eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Rupanya Aiman Lelaki Itu...

Wednesday, December 06, 2006

Rupanya Aiman Lelaki Itu...



Tersimpul sudah ikatan suci antara dua hati. Meskipun keduanya pernah melalui kegagalan berumah tangga, namun itu bukan punca untuk mereka tidak percaya pada cinta.

Hujan renyai membasah bumi sejurus selepas sekali akad dilafaz kira-kira 9.43 pagi Sabtu lalu. Bagai merestui perjalanan sebuah episod cinta sepasang lagi Adam dan Hawa, Masjid Negeri Shah Alam menjadi saksi Linda Rafar dan Syed Aiman selamat bergelar suami isteri.

Dalam persalinan serba putih, kedua mempelai diiringi kehadiran saudara-mara serta sahabat handai yang datang membawa restu.



Sembilan dulang hantaran dari pihak perempuan dibalas dengan tujuh dulang oleh pihak lelaki, tanda memberi dan menerima, simbol kerukunan rumah tangga yang bakal direncana.

Dengan mas kahwin berjumlah RM111.00 dan wang hantaran RM11,111.11, Linda atau nama sebenarnya, Azlinda Abdul Rafar, 28, selamat diijabkabulkan dengan Syed Kamarulzaman Syed Mahmud, 31, atau lebih dikenali dengan nama Syed Aiman.

Berwakil walikan abang pengantin perempuan, Airul Azmi Abdul Rafar, pernikahan disempurnakan oleh penolong pendaftar nikah Masjid Negeri Shah Alam, Khairuddin Hayun.

“Alhamdulillah, saya bersyukur segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang,” ujar Aiman tersenyum, melukis kelegaan di wajah. Begitu juga dengan Linda, dia sentiasa kelihatan tenang.

“Cuma saya sebak dan terharu bila memandang Rezaril, 7 dan Rezaimen, 4 yang tersenyum lebar di depan saya semasa kami dinikahkan. Saya tidak pernah melihat anak saya segembira itu,” tuturnya yang anggun dalam persalinan rekaan Shahrir Nurdin dari Rucci Design.



Meskipun usia perkenalan masih lagi ‘hijau’, baru berputik mekar kira-kira setahun setengah, Linda dan Aiman yakin ikatan perkahwinan akan menjadi baja yang menyuburkan kasih sayang mereka.

“Kami bertemu dalam suasana yang tidak terjangka. Bermula sekadar hubungan kerja, tumbuh perasaan cinta. Mungkin kerana kematangan kami menanganinya, kami tidak mengambil masa yang lama untuk mengakhiri zaman solo,” sambungnya yang selain berlakon, turut mempunyai syarikat pengiklanan dan pengurusan acara PMS Design Sdn. Bhd.

Tambah Linda: “Saya berasakan hidup saya sangat dirahmati. Beberapa hari sebelum kami berkenalan, saya selalu didatangi mimpi berjumpa dengan seorang lelaki berkulit putih, tetapi wajahnya tidak kelihatan.

“Lalu saya buat solat istikharah agar diberikan petunjuk dan berdoa supaya dipercepatkan jodoh. Alhamdulillah, selepas itu saya akrab dengan Aiman. Saya yakin dengan kata hati bahawa dialah jodoh saya.”



Kerana itu, tanpa ragu-ragu Linda terus berkata ‘ya’ pada rombongan peminangan yang datang bertandang ke rumah ibunya selepas tujuh bulan mereka berkenalan.

“Tarikh hari itu amat istimewa buat saya. Tanggal 11 Ogos bukan saja hari ulang tahun saya, tetapi hari Linda bersetuju menjadi teman sehidup semati,” sambung Aiman.

Secara kebetulan, tarikh lahir Linda juga jatuh pada 11 Februari. Justeru, mereka membuat keputusan untuk mengambil angka 11 sebagai nilai wang hantaran dan mas kahwin.

Akan terus aktif dalam bidang seni, kata Aiman: “Kami tidak akan meletakkan batu penghalang kepada kemajuan kerjaya masing-masing. Saya sedar mungkin ada yang berpendapat saya berkahwin ketika nama sedang meningkat naik, tetapi saya yakin rezeki ada di mana-mana.”

Masih belum memutuskan destinasi bulan madu kerana terikat dengan komitmen kerja, bagaimanapun, mereka akan bercuti rehat di Bandung selama empat hari sebelum majlis persandingan pihak lelaki berlangsung.



Majlis tersebut akan diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam pada 10 Disember ini, sementara majlis persandingan pengantin perempuan telah diadakan pada hari akad nikah di rumah keluarga Linda di Seksyen 9, Shah Alam.

Dengan tema putih hijau yang dihiasi bunga-bungaan, majlis tersebut menjadi meriah apabila Aiman dikenakan empat kali ‘tol’ sebelum melangkah ke pelamin.

Antara rakan artis yang hadir memeriahkan suasana ialah Azza dan Watie Elite, Wan Khatijah, Syazliana serta Zamarul Hisham. Bekas suami Linda, Keifli Othman juga sudi memenuhi undangan, lengkap berbaju melayu dan samping hijau untuk menepung tawar.

“Kami mahu terus bercinta selepas ini. Doakan kami bahagia melayari bahtera rumah tangga,” pohon Aiman dan Linda berulang kali.

Mengapa Linda...
“Dia seorang yang sangat bertimbang rasa, boleh dibawa berbincang dan bertanggungjawab. Sifatnya yang penyayang membuatkan saya terus jatuh cinta” - Aiman

Mengapa Aiman...
“Kerana dia menyayangi dan menyenangi anak-anak saya. Saya sedar tiada siapa yang sempurna di dunia ini, tetapi Aiman sentiasa mahukan yang terbaik untuk saya” - Linda



Hantaran dari pengantin perempuan

* Tepak sirih
* Al-Quran
* Bunga rampai
* Jam tangan jenama Cerutti 1881
* Set pewangi Armani
* Kemeja hitam jenama Versace
* Kasut jenama Renoma
* Kamera digital Olympus
* Manisan



Hantaran dari pengantin lelaki

* Cek bernilai RM11,111.11 dan mas kahwin RM111.00 tunai
* Sirih junjung
* Cincin dan rantai loket ‘LR’ dari Habib Jewels
* Jam tangan jenama Claude Bernard
* Tas tangan serta kasut jenama Versace
* Set mekap jenama MAC
* Manisan

1 Comments:

Blogger Unknown said...

Asslm.kum aiman apa khabar abg rasa kau mungkin lipa siapa abg cuma kalau ingat Niro mungkin kau akan ingat memory ini

11:26 AM  

Post a Comment

<< Terbaru