eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Jaclyn Victor Lagi

Sunday, April 30, 2006

Jaclyn Victor Lagi


Kena dengan judulnya, ‘badi’ Gemilang terus melekat. Selepas meraih kecemerlangan di Anugerah Juara Lagu ke-20 yang lalu, Gemilang dan Jaclyn Victor ibarat dua entiti yang tidak boleh dilepas pandang.

Kehebatan susunan muziknya diakui, melodi indahnya juga diangkat tinggi dan penyanyinya diraikan. Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13) sekali lagi menyaksikan bintang kelahiran Malaysian Idol yang pertama ini pulang membawa kejayaan yang bukan sedikit.

Sememangnya bukan satu kejutan apabila Jaclyn mendominasi, sementelah dia menerima pencalonan tertinggi dalam AIM13. Trofi Album Pop Terbaik, Artis Baru Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Album Terbaik kini berada dalam genggamannya.

Bergaun sifon kuning rekaan Carven Ong, Jaclyn turun naik pentas mengulang ucapan yang sama semasa menerima anugerah.

“Malam ini jantung saya tidak henti-henti berdebar. Terima kasih Tuhan atas anugerah yang diberikan iaitu suara saya, kepada ibu kerana sentiasa berada di sisi apabila saya memerlukan dan kepada para peminat yang sering menolak saya ke depan,” katanya sambil menghadiahkan sebuah senyuman.

“Sebagai seorang yang sangat baru dalam industri ini, saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan barisan komposer serta penulis lirik yang hebat-hebat belaka,” jelasnya lagi.

Namun demikian, Adibah Noor yang menerima pencalonan terbanyak selepas Jaclyn gagal meraih sebarang trofi. Inilah yang dinamakan lumrah sebuah pertandingan.

Begitu pun, Siti Nurhaliza masih terus unggul apabila berjaya mengekalkan mahkotanya menerusi kemenangan Persembahan Vokal Terbaik (Wanita) Di Dalam Album selama lapan tahun berturut-turut sejak 1999. Kejayaannya memberikan justifikasi dia sememangnya layak dilabel sebagai penyanyi nombor satu negara.

“Saya bersyukur kerana masih lagi diberi kepercayaan untuk memegang trofi ini. Terima kasih kepada semua yang menjayakan album rakaman langsung konsert di Royal Albert Hall, London ini, terutamanya pengarah muzik Roslan Aziz yang banyak memberikan inspirasi,” ujarnya.

Meskipun kebanyakan para pemenang AIM13 sudah dapat dijangka, Shanon memberikan sedikit warna kejutan apabila dia dipilih untuk menerima anugerah Persembahan Vokal Terbaik (Lelaki) Di Dalam Album menewaskan calon-calon senior yang lain, seperti Jamal Abdillah, Mus May dan Hazami.

“Kalau anda semua terkejut, bayangkanlah saya!” ucapan pertama Shanon sebaik saja mengambil trofi. “AIM merupakan sebuah acara yang paling saya segani dan hormati, justeru saya ingin berterima kasih atas penghargaan yang diberikan.

“Saya mahu mendedikasikan anugerah ini kepada kawan-kawan dari arena muzik independen, terutamanya Sandra Sodhy yang memberikan ruang untuk saya ‘mencari’ suara saya. Trofi ini juga untuk para peminat yang tidak ramai, tetapi harap-harap, bertambahlah selepas ini!” sambungnya.

Biarpun AIM13 dilanda kontroversi atas pencalonan yang dikatakan berat sebelah, namun, sekurang-kurangnya ia membuka satu lagi peluang untuk wajah-wajah baru berbakat mendapat pendedahan dan pengiktirafan yang sewajarnya.

Selain Shanon, Ridzuan, penyanyi muda berusia 17 tahun juga diangkat sebagai Artis Harapan atas vokalnya yang lebih besar daripada saiz tubuh.

Sementara itu, kesabaran Too Phat yang sudah lama tidak merakamkan material terbaru berbayar apabila Rebirth Into Reality menerima dua trofi AIM13 melalui kategori Album Inggeris Tempatan Terbaik dan Kulit Album Terbaik.

Senarai Penuh Keputusan AIM13

* Album Terbaik - Gemilang (Jaclyn Victor)
* Lagu Terbaik - Warkah Buat Laila (Zahid)
* Album Pop Terbaik - Gemilang (Jaclyn Victor)
* Album Inggeris Tempatan Terbaik - Rebirth Into Reality (Too Phat)
* Album Hard Rock Terbaik - Live & Unplugged At Planet ‘05 (May)
* Album Nasyid Terbaik - Ameen (Raihan)
* Album Pop Rock Terbaik - Santai (Awie)
* Persembahan Vokal Terbaik (Lelaki) Di Dalam Album - Shanon (Dilanda Cinta)
* Persembahan Vokal Terbaik (Wanita) Di Dalam Album - Siti Nurhaliza (Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall, London)
* Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan Di Dalam Album - VE (For You)
* Artis Baru Terbaik - Jaclyn Victor
* Artis Harapan - Ridzuan
* Artis Inggeris Tempatan Baru Terbaik - Deja Voodoo Spells
* Video Muzik Terbaik - Sleepy Head (Jason Lo)
* Kulit Album Terbaik - Rebirth Into Reality (Too Phat)
* Rakaman Album Terbaik - Kasih (Dayang Nurfaizah)
* Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu - Gemilang (Jaclyn Victor)
* Album Indonesia Terbaik - Padi (Padi)
* Anugerah Kembara - Raihan
* Anugerah Wirama - S. Atan

APA KATA PEMENANG?

