eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Mana Glamornya?

Tuesday, December 26, 2006

Mana Glamornya?



‘Anugerah Skrin ke-8 (AS8) hambar’ - komen sebahagian besar penonton yang menyaksikan acara berprestij itu, baik dari rumah mahupun secara langsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam Jumaat lalu.

Tempat duduk di dalam dewan yang banyak kosong membuatkan suasana hangat tidak terasa. Mengapa agaknya para jemputan tidak menghadirkan diri? Kerana mahu bercuti panjang di hujung minggu atau kerana sudah menjangka tidak akan menang? Hairan juga kerana pemenang pun tidak nampak bayang!

Menampilkan tema Glamor, mungkin konsep itu hanya sesuai dengan ‘pertunjukan fesyen’ di hamparan karpet merah. Seperti selalu, di sinilah medan untuk selebriti memasang badan dan menampilkan persalinan yang mahal-mahal belaka.

Dalam konteks AS8, pepatah Inggeris ‘less is more’ nampaknya tidak boleh dipakai. Set pentas terlalu ringkas dan suram. Di manakah terletaknya aura glamor kalau lokasi yang menjadi titik tumpu penonton awal-awal lagi sudah gagal menarik perhatian?



Oh Fazura, Oh Naz. Bukan anda tidak mencuba sebaik mungkin sebagai pengendali acara tetapi masih banyak kelemahan yang perlu diperbetulkan, apatah lagi untuk anugerah sebesar ini yang dipancarkan secara langsung satu Malaysia.

Mungkin kerana terlalu gementar, Naz beberapa kali tersilap sebutan menyebabkan dahi penonton berkerut-kerut. Fazura pula sesekali terlepas laku menjadi Puteri dari Gol & Gincu dan membawakan pendekatan seperti sedang mengacarakan MTV Jus.

Barangkali inilah ‘kelemahan’ Fazura kerana dua program tersebut sudah menjadi identitinya. Walau bagaimanapun, Fazura dan Naz patut diberi tepukan semangat atas keinginan mereka menggalas tugas yang bukan semua orang berani melakukannya.

Memang skrip AS8 tidak meleret-leret dan terus menuju ke sasar, tetapi ia gagal membawakan sebarang emosi kepada penonton. Kerana itulah penonton malas bertepuk tangan, tidak mampu ketawa atau memberikan sebarang reaksi.

Lebih menyedihkan, sebahagian besar penyampai anugerah sendiri tidak memahami skrip yang mereka baca. Ada yang bergelak ketawa sesama sendiri di atas pentas dan ada juga yang bertanyakan soalan tanpa penonton memahami apa yang dipertuturkan. Adakah anugerah ini dipandang serius oleh penggiat seni atau mereka hanya mahu main-main?



Dari segi persembahan, AS8 cuba membawakan konsep duet dengan menggabungkan artis-artis terkemuka tanah air, seperti Datuk Siti Nurhaliza dengan Erra Fazira (Manusia, Tiru Macam Saya), Fiq Mentor dengan Faizal One In A Million (We Will Rock You, Pawana) dan Zainal Abidin dengan Afdlin Shauki (Ikhlas Tapi Jauh).

Tidak ketinggalan ialah Shazzy dengan Nikki (Caramu), Kat Mentor dengan Ruffedge (Permata Biru) serta Kris Dayanti dan Anang Hermansyah (Selalu Jatuh Cinta, Rembulan). Satu idea yang bernas, namun begitu persembahan-persembahan ini berada pada kadar ‘biasa’ dan cepat dilupakan.
Rasanya penonton akan lebih mengingati saat-saat bagaimana Rita Rudaini menghembuskan nafas ketika mahu mengumumkan pemenang kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama yang mana Lisdawati adalah salah seorang calonnya. Bayangkan kalau Lisda yang menang.