eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: 11/06

Wednesday, November 29, 2006

Maya Ambil Cuti Rehat



Sejak Mei lalu, bintang jelita ini tidak henti bekerja. Memegang peranan utama filem arahan Shuhaimi Baba, Waris Jari Hantu kemudian menerima tawaran sutradara Osman Ali untuk Anak Halal, itu belum dikira lagi dengan tugasnya sebagai VJ saluran muzik Channel [V].

Justeru sepanjang bulan Disember ini, Maya Karin berhasrat ‘mengambil cuti’ dari sebarang aktiviti yang berkaitan dengan kerjaya.

“Penat, kerja tanpa rehat. Kalau tiada penggambaran atau rakaman, pasti ada temu janji lain seperti sesi fotografi dan sebagainya. Hari ini, ‘hari terakhir’ saya bekerja sebelum bercuti panjang,” ujarnya yang ditemui semasa majlis ulang tahun pertama Hotel Maya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Masih belum pasti di mana destinasi percutian, beritahu gadis kacukan Melayu-Jerman ini: “Kemungkinan besar saya akan ke Vietnam selama dua minggu untuk menziarah bapa yang baru berpindah dari Indonesia.

“Baki cuti yang selebihnya mungkin dihabiskan di sini saja. Sudah lama sangat rasanya tidak berkumpul dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Kerja, kerja juga tetapi saya tidak mahu ‘kehilangan’ kehidupan sosial. Tiba masanya untuk saya fokus sebentar kepada orang yang tersayang.”

Ketawa apabila diusik siapa yang dimaksudkannya dengan ‘orang tersayang’, Maya segera menepis soalan nakal dengan menjawab, “Semua orang saya sayang, termasuklah anda semua (para wartawan).”

Memiliki sepasang senyuman dan lirikan mata yang cukup menawan, gadis yang sinonim dengan watak pontianak ini dijadualkan kembali sibuk Januari depan apabila terlibat dengan filem terbaru arahan ‘sifu’nya, siapa lagi kalau bukan Shuhaimi Baba.

Bertemakan patriotik, sebenarnya Maya sendiri masih tidak pasti judulnya dan belum membaca skripnya. “Saya mengatakan ‘ya’ pada tawaran tersebut semata-mata kerana Shuhaimi. Setelah berlakon tiga filem dengannya, saya percaya apa yang dia buat tidak akan mengecewakan.



“Saya sendiri masih kabur tentang watak dan bagaimana jalan ceritanya. Apa yang saya dimaklumkan ia mengenai kemerdekaan negara. Saya pasti ia sesuatu yang istimewa. Tunggulah nanti, bila semuanya berjalan lancar, para peminat akan tahu juga,” janji Maya.

Mengakui seorang yang cerewet dalam memilih projek filem, jelas Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 ini: “Bukan mahu demand tidak bertempat, tetapi tidak salah jika saya berhati-hati. Apa yang saya pentingkan ialah penceritaan, kekuatan karakter dan siapa tenaga kerja di sebalik sesuatu tawaran.”

Sedang dia diangkat sebagai pelakon hebat masa kini, Maya masih tidak melupakan dia juga seorang penyanyi. Pernah menghasilkan dua buah album, Erti Cinta dan Bukan Qalam Maya di bawah label MIG Records, gadis berusia 26 tahun ini giat merancang untuk membikin album seterusnya.

“Buat masa ini saya bebas dari ikatan mana-mana syarikat rakaman, tetapi terdapat beberapa pihak yang menunjukkan minat untuk ‘melamar’ saya bagi projek album. Saya tidak mahu terburu-buru buat album atas alasan ‘mesti ada album’. Biarlah produk yang ketiga nanti berkualiti tinggi,” terangnya yang kini berada di bawah pengurusan FuseAsia.

Sementara itu, kesediaannya menjadi tetamu khas sambutan ulang tahun Hotel Maya adalah kerana mereka berkongsi nama yang sama. “Setiap kali melalui Jalan Ampang dan terpandangkan hotel ini, saya tersenyum seorang. Saya ada ‘hotel sendiri’,” katanya bersenda.



Pada hari tersebut, seramai 32 orang bernama Maya turut diraikan dan salah seorang daripada mereka, Maya Shalfawaniz Md. Sakil, 28 telah dipilih sebagai pemenang hadiah cabutan bertuah iaitu keistimewaan menetap di hotel tersebut sepanjang hayat.

“Sebetulnya saya tidak pernah bertemu dengan orang bernama Maya di Malaysia sebelum ini. Sekarang, saya berjumpa lebih dari seorang!” beritahu Maya sambil melayan ‘saudara-saudaranya’ itu.

Tuesday, November 28, 2006

Dina Tubuh Syarikat Sendiri



Rakam album sudah, menang di Hollywood pun sudah, tetapi kehadiran Dina seolah sering dilupakan. Apa silapnya? Tidakkah naib juara Malaysian Idol musim pertama ini berasa kecewa kerana realiti tidak sepadan dengan mimpi?

“Saya sedar akan hakikat tersebut. Saya akui perjalanan karier saya melalui jalan yang agak sukar, tetapi itu tidak bererti saya putus harap dan mengaku kalah,” jelas Dina atau nama penuhnya Faradina Mohd. Nazir ketika ditemui baru-baru ini.

Mempunyai suara yang unik sehingga tercalon untuk kategori Vokal Terbaik Wanita dalam Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13) yang lalu, Dina pernah membawa pulang dua pingat daripada Pertandingan Seni Persembahan Sedunia (WCOPA) yang berlangsung di Los Angeles, tahun lalu.

Menerima pingat emas bagi kategori Vokal R&B/Soul/Jazz dan pingat perak untuk kategori Vokal (karya asal) antara 18 hingga 24 tahun, ternyata kemenangan tersebut seperti dipandang sebelah mata oleh khalayak tempatan.

“Mungkin kejayaan itu belum cukup menyakinkan para peminat terhadap kredibiliti saya. Mungkin masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki. Mustahil kalau saya kata tidak kecewa langsung, tetapi apa yang berlaku saya ambil sebagai pengajaran,” ulasnya matang.

Baru berusia 21 tahun, gadis kelahiran Johor Bharu, Johor ini juga tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak atas sambutan dingin album sulungnya, Dina. Diterbitkan di bawah label Nature Records, kata Dina: “Album itu berdepan dengan beberapa masalah pengedaran dan kewangan.

“Terdetik rasa ralat tetapi dugaan seperti inilah yang mengajar saya memahami selok-belok dunia hiburan. Jika tiada aral, album tersebut akan dikeluarkan semula di bawah syarikat pengedaran yang baru tidak lama lagi.”

Popular dengan single Cinta Datang Lagi, dia masih belum pasti jika album itu akan memuatkan beberapa lagu baru sebagai bonus.

“Saya masih berbincang dengan label rakaman mengenai hal tersebut. Kami sudah pun menghimpun material-material terbaru, antaranya ciptaan dari Singapura dan Indonesia tetapi sayang rasanya jika ia dimuatkan dalam album repackage,” jawabnya berbelah bagi.

Menjadikan Adibah Noor sebagai idola, akui Dina: “Saya tidak boleh tergopoh-gapah atau cepat melatah kerana Adibah juga mengambil masa yang lama untuk menyakinkan peminat bahawa bakat adalah sandaran utama.

“Dalam masa yang sama, saya tetap menitik beratkan soal imej dan penampilan. Saya bukan mahu menjadi kurus ramping, cukuplah sekadar tahap stamina yang baik ketika beraksi di atas pentas.”

Baru tamat peperiksaan semester akhir Diploma Pengurusan Seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, tempoh tiga setengah tahun yang dihabiskan sebagai penuntut ternyata tidak sia-sia.

Dina kini mempunyai syarikat pengurusan sendiri, Soulful Symphony yang ditubuhkan bersama rakan kongsinya, Mohd Hazri Shihabudin kira-kira dua bulan lalu.

“Selepas kontrak pengurusan saya bersama 8Unit (di bawah naungan 8TV) tamat, saya fikir mengapa tidak saya mempunyai syarikat sendiri. Dengan kelulusan yang saya ada, Insya Allah, saya berpengetahuan mengendalikannya,” ujarnya optimis.

Turut menguruskan sebuah kumpulan tarian hip hop, Floor Fever Group, Dina berhasrat mengembangkan perniagaannya sebagai syarikat perhubungan awam dan pengurusan majlis satu hari nanti.

Satu soalan nakal untuknya sebelum mengakhiri perbualan - adakah penubuhan Soulful Symphony membuktikan Dina dan Hazri, yang merangkap pengurusnya, mempunyai hubungan intim seperti diperkatakan ramai?

“Tidak sama sekali,” Dina menafikan. “Saya akui kami sangat rapat, sudah kenal baik dan bekerja bersama selama tiga tahun tetapi kami tidak bercinta. Hazri sudah punya teman istimewa dan saya kenal siapa orangnya,” sambungnya lagi sambil tersenyum.

Monday, November 27, 2006

Sean Ghazi Impikan Bintang

Sebentar dia muncul, sekejap dia hilang. Umpama sebutir bintang antara berjuta di celah awan, Sean Ghazi kini menyuluhkan sinar yang terang. Masanya sudah tiba, masa untuk dia mendekati khalayak Malaysia dalam ruang lingkup yang lebih besar.

Mengimbas kembali sepuluh tahun lampau, namanya mula dikenali menerusi soap opera tempatan, Idaman. Berlakon beberapa drama, teater dan sempat menimba pengalaman membintangi cereka Hollywood, Anna And The King, Sean sering berpergian ke London mengutip ilmu seni persembahan.

Biarpun publisiti mengenainya kurang diuar-uarkan, Sean Ghazi mempunyai senarai portfolio yang sangat mengagumkan.



Dia pernah beraksi bersama Elaine Paige dan Jason Scott Lee di pentas London West End untuk The King And I, melakonkan watak Thuy dalam Miss Saigon dan Angel dalam muzikal Rent, malah berkongsi pentas dengan Julie Andrews, Judi Dench dan Hugh Jackman di London Lyceum Theatre untuk Hey, Mr. Producer!

Turut merantau ke Jerman atas tiket lakonan, kelangsungan ini memberi peluang kepadanya merakamkan suara secara berkumpulan untuk runut bunyi teater-teater tersebut, termasuklah bersama 70 orang pemuzik orkestra di Abbey Road Studios, London kira-kira enam tahun lalu.

“Tiga tahun belajar di Laine Theatre Arts, London, saya dilatih untuk tidak menumpukan perhatian kepada sesuatu kebolehan saja. Baik lakonan, nyanyian mahupun tarian, saya harus arif dalam kesemuanya. Tiada forte, tidak boleh melebihkan satu-satu perkara dari yang lain.

“Justeru kalau ditanya yang mana satu kekuatan saya, saya sukar beri jawapan. Kalau ada pun yang perlu dikurangkan sekarang, mungkin bidang tarian kerana sudah tidak sesuai dengan usia!” seloroh jejaka Pan Asian berusia 37 tahun ini.

Cenderung menyanyi sejak kecil lagi, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini sudah berjinak-jinak dengan hiburan ketika berusia 22 tahun. Selain London, pengalamannya menetap di Singapura dan Boston, Amerika Syarikat banyak mendedahkannya kepada keindahan dan kehalusan seni.

Namun begitu, dalam kegembiraan meraikan hampir setengah hayat di tempat orang, Sean sebenarnya masih belum puas. Dia mahu bakatnya dihargai ‘kaum keluarga sendiri’ di sini.

Pulang dari London pada tahun 2001, dia menyibukkan diri dengan memenuhi pelbagai undangan, daripada yang berskala kecil di kelab-kelab jazz, sehinggalah di pentas gah menjayakan malam amal bencana Tsunami, Konsert Kasih di Istana Budaya, Kuala Lumpur dua tahun lepas.

“Ramai juga penonton di sini yang terkejut bila saya menyanyi. Mereka sangkakan saya berlakon saja,” kata pemilik nama penuh Sean William Ghazi ini.

Menerima pengiktirafan Produksi Terbaik dan Pilihan Peminat dalam Anugerah Seni BOH Cameronian 2005 untuk persembahannya, I Have Dreamed - An Evening With Sean Ghazi di Actors Studio, Bangsar, kemenangan itu meyakinkan dia untuk menghasilkan album.

“Saya sering mengimpikan sebuah produk yang boleh merapatkan para pengikut dunia hiburan tanpa ada batasan status, tanpa pengkelasan kasta, bahasa pertuturan mahupun warna kulit. Apa yang saya mahu hanya menghibur dan berharap orang akan terhibur,” tegasnya.

Membawakan konsep klasik Big Band dan Swing yang cukup serasi dengan jiwanya, dia membuat kemunculan perdana di Anugerah Era ‘06 baru-baru ini menyanyikan lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Jeritan Batinku.

“Bermacam reaksi yang saya terima, termasuklah ‘oh, muzik kamu macam Michael Buble!’” beritahu Sean sambil ketawa.

Tidak menafikan muzik sedemikian memberinya inspirasi, tetapi bukan berniat meniru, jelasnya: “Idea merakamkan semula lagu-lagu lama sudah terlintas di fikiran sejak saya bermastautin di London lagi.

“Tahu-tahu selepas itu Robbie Williams buat album dengan konsep yang sama, kemudian muncul pula Buble. Begitu pun, saya tidak mengambilnya secara negatif. Melihatkan sambutan peminat yang memberangsangkan, saya tahu ia masa yang tepat. Saya terus memulakan langkah, tidak mahu tunggu lagi, enggan ketinggalan.”

Dua tahun menghimpun dana dan mencari material yang secocok, akhirnya Semalam menjengah pasaran mulai 20 November lalu. Diterbitkan oleh label kepunyaannya sendiri, Baby Grand Productions, album ini diedarkan oleh Universal Music (M) Sdn. Bhd.

Mendapatkan khidmat Guy Noble, konduktor terkemuka Australia sebagai pengarah muzik, keseluruhan melodi dalam album tersebut dirakamkan di Sydney bersama iringan para pemain orkestra. Seminggu berkampung di sana, Sean menyudahkan rakaman vokal di Kuala Lumpur dengan bantuan penerbit tempatan, Peter Chong.




“Dari segi pengedaran, saya beruntung kerana belum pun album siap dibikin, Pengarah Urusan Universal Music, Sandy Monteiro sudah menunjukkan minat. Cabaran sebenar menghasilkan Semalam terletak pada pencarian penerbit dan penyusun lagu yang betul-betul menepati tema, selain memilih lagu daripada senarai yang panjang!” akui Sean.

Semalam memuatkan 12 buah trek, antaranya I Have Dreamed (dari filem The King And I), Somewhere My Love (lagu tema Dr. Zhivago), lagu P. Ramlee seperti Hujan Di Tengahari, Getaran Jiwa dan Dengar Ini Cerita, lagu rancak Sudirman berjudul Punch Card, Jauh Jauh dari Jimmy Boyle, Rambut Hitam Matanya Galak dari Aneke Gronloh serta komposisi seniman negara, Datuk Ahmad Nawab bertajuk Sabarlah Menanti.

Bagi menambahkan variasi, Sean turut menyanyikan semula Let’s Never Stop Falling In Love (versi Melayunya, Ku Impikan Bintang) dendangan asal kumpulan dari Amerika Syarikat, Pink Martini dan sebuah lagu ciptaan baru, Semalam hasil tulisannya bersama Izlyn Ramli.

“Walaupun sering dipanggil ‘budak campur’, saya masih anak Malaysia, saya bangga menyampaikan lagu-lagu Melayu. Untuk apa merakamkan semula lagu-lagu klasik Inggeris yang sudah sedia popular, sedang lagu warisan kita sendiri sangat indah dan menarik?” jelasnya seakan bertanya.

Menolak hakikat mengambil jalan mudah, sambungnya: “Saya akui menyanyikan lagu-lagu lama satu kelebihan untuk lekas dikenali, tetapi itu bukan motif utama. Saya percaya lagu-lagu seperti ini malar segar, sentiasa mempunyai penggemar dan tidak jemu didengar sampai bila-bila.”

Tidak tunduk pada persaingan artis-artis lain yang lebih muda, Sean menganggap Semalam lahir pada waktu yang sesuai.

“Tahun depan genap 50 tahun Malaysia merdeka. Secara simbolik, ini adalah suara dan emosi patriotik saya yang berbangga dengan khazanah seni tinggalan seniman-seniman terdahulu,” bicaranya mengakhiri kata.

Sunday, November 26, 2006

Kurniaan Untuk Aishah



Namanya sering didengar, disebut-sebut dan tidak sepi dari publisiti. Alunan gemersiknya juga masih berkumandang di corong radio dan peti televisyen. Namun begitu, dalam sedar dan tidak, sudah lapan tahun dia tidak menghasilkan album terbaru.

Selama 16 tahun Aishah berada dalam industri hiburan tanah air, suaranya masih kekal sama seperti dulu. Mantap, nyaring dan bertenaga, dia bersyukur kerana masih ada ruang untuknya menghiburkan para peminat setia.

“Ada ketika saya rasakan perjalanan karier saya seperti ‘hidup segan mati tak mahu’. Dalam kemunculan ramai artis-artis baru, saya sedar bukan semua pintu terbuka untuk saya.

“Bagaimanapun Alhamdulillah, Sony BMG Music masih percaya dengan kemampuan saya,” tutur Aishah semasa sesi pra-dengar Kurnia di pejabat syarikat rakaman tersebut, baru-baru ini.

Kali terakhir muncul dengan Tiada Akhirnya terbitan EMI, Kurnia boleh disifatkan sebagai satu projek reunion.

Ia bukan saja menyatukan Aishah dengan rakan lama, komposer Adnan Abu Hassan sebagai penerbit keseluruhan, malah penyanyi berusia 41 tahun ini juga kembali bernaung di bawah label yang sama semasa dia mula-mula mengecapi populariti.

“Saya tidak pernah bersengketa dengan Sony (sebelum bergabung dengan BMG Music). Malah apabila menyertai syarikat lain pun, kontrak saya ketika itu sudah tamat,” kata Aishah memberi penjelasan.

“Saya selesa dengan kerjasama baru yang termeterai ini. Saya akui pada mulanya berasa agak skeptikal dengan penerimaan mereka terhadap imej saya yang sudah bertudung, tetapi nampaknya ia tidak pernah langsung ditimbulkan,” sambungnya lagi.

Hampir tiga tahun mengumpul material, mencorak konsep dan mencari kembali ‘semangat kegemilangan’ Aishah, akhirnya Kurnia bakal berada di pasaran hujung bulan ini.

Menampilkan lima buah komposisi baru, antara yang patut diberi perhatian ialah Kasihnya Balqis (Adnan Abu Hassan/Mohariz Yaakup) yang bernuansakan etnik kreatif serta Berikan Harapan (Adnan Abu Hassan/Aishah) yang berkisarkan tragedi bencana Tsunami.


Pictures: mStar

“Saya bertuah kerana Adam Ahmad (yang menciptakan Janji Manismu dan Kemaafan Dendam Yang Terindah) sudi memberikan lagu untuk album ini. Mendengarkan melodi dan lirik nukilannya, hati saya tersentuh dan terus menjadikan ia sebagai tajuk album,” terang Aishah mengenai lagu Kurnia.

Kerana sinonim dengan irama bertemakan patriotik seperti Bahtera Merdeka, dia tidak lupa memuatkan lagu Barisan Kita yang disampaikan dengan iringan piano, di samping lagu klasik Daun-Daun Berguguran dan Songkok Mereng yang diberi sentuhan nafas baru.

“Sebagai bonus, saya juga mahu menghadiahkan para peminat dengan single tahun lalu, Tiada Lagi Tangisan serta Melukut Di Tepi Gantang, lagu tema siri Seputeh Qaseh Ramadan yang ditayangkan di TV3 bulan puasa lepas,” tambah ibu kepada dua orang anak ini, Arman Azhari, 11 dan Azhad Ahlami, 7.

Lagu-lagu lain yang terkandung di dalam albumnya yang ke-11 ini ialah Haruskah Ku Menyuarakan (Rosli Selasih/Lew Mable) dan Hanya Kernamu (Adnan Abu Hassan/Faris Zailani).

Diuji dengan persoalan bagaimana Aishah melihat album ini mampu menyaingi album-album pop lain, dengan penuh kematangan dia mengulas: “Saya bikin album bukan kerana terpaksa atau terdesak.

“Saya sentiasa percaya, selain angka jualan, seseorang artis itu bertanggungjawab membawa mesej kepada para peminat. Lagu bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya jika ia disampaikan dengan betul dan difahami, ia boleh memberi kesan.”

Sementara itu, Adnan menyifatkan Aishah sebagai seorang penyanyi yang tidak banyak berubah, sangat profesional, tidak terasa hati apabila ditegur dan tahu apa yang dia mahukan.

“Bayangkan dalam masa satu malam, dia mampu merakamkan empat buah lagu tanpa masalah. Saya yakin album ini bukan saja didedikasikan untuk mereka yang membesar bersama lagu-lagunya, malah sesuai didengar generasi muda hari ini,” komen Adnan jujur.

Saturday, November 25, 2006

Merah Yang Tidak Menyala



Tajuk: The Red Kebaya

Genre: Drama

Penerbit: L’Agenda Productions, Kartu-BRB (M) Sdn. Bhd.

Pelakon: Ramli Hassan, Vanidah Imran, Bob Mercer, Samantha Schubert , Zahim Al-Bakri, Patrick Teoh, Jo Kukathas, Elaine Daly

Penilaian: 2 bintang

Biarpun sudah diiktiraf sebagai jurugambar terkenal, Latiff memiliki sebuah jiwa yang sangat sepi. Dunianya hanya berlegar kepada minat terhadap fotografi dan untuk pameran terbaru, dia memilih rumah-rumah terbiar sebagai subjek penggambaran.

Dalam kembaranya mengunjungi banglo-banglo kosong, dia dihantui suara serta imej aneh yang seakan ingin menyampaikan sesuatu.

Sedang dia mencari-cari jawapan, dia ditemukan dengan beberapa pembayang - dua kanak-kanak bermain layang-layang, sekeping gambar lama dari kedai antik, sebuah melodi Melayu klasik yang didengar di radio dan bayangan baju kebaya Merah.

Elemen-elemen inilah yang membawa Latiff ke satu destinasi iaitu sebuah rumah di atas bukit.

Sebaik saja kakinya melangkah masuk, dia seolah ‘dihantar’ pulang ke zaman silamnya. Di depan mata sendiri, dia menyaksikan apa yang berlaku sehingga menyebabkan dia menjadi yatim piatu seawal usia lima tahun.



Latiff ‘berkenalan’ dengan beberapa karakter seperti John Reynolds, seorang lelaki Inggeris yang terperangkap dalam neraka perkahwinan serta Azizah, seorang wanita tempatan yang terpaksa menjadi penari kabaret demi membesarkan anak selepas suaminya menyertai gerakan komunis.

