eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Fantasi Sejuta Ringgit Dayang

Thursday, June 01, 2006

Fantasi Sejuta Ringgit Dayang



Apabila Dayang Nurfaizah memberanikan diri menyertai One In A Million, ramai yang terkejut dengan keputusannya. Pelbagai persepsi yang timbul, positif dan negatif. Namun begitu, sekali gadis manis kelahiran Kuching, Sarawak ini melangkah, dia tidak akan berundur lagi.

Penyanyi berusia 25 tahun ini berkongsi rasa dan bicara, memberikan justifikasi mengapa dia sanggup mengambil risiko bertanding dalam program realiti terbitan 8TV itu.

Di sebalik semangat wajanya, terselit juga ketakutan, bukan saja bagi merebut kontrak rakaman bernilai sejuta ringgit, malah untuk berhadapan dengan Luka tidak lama lagi.

Orang kata Dayang sangat berani. Bukan semua artis rakaman sanggup menghadapi risiko bersaing dengan bakat-bakat baru dan amatur dalam One In A Million.

Saya terkejut juga bila ramai yang mempersoalkan penyertaan saya. Tiada salahnya mencuba, apatah lagi ia merupakan satu peluang keemasan yang bukan datang setiap hari atau setiap tahun.



Saya melihat One In A Million sebagai platform terbaik untuk menguji sejauh mana kemampuan diri. Soal kalah menang saya tolak ke tepi. Bagi saya, tiada bezanya pertandingan ini dengan Juara Lagu, Hits 1 atau Voice of Asia sekali pun.

Mungkin khalayak terkeliru, menganggap One In A Million sama seperti Akademi Fantasia (AF) dan Malaysian Idol (MI). Sebenarnya ia berbeza. AF dan MI mencungkil bakat-bakat baru, sebaliknya One In A Million mencari yang terbaik. Siapa yang layak dan bertuah, dialah yang akan menang sejuta ringgit.

Dayang tidak risau jika nasib kurang memihak? Pernah terfikir akan reputasi sebagai penyanyi hebat terjejas kerana tewas dengan bakat baru?

Jika ditakdirkan saya kalah, itu bermakna saya perlu berusaha dengan lebih kuat. Kalau menang, Alhamdulillah, saya ingin meneruskan apa yang saya mimpi-mimpikan selama ini.

Saya tidak merasakan diri hebat, malah semasa hendak ke sesi uji bakat pun, hanya Tuhan yang tahu betapa gemuruhnya perasaan. Saya meletakkan diri saya serupa dengan semua peserta yang datang mencuba nasib.

Saya tidak pernah merendah-rendahkan pesaing saya. Ada di antara mereka yang benar-benar bagus, berpengalaman bertahun-tahun menyanyi di kelab. Cuma, khalayak tidak mengenali mereka kerana mereka bukan penyanyi rakaman.

Ini soal kepuasan dan cara saya mengukuhkan keyakinan diri. Saya mencari jalan untuk memperkembangkan bakat dan pengalaman. Saya yakin peminat akan sentiasa berada di belakang saya tanpa mengira kejayaan atau kegagalan.

Ini satu pertaruhan besar yang Dayang pernah ambil sejak bergelar penyanyi. Mesti ada cerita menarik di sebalik keputusan ini.

(Sampuk pengurus Dayang, Shaliza Kader Sultan) Tanyalah dia berapa lama masa yang diambil untuk bersetuju ke uji bakat!

Ada pihak yang mendesak Dayang, mungkin? Atau Dayang sengaja mencipta gimik untuk meningkatkan populariti?

Pada mulanya, saya sekadar dengar-dengar cerita orang mengenai One In A Million. Bila saya selidik, timbul juga perasaan teruja, tetapi saya bermain dengan masa untuk memberi kata putus.

Bila tiba hari uji bakat, saya masih berkira-kira. Tinggal tiga jam saja lagi, barulah saya berkata ‘ya’ kepada Shaliza. Tiada sesiapa yang mendesak atau menghalang. Malah, apabila saya beritahu bapa, dia sangat menggalakkan dan memberi kata-kata perangsang.

Yang mendorong saya untuk mencuba ialah kata hati sendiri. Sebelum ini, saya terlalu mengharapkan pandangan orang lain sehingga saya jadi keliru.

Menyentuh soal gimik, terpulang kalau ada yang menganggap sedemikian. Saya tahu apa yang saya buat. Kelakar juga bila ada yang kata, 8TV sengaja ajak saya kerana mahu menarik minat penonton. Saya rasa bangga jika dianggap begitu!

Nyanyi lagu apa ya tempoh hari?

Lucunya, semasa hendak masuk ke bilik uji bakat pun, saya masih tidak tahu mahu nyanyi lagu apa! Akhirnya, apa saja yang terlintas di fikiran. (Dayang memilih lagu popular Whitney Houston, Where Do Broken Hearts Go).

Bagaimana rasanya bila berdepan dengan juri, Paul Moss dan Syafinaz? Mereka bukan orang yang asing bagi Dayang.

Itu lebih menakutkan! Macam-macam yang berlegar dalam fikiran. Bimbang mereka sengaja mencari kesilapan, bimbang tersilap lirik, tersalah cakap. Saya jadi tak keruan! Di kepala ingat lain, di hati rasa lain. Apa yang Paul dan Syafinaz cakapkan pun saya tidak pasti. Tahu-tahu, saya sudah terpilih ke peringkat seterusnya (ketawa).



Menolak topik kegagalan atau kemenangan, apa perkara lain yang paling merunsingkan Dayang ketika ini?

Saya risau tersalah pilih lagu. Saya juga berdoa supaya kesihatan dan kemampuan fizikal tidak terjejas.

Takut salah pilih lagu, nyanyi saja lagu sendiri.

(Ketawa). Tengoklah keadaan. Saya tidak mahu orang mengata saya promosi album pula.

Dayang masih bebas menerima undangan pertunjukan? Tidak dikuarantin?

Sebaik saja bersetuju menyertainya, saya memberitahu pihak 8TV yang saya terikat dengan beberapa komitmen yang sudah dipersetujui lebih awal. Jadual saya penuh sehingga ke bulan Disember nanti.

Begitu pun, 8TV memberikan kerjasama yang cukup baik, memahami tanggungjawab saya yang lain. Setakat ini, tiada masalah. Saya masih memenuhi undangan seperti biasa.

Tetapi, penggambaran filem Luka terpaksa ditangguh sehingga Dayang selesai dengan One In A Million. Kasihan peminat, terpaksa menunggu lagi untuk lihat Dayang berlakon.

Saya sangat-sangat berterima kasih kepada penerbit Luka yang sanggup menunggu. Khabarnya, Dian Sastrowordoyo juga sedang terlibat dengan produksi lain. Apa pun, penggambaran pasti dijalankan tidak lama lagi kerana mereka mahu menayangkan Luka serentak di Malaysia dan Indonesia pada bulan Februari tahun depan.

Untuk peminat, apa yang boleh saya katakan nanti ialah penantian anda akan berbaloi. Bukan saja filem yang menyusul, malah saya akan masuk studio untuk rakaman album runut bunyi filem tersebut pada bulan puasa nanti.

Awal tahun ini, Dayang berguru dengan aktres ternama Indonesia, Ria Irawan. Bukan calang-calang pelakon. Sudah tentu segala rahsia kehebatannya diperturunkan kepada Dayang.

(Ketawa) Sebenarnya saya tidak percaya yang saya akan bergelar pelakon. Melalui pengalaman latihan bersama Ria, saya rasakan pelik. Susah dan penat, rasanya lebih baik berikan saya mikrofon daripada skrip!

Tetapi, saya fikir kalau tidak sekarang, bila lagi? Lagi pula, skrip itu ditulis khusus untuk saya. Saya tidak mahu mengecewakan harapan orang. Insya Allah, saya akan cuba buat yang terbaik.

Berbalik kepada One In A Million, apa sebenarnya yang Dayang hendak buat dengan duit sebanyak itu?

Inilah soalan yang paling saya nanti-nantikan! Saya punya banyak fantasi. Kalau boleh, saya mahu dapatkan karya-karya daripada Babyface, R. Kelly, Brian McKnight atau Usher. Lebih seronok kalau saya berpeluang berduet dengan mereka! Waktu itu, tidak perlu gaduh-gaduh lagi dengan NSR (syarikat rakamannya bernaung) soal bajet (ketawa).