eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Penuh Rasa Cinta

Sunday, December 03, 2006

Penuh Rasa Cinta



Tajuk: Cinta

Genre: Drama

Penerbit: Alternate Studio

Pengarah: Kabir Bhatia

Pelakon:
Datuk Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar, Eizlan Yusof, Fasha Sandha, Nanu Baharudin, Que Haidar, Rashidi Ishak, Rita Rudaini, Pierre Andre, Sharifah Amani

Penilaian: 4 bintang



Melalui judulnya saja penonton sudah tahu Cinta filem apa. Tetapi cerita cinta yang bagaimana? Apa yang lainnya tentang tafsiran cinta di mata penulis skrip Mira Mustaffa dan suaminya, pengarah Kabir Bhatia?

Sejak dunia perfileman wujud berabad lampau, daripada era sinema hitam putih sampailah berwarna, daripada manusia yang berlakon sehingga imej komputer mengambil alih peranan, cinta menjadi subjek yang paling popular - tidak pernah lapuk dipakai, tidak pernah jemu dikitar semula.

Kerana cinta adalah naluri semula jadi manusia, kita mudah mengaitkan diri dengan cerita yang berkaitan dengannya. Bagaimanapun, itu tidak bermakna filem cinta senang dibikin kerana tanpa ramuan yang tepat, subjek cinta yang ditonjolkan nampak palsu dan terasa dibuat-buat.

Konsep yang ditampilkan Mira dan Kabir bukannya baru. Lima dimensi cerita di dalam satu medium sudah ditampilkan terlebih awal di barat, seperti Magnolia (arahan Paul Thomas Anderson, 1999) dan Love Actually (oleh Richard Curtis, 2003).

Akan tetapi kelahiran Cinta dalam industri sinema tempatan telah menyuntik sesuatu yang segar.

Berlatar belakangkan kota metropolis Kuala Lumpur hari ini, Cinta menjadikan lima pasangan sebagai perlambangan. Azlan, lelaki kaya bujang terlajak cair egonya terhadap kelembutan hati Azura, seorang pembantu kedai buku.

Arianna, gadis muda yang datang mencari kekasih lama bertemu cinta sebenar dengan seorang pemuda bernama Taufiq. Sementara Harris dan Airin, pasangan romantis sejak kolej lagi terpaksa berpisah kerana cinta bukan lagi milik mereka.

Dyan pula yang tidak pernah berjumpa bahagia sanggup berkorban nyawa demi adik tersayang, Dhani serta Rubiah, seorang wanita yang ditinggalkan suami menemui sinar cinta di mata seorang cikgu pencen yang hampir nyanyuk, Elyas.

Meskipun ada di antara watak-watak ini tidak saling mengenali, mereka semua ‘berkongsi’ perasaan yang serupa. Cinta cuba mengkaji fitrah insan melalui situasi-situasi gembira, duka dan tidak terjangka yang berlaku dalam kehidupan seharian.

Lakon layar filem ini cukup cantik. Lancar dan tidak mengelirukan, jalinan cerita dianyam rapi dengan bantuan suntingan yang kemas.



Mira tidak perlu menulis dialog panjang berjela. Skripnya ringkas, padat dan mengesankan. Cukup dengan isyarat bahasa tubuh, penonton sudah mengerti apa yang ingin disampaikan.

Sinematografi hasil kerja Mohd Noor Kassim tidak sekadar cantik di mata, tetapi turut menyumbang jiwa. Mainan muzik yang kena pada masa, landskap lokasi yang dirakam sebaiknya, begitu juga dengan penataan seni dan cahaya yang menjadikan warna-warna setiap bingkai gambar teradun indah.

Kabir beruntung kerana dibekalkan dengan barisan aktor dan aktres hebat. Meskipun masing-masing ‘menguasai’ skrin dengan kemantapan lakonan, tiada siapa yang tenggelam mahupun timbul melebihi yang lain. Pendek kata, semuanya sama penting, semuanya pelakon utama.

Mereka tidak perlu meraung untuk membuatkan penonton menangis, mereka tidak payah membuat lawak murah untuk membangkitkan senyuman.

Rashidi Ishak yang sebelum ini terpinggir bakatnya mempamerkan lakonan yang cemerlang, begitu juga dengan Fasha Sandha yang kebolehannya mula dipandang serius.

Rita Rudaini memberikan mainan emosi yang subtle, tidak berlebih-lebihan sementara Nanu dan Que Haidar berjaya menimbulkan keserasian sebagai kakak dan adik.

Sebagai seorang veteran, lakonan Datuk Rahim Razali sentiasa melebihi jangkaan dan kepulangan Fatimah Abu Bakar ke layar perak adalah satu kurniaan untuk sinema Malaysia.

Kalau ada pun yang sedikit tawar, gandingan Pierre Andre dan Sharifah Amani kadangkala nampak kekok. Maaf, Amani ‘terlalu bijak’ untuk menggalas peranan gadis naif. Gambit pula yang melakonkan watak Khalif seharusnya rasa segan kerana lakonan pelakon cilik, Erine Eryana jauh lebih berkesan.

Cinta, sebuah filem yang penuh rasa. Pergilah menonton.