eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Masih Terus Kontroversi

Tuesday, December 05, 2006

Masih Terus Kontroversi



Minggu lalu, Separuh Akhir Muzik-Muzik diselubungi kontroversi. Keputusan empat lagu yang layak mewakili kategori Etnik Kreatif/Irama Malaysia ke Anugerah Juara Lagu 21 (AJL21) menjadi bualan dan pertikaian.

Barisan panel profesional yang diketuai Aubrey Suwito tidak dibenarkan bercakap kepada media untuk memberi justifikasi dan menerangkan kriteria sebenar pemilihan.

Menurut Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan, panel juri mempunyai ‘perjanjian’ dengan pihak penerbit supaya tidak mendedahkan alasan mengapa sekian-sekian lagu dipilih untuk mengelakkan sebarang kontroversi tercetus. Betapa ironi.

Jumaat lalu, senario sudah berbeza. Sejurus selepas Separuh Akhir Muzik-Muzik kategori Balada selesai, Aubrey diberikan peluang bersuara atas alasan ‘terlalu banyak persoalan yang telah ditimbulkan’ sehingga dia harus tampil memberi penjelasan.

“Keputusan yang dikeluarkan adalah hasil undian majoriti. Meskipun saya akui setiap juri mempunyai lagu kegemaran masing-masing, tetapi selepas dikira markah keseluruhan, empat lagu yang mendapat jumlah tertinggi akan dipilih,” kata komposer dan penyusun muzik terkemuka itu.

Masih menggunakan alasan yang sama iaitu AJL adalah anugerah untuk lagu terbaik, bukan menilai kehebatan penyanyi, tambah Aubrey: “Kami mengadili lagu-lagu yang bertanding berdasarkan tiga kriteria utama iaitu kreativiti, keaslian dan keberkesanan.

“Apa yang cuba kami lakukan ialah mendidik para peminat muzik supaya dapat melihat kualiti dan populariti dari perspektif yang berbeza.

“Apa yang popular belum tentu terbaik, begitu juga sebaliknya. Kami mencari keseimbangan antara komposisi lagu yang bagus, lirik yang memberikan impak serta keserasian lagu dengan suara penyanyi yang menyampaikannya.”

Selain Aubrey, juri lain yang diberi tanggungjawab menghakimi Separuh Akhir Muzik-Muzik kategori Balada ialah Manan Ngah, Farihin Abdul Fatah, Zubir Ali serta Amran Omar.

Empat lagu irama melankolik yang bakal bersaing di AJL21 Januari depan ialah Mungkir Bahagia nyanyian Hazami (ciptaan Hazami/Ita), Ku Seru dendangan Misha Omar (ciptaan Ajai/Habsah Hassan/Shuhaimi Baba), Secebis Harapan dari Nora (Zulkifli Mahat/Noor) serta Terlalu Istimewa nyanyian Adibah Noor (Azlan Abu Hassan/Adibah Noor).

Ini bermakna Adibah akan naik pentas dua kali pada acara berprestij tersebut selepas lagu nyanyiannya bersama kumpulan lawak Senario, Zapin Cinta SMS telah terpilih mewakili Etnik Kreatif/Irama Malaysia.

“Terlalu Istimewa sangat dekat di hati kerana saya yang menuliskan liriknya. Meskipun saya hanya penyanyi undangan untuk Zapin Cinta SMS, saya harus berlaku adil. Saya tidak akan melebih-lebihkan lagu sendiri. Kedua-duanya akan saya nyanyikan sebaik mungkin,” ujar penyanyi bervokal lantang tersebut.

Misha yang tewas menerusi Nafas Cahaya minggu lepas pula mampu menghela nafas lega kali ini. Bersandarkan kekuatan vokal dan keindahan melodi Ku Seru, lagu tema Pontianak Harum Sundal Malam 2 itu berjaya menawan hati juri.

“Saya gugup dan terkejut apabila keputusan dibacakan. Sebetulnya saya tidak mengharapkan kemenangan kerana sejak hari pertama latihan, saya mempunyai lagu-lagu kegemaran sendiri. Bagaimanapun, saya menganggap pemilihan ini mempunyai makna yang tersendiri,” ujarnya sambil tersenyum.

Pemenang kategori Pop Rock dan Persembahan Vokal Terbaik AJL20, Hazami mempertaruhkan lagu berentak perlahan pula tahun ini. “Seperti tahun lepas, kesempatan ini akan saya gunakan untuk mendemonstrasi bakat saya sepenuhnya kepada khalayak.

“Saya mahu dihargai bukan saja atas kebolehan menyanyi, tetapi juga penciptaan lagu. Saya tidak melihat kehadiran Adibah, Nora dan Misha sebagai satu saingan, tetapi lebih kepada satu ‘perhimpunan’ rakan-rakan,” beritahunya.

Sementara itu, Nora bersetuju dengan pendapat penyampaian yang baik mampu menyakinkan barisan juri untuk memilihnya.

“Setiap kali bertanding, apa yang saya pentingkan ialah penyampaian lagu. Sebagai penyanyi, kita harus bercerita kepada pendengar dan menyampaikan mesej yang terkandung dalam lirik.

“Pertama kali mendengar Secebis Harapan, saya sudah tahu ia sebuah lagu yang baik jika kena pada gayanya. Kerana itu ia digubah dalam susunan orkestra,” terang senior AJL ini yang pernah bertanding dengan lagu Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kekasih) dan Menyemai Cinta Bersamamu beberapa tahun sudah.

Biarpun keputusan kali ini menepati ramalan kebanyakan pihak, Separuh Akhir Muzik-Muzik kategori Balada tetap menimbulkan kekecohan apabila Amy Search yang tercalon melalui lagu Suralaya Dalam D’ Major (ciptaan Edrie Hashim/Loloq) menarik diri pada saat-saat akhir.

“Apa yang kami diberitahu Amy terpaksa mengorbankan peluangnya semata-mata untuk memberi komitmen penuh terhadap Final Mentor 2 yang berlangsung selang sehari dari pertandingan ini,” jelas Azhar.

Mengakui agak ralat kerana Amy hanya memaklumkan perkara tersebut sehari sebelum bertanding, sambungnya: “Saya secara peribadi telah menghubungi komposer lagu tersebut, Edrie agar memujuk Amy, tetapi dia mempunyai alasannya sendiri. Mungkin dia merasakan tekanan yang hebat untuk memberikan yang terbaik kepada kedua-dua pertandingan.

“Dalam kesuntukan waktu, kami tidak sempat mencari calon yang boleh menggantikan lagu tersebut. Kalau ada pun, kami rasa ia tindakan yang kurang adil kerana meletakkan beban di bahu orang lain tanpa sebarang persiapan.”

Azhar juga memberitahu bahawa pihak penerbit telah mengemukakan idea jika Edrie mahu penyanyi lain menyampaikan lagu tersebut.

“Tetapi mereka mahu terus menarik diri. Kami hormati keputusan itu. Kami tidak menganggap penarikan sedemikian menjejaskan kredibiliti AJL kerana matlamat kami ialah mahu mencari empat lagu yang terbaik. Rasanya malam ini objektif tersebut telah tercapai,” katanya.

Selain kontroversi Amy, lagu popular Mawi, Kian (Fauzi Marzuki/Lukhman S) juga gagal menempatkan diri ke AJL21. Adakah kerana bukan tuan punya lagu sendiri yang menyampaikannya?

Kerana Mawi sedang mengikuti program percutian bersama peminat di Mauritius, tugasnya digalas oleh naib juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Felix Agus.

Selain Kian, lagu-lagu lain yang tidak berjaya ialah Jatuh dari Adam (Edry KRU), Merawat Luka Terpendam nyanyian Liza Hanim (Azmeer), Iris dari Awie (Edrie Hashim) dan Bersamamu dendangan Sarah Raisudin (Affendy).