Fazura Oh Fazura
kredit gambar : mstar.com.my
Kontroversi tidak pernah sunyi dari kehidupan Nur Fazura Sharifuddin. Biarpun baru dua tahun bergelar pelakon, aktres ini telah melalui bermacam pengalaman yang pahit maung, melebihi dari rasa manisnya diangkat sebagai Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia ke-17.
Dia dituduh mencederakan wanita di kelab malam, berkelakuan liar, kurang berdisiplin, gemar berparti dan pelbagai tuduhan yang menyakitkan. Minggu lalu, dia ditimpa bahana lagi apabila dikatakan mabuk, menolak dan memaki hamun jurugambar yang cuba merakamkan aksinya.
Tidak berdiam diri, dia bangkit mempertahankan diri seperti seorang srikandi. Fazura mungkin masih muda, 23 tahun, tetapi dia seorang wanita kuat dan tahu apa yang benar, apa yang salah.
Fazura mencurah rasa.
Satu demi satu cerita Fazura mendapat perhatian media sehingga keluar muka depan akhbar.
Entahlah, saya pun tidak tahu mengapa. Kadang-kadang saya rasa terkilan kerana tahu saya tidak bersalah. Perkara yang kecil diperbesar-besarkan, seolah sengaja mahu menghukum saya.
Saya bukan mahu menuding jari menyalahkan sesiapa, tetapi ada pihak yang seakan tunggu saya buat silap sikit saja. Sengaja mahu sensasikan cerita, macam saya jahat sangat.
Jahat ke Fazura?
Kalau saya jahat, berikan saya bukti. Jangan adili saya hanya kerana cerita yang lepas (kes mahkamah dan saman akhbar). Apa yang saya lakukan kerana ingin mempertahankan diri. Orang tahu Fazura seorang artis, tetapi mereka tidak kenal siapa saya. Tuduhan sebegitu tidak adil.
Berikan saya sebab mengapa dituduh sekejam itu. Kerana saya pergi ke kelab? Berseronok dengan rakan-rakan? Saya seorang yang berterus terang, tidak suka sorok-sorok atau menjadi hipokrit.
Saya tidak mahu menipu diri sendiri. Bila saya tua nanti, saya tidak mahu fikir saya gagal dalam hidup kerana menjadi seorang pembohong.
Fazura kata ada pihak yang seakan cuba menjatuhkan Fazura. Siapa?
Saya tidak tahu, malah tidak mahu pun menuduh atau mengesyaki sesiapa. Cuma sepanjang dua tahun di dalam dunia lakonan, banyak sangat dugaan yang menimpa. Saya tidak pernah mengaibkan atau menjatuhkan maruah orang lain, jadi saya tidak faham mengapa saya sering menjadi sasaran fitnah.
Berilah saya peluang untuk hidup. Saya mohon kalau ada sesiapa yang tidak puas hati dengan saya, tampil ke depan, kita bersemuka. Saya sanggup meminta maaf kalau mereka terasa dengan saya.
Fazura dilabel macam-macam - artis kontroversi, pelakon sensasi, budak nakal.
Walaupun orang nampak saya masih ketawa dan tersenyum, tetapi hati saya terluka. Bila saya menangis, ada yang tuduh saya raih simpati. Tidak, saya benar-benar kecewa.
Sebenarnya, saya tidak kisah jika saya seorang saja di dunia ini. Katalah apa saja tetapi cerita-cerita buruk itu melibatkan maruah keluarga, terutamanya ibu saya. Dia sampai tidak tidur malam, malu keluar rumah kerana bimbang disangka ibu yang kurang baik.
Biarpun bapa sudah arwah, saya membawa bersama namanya ke mana-mana. Tetapi, saya percaya kepada hukum karma, what comes around goes around. Ini mungkin masa saya. Biarlah. Orang memang suka melabel orang.
Kata orang, publisiti itu buruk atau baik, tetap satu publisiti. Betul, tetapi untuk apa publisiti yang menjatuhkan atau memalukan?
Sejauh mana kesannya kepada kerjaya?
Tahun lalu beberapa kontrak dibatalkan, termasuk products endorsement, tetapi saya tidak marah atau menyalahkan sesiapa. Saya yakin rezeki Tuhan yang beri. Orang boleh cakap macam-macam untuk bunuh semangat saya, tetapi saya bukan bodoh.
Alhamdulillah, saya masih mendapat tawaran drama dan filem serta mengacara. Malah, saya bakal berlakon teater April ini di Istana Budaya. Pementasan itu bertajuk Suzana@60, sebuah muzikal yang berlatar belakangkan era 1960an.
Ramai yang tahu Fazura memang boleh menyanyi. Guna suara sendiri untuk muzikal itu nanti?
Tunggulah, semuanya masih dalam perancangan. Kalau disuruh menyanyi secara ‘live’ saya tidak kisah. Tentu menyeronokkan!
Semasa mendapat panggilan dari pengarah Lokman Ghani, saya seperti tidak percaya apabila ditawarkan watak utama. Risau juga kerana inilah teater pertama saya, apatah lagi tidak diuji bakat. Selama ini saya merasakan lakonan saya belum cukup bagus untuk dibawa ke pentas.
Namun, kepercayaan mereka saya pegang kuat. Saya mahu buktikan saya berkemampuan.
Rancangan hendak buat album, bila?
Saya mencari masa untuk masuk kelas vokal, tetapi ada saja cubaan untuk melemahkan semangat saya. Kata mereka susah hendak berjaya bila aktres jadi penyanyi. Apa salah saya?! (menjerit sambil ketawa).
Sejak dulu pun, saya berangan menjadi penyanyi macam Sheila Majid. Tidak pernah termimpi bergelar pelakon, tetapi inilah yang dinamakan ketentuan Tuhan.
Selain Suzana@60, apa lagi yang menarik dari Fazura tahun ini?
Setakat ini, saya ditawarkan untuk menyambung watak Puteri dari Gol dan Gincu. Filem itu akan dijadikan siri televisyen. Hujung bulan ini juga, saya akan memulakan tugas baru sebagai VJ MTV Jus, menggantikan Sazzy Falak. Filem, masih dapat perancangan tetapi khabarnya ia sebuah projek besar yang melibatkan kerjasama produser antarabangsa.
Kenangan paling manis sepanjang memegang status pelakon?
Saya belajar banyak perkara dari orang-orang yang saya temui. Berbincang, bertukar-tukar fikiran, duduk bersembang minum kopi, makan biskut bersama dan menyambung semula kerja, kenangan seperti itu sangat indah bagi saya.
Masih berkisar tentang kontroversi - ada yang menyangkal sejauh mana Fazura serius bergelar anak seni.
Lakonan adalah cinta utama saya sekarang. Mungkin saya tidak akan berlakon selama-lamanya tetapi saya serius dengan kerja saya sekarang.
Sudah ada perancangan mahu berhenti berlakon?
Kalau saya berkahwin dan beranak 12 nanti, mana ada masa? (ketawa). Belum merancang lagi, tetapi jika berhenti pun, saya ada impian untuk menyumbangkan sesuatu kepada industri hiburan, contohnya menerbitkan filem.
Terlanjur bercakap soal kahwin, sudah ada calon?
Percaya atau tidak, sudah hampir setahun saya berseorangan. Sumpah! Kadang-kadang rindu juga mahu keluar berdua-duaan, tetapi sudah tidak ada, hendak buat macam mana.
Hubungan lalu yang gagal tidak bermakna saya serik. Saya belajar dari kesilapan. Saya masih mencari yang sesuai, tetapi tidaklah terdesak. Kalau ada, saya gembira. Kalau tidak pun, saya masih boleh meneruskan kehidupan sendirian.
Fazura terlalu memilih, mungkin?
Tidak juga. Saya amat tertarik dengan lelaki yang berdikari, yang berusaha mencari duit sendiri tanpa mengharapkan harta kekayaan keluarga. Pada saya lelaki seperti ini berpersonaliti tinggi. Paras rupa soal kemudian.
Kalau diberi kuasa memutar semula masa, apa yang Fazura ingin ubah?
Saya tidak pernah menyesal apa jua yang terjadi selama ini. Saya melihatnya dari sisi yang positif, belajar dan ‘membesar’ melalui pengalaman.
Masih keluar malam atau sudah rasa takut?
Saya masih trauma dengan insiden minggu lalu, tetapi untuk apa takut kalau saya tidak buat salah?
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru