eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Cicak Man Yang Berani

Friday, December 15, 2006

Cicak Man Yang Berani



Tajuk: Cicak Man

Genre: Aksi komedi

Pengarah: Yusry Abdul Halim

Pelakon: Saiful Apek, Yusry, Fasha Sandha, Aznil Nawawi, Adlin Aman Ramlie, AC Mizal dan Yasmin Hani.

Penilaian: 3 bintang



Mengambil latar sebuah kota fantasi Metrofulus, dua sahabat baik bernama Hairi dan Danny bekerja di makmal sains Klon Technologies. Dalam diam, Hairi menyimpan perasaan kepada Tania, gadis manis yang bekerja sebagai setiausaha majikan mereka, Profesor Klon.

Satu hari tanpa disengajakan, Hairi telah terminum kopi yang dimasuki seekor cicak. Cicak tersebut merupakan bahan uji kaji vaksin terbaru yang berupaya menyembuhkan virus penyakit yang sedang menular secara besar-besaran di Metrofulus.

Kesediaan Profesor Klon menghulurkan bantuan telah menimbulkan keraguan Hairi dan Danny. Mereka mengesyaki Profesor Klon menjadi dalang utama di sebalik penyebaran virus tersebut.

Dalam pada itu, Hairi mula merasakan perubahan dirinya yang bersifat seperti seekor cicak. Dia mengeluarkan bunyi yang aneh, berkebolehan merayap di dinding, berlidah elastik serta berselera menelan serangga. Dengan 'kuasa' luar biasa itu, dia cuba menyiasat apa yang berlaku sebenarnya.

Sepintas lalu, tiada apa yang baru dalam premis cerita Cicak Man. Selepas menontonnya pun, tiada apa yang asli dari cereka superhero tempatan pertama ini, melainkan kecanggihan imej janaan komputernya (CGI) yang mengagumkan.

Akibat pengaruh yang kuat dari komik-komik superhero terkenal seperti Superman dan Spiderman, Yusry Abdul Halim selaku pencipta karakter dan pengarah terdorong untuk mencedok idea yang tidak jauh berbeza.

Tetapi lazimnya, filem-filem superhero memang cenderung mencipta plot yang sama berulang kali - watak yang terpinggir tiba-tiba menjadi kuat dan membantu golongan yang lemah untuk membanteras kejahatan.

Jika ada pun kelainan yang ingin ditampilkan dalam Cicak Man, watak heronya tidaklah setampan wira-wira yang lain, tidak memiliki tubuh berketul-ketul dan lebih pandai berjenaka.

Senario dan pemandangan Metrofulus tidak ubah seperti Gotham City dari komik/filem Batman. Dingin, suram dan mempunyai elemen-elemen misteri, mungkin Yusry mempunyai justifikasi sendiri mengapa dia mengilhamkan sebuah bandar yang sangat asing dari rupa paras Malaysia.

Namun demikian, jika alasannya mahu mengekalkan ‘look and feel’ seperti dalam buku-buku komik, ternyata rasional itu boleh disangkal. Adakah Cicak Man mahu menjadi sebuah produk berbahasa Melayu tetapi berwajahkan Hollywood?

Mungkin Yusry boleh memberikan satu lagi alasan - sut Cicak Man diperbuat dari kulit dan tidak sesuai dipakai dalam iklim Khatulistiwa. Ada benarnya, tetapi pada sesetengah adegan, dahi dan tengkuk Hairi kelihatan berpeluh-peluh. Yusry sepatutnya lebih peka dengan perkara-perkara kecil seperti ini.

Meneliti persembahan lakonan barisan bintang utama filem ini, tidak banyak yang boleh diperkatakan kerana Saiful Apek tetap menjadi Saiful Apek dalam apa-apa filem pun, begitu juga dengan imej gadis lemah lembut Fasha Sandha yang sudah biasa sangat ditonton.

Bukan mahu mengatakan Aznil Nawawi tidak bagus, tetapi rasanya penonton sudah boleh membaca pola lakonannya. Melihat Profesor Klon ketawa berdekah-dekah, sesekali terbayang gelagat Aznil mengacarakan Akademi Fantasia.

Lakonan yang segar datangnya dari pasangan kembar Ginger 1 dan Ginger 2 lakonan Adlin Aman Ramlie dan AC Mizal. Meskipun kurang dialog dan adakalanya over-acting, tetapi ia berjaya meninggalkan kesan yang komikal dan menghiburkan.

Yusry juga memberi sedikit warna dalam lakonannya, mungkin kerana personaliti Danny berbeza dengan personalitinya di luar set.

Di sebalik beberapa kekurangan dan kelemahan, satu perkara yang pasti tentang Cicak Man ialah keberaniannya mencipta revolusi baru dalam penerbitan filem-filem tempatan. Dengan bajet sekitar RM2 juta saja, Yusry mampu memberikan keajaiban.

Tidak semua sutradara, apatah lagi yang baru sepertinya berkebolehan mengendalikan projek sesukar dan seremeh ini. Khayalan Yusry menjadi dan boleh dipercayai.