eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Afdlin Shauki Pertahan Takhta

Monday, December 25, 2006

Afdlin Shauki Pertahan Takhta



Gambar:Jinggo

Pada Anugerah Skrin ke-7 tahun lalu, Afdlin Shauki mendominasi kemenangan dalam Kategori Filem apabila diangkat sebagai Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Lakon Layar Terbaik melalui Buli.

Tahun ini dalam Anugerah Skrin ke-8 (AS8), seniman bertubuh gempal itu sekali lagi membawa pulang tiga trofi menerusi Buli Balik.


Dia bukan saja mempertahankan kedudukannya sebagai Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik, malah filem sekuel itu diiktiraf sebagai Filem Terbaik menewaskan 31 buah cereka lain yang turut bertanding.

“Saya datang sebenarnya untuk menyanyi tetapi tidak sangka pula menang anugerah!” katanya sambil ketawa. Turut dicalonkan menerusi Baik Punya Cilok, Afdlin mengakui dia meletakkan harapan yang tinggi kepada Buli Balik.



“Meskipun ia sebuah filem semi komedi, tetapi Buli Balik membawakan mesej yang lebih berat, serius dan realistik. Jika ada yang menyangkal kemenangan ini hanya kerana ia diterbitkan oleh Grand Brilliance (anak syarikat TV3), saya tidak boleh berkata apa-apa. Saya percaya juri sudah memilih yang terbaik,” tegasnya.

Selain Baik Punya Cilok, saingan terdekat Buli Balik dalam senarai pencalonan akhir Filem Terbaik ialah Pontianak Harum Sundal Malam 2 (PHSM2), Qaisy & Laila serta Sepet.


Tuah nampaknya tidak menyebelahi filem arahan Yasmin Ahmad itu biarpun ia pernah dinobatkan sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-18. Begitu juga dengan Gubra yang menewaskan Buli Balik dalam Festival Filem Malaysia ke-19.

Walau bagaimanapun, AS8 memberikan kejutan terindah buat Gubra apabila Rozie Rashid diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem, menewaskan lawannya dari filem yang sama, Sharifah Amani, Maya Karin (PHSM2), Fazura (Qaisy & Laila) dan Siti Elizad (Rock).

Mungkin kerana tidak menjangkakan kemenangan, Rozie tidak menghadirkan diri untuk mengambil anugerah.


Khalayak juga seakan tidak percaya apabila calon kurang popular, Hasnol Rahmat dari filem Rock dianugerahkan dengan trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem. Hasnol menundukkan Afdlin Shauki (Buli Balik), AC Mizal (Baik Punya Cilok), Que Haidar (Castello) dan Radhi Khalid (Qaisy & Laila).

“Saya tidak pandai berkomedi. Dalam Rock, pengarah Mamat Khalid yang berlawak, bukan saya. Saya hanya mempersembahkan watak dan cerita yang digarap olehnya,” komen Hasnol yang mengakui sangat terkejut atas kejayaan tersebut.


Sementara itu, telefilem terbitan Pena Creative, Lebih Bisa Dari Jelatang mengungguli Kategori Drama AS8 apabila merangkul empat anugerah, termasuk Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik iaitu Khabir Bhatia. Drama yang ditayangkan di RTM1 ini menewaskan 13 buah drama lain yang menyertai AS8.

Mengisahkan nasib seorang wanita yang dijangkiti HIV dari suami sendiri, ia turut memberikan kemenangan kepada Elza Irdalynna sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Mazlan Abdul Manan sebagai penulis Skrip Terbaik.


“Saya tidak menduga Lebih Bisa Dari Jelatang akan menang besar malam ini kerana ia bersaing dengan drama yang sangat kuat seperti Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan,” jelas penerbit eksekutif Pena Creative, Eizlan Yusof.

Menjangkakan kemenangan bintang utama drama tersebut, Haliza Misbun sebagai Pelakon Wanita Terbaik, bagaimanapun nasib berpihak kepada Safura Yaacob (Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan) yang sebelum ini pernah menerima gelaran itu semasa Anugerah Sri Angkasa 2005 Mac lalu. Seperti Rozie, Safura juga tidak nampak bayang di AS8.



Jalil Hamid yang menonjolkan lakonan cemerlang menerusi Nur Di Pintu Syurga pula telah dipilih sebulat suara sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Drama mengalahkan empat calon lain seperti Eizlan Yusof (Seberat Zarah), Zahim Al Bakri (Lebih Bisa Dari Jelatang), Eman Manan (Episod Terakhir) dan M. Rajoli (Al-Kausar).

“Artis menjadi lebih bahagia apabila mereka dihargai,” ucap Jalil selepas naik pentas menerima trofi. “Saya tidak pernah mengharap apa-apa dengan setiap watak yang dilakonkan, tetapi mungkin kemenangan ini dapat dijadikan inspirasi dan harapan kepada pelakon-pelakon lain yang seangkatan dengan saya,” sambungnya.


Bersiaran secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam Jumaat lalu, AS8 yang dihoskan oleh Fazura dan Nazruddin Habibur Rahman ini mempertandingkan 21 kategori, termasuk sembilan kategori drama, komedi dan bersiri, enam kategori filem dan enam kategori penerbitan televisyen.

Satu trofi Anugerah Khas Juri telah diberikan kepada Enfiniti