“Syukur ke hadrat Ilahi atas kudrat yang dikurniakan. Selepas lima tahun berehat, saya dihadiahkan dengan trofi ini” - Awie

“Malam ini, kami ingin berterima kasih kepada orang yang jarang kami sebutkan namanya. Steve Hasan Thornton, pemain percussion yang banyak melaungkan irama nasyid dalam paluan bongonya” - Raihan

“Dulu susah sangat dapat trofi ini. Bila sudah dapat, banyak benda yang hendak dicakap” - May

“Mak, Yop menang, mak! Terima kasih kepada ayah yang banyak mengajar saya untuk menyanyi dengan betul. Dulu suara saya sengau” - Ridzuan

“Perjalanan kami untuk sampai ke sini sangat panjang. Terima kasih kepada semua yang banyak membantu dan ini bakal menjadi titik tanda kami berusaha dengan lebih keras” - Deja Voodoo Spells.

APA SILAPNYA AIM 13?

‘Bosannya’, ‘mendatar’, ‘tiada pembaharuan’, ‘biasa saja’, ‘momentum merudum’ - antara komen-komen yang diterima sebaik saja Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13) berakhir. Apa dan di mana silapnya?

Semua acara anugerah di dunia ini pasti tidak akan terlepas dari kritikan, apatah lagi AIM yang kalau manusia, usianya baru saja memasuki alam remaja.

Sudah menjadi lumrah acara segah ini, harapan penonton begitu tinggi agar ia menghiburkan dan penuh dengan kejutan, selain daripada ia mampu memenuhi objektif sebenar sesebuah pertandingan.

AIM13 tidak terlepas daripada beberapa perkara stereotaip, antaranya para penyampai anugerah yang terlebih cakap dan ’syok sendiri’. Ia juga dijadikan platform oleh sebilangan penggiat muzik untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada sesetengah pihak.

Jika ada anugerah khas untuk itu, pemenang tahun ini ialah Boon Tan yang meminta pihak media supaya berhenti menulis jika tulisan itu berbau kritikan. Adakah ini satu amaran Boon Tan yang boleh ditafsirkan sebagai industri muzik Malaysia tidak boleh ditegur demi kebaikan?

Afdlin Shauki dan Bob Lokman membuka tirai AIM13 dengan melagukan nama-nama pemuzik latar yang mengiringi persembahan pada malam itu. Meskipun mendapat tepukan gemuruh, idea itu tidaklah original kerana beberapa tahun lalu, Afdlin menggunakan idea yang sama untuk memperkenalkan para penaja.

Memang khalayak tidak dapat menolak kredibiliti dua hos ini dalam menghidupkan suasana, tetapi kerana mereka ‘wajah wajib’ AIM, tiada apa yang baru yang dibawakan atau yang boleh diharapkan oleh penonton.

Persembahan pembukaan oleh VE biasa saja, tidaklah ‘meletup’ dan boleh diingati sampai bila-bila. Begitu juga dengan persembahan Siti Nurhaliza dan Hazami. Alangkah ruginya AIM13 kerana tidak memanipulasikan sepenuhnya kehebatan dua vokalis terbaik ini untuk menghangatkan acara.

Bukan lagu Getaran yang mereka nyanyikan tidak sedap, tetapi tidak cukup membangkitkan keghairahan penonton. Mungkin persembahan mereka boleh ‘dicantikkan’ lagi dengan pemilihan lagu yang lebih sesuai.

Selain segmen memperkenalkan calon-calon Artis Baru Terbaik yang diselitkan saban tahun, AIM13 mengambil langkah bijak dengan mewujudkan segmen khas untuk nama-nama yang kurang dikenali ramai, tetapi cukup berbakat.

Peluang yang diberikan kepada Shanon, Ridzuan, Zoul dan Elyana membuatkan peminat muzik menyedari kehadiran mereka. Mungkin ini rahmatnya apabila segmen persembahan artis Indonesia ditiadakan tahun ini.

Persembahan Jason Lo pula dengan bantuan para pelajar Sekolah Sri Inai, Kuala Lumpur yang membawa keratan-keratan bendera Malaysia menyuntik sedikit semangat patriotik, manakala persembahan Brothers Reunited dengan Waheeda tidak berapa mengujakan walaupun membawakan lagu dakwah pendekatan baru.

Sementara itu, nyanyian Kasih daripada Dayang Nurfaizah seakan meminta penjelasan bagaimana dia boleh terkeluar daripada senarai akhir kategori Persembahan Vokal Terbaik (Wanita) Di Dalam Album.

Segmen orkestra di bawah pimpinan Ramli MS yang menampilkan Jamal Abdillah dengan iringan Kumpulan Koir Kebangsaan seharusnya menjadi persembahan yang spektakular, tetapi entah mengapa, impaknya tidak terasa. M. Nasir yang muncul berduet dengan Jamal lagu Ghazal Untuk Rabiah juga gagal membantu.

Mengapa Spider dipilih sebagai persembahan penutup? Mengapa tidak boleh? Tetapi, ia tidak cukup klimaks untuk menyimpulkan berakhirnya sebuah acara mega yang memegang tema Kemuncak Segala-galanya.

‘Tapi, pentas AIM13 cantik,’ komen seorang tetamu. Adakah hanya secetek itu nilai acara berprestij kita tahun ini?