon yang terlibat telah menjalani latihan selama dua bulan.
Memperkenalkan bintang kecil berbakat besar seperti Mohd Syafie Naswip, 13 sebagai Mohsin dan Sharifah Arriana Yahya, 11 selaku Orked, Mukhsin turut dibantu oleh Sharifah Aleya (Mak Inom), Mislina Mustaffa (Mak Senah) dan Irwan Iskandar (Pak Atan).
“Saya beruntung kerana ‘dikurniakan’ dengan barisan pelakon yang sangat komited. Syafie, misalnya, sudah menghafal keseluruhan skrip sejak hari pertama latihan,” terangnya yang senang dikelilingi kanak-kanak, sementelah dia berpengalaman mengarahkan banyak iklan syarikat korporat gergasi, Petronas.
“Mudah menerima apa yang diajarkan, pelakon kanak-kanak senang dibentuk. Mereka tidak berpura-pura, menjadikan proses lakonan nampak asli dan semula jadi,” kata Yasmin.
Pertama kali melihat gambar Syafie sebelum dipanggil uji bakat, Yasmin gagal mengesan sebarang keistimewaan yang ada padanya. Sehinggalah pada satu hari, penuntut tingkatan dua Sekolah Menengah Gombak Setia ini datang untuk sesi pemilihan pelakon ditemani makciknya.
“Syafie memenuhi kriteria Mukhsin yang saya cari-cari,” beritahu sutradara berusia 48 tahun itu ringkas. “Arriana pula memang sudah melakonkan watak Orked semasa kecil dalam Sepet lagi,” sambungnya.
Enggan memberatkan kepala jika Mukhsin mencetuskan kontroversi dan menjadi sasaran kebencian sesetengah pihak, katanya dalam nada bersahaja: “Saya reda dengan rezeki yang diberikan Tuhan. Kalau orang sudah tidak suka, perkara yang biasa pun boleh dianggap mencemar. Tiada apa-apa pun, mereka boleh buat kontroversi.”
Bakal memasuki panggung hujung tahun ini, Mukhsin turut mengundang kira-kira 40 orang anak yatim dari Rumah Tunas Harapan sebagai pelakon tambahan.
JIWA SENSITIF SYAFIE
Syafie tidak pernah berlakon langsung. Dia juga tidak pernah menonton Rabun, Sepet atau Gubra. Namun begitu, rezeki menyebelahinya apabila dia terpilih memerankan watak Mukhsin.
“Datang audition pun suka-suka saja,” katanya sambil tersenyum. Tidak pernah merancang untuk bergelar bintang, bagaimanapun dia mengaku berasa teruja dengan ‘dunia barunya’. “Seronok sebab dapat jumpa ramai pelakon,” jawabnya jujur.
Anak tunggal berusia 13 tahun ini tidak segan menyatakan dia berasal dari keluarga berpendapatan rendah. Secara terbuka juga, dia berterus-terang pernah jatuh cinta!
“Dululah. Sekarang sudah tiada (teman wanita),” ujarnya spontan. Meminati aktor Tobey Maguire dan filem-filem Hindustan, tidak hairanlah jika Syafie mudah mengalirkan air mata. “Saya seorang yang pemalu, pendiam dan sensitif. Kadang-kadang, tiada sebab pun saya boleh menangis,” ceritanya.
Menyenangi Arriana sebagai temannya di dalam Mukhsin, katanya memuji: “Dia baik dan cantik. Saya senang bekerja dengannya.”
PERSEPSI CINTA ARRIANA
Berlawanan dengan sifat Syafie yang pemalu, Sharifah Arriana lebih petah berbicara. Meskipun baru berusia 11 tahun, dia mempunyai pengertian sendiri tentang cinta. “Cinta adalah satu perkara yang baik, sama seperti kecantikan. Tetapi, baik boleh bertukar menjadi buruk apabila ada kebencian,” jawabnya matang.
Pernah muncul dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam, anak kepada pasangan Fatimah Abu Bakar dan Syed Zainal Rashid Al-Yahya ini mengakui kesukaran membawakan watak Orked. “Kalau dalam Sepet dulu dua adegan saja, tetapi kali ini lebih banyak,” terang pelajar darjah lima Sekolah Bandar Sri Damansara (3) ini.
Selesa berlakon di samping kakaknya sendiri, Sharifah Aleya yang membawakan watak Mak Inom, dia merasakan terdapat persamaan antara karakternya yang sebenar dengan Orked.
“Dia seorang gadis yang manis, tetapi kuat semangat dan tidak mudah menangis. Satu perkara yang paling dibencinya ialah orang menganggu keharmonian keluarganya,” ujar Arriana penuh yakin.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru