eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Muslihat Seram A-rang

Saturday, December 09, 2006

Muslihat Seram A-rang



Tajuk: A-rang

Genre: Seram

Pengarah: Ahn Sang-hoon (안상훈)

Pelakon: Song Yoon-ah (송윤아) , Lee Dong-wook (이동욱), Lee Jong-soo (이종수), Jeong Won-joong (정원중)

Penilaian: 3 bintang

Sukarnya mencari keaslian filem-filem seram dewasa ini. Baik filem dari benua Asia mahupun Hollywood, kebanyakan idea dan jalan cerita adalah serupa, diguna pakai berkali-kali sehingga yang sepatutnya dilihat sebagai seram menjadi lucu.

Meskipun berdepan dengan risiko yang besar, para pembikin terus mencari idea baru dan tidak putus-putus menerbitkannya kerana filem-filem sedemikian sentiasa mempunyai pengikut dan permintaan.

Tidak hairanlah apabila Hollywood semakin galak membikin semula filem-filem klasik, membuat sekuel atau prekuel, malah menceduk karya-karya seram dari Asia, khususnya dari Jepun dan Korea. Dua negara ini terkenal dengan trademark hantu berambut panjang mengurai dengan wajah pucat lesi dalam pakaian serba hitam.

Arang, satu lagi produk dari Korea turut tidak terlepas dari imej hantu stereotaip seperti itu. Menggunakan pendekatan dan teknik suspen yang hampir sama dengan mana-mana filem seram lain, bagaimanapun, plot Arang sedikit menarik apabila elemen psiko thriller diselitkan.



Detektif So Young bersama rakan setugasnya yang baru, Detektif Hyun Gi dipertanggungjawabkan menyiasat satu kes pembunuhan di mana mangsanya mati terbakar sendiri. Belum lagi kes tersebut selesai, satu lagi pembunuhan telah berlaku.

Semasa siasatan dijalankan, So Young dan Hyun Gi mendapati dua kes tersebut saling berkait rapat. Mangsa bukan saja mati dalam keadaan yang sama, malah kedua-duanya menerima satu emel misteri sebelum dibakar. Emel tersebut merupakan rantaian kepada alamat laman web seorang gadis yang tinggal di sebuah perkampungan.

Diburu rasa ingin tahu, So Young telah pergi ke kampung itu. Dia terkejut apabila gadis yang dicari sudah lama hilang, dipercayai mati membunuh diri. Dalam masa yang sama, So Young sering diganggu mimpi ngeri, termasuklah kejadian traumanya diperkosa seorang lelaki.

Kematian yang serupa terus berlaku sehingga mengorbankan mangsa keempat. Berdasarkan bukti-bukti yang dikumpul, So Young dan Hyun Gi menyimpulkan pembunuhan tersebut ada kaitannya dengan kehilangan gadis itu.

Sedang penonton dimomokkan dengan adegan hantu membalas dendam dan babak-babak seram yang mengejutkan, tiba-tiba pengarah memberikan ‘twist’ kepada plot. Perhatian penonton dialihkan kepada penyelesaian kes yang lebih rasional dan logik, dalam erti kata lain kemungkinan pembunuh yang sebenar bukanlah hantu sebaliknya manusia.



Pada saat ini skrip Arang tidak lagi menjadi sebuah skrip filem seram, sebaliknya menjadi skrip filem penyiasatan yang penuh dengan terma sains perubatan. Keseraman dan ketakutan yang dirasakan penonton dari awal hingga pertengahan filem hilang serta-merta.

Biarpun tidak lari jauh dari aliran filem hantu yang tipikal, kebijaksanaan penulis skrip dan pengarah dalam memanipulasikan pemikiran penonton patut diberi pujian. Lakonan Lee Dong Wok sebagai Detektif Hyun Gi juga neutral dan cemerlang sehingga membuatkan penonton ‘tertipu’.

Berhati-hati, penonton mungkin sekali lagi tertipu di penghujung cerita.