Kelembutan Azizah menambat hati John sehingga dia nekad meninggalkan isterinya, Davinia. Konflik dan tragedi tercetus di sini, lantas menjawab segala persoalan mengapa Latiff hidup sendirian dan dibesarkan di rumah anak-anak yatim.

Karya ilham penerbit Ramli Hassan dan Andre Berly, The Red Kebaya diarahkan oleh Oliver Knott, sutradara dari England yang kini bermastautin di Malaysia. Bertindak sebagai penulis skrip dan lakon layar, ini merupakan filem keduanya selepas Free Spirits yang dipertandingkan di Festival Filem Oldenburg, Jerman.

Secara kasar, premis The Red Kebaya dilihat mempunyai unsur-unsur sentimental yang sangat kuat. Tentang masa lampau seseorang, plotnya dilakarkan dengan elemen drama yang suram dan penuh metafora. Sayangnya, apa yang cuba disampaikan pengarah tidak kesampaian.

Bergerak perlahan sejak lima minit pertama filem berputar, momentumnya tidak cukup ‘menggenggam’. Penonton tidak teruja dengan setiap pembayang yang Latiff terima kerana ia tidak cukup misterius. Pendekatannya yang mendatar membuatkan penonton tidak berminat ‘menyertai’ pencarian yang Latiff lakukan.

Penonton menjadi sedikit keliru bagaimana Latiff boleh ‘dipindahkan’ ke masa lampau kerana penceritaan pengarah tidak cukup meyakinkan. Malah, lebih merugikan apabila penonton sudah boleh meneka-neka apa yang bakal berlaku seterusnya sebaik saja mengenali karakter Azizah dan anaknya.



Agak menghairankan mengapa pengarah memilih untuk memulakan filem ini dengan adegan imbas kembali Davinia mengupah penjahat dan Azizah meniarap sambil tubuh berlumuran darah.

Menawarkan kesimpulan kepada penonton pada awal filem bukanlah satu usaha yang baik. Jika niatnya untuk menimbulkan suspen, ternyata ia tidak berjaya.

Sebagai item yang dijadikan tajuk filem, kebaya merah seharusnya ‘menyala’, ditonjolkan dengan lebih ketara agar item itu lekat di ingatan penonton sampai filem berakhir. Bagaimanapun, ia sekadar menjadi satu props yang tidak membawa sebarang erti.

Barangkali ada penonton yang akan bertanya logik memori Latiff - mustahil dia mampu melupakan tragedi ibunya mati dibunuh di depan mata sendiri, walaupun ketika itu dia baru berumur lima tahun?

Jika pengarah memberikan alasan Latiff mengalami trauma atas insiden tersebut, langsung mengalami amnesia, plot itu seharusnya dibina sejak awal lagi agar penonton memahami siapa Latiff dengan lebih jelas.

Rasanya The Red Kebaya akan lebih teratur dan mudah seandainya pengarah hanya memfokuskan perhubungan terhalang antara John dan Azizah. Cipta lebih konflik dan drama, sambil melupakan saja kisah Latiff kerana ia hanya menjadikan filem ini lebih kompleks.

Friday, November 24, 2006

Selamat Tinggal Nate Fisher

Six Feet Under sedang menghitung hari-hari terakhir sebelum ‘dikebumikan’. Selepas lima musim bersiaran, drama bersiri yang penuh komik, ironi dan misteri kehidupan ini akan menemui titik penamat tidak lama lagi.

Kini ditayangkan di saluran HBO (Astro 40) setiap Selasa pukul 11 malam sejak bulan lalu, Peter Krause yang membawakan watak Nate Fisher. Sesi temu ramah tersebut diaturkan oleh pihak HBO Malaysia dan Singapura baru-baru ini.

Berikut merupakan sedutan interviu yang turut disertai oleh beberapa media tempatan dan Singapura.



Menurut pandangan anda, apakah kesan yang ditinggalkan oleh Six Feet Under kepada legasi dunia televisyen hari ini?

Selaku penulis, Alan Ball telah mencipta sebuah dunia di mana tiada satu pun karakter yang lebih menonjol daripada yang lain.

Masing-masing cuba mempamerkan setiap gambaran realiti - ibu kepada tiga anak yang diceraikan suami, seorang gadis yang meningkat dewasa, seorang lelaki yang cuba memahami orientasi seksualnya dan beberapa watak yang berkisar kepada perhubungan dan tanggungjawab. Setiap watak mempunyai konflik sendiri.

Setiap minggu, siri ini mengingatkan audiens bahawa semua orang akan mati. Kita tidak boleh menidakkan kenyataan tersebut. Secara halus, Alan cuba menyampaikan mesej manusia tidak pernah bersendiri. Setiap dari kita mempunyai masalah dan mempunyai kaitan tanpa kita sedar.

Bagaimana karakter Nate Fisher mempengaruhi hidup anda?

Sukar melakonkan karakter Nate. Saya akui ia lebih mudah semasa dua musim pertama. Selari dengan kematangan usia, watak Nate berubah menjadi lebih multi dimensi dan kompleks. Kualiti skrip juga semakin bagus dan berkembang. Saya turut merindui rakan-rakan pelakon lain selepas musim kelima selesai.

Perkembangan karakter Nate sepanjang lima musim mengikut pengamatan anda?

Nate tidak pernah berasa puas. Dibesarkan dalam keluarga yang menjalankan bisnes pengkebumian, dia terpaksa hidup dalam situasi yang dia sendiri tidak selesa.

Bagaimanapun, apabila dia diberikan tanggungjawab mengendalikan perniagaan tersebut, dia seolah lega kerana mampu menjaga keluarganya. Nate merupakan simbol kepada generasi baru yang berperang antara kemahuan diri dan tugas kepada famili.



Kecewa apabila Six Feet Under dipanjangkan setakat lima musim saja?

Kami menghormati pendapat Alan Ball yang merasakan sudah tiba masanya Six Feet Under berakhir. Ia ditutup dengan baik sekali. Alan patut dipuji kerana berjaya mengekalkan momentum siri tersebut, menjadikan ia sebuah karya yang thought provoking dan luar biasa.

Saya pernah bergurau dengan Michael C. Hall (yang melakonkan watak David Fisher). Kami berkata, berlakon siri ini seperti satu tidur yang panjang.

Selepas lima tahun, kami terjaga dan terasa letih kerana terlalu banyak tenaga yang dicurahkan. Sepanjang durasi tersebut, kami hidup dalam dua watak yang berlainan dan ia bukan satu kerja yang mudah.

Anda lebih gemarkan drama atau komedi?

Bila saya berlakon komedi, saya mahu buat drama. Bila saya berlakon drama, saya selalu hendak buat komedi! Saya bertuah kerana Six Feet Under mempunyai keseimbangan antara komedi dan tragedi.

Projek anda selepas ini?

Saya berlakon dalam sebuah filem berjudul Civic Duty yang akan ditayangkan April depan. Filem tersebut mengenai dunia selepas tragedi 11 September yang mana warga Amerika sentiasa keliru dan berasa paranoia dengan apa yang berlaku di sekeliling.

Saya juga baru selesai penggambaran mini siri bertajuk The Lost Room. Berbanding karakter Nate yang anti-hero, watak saya kali ini lebih terbuka dan lurus. Ia turut dibintangi oleh Julianna Margulies, Kevin Pollak dan Elle Fanning, adik Dakota Fanning.

Selepas ‘tinggal’ di rumah pengkebumian, bagaimana anda mahu mayat anda dikebumikan nanti?

Saya mahu mayat saya dibakar.

Wednesday, November 22, 2006

Usia, Jarak Bukan Halangan

Saat selepas akad dilafaz, air mata lelakinya tumpah berderai. Bukan sebab mengenangkan perkahwinan yang lalu, tetapi kerana teringatkan ayahanda tercinta, Kamaruddin Wadud yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira tiga tahun lepas.

“Alangkah seronoknya kalau arwah dapat berkongsi detik-detik manis hari bahagia saya,” luah dramatis Bob Azrai atau nama penuhnya Azrai Kamaruddin, 38.

Lebih menambah sebak di dada apabila arwah ayahnya pergi mengadap Ilahi betul-betul pada hari ulang tahun perkahwinan yang ke-40. “Kalau arwah masih ada, tentu dia gembira dengan perkahwinan ini,” sambung Bob lagi.

Mendirikan mahligai rumah tangga untuk kali kedua selepas berpisah dengan aktres Aida Aris, Bob selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihan hati, Siti Khalizah Alihan, 18 di Masjid Bukit Indah, Ampang tengah hari Sabtu lalu.

Dengan wang hantaran RM33,000 dan mas kahwin RM80, upacara serba ringkas dan sederhana itu disaksikan oleh ibu Bob, Ainon Mohd. Yusoff, ibu bapa Khalizah, Alihan Chula dan Rahmah Kiaman serta kaum keluarga, sanak saudara serta sahabat rapat.

“Saya sedar mungkin ada yang berpendapat terlalu awal untuk saya berkahwin lagi selepas setahun menduda. Bagaimanapun, saya tidak boleh menolak jodoh apabila masanya sudah tiba. Saya yakin menikahi Khalizah adalah satu keputusan yang tepat,” katanya yang mula dikenali ramai melalui sitkom Spanar Jaya.

Mengimbas kenangan bagaimana dia dan isterinya dipertemukan, cerita Bob: “Semuanya dimulakan oleh adik Afdlin Shauki, Aizam Syamsul yang bersungguh-sungguh mahu saya berjumpa Khalizah. Sewaktu itu, Khalizah bekerja sebagai pembantu produksi untuk filem arahan Afdlin, Buli Balik.



“Apabila mengetahui Khalizah baru berusia 18 tahun, saya terasa seperti kami tidak sesuai kerana jarak umur yang sangat berbeza. Bagaimanapun, saya cuba-cuba mengenalinya menerusi telefon ketika dia sudah kembali ke Kuching, Sarawak untuk bertugas sebagai penyampai radio Cats.fm.”

Hari demi hari, minggu berganti minggu, Bob dan Khalizah menyedari keserasian yang terwujud antara mereka. Sehinggalah masuk bulan ketiga, Bob memberanikan diri terbang ke Kuching untuk bertemu dengan ‘gadis di corong telefon’ buat pertama kalinya.

“Saya akui mula jatuh cinta tetapi saya takut untuk menjalani hubungan serius kerana dia terlalu muda. Begitu pun, atas nasihat rakan-rakan serta restu ibu, akhirnya saya nekad untuk melamarnya dan kami mengikat tali pertunangan 21 Julai lalu,” terangnya jujur.

Mempercepatkan tarikh nikah daripada Julai tahun depan kepada 18 November tahun ini, mereka tidak mahu melambat-lambatkan perkara yang baik apatah lagi sering diuji dengan dugaan percintaan jarak jauh.

Bob dan Khalizah sepakat memilih warna putih untuk upacara akad nikah dan persandingan.

“Kami menganggap putih sebagai simbolik warna kanvas yang suci bersih. Hari perkahwinan ialah hari permulaan untuk kami mencorakkan warna kehidupan masa depan. Doakan jodoh kami berkekalan hingga ke akhir hayat,” ujar Bob.

Pasangan romantis ini merancang berbulan madu di Pulau Langkawi, Kedah dalam waktu terdekat dan menginginkan empat orang cahaya mata jika diizinkan Tuhan.

“Kalau boleh saya mahu anak kembar kerana Khalizah juga mempunyai saudara kembar,” tutur lelaki bertubuh besar ini.



Khalizah yang tidak terlepas senyum dari bibir memberitahu dia sangat bersyukur apabila dijodohkan dengan Bob.

“Dia pandai mengambil hati dan sangat romantik. Dalam sifatnya yang suka berjenaka, dia seorang lelaki yang matang dan saya yakin dia mampu membimbing dan melindungi saya,” jawab Khalizah ringkas yang akan menetap bersama Bob di Ampang selepas ini.

Tidak menghalang kerjaya suaminya sebagai pelakon, Khalizah juga sudah melepaskan jawatan di Cats.fm dan sedang menimbang tawaran bertugas di sebuah stesen radio di sini.

Sementara itu, majlis persandingan mereka yang diadakan pada sebelah malam hari yang sama berlangsung dalam suasana cukup meriah. Bertempat di restoran Bora Ombak, Ampang, upacara gilang-gemilang itu bertemakan Kesultanan Melayu Melaka.

“Sengaja saya dan perancang perkahwinan mewujudkan konsep tersebut. Saya mahu majlis ini diingati para tetamu sampai bila-bila,” jelas Bob. Diiringi beberapa ‘hulubalang dan para pengawal’ melangkah ke jinjang pelamin, dia dan Khalizah bagai pinang dibelah dua.

Kelihatan ramai kelibat rakan-rakan artis yang hadir menepati tema, yang lelaki mengenakan tanjak dan yang wanita lengkap bersongket. Antaranya ialah Riezman Khuzaimi, Rusdi Ramli, Vanidah Imran dan suami, Rashidi Ishak, Ridzuan Hashim serta Sharifah Shahira dan suami, Ijoy Azhari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Effendi Norwawi turut hadir menyerikan majlis sebagai tetamu kenamaan bersama isteri, Datin Seri Tiara Jacquelina dan anak-anak.

Tuesday, November 21, 2006

Sheila Rusly Bekas Banduan?



Kejayaan Ta’in mengumpulkan 2.9 juta penonton melalui slot Cerekarama TV3 Ramadan lalu telah menambahkan keterujaan Sheila Rusly dan suaminya, Jinggo untuk menghasilkan drama-drama berkualiti tinggi.

Tuan punya Js Pictures Sdn. Bhd. ini ingin selalu tampil dengan idea-idea segar, baik dari sudut penceritaan mahupun pemilihan pelakon, agar industri penyiaran tempatan tidak terus disogokkan dengan produk-produk klise dan kitar semula.

Justeru, pembikinan tele filem terbaru mereka, Sebuah Ijtihad dilihat memenuhi aspirasi tersebut.

Mendekati kehidupan banduan-banduan wanita yang menanti detik akhir sebelum hukuman dijatuhkan, ilham ini dicetuskan sendiri oleh Sheila selaku penerbit dengan bantuan penulis skrip, Nazli Jaafar atau lebih dikenali dengan nama Che Li.

“Sebetulnya sudah lama saya berhasrat menerbitkan sebuah drama yang berkisarkan wanita dalam penjara. Begitu pun, proses kreatif secara serius hanya bermula kira-kira dua bulan lalu,” kata Sheila ketika ditemui di Penjara Pudu, Kuala Lumpur yang menjadi salah satu lokasi penggambaran.

Berkonsepkan drama berat yang berkaitan dengan undang-undang, Che Li mengambil usaha membuat kajian melalui pembacaan akhbar, jurnal kehakiman serta merujuk kepada Jabatan Penjara.

“Kami tidak mahu mengambil mudah soal fakta dan prosedur perundangan. Biarpun watak-watak yang ditonjolkan adalah fiksyen sepenuhnya, kami tidak ingin memperlekehkan minda dan pengetahuan penonton,” ujar Che Li yang sebelum ini menukilkan skrip Episod Terakhir yang menerima pencalonan Anugerah Skrin TV3 2006.

Selain Sheila sebagai pendukung salah satu watak penting bernama Cat seorang banduan senior yang menjengkelkan, Sebuah Ijtihad membawa kembali aktres hebat Sofea Jane ke layar kaca untuk pertama kalinya selepas sebelas tahun.

Pelakon yang diingati melalui lakonan berani dalam Perempuan, Isteri Dan ... ini memerankan karakter Ida, seorang pengasas kosmetik yang disyaki mengedar dadah. Turut memperkuat barisan pemain ialah Mas Idayu, Maznah Zulkifli, Faizal Hussein dan Didie Alias.

“Bukan mudah untuk memujuk Sofea berlakon. Setiap kali bertemu, pelbagai alasan diberikan tetapi saya tidak berputus asa sehinggalah dia membaca sinopsis Sebuah Ijtihad dan menonton Ta’in. Persetujuan Sofea saya anggap sebagai satu bonus untuk menarik lebih ramai lagi penonton yang merinduinya kemunculannya,” terang Sheila penuh optimis.



Tersenyum mendengar penjelasan tersebut, Sofea mengakui dia mengagumi setiap hasil kerja yang dipaparkan oleh Sheila dan Jinggo selaku pengarah. “Saya berharap pilihan ini tidak mengecewakan,” tuturnya sambil memberi justifikasi mengapa dia begitu cerewet.

“Selepas berumahtangga, saya berikrar mendahulukan keluarga. Bidang seni hanya bila ada kelapangan. Saya mesti mencari sesuatu yang berlainan tanpa mengira besar atau kecil watak yang ditawarkan.

“Saya berlakon bukan setiap minggu atau setiap bulan. Justeru, saya perlu memastikan berlakunya transformasi dalam apa jua peranan. Paling penting, ia mesti meninggalkan kesan,” ulas ibu kepada tiga orang anak ini.

Ditanya tidakkah dia gementar setelah sekian lama tidak memikul tanggungjawab besar sebagai bintang utama, dengan tenang Sofea menjawab.

“Dalam kehidupan sehari-hari pun saya berdebar kerana saya tidak tahu apa yang bakal berlaku pada setiap minit mendatang. Terus-terang saya katakan, saya tidak melakukan apa-apa persediaan untuk watak ini kecuali menghafal skrip.

“Apabila masuk set, saya mula menyelami dan menghayati perasaan seorang banduan. Saya tidak mahu merancang lebih awal apa yang bakal saya rasakan kerana ia akan menjadikan lakonan saya palsu dan kaku. Saya mahu perasaan Ida berkembang sendiri secara natural. Saya mengaitkan pahit manis kehidupan sendiri dengan pengalaman yang dilalui Ida,” ujarnya panjang lebar.



Menyanjungi sifat dan peribadi yang diciptakan untuk watak Ida, Sofea mengakui meletakkan beberapa syarat kepada penerbit sebelum berkata ‘ya’.

“Sudah beberapa tahun saya tinggalkan dunia hiburan. Saya sudah tidak betah berada di set dari pagi ke malam. Bersetuju untuk berlakon menambah satu lagi beban di bahu dan kepala, selain urusan keluarga. Maklum saja, anak-anak saya masih kecil.

“Sebab itu saya hanya mahu berlakon pada hari-hari kerja. Hujung minggu khusus untuk famili. Bagaimanapun demi minat, saya mengehadkan kemunculan setahun sekali sama ada dalam filem, drama mahupun teater,” pintasnya.

Sama halnya dengan Mas Idayu yang lebih dikenali sebagai penyanyi dangdut gelek 45 darjah. Sudah lama meninggalkan gelanggang lakonan, dia menerima pelawaan Sheila atas dasar kawan.

“Masuk lapan tahun saya tidak berlakon. Apabila Sheila memberitahu tentang kisah banduan wanita, saya terus tertarik,” katanya yang menggalas peranan Zack, rakan satu sel dengan Cat dan Ida.

Mengulas mengenai karakter yang diberikan, jelas Mas, “Zack dan Cat sama-sama ‘membuli’ Ida semasa dia mula-mula dipenjara. Tetapi tiba pada satu peringkat, keadaan mula berubah dan perjalanan plot menjadi bertambah menarik.”

Menurut Sheila, transisi inilah yang menjadikan watak masing-masing semakin sukar.

“Misalnya Cat, dia digambarkan sebagai seorang yang keras hati dan samseng. Namun pada sisi yang lain, saya cuba menghidupkan realiti dan naluri wanita yang tetap tersentuh apabila sesuatu yang tragis berlaku,” beritahu Sheila.

Gabungan skrip yang baik dan para pelakon handalan meyakinkan Jinggo bahawa Sebuah Ijtihad layak dilabel sebagai produk ‘mesti tonton’.

“Sebagai sutradara, saya puas apabila mendapat material dan tenaga kerja yang bagus untuk diterajui. Menyentuh soal cabaran, 80 peratus penggambaran dilakukan dalam kawasan penjara dan ia merupakan satu pengalaman baru buat saya dan buat Js Pictures umumnya,” jelas Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya.

Menjalani penggambaran selama sepuluh hari, Sebuah Ijtihad dirakamkan di sekitar kawasan Penjara Wanita Kajang dan Putrajaya selain Penjara Pudu. Ia dijadualkan TV3 untuk siaran Januari akan datang.

Monday, November 20, 2006

Ryan Star Rockstar!



Malam Khamis lalu, kesesakan di kelab hiburan Zouk, Kuala Lumpur sedikit luar biasa. Bilangannya ramai, menjangkau hampir seribu orang dan ‘tenaga’nya juga agak berlainan.

Semuanya sabar menantikan kemunculan rocker seksi generasi baru yang diterbangkan khas dari New York oleh Channel [V].

Ketika jarum jam hampir menunjukkan pukul 9.15 malam, insan yang ditunggu-tunggu menaiki pentas, memberi ucap salam dalam persalinan serba hitam. Tangan diangkat tinggi tanda menghargai sokongan para peminat yang datang.

Dialah Ryan Star, bintang ciptaan program realiti Rockstar: Supernova yang terkandas di tengah jalan.

Meskipun tewas ke peringkat final seterusnya menyaksikan Lucas Rossi mengungguli kedudukan, dia tidak pernah dilupakan peminat. Mendapat jolokan fan favourite, kekalahannya membawa satu rahmat yang dia sendiri tidak menjangka.

“Bohonglah kalau saya katakan saya tidak mahu menang (semasa menyertai Rockstar). Begitu pun sepanjang rancangan itu berlangsung, saya mula menyedari rezeki saya memang bukan di situ.



“Saya bertuah kerana peminat menerima saya kerana muzik yang dibawakan. Bukan kerana rupa paras atau personaliti. Peminat lebih menyenangi penampilan saya secara solo dan buktinya selepas Rockstar berakhir, saya dihujani peluang bertemu mereka hampir di seluruh pelosok dunia.

“Saya berasa lebih bebas untuk bergerak sendiri, mencipta lagu sendiri dan merancang konsep sendiri tanpa sekatan atau kehendak orang lain,” kata pemuda berusia 28 ini.

Sibuk dengan siri jelajahnya di Amerika Syarikat dan Kanada, Star teruja dengan sambutan dan dokongan yang diberikan para peminat di Asia.

“Seperti satu mimpi apabila diberitakan yang saya akan ke Kuala Lumpur dan Singapura, apatah lagi saya tidak pernah ke sini sebelumnya. Saya fikir ini adalah cara terbaik untuk saya memperkenalkan diri sebagai artis solo,” jelasnya lagi.

Sedang mempromosikan album rakaman langsung dari Rockstar: Supernova berjudul Dark Horse: A Live Collection, Star turut sibuk mengumpul material untuk dimuatkan dalam produk sulungnya yang dijangka berada di pasaran awal tahun depan.

“Ryan Star semasa Rockstar dengan Ryan Star hari ini akan mengalami transformasi. Arah muzik saya berbeza dengan band Supernova. Saya berharap ia dapat menarik minat berjuta peminat di luar sana,” tambah jejaka kelahiran Long Island, New York ini yang berimejkan smokey eyes.



Pada malam persembahan, Star membuka tirai dengan lagu Losing Your Memory sambil memetik piano sebelum masalah teknikal berlaku. Gitar yang dimainkannya gagal berbunyi dengan sempurna menyebabkan dia berlari ke belakang pentas.

Muncul selang dua minit kemudian atas teriakan para penonton, situasi menjadi tenang seperti sedia kala sambil peminat leka didendangkan dengan lagu Take A Ride With Me.

Sesekali berjenaka dan mengajak dua orang peminat naik ke pentas, Star bijak memancing hati dengan membawakan lagu 11:59, Famous Yet dan medley Sink or Swim/Losing My Religion. Ada ketikanya dia sengaja berdiri dekat dengan penonton, memberi peluang kepada mereka untuk menyentuhnya dan berjabat tangan.

Sayangnya, showcase tersebut terlalu singkat, mengambil masa sekitar 45 minit saja. Biarpun Star muncul kembali menyampaikan dua lagu encore, So Ordinary dan Head Like A Hole, para peminat masih belum puas.

“Saya akan kembali menemui anda,” janjinya. “Selepas Singapura, saya akan pulang ke Los Angeles untuk sebuah konsert penutup sempena hari Thanksgiving tidak lama lagi,” beritahu Star.

“Semoga apa yang saya idamkan bakal menjadi kenyataan dan anda tidak akan saya lupakan,” jelasnya menutup perbualan.

Sunday, November 19, 2006

Ajai Tanpa Nurul



Tidak pernah dia menduga pada usia 31 tahun, dia didatangkan Tuhan dengan ujian yang amat berat. Sepuluh tahun membina mahligai bersama seorang hawa bernama Nurul Huda Abdul Wahab, Ajai pasrah apabila ikatan perkahwinan akhirnya terlerai.

“Tiada siapa yang menginginkan perpisahan,” ujar Ajai seakan mengeluh ketika membuka bicara tentang penceraiannya dengan Nurul.

“Mustahillah kalau saya katakan tidak sedih atau kecewa, tetapi saya reda. Apa jua yang berlaku saya percaya Tuhan menuliskan hikmah di sebaliknya,” sambung pemilik nama penuh Mohd. Faizal Maas ini.

Di ruang pejabatnya, masih tergantung kukuh potret keluarga. Dilukiskan seniman popular Imuda tiga tahun lalu, dia tersenyum apabila ditanya tidakkah terasa pilu setiap kali memandang lukisan tersebut.

“Hanya mereka yang berada di tempat saya tahu apa rasanya,” jawab Ajai ringkas penuh makna.

Petang Khamis itu, dia ditemani anak sulung kesayangan, Ayu Nazirah yang baru pulang dari sekolah.

Betah membawa diri sendirian - sekejap melayan kartun di televisyen, sekejap ralit dengan permainan video di komputer - sebentar pun anak kecil berusia lapan tahun itu tidak mempamerkan reaksi berduka.

Diujar persoalan ‘mama mana?’ oleh penulis, dia membalas pendek: “Kerja.”

“Minggu ini giliran saya menjaga Ayu dan Fairul. Minggu depan Nurul pula. Kami tidak pernah bertelingkah soal anak-anak. Kebajikan mereka tanggungjawab kami berdua. Kalau tidak bersama pun, masing-masing masih bebas menziarah atau berhubung melalui telefon,” beritahu Ajai.



Tenang menjawab pelbagai pertanyaan yang diajukan, kata bapa muda ini: “Kami telah memberitahu Ayu sejelas mungkin apa yang berlaku di antara papa dan mamanya. Saya tahu, Ayu anak yang sangat memahami.”

Bagaimana pula dengan Fairul yang baru berusia sepuluh bulan? Apakah keputusan mengambil Muhd. Fairul Ihsan sebagai anak angkat suatu masa dulu merupakan salah satu jalan untuk menyelamatkan rumah tangga yang sedang bergoncang?

Lama Ajai terdiam sebelum meneruskan perbualan.

“Kami memelihara Fairul untuk menceriakan lagi suasana rumah tangga. Bagaimanapun, takdir Yang Maha Esa tidak mampu kami lawan. Mungkin perpisahan lebih membawa kebaikan kepada semua.”

Sebelum Ajai dan Nurul melangkah ke Mahkamah Rendah Syariah bagi memutuskan ikatan ijab kabul secara rasmi awal bulan ini, heboh tersebar berita mereka dilanda kemelut.

Berterusan menafikan sehingga Nurul mengakui kebenarannya awal Oktober lepas, Ajai terus mengunci mulut, enggan memberi sebarang kenyataan balas.



Luah Ajai: “Meskipun saya bergelar selebriti, saya masih berpegang kepada privasi. Apa yang dirasakan terlalu peribadi, saya akan simpan sendiri.

“Semua pasangan suami isteri pernah berselisih faham. Bagi saya, Nurul seorang isteri dan ibu yang baik sampai sekarang. Saya tidak pernah menolak atau menafikan kelebihannya.”

Tidak berasa rumit untuk memulakan ‘hidup baru’, tambahnya, “Inilah yang dikatakan sebuah pengorbanan. Kehidupan mesti diteruskan. Saya mesti kerja lebih kuat demi anak-anak, demi perkembangan kerjaya dan demi hari tua.”

Terlalu kejam rasanya jika soal orang ketiga atau penyebab utama penceraian dibangkitkan. Lebih tidak beradab lagi jika penulis bertanya jika Ajai sudah cuba-cuba mencari pengganti.

“Secara profesional, kami masih boleh bekerja bersama. Malah untuk Separuh Akhir Juara Lagu 2006 bulan depan, kami tiada masalah untuk berduet menyanyikan Serasi Bersama,” tuturnya.

Bagaimana jika ada sesetengah peminat yang berpendapat label Nurul Ajai hanyalah satu khayalan semata-mata suatu ketika dulu? Kemesraan yang ditunjukkan di atas pentas tidak lebih sekadar satu lakonan?

“Kami pernah bahagia, kami pernah tinggal sebumbung. Saya yakin bukan semua yang dipamerkan itu setakat mahu menutup mata orang. Sebagai public figure, ada masanya kita harus belajar untuk melindung kepahitan,” terangnya matang.

Kata Ajai, sepanjang ribut petir perkahwinannya kuat sabung-menyabung, diperkatakan orang dan menjadi bahan berita media massa, dia lebih selesa berkurung dalam studio menyibukkan diri.



Kini memiliki Wake The Baby secara total selepas Nurul melepaskan bahagiannya, visi Ajai terhadap syarikatnya itu menggunung tinggi. Selain studio rakaman dan syarikat pengurusan acara, dia ingin Wake The Baby dikenali sebagai label rakaman yang dihormati.

“Alhamdulillah, rezeki saya tidak putus-putus,” kata komposer yang memiliki arkib lagu-lagu popular, antaranya Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah), Pulangkan (Misha Omar), Percayalah (Siti Nurhaliza) dan lagu duet pertamanya bersama Nurul yang menyimpan banyak kenangan, Aku Cinta Aku Rindu.

“Buat masa ini saya sedang mengerjakan album sulung Marsha Akademi Fantasia 3 (AF3) yang akan berada di pasaran tahun depan. Saya melihat Marsha mempunyai pakej dan potensi yang besar untuk diketengahkan,” ulasnya yang turut mengambil Ilyka bernaung di bawah Wake The Baby.

Ilyka, yang pernah popular dengan lagu Diusung Duka pada tahun 1994 yakin ‘kuasa’ Ajai mampu menaikkan semula namanya dalam industri hiburan tanah air.

“Saya mahu setiap artis Wake The Baby tampil dengan konsep berlainan. Marsha, misalnya akan tampil dengan pop urban sementara Ilyka lebih terarah kepada genre folk pop. Saya juga akan memperkenalkan sebuah band pop yang menamakan diri mereka Sad Angry Babies,” cerita anak jati Johor ini penuh teruja.

Masih menjadi pilihan pengarah Shuhaimi Baba untuk menciptakan lagu tema filem terbarunya, Waris Jari Hantu, Ajai juga sedang sibuk menyiapkan album bekas peserta pertandingan nyanyian Suara Jati serta runut bunyi filem komedi romantis, Kayangan.

“Saya juga ada perancangan muncul sebagai artis solo. Tetapi sebelum itu, saya akan menerbitkan sebuah album bertajuk Ajai & Friends yang menggabungkan saya dengan barisan graduan Akademi Fantasia. Kami akan menyanyikan semula lagu-lagu hit saya dalam bentuk unplugged,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, penulis sempat mengusik Ajai jika dia sudah bersedia menerima gelaran ‘duda idaman Malaya’ selepas ini? Dia hanya ketawa sambil menggelengkan kepala.

Saturday, November 18, 2006

Sheila Hamil Lagi?



Hampir empat purnama dia menyimpan rahsia. Bukan khabar duka atau pun yang mengaibkan, tetapi Sheila Majid ada alasannya sendiri mengapa dia mengunci mulut dari menyebarkan sebuah berita gembira ke pengetahuan umum.

“Tidaklah mahu terlalu teruja, bimbang perkara yang tidak diingini berlaku,” terangnya membuka bicara. “Sekarang sudah masuk bulan keempat, saya rasa semuanya akan berjalan selamat, Insya Allah,” sambung ratu jazz negara ini.

Ya, Sheila mengandung lagi. Selepas melahirkan Khadeja Zaireen Murshim dua tahun lalu, ibu bertubuh kecil ini bersedia menambah seorang lagi ahli dalam keluarga.

“Sebenarnya saya dan suami memang merancang untuk mempunyai seorang lagi anak selepas Khadeja. Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan. Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa kami bersyukur sekali dengan ‘pemberianNya’,” ujar isteri kepada pemuzik Hasridz Murshim Hassim atau Acis ini.

Meskipun usianya sudah mencecah 41 tahun, Sheila optimis dia masih berupaya melahirkan seorang lagi zuriat. “Saya katakan pada suami, kalau mahu anak lagi, kena cepat-cepat. Saya sedar kami bukannya pasangan pengantin baru lagi.



“Saya akui tentang risiko yang dikatakan orang. Tetapi apabila melihat Madonna pun boleh hamil pada umur 42 tahun, saya rasa saya masih ada peluang!” katanya berseloroh.

Mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya yang lalu, Wan Nur Khaleeda, 15 dan Megat Abdul Majid, 12, Sheila mengakui berita baik itu diterima dengan senang hati seisi famili.

“Sudah tentu semuanya mengalu-alukan kehadiran orang baru, terutamanya Megat yang sangat berharap agar kami dikurniakan dengan bayi lelaki,” pintas Sheila bangga.

“Sejak mengandungkan anak pertama, saya selalu mengingatkan doktor supaya tidak memberitahu jantina. Saya mahukan kejutan. Apa pun, lelaki atau perempuan, saya tidak kisah asalkan kandungan selamat, sempurna segala sifat,” ulas penghibur yang terkenal dengan lagu Sinaran ini.

Masih belum memikirkan nama yang sesuai, dia memaklumkan kehamilannya bukan satu halangan untuk dia bergerak aktif seperti biasa.

“Ramadan lalu saya berehat sepenuhnya, tidak mengambil sebarang tawaran pertunjukan kerana kandungan masih baru ketika itu. Buat masa sekarang, saya masih mampu untuk bergerak ke sana ke mari, tetapi pertunjukan di luar Kuala Lumpur akan dihadkan.

“Selagi terdaya saya akan menyanyi. Sewaktu mengandungkan Khadeja dulu, masuk bulan ketujuh pun saya masih ligat. Saya tidak betah duduk saja di rumah tidak berbuat apa-apa,” akuinya terus-terang.

Kali terakhir muncul dengan album pakej semula Legenda XV XX pertengahan tahun ini, Sheila turut sibuk mengendalikan perniagaan spa yang terletak di Damansara Heights, Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu.

“Selepas ditutup sebulan bagi pengubahsuaian, kini spa yang pernah dikenali dengan nama Puri Santi dibuka semula 22 November ini. Atas beberapa perubahan yang berlaku, termasuklah organisasi pengurusan, spa tersebut ditukar nama kepada Jentayu Spa,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Friday, November 17, 2006

Tragedi Kebaya Merah



“Foto-foto yang dirakam Latiff merupakan satu metafora kekosongan dan kesepian jiwanya. Melewati rumah-rumah usang, dia segera mengimbau cebisan demi cebisan memori hitam yang terpalit ketika zaman kecil,” kata Oliver Knott meringkaskan inti pati filem arahannya, The Red Kebaya.

Sebuah produksi tempatan keluaran L’Agenda Productions, sejarah pembikinan filem tersebut bermula kira-kira setahun lalu.

“Penulisan skrip The Red Kebaya mengambil masa yang agak lama, draf ditukar sehingga empat ke lima kali. Biarpun plotnya satu rekaan fiksyen semata-mata, kami tidak mengabaikan nilai-nilai sejarah memandangkan filem ini berlatarkan era 1950an,” tambah lelaki yang berasal dari England ini.

Kini menetap di ibu kota, Knott mendedahkan terdapat dua sebab utama mengapa dia bersetuju menulis skrip, lakon layar serta mengarahkan The Red Kebaya.

“Sekitar tahun 1958, keluarga saya pernah menetap di Malaysia. Justeru, mengendalikan projek ini ibarat mengenang kembali detik-detik manis yang lalu. Selain itu, saya amat tertarik dengan karakter John Reynolds.

“Bagi saya, dia seorang lelaki yang sangat berani. John yang terperangkap dalam neraka perkahwinan mengambil keputusan tegar meninggalkan isterinya demi seorang wanita tempatan.

“Dia meminggirkan kedudukannya, reputasi dan tanggapan orang semata-mata kerana percaya pada kuasa cinta,” ulas pengarah yang pernah menghasilkan filem Free Spirits untuk pasaran Festival Filem Cannes di Perancis tiga tahun lalu.

Idea asal The Red Kebaya tercetus semasa dua orang penerbitnya, Ramli Hassan dan Andre Berly dalam penerbangan pulang dari Sydney, Australia awal tahun lepas.

“Kami sudah lama berhasrat menerbitkan sebuah filem dan mencari-cari material yang bagus. Apabila ilham ini diusulkan, kami terus memulakan proses pra-produksi, bermula dari penulisan sehinggalah kepada pemilihan pelakon,” ujar Ramli yang juga bertindak sebagai pelakon utama.

Selain aktivis teater berpengalaman itu, filem ini dibintangi Vanidah Imran, Samantha Schubert, Patrick Teoh, Zahim Al-Bakri, Sabera Shaik, Elaine Daly, Jo Kukathas, Paula Malai Ali dan Fauziah Nawi. The Red Kebaya turut dijayakan oleh Bob Mercer, pelakon British dari siri The Bill Doctors dan Rome.

Menurut Knott, selepas beberapa uji bakat dilakukan, dia dan penerbit gagal mencari aktor yang paling sesuai memainkan peranan John Reynolds sehingga akhirnya terpaksa menerbangkan Bob Mercer khusus ke tanah air.

Menjalani penggambaran selama 35 hari di beberapa lokasi seperti Pulau Pinang, Genting Sempah dan Kuala Lumpur, The Red Kebaya memakan belanja sekitar RM2.5 juta.

“Kami sedar penerbitan filem adalah satu perniagaan yang berisiko tinggi, tetapi kami mahu melakukan sesuatu yang berlainan untuk industri perfileman tempatan.

“Ada pihak yang berpendapat drama berat seperti ini sukar meraih perhatian penonton, tetapi kami berusaha berhabis-habisan dalam urusan promosi dan pemasaran. Kami juga bercadang menyertai festival-festival luar selepas tayangan dalam negara selesai,” terang Ramli.

Ditanya mengapa menjadikan kebaya merah sebagai tema dan simbol filem sulung terbitannya, dia menjelaskan: “Pakaian tersebut merupakan satu perlambangan masa lalu dan masa sekarang. Hadiah daripada John Reynolds kepada Azizah, ia menjadi salah satu petanda penting yang mengingatkan Latiff kepada tragedi masa kecilnya.”

Sementara itu, Vanidah tidak merasakan karakter perempuan joget bercinta dengan lelaki Inggeris yang dilakonkannya bakal mencetuskan kontroversi.

“Bagi saya tiada apa yang perlu dipersoalkan. Tiada adegan-adegan panas mahupun perlakuan yang sumbang, persepsi penonton terhadap moral wanita tempatan bercinta dengan lelaki bangsa asing sangat subjektif.

“The Red Kebaya merupakan sebuah kisah cinta yang sangat indah tetapi dalam masa yang sama begitu tragis,” komennya yang terpaksa bertutur Inggeris dalam ‘nada dan rentak’ Melayu kerana Azizah wanita kampung.

Menjalani latihan lakonan selama sebulan sebelum penggambaran, filem ini juga menonjolkan kebolehan peragawati popular Samantha Schubert memerankan watak jahat dengan berkesan.

“Watak Puan Davinia sangat kontras dan bertentangan dengan sikap sebenar saya. Sukar pada mulanya, tetapi melakonkan karakter jahat memberikan satu keseronokan.

“Apa yang lebih merumitkan keadaan ialah saya turut bertugas sebagai penerbit penyelaras filem ini. Dua kerja dalam satu masa, tetapi saya merasakan kepuasannya,” akui Samantha.

Sinopsis The Red Kebaya

Meskipun berjaya sebagai jurugambar terkemuka, Latiff (Ramli Hassan) hidup dalam kesunyian. Dibesarkan di rumah anak-anak yatim, kamera menjadi rakan baiknya dan dia betah sendirian.

Untuk pameran fotografi terbarunya, Latiff merakamkan keindahan rumah-rumah yang terbiar. Dalam ekspedisi tersebut, dia mengalami satu pengembaraan aneh, dihantui oleh suara-suara serta bayangan yang mengingatkannya kepada zaman kanak-kanak yang penuh trauma.

Di sebuah rumah di atas bukit, dia telah ‘dibawa pulang’ ke era lebih 50 tahun lampau. Dia menyaksikan sendiri apa yang berlaku dan membuatkan dia mengerti mengapa dia menjadi yatim piatu.

Dia ‘berkenalan’ dengan John Reynolds (Bob Mercer) dan Puan Davinia (Samantha Schubert), pasangan Inggeris yang menetap di situ.

Dia juga bertemu dengan Azizah (Vanidah Imran), seorang perempuan joget yang terlibat dalam percintaan terlarang. Babak demi babak yang dilihat di depan mata merungkai segala misteri dan rahsia asal usulnya.

Wednesday, November 08, 2006

Yanie Sabar Menanti



Yanie kini membilang hari, sabar menanti ‘kelahiran’ pertamanya. Selepas melihat kejayaan rakan sebumbungnya Nikki mendaki populariti, dia optimis strategi yang dipasang oleh label rakamannya, Artistes United Records (AUR) bakal membuahkan sesuatu.

Memenangi tempat ketiga program realiti Mentor tahun lalu, gadis berusia 21 tahun ini tidak pernah merasakan dirinya terlambat untuk muncul dengan album sulung.

“Tiada gunanya tergesa-gesa. Biar lambat asal hasilnya memuaskan hati. Tempoh setahun selepas Mentor saya gunakan untuk menggali pengalaman sebanyak mungkin dan belajar selok-belok dunia hiburan atas tunjuk ajar ‘guru’ saya, Ning Baizura,” katanya sambil memasang senyum.

“Saya menganggap diri ini sangat beruntung kerana diberi peluang dan pendedahan yang sewajarnya. Tambahan pula dengan persaingan sengit rakan-rakan seperjuangan dari program realiti, saya seharusnya bersyukur,” tambahnya lagi.



Ditemui pada penghujung Ramadan yang lalu, Yanie atau nama sebenarnya Siti Suriane Julkarim memberitahu dia sedang sibuk berkurung dalam studio sejak September lepas.

‘Buah tangan’ pertamanya itu sudah hampir siap dimaterialkan dengan bantuan beberapa komposer ternama negara seperti Aidit Alfian, Audi Mok, Sharon Paul, Hazami serta Helen Yap.

Menampilkan konsep aliran pop semasa, Yanie cuba lari dari bayangan dua orang seniornya. “Mereka sudah mempunyai imej dan jalur muzik sendiri. Ning dikenali dengan suara soprano dan R&B, sementara Nikki lebih cenderung kepada pop urban.

“Muzik saya lebih kaya dengan unsur-unsur pop ‘Melayu’, malar segar dan lebih dekat dengan semua peringkat pendengar,” jelasnya yang mula ‘diperkenalkan’ di corong-corong radio menerusi lagu Drama dendangannya bersama Ning dan Nikki.

Masih belum menetapkan judul album, single pertamanya Saling Terpesona akan mula berkumandang tidak lama lagi. Dicipta oleh Audi Mok dan Nurfatimah, Yanie disatukan dengan Diddy dari Akademi Fantasia 4 (AF4) sebagai teman duet.

Mungkinkah syarikat rakamannya mahu ‘mengulang’ formula yang serupa berikutan kejayaan lagu Caramu nyanyian Nikki dan Zahid?



“Jika ia mampu menaikkan nama saya, mengapa tidak. Saya tidak melihat gandingan tersebut menumpang nama sesiapa, sebaliknya satu kerjasama yang menguntungkan semua pihak.

”Memang benar single saya juga dihasilkan oleh pencipta yang sama tetapi irama dan arahnya berbeza. Dengarkan dan nikmati kelainannya,” terangnya matang.

Meskipun masih bertatih dalam senario muzik tempatan, Yanie berbangga kerana dia turut diberi hak untuk menyuarakan apa dia mahu dalam produk sulungnya.

“Begitu pun kerana masih baru, saya lebih banyak memberi tumpuan kepada vokal daripada memikirkan hal mengenai pemilihan lagu. Saya serahkan urusan seperti itu kepada mereka yang lebih berpengalaman,” katanya.

Menyentuh soal imej, dia mengakui ‘terpaksa’ mengikut beberapa panduan yang digariskan pihak pengurusannya demi kebaikan.

“Kalau dulu, saya main pakai saja apa yang sempat, tetapi sekarang tidak lagi. Sebagai insan yang sering diperhatikan, saya kena pandai menjaga penampilan diri. Makan juga tidak boleh sembarangan,” tuturnya lembut menutup perbualan.

Tuesday, November 07, 2006

Episod Cinta Ieda, Naquib


Petang Sabtu, Masjid Al-Rahimah, Kg. Pandan, Kuala Lumpur menjadi saksi. Sebaik saja selepas Asar, Siti Haida Abd. Moin, 27 atau lebih dikenali dengan nama Ieda Moin selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati Mohd. Naquib Idris.

Terlerai sudah gundah gulana di hati. Tanggal 4 November 2006 sesungguhnya akan menjadi memori indah yang terpahat di ingatan buat selama-lamanya.

“Beberapa jam sebelum akad nikah, hati saya menjadi sangat tidak keruan. Degup jantung berdebar kuat, saya terlalu gementar sehingga air mata mengalir tidak putus-putus,” akui Ieda yang berpakaian manis serba putih semasa hari pernikahan.

Kini dia mengerti mengapa mempelai perempuan selalunya berada dalam keadaan yang begitu beremosi.

“Bukan menangis kerana takut atau kesal, sebaliknya saya rasa bersyukur di atas perkahwinan ini. Debar meninggalkan alam solo dan debar melangkah ke ‘dunia baru’,” katanya lagi.

Dengan kehadiran sanak-saudara dan rakan taulan yang memenuhi ruang masjid, Ieda ditemani rakan baiknya, aktres Nadia Mustafar semasa upacara pernikahan berlangsung.

Air matanya tertumpah lagi saat bapa tercinta, Abd. Moin Abd. Ghani mendakap memberi tanda restu ‘melepaskannya’ kepada seorang lelaki bernama suami.




“Saya sangat akrab dengan ayah. Dialah tempat saya mengadu nasib selama ini, susah dan senang, dialah orang yang menjadi pendengar setia,” beritahu penyanyi dan pelakon cilik ini.

Pernah mengharungi episod-episod duka percintaan, ternyata jodoh Ieda dengan Naquib, lelaki yang sealiran dengannya sangat kuat. Biarpun hanya enam bulan berkenalan sebelum membuat keputusan berumah tangga, mereka sememangnya yakin diciptakan Tuhan untuk bersatu.

Beserta wang hantaran sebanyak RM10,000, 15 dulang hantaran pengantin lelaki berbalas 17 dulang dari pihak perempuan, dengan dua kali lafaz akad, Ieda kini milik Naquib.

“Perjalanan cinta saya sebelum bertemu lelaki sebaik Naquib amat panjang. Saya pernah melalui pengalaman bercinta empat tahun lamanya, tetapi tidak ke mana. Dengan Naquib, perkenalan kami singkat tetapi telah membuahkan rasa sayang yang sangat mendalam,” tutur Ieda ceria.


Pictures: artisglamer

Ditanya bagaimana dia merapati lelaki yang berjawatan Pengurus Produksi syarikat perfileman Tayangan Unggul Sdn. Bhd. itu, jawab Ieda: “Saya mengenalinya melalui tunang Nadia yang bekerja di bawah satu bumbung dengannya. Daripada teman biasa, tempat bergurau senda, akhirnya kami menjejakkan kaki ke jinjang pelamin.”

Mengharapkan jodohnya berpanjangan, ujar Ieda, biarlah ini menjadi kisah cintanya yang terakhir. Tegasnya: “Saya mahu terus mencintai Naquib selepas ini. Saya akan selalu ingat pesan ibu, Faridah Hitam supaya pandai membawa diri sebagai isteri dan menjaga keharmonian rumah tangga.”

Ieda berterus-terang ketika ditanya kriteria yang membuatkan dia jatuh hati kepada jejaka kelahiran Klang, Selangor itu.

“Kalau mahu tahu, saya yang ‘memulakan langkah’ dengan memberinya nombor telefon. Dia kelihatan jual mahal pada awalnya, tetapi sebagai seorang wanita yang sukakan cabaran, saya mengambil inisiatif merapatinya.

“Naquib seorang yang penyabar, rendah diri dan sangat menyayangi saya. Bila dia melamar, tanpa ragu-ragu saya bersetuju. Dengan usia kami yang sebaya, saya fikir waktu untuk kami ‘mendirikan masjid’ sudah sampai,” jelas Ieda.



Sehari selepas majlis akad nikah, pasangan secocok ini diraikan dalam suasana penuh meriah di Padang Tadika Kemas, Kg. Pandan, berdekatan dengan kediaman pengantin perempuan.

Dengan pelamin bertemakan putih dan hijau, mereka berdua diarak dengan pakaian sedondon warna krim. Meskipun tidak bersongket dan mengenakan persalinan moden, kemeriahan perkahwinan tetap terasa.

“Kami sudah mengenakan baju songket semasa malam berinai. Untuk majlis ini, kami mahu lebih santai, tidak perlu bertukar banyak baju. Cukuplah sepasang,” kata Ieda yang mendapat khidmat Izzat Artistic Team sebagai perunding pakaian raja sehari.

Tidak menolak rezeki untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat, Ieda dan Naquib akan menjalani kehidupan sebagai suami isteri di Puchong, Selangor selepas majlis persandingan selesai.

“Kerana dia juga terlibat dalam industri hiburan, Naquib tiada masalah jika saya terus aktif dalam bidang seni. Cuma sebagai seorang yang sudah memegang status isteri, saya mesti tahu menggariskan apa yang patut, apa yang tidak,” ucap Ieda mengakhiri bicara.

Sunday, November 05, 2006

Metamorphosis Alam



“Dulu saya yang ‘mengerjakan’ artis, sekarang giliran saya pula jadi mangsa,” kata Zainal Alam Kadir spontan apabila jurukamera memberi arahan kepadanya.

“Saya tidak pernah bergambar seperti ini. Kalau ada pun, yang biasa dan ringkas dalam studio,” sambungnya sambil ketawa besar.

“Mungkin sebab saya tidak pernah menganggap diri seorang selebriti. Bunyinya memang klise, tetapi apa yang saya buat sekarang benar-benar kerana minat. Glamor atau keseronokan publisiti sudah tidak termasuk dalam buku,”.

Sebelum dia menjadi pengacara Wayang Kita lagi, Zainal Alam Kadir sudah lama ‘wujud’ dalam industri hiburan. Mungkin ketika itu dia tidak sepopular penyanyi mahupun pelakon di mata khalayak, tetapi namanya cukup dikenali dalam kelompok penggiat dunia showbiz tempatan.

Sebetulnya dia tidak pernah menduga, apatah lagi merancang menjadi seorang artis. Bagaimana dia terjebak, jalur sejarah dan hikayat ceritanya cukup panjang.

“Asalnya saya mengambil jurusan Seni Reka di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara), Shah Alam akhir tahun 1980an kerana minat melukis. Begitu pun kerana masalah disiplin, saya diberhentikan.

“Saya akui malu dan tertekan dengan situasi tersebut, apatah lagi cuma tinggal satu semester sebelum pengajian tamat. Saya nekad, saya mesti mencari kerja untuk menebus kembali maruah yang tercemar,” ceritanya bersungguh.

Tidak malu untuk mengaku pernah bekerja di salun rambut dan mengambil upah menjaga anak orang, satu hari dia didatangi tawaran mengacara sebuah rancangan terbitan RTM bertajuk KLTV.


Picture : Bubba.

“Itu pengalaman ‘seni’ saya yang pertama secara rasmi. Sebelum itu, di ITM dulu saya memang aktif dalam aktiviti-aktiviti kesenian, tidak kiralah sebagai pengacara, penari, pelakon teater mahupun penyanyi. Malah, saya sempat menganggotai sebuah kugiran muzik ala jazz rock pada masa itu,” sambungnya.

Terdesak mencari kerjaya tetap bagi membantu keluarga di kampung, Alam mencuba nasib sebagai pemberita di sebuah organisasi akhbar terkenal.

“Sudah rezeki, saya diterima bekerja selepas beberapa peringkat temu duga. Ditempatkan di meja ekonomi, saya selalu menyumbang artikel untuk seksyen hiburan bagi menambah pendapatan bulanan,” katanya lagi.

Kecenderungannya terhadap dunia hiburan mula dikesan. Hasil penulisannya yang kritis dan ‘berisi’ menjadi bualan. Dia membina reputasi dan pengaruh sebagai wartawan berkaliber.

“Secara tidak langsung, peluang untuk muncul sebagai tetamu undangan dalam beberapa program bual bicara terbuka luas. Dalam masa yang sama, saya menerima undangan teman-teman seperjuangan untuk menyanyi secara suka-suka di beberapa majlis keraian,” terang jejaka kelahiran Sg. Mati, Muar, Johor ini.

Penglibatan dalam teater muzikal Songs of Love and War pada tahun 1999 bersama Saidah Rastam akhirnya menguak kesempatan yang lebih besar. “Semakin banyak tawaran menyanyi yang datang, termasuklah menjadi penyanyi latar beberapa artis terkenal seperti M. Nasir dan Datuk Sharifah Aini,” tambah Alam.

Sememangnya darah seni yang mengalir di tubuhnya adalah warisan turun temurun ibu bapa. Meskipun keduanya guru sekolah (kini pesara), mereka suka menyanyi, meminati kesusasteraan dan berkebolehan bermain biola. Selain itu, tiga daripada adik-beradik Alam menjadi guru muzik dan seorang daripadanya memiliki Ijazah dalam bidang vokal.

Jika ada yang masih ingat, Alam pernah menjadi tulang belakang serta pengasas sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka sama dengan namanya - Alam. Dianggotai empat pemuda berbakat besar, mereka bernaung di bawah label rakaman kepunyaannya, Silver Tortoise.

“Ramai yang skeptikal dan mencurigai inisiatif saya menerbitkan album tersebut, apatah lagi apabila mereka menggunakan nama saya. Tujuan saya hanya ingin menyumbang sesuatu kepada industri, di samping mengenengahkan idea-idea serta bakat baru yang segar.

“Mahu tahu bagaimana saya mencari dana menghasilkan album itu? Saya ‘gila’ masuk pertandingan karaoke dan wang kemenangan saya belanjakan untuk membayar sewa studio!” dedahnya yang melabur belanja hampir RM100,000.


Picture : Bubba.

Mengakui ralat dan terkilan kerana album itu seolah ‘halimunan’ dalam pasaran, dia tidak menolak jentera promosi menjadi penyebab utama kegagalan Alam.

“Atau mungkin kerana nama Alam itu sendiri yang ‘panas’. Saya tahu saya ramai kawan dalam industri hiburan, tetapi tidak kurang juga lawan yang ada,” tegasnya seperti berselindung.

Tahun 2004 menyerlahkan lagi personaliti Alam yang multi bakat, sehingga tanpa sedar telah membawanya kepada haluan kerjaya yang tidak pernah dia jangkakan.

“Saya ditawar berlakon peranan utama dalam drama terbitan Julie Dahlan bertajuk Terompah Biru. Watak saya dalam Astana Idaman 2 juga diciptakan khas oleh penulis skrip yang bersungguh mahu saya berlakon,” ujarnya yang menyanyikan lagu tema siri tersebut bertajuk Bukan Itu Bukan Ini.

Namanya kian masyhur, meniti dari bibir ke bibir. Dikekalkan sebagai perantara Wayang Kita musim demi musim, Alam turut menerima banyak jemputan pengacaraan. Akhirnya awal tahun ini, dia mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai editor hiburan.

“Bukan kerana sudah bosan menulis atau gila glamor, tetapi saya sudah ‘penat’. Sejak Astana Idaman, perkataan rehat tidak wujud dalam kamus hidup. Kalau tidak ke pejabat, saya sibuk di lokasi atau memenuhi undangan lain. Hari minggu pun terpaksa bertugas.

“Dalam usia yang semakin meningkat, material bukan lagi menjadi keutamaan sebaliknya kepuasan diri. Saya harus memilih, tidak boleh tamak mahu buat semua benda,” terang anak keenam daripada sembilan bersaudara ini.

Menerima tawaran Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), wang yang diterima digunakan untuk membantu keluarga. Beritahunya: “Saya bantu ibu bapa memperbaharui rumah, menolong anak-anak saudara yang belajar di kolej dan universiti. Untuk saya adalah simpan sedikit.”

Kerana sering muncul dalam program-program terbitan Astro, ramai yang menganggap dia kini bertugas di stesen penyiaran mega tersebut.

“Sebenarnya tidak. Saya hanya bekerja dengan Astro dalam projek-projek tertentu seperti Marhaban Di Astro dan konsert jelajah Gegak Gemilang. Saya masih bebas menyumbang khidmat kepada media elektronik yang lain,” jelasnya membetulkan pandangan ramai.

Tidak lagi makan gaji seperti dulu, Alam kini menyusun atur langkahnya agar terus dikenali sebagai seniman serba boleh. Penubuhan syarikat Alamorphosis merupakan mercu tanda untuknya terus bergerak ke depan.

“Syarikat ini saya anggap ibarat pusat untuk segala yang berkaitan dengan hiburan. Dengan pengetahuan dan pengalaman yang saya kutip, Insya Allah, ia akan membuahkan hasil,” ucapnya optimis yang bakal muncul dengan album solo selewat-lewatnya tahun depan.

Sesekali ketawa besar ketika menceritakan ‘riwayat’ hidupnya, kata Alam: “Saya berasa janggal ditemuramah seperti ini. Jarang sekali akhbar atau majalah mahu menulis tentang saya. Mungkin label ‘wartawan’ masih terlekat di dahi sehingga orang tidak menganggap saya artis yang sebenar.”

Alam terkilan dengan persepsi tersebut? “Tidak juga. Saya tidak berkecil hati. Saya lakukan semua ini untuk saya, bukan untuk menggembirakan orang lain. Kalaulah ditakdirkan saya tiada kerja lagi satu hari nanti, saya akan pulang ke kampung jual mee bandung!” jawabnya antara seloroh dan bersungguh.

Tanggal 14 November ini genap usia Alam 40 tahun. Mungkin sinar baru sedang menantinya, mungkin pepatah Inggeris ‘life begins at 40’ ada kebenarannya.

Tumpang Populariti Mawi?



Memandang Ekin dan Aenn, mata mampu menjadi keliru. “Aenn ada tahi lalat di pipi kiri,” jawab tuan punya diri saat ditanya bagaimana mahu membezanya keduanya.

“Entah kenapa, ramai yang menyangkakan saya kakak dan Ekin adik. Mungkin kerana saya yang menceburi dunia hiburan terlebih dulu,” cerita Aenn lagi membetulkan persepsi khalayak.

Tidak sukar mencari sebab mengapa mereka mudah mencuri perhatian khalayak menerusi siri Kawan arahan Aziz M. Osman. Dengan sekali pandang, penonton yakin mereka berdua sahih pasangan kembar.

Apatah lagi apabila melihat nama yang dipaparkan berbintikan lelaki yang sama - Nora’ Asikin Rahmat (Ekin) dan Nora’ Ain Rahmat (Aein).

Berusia 27 tahun, mereka kelihatan seperti memiliki personaliti yang serupa. Ceria dan tidak lokek dengan senyuman. Adakah ini hanya sekadar satu paparan imej yang direka?

“Kami memang begini, terlalu banyak persamaan. Apa yang saya suka, Ekin juga gemar. Kalau saya jatuh sakit sekalipun, Ekin turut merasainya,” kata Aenn mewakili kakaknya.

Menurut mereka, tidak pernah terlintas di fikiran untuk saling saing-menyaingi di antara satu sama lain. “Saya gembira melihat pencapaian dan kemajuan Aenn.

“Dari dulu memang dia yang menunjukkan kesungguhan, sementara saya lebih seronok menyokong dari belakang saja,” sampuk Ekin yang membantu perniagaan keluarga, rumah persiapan pengantin bernama Nuit De Nose Boutique di Johor Bharu.

Persetujuan Ekin untuk melibatkan diri dalam arena lakonan sebetulnya didorong oleh peranan yang ditawarkan dalam siri popular TV3 itu.

“Kawan adalah penampilan pertama saya di kaca televisyen. Sebelum ini saya memang tidak mahu berlakon. Saya terima ajakan abang Aziz semata-mata kerana Aenn berlakon sama. Tidaklah saya berasa kekok kerana adik saya menemani dan beri tunjuk ajar,” beritahu gadis kelahiran Johor Bharu, Johor ini.

Ditanya sampai bila mahu dikenali sebagai pasangan kembar, pintas Aenn: “Kalau boleh sampai bila-bila. Memang ada keinginan untuk mengorak kejayaan masing-masing, tetapi kami selesa begini.”



Ekin Menyerah Kalah

Tengah hari Jumaat lalu, Nora’ Asikin Rahmat (Ekin) dan Nora’ Ain Rahmat (Aenn) datang ke pejabat KOSMO! untuk menjalani sesi fotografi VAZZ.

Selain bercerita tentang kerjaya dan populariti yang diraih melalui siri Kawan di TV3, Ekin menjelaskan tentang gosip hubungannya dengan Mawi yang dianggapnya fitnah dan khabar angin belaka.

Bermati-matian gadis berusia 27 tahun itu menafikannya. Pelbagai alasan diberi untuk mengukuhkan betapa dia tidak pernah mengenal Mawi.

Memetik katanya: “Jangankan bercinta, bercakap dengannya pun saya tidak pernah. Kami tidak pernah bertemu, apatah lagi bertukar sms. Nombor telefon peribadinya pun saya tidak ada.”

Ekin juga berkali-kali mengungkapkan rasa kesal kerana kontroversi tersebut telah menyebabkan kesihatan ibunya terjejas dan hubungannya dengan teman lelaki menjadi retak. Ujarnya berulang kali: “Saya tidak tahu mengapa saya dikaitkan dengan Mawi.”

Saat diajukan wujudnya gambar Mawi bertandang ke rumahnya pada hari raya yang lalu, Ekin menjelaskan: “Kalau benar ada, tunjukkan kepada saya. Biar saya sendiri yang meneliti kesahihannya. Saya tidak tahu menahu tentang gambar tersebut. Saya tidak menolak ia mungkin satu perbuatan khianat.”

Petang Sabtu (semalam), penulis menerima panggilan daripada Ekin sendiri. Dalam nada bersalah, Ekin akhirnya mengaku yang dia memang mengenali Mawi. “Saya minta maaf. Saya ingin membuat penjelasan dan membetulkan kedudukan,” terkeluar perkataan tersebut daripada bibirnya.

Ditanya mengapa secara tiba-tiba dia mengaku mengenali Mawi, Ekin terdiam seketika. Penulis lantas bertanyakan jika dia mengetahui Mawi sudah mengaku kepada wartawan Maliah Surip, Ekin menjawab ringkas: “Ya, saya ada dengar dia mengaku.”

Mengungkapkan rasa bersalah dan tidak adil di atas penafian yang dilakukan sebelum ini, ujarnya: “Saya memang kenal Mawi, tetapi sebagai rakan sesama artis saja, tidak lebih daripada itu.

“Saya akui dia singgah ke rumah (di Jalan Mariammah, Johor Bharu, Johor) pada malam raya bersama empat orang kawannya. Kunjungan itu hanyalah satu kunjungan biasa. Hanya itulah sekali dia datang ke rumah. Cerita mengenai rombongan peminangan atau merisik sebelum ini memang tidak benar.”

Menerangkan mengapa dia terpaksa berselindung di sebalik kebenaran, jawabnya: “Saya tersepit. Saya menganggap hubungan saya dengan Mawi sekadar teman biasa, tetapi saya bimbang disalah ertikan.

“Saya faham bagaimana reaksi para peminatnya jika mengetahui saya berkawan dengan Mawi. Saya tidak mahu menjadi mangsa ugutan, tohmahan atau caci maki.

“Apabila media bertanyakan pada Mawi mengenai gosip dengan saya, dia menafikannya. Kerana itu saya mengambil langkah yang serupa. Saya tahu apa yang saya lakukan ini tidak patut, tetapi saya juga mahu menjaga hati banyak pihak. Takkan saya mahu mengaku apabila Mawi berkata tidak?”

Menyentuh tentang dakwaan yang melihat kelibatnya semasa pengkebumian arwah bapa Mawi, Pak Atan, Ekin menafikannya. “Bukan saya. Saya bercuti ke Bangkok waktu itu,” jawabnya ringkas.

Mengulas mengenai gambar yang disebut-sebutkan sebagai bukti kehadiran Mawi ke rumahnya, Ekin memberitahu, “Saya tidak pasti bila gambar itu diambil. Mungkin tetamu lain yang datang merakamkannya dengan kamera telefon.”

Ditanya bagaimana hubungannya dengan Mawi bermula, dia memberitahu dia baru saja mengenali Mawi melalui rakannya yang bekerja di Mawi World Sdn. Bhd.

“Semasa saya pergi menonton Resume Untuk Mawi, saya memang belum mengenalinya. Selang beberapa bulan, barulah saya bertemu dengannya. Itu pun saya tidak pernah keluar berdua-duaan. Sentiasa beramai-ramai,” terangnya.

Menafikan yang dia dan Mawi menjalin hubungan istimewa, katanya: “Saya berkawan, tetapi tidaklah akrab. Bagi pihak saya, belum ada cinta lagi. Hubungan kami memang betul-betul hanya terbatas sebagai rakan artis.”

Aenn sebagai adiknya turut meminta maaf secara peribadi kepada penulis kerana tidak bercakap perkara yang benar. “Saya simpati dengan nasib Ekin. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu masalah menimpanya. Saya minta para peminat faham yang kami berada dalam situasi serba salah.”



Simpati Aenn pada Ekin

‘Muka awak macam Azza Elite’ - sudah beribu kali Aenn mendengar pandangan seperti itu. “Memang tidak boleh lari. Ke mana saja saya pergi, orang akan beritahu perkara yang sama. Malah, suara saya pun dikatakan hampir serupa. Sudah lali,” jawab Aenn.

Begitu pun, kerana persamaan rupa paras itulah yang membuka jalan untuknya menganggotai Elite menggantikan Fiza. “Begitu pun ‘jodoh’ kami tidak panjang. Hanya lapan bulan kami bersama sebelum saya aktif berlakon drama,” ujarnya.

Begitu pun, kerana persamaan rupa paras itulah yang membuka jalan untuknya menganggotai Elite menggantikan Fiza lima tahun lalu. “Begitu pun ‘jodoh’ kami tidak panjang. Hanya lapan bulan kami bersama sebelum saya aktif berlakon drama,” ujarnya.

Dikesan bakat lakonannya oleh pengarah Ahmad Idham menerusi telenovela Mengejar Pelangi sebanyak 75 episod, Aenn kemudian menerima banyak tawaran drama, antaranya Bunga Senja, Wajah Kekasih dan Suite 1316.

“Tidak saya nafikan kerana Kawan, nama saya dan Ekin lebih dikenali ramai,” katanya.

Tidak berasa terkilan mahupun tergugat dengan populariti Ekin yang sedang ‘hangat’ berbanding dirinya, tegas Aenn: “Saya bersimpati dengan nasib yang melanda Ekin. Untuk apa publisiti yang mencemarkan nama dan maruah. Saya tidak rela.

“Saya berdoa agar gosip ini terus lenyap satu hari nanti. Biarlah kami dinilai kerana bakat dan kebolehan, bukan kerana cerita personal yang bukan-bukan.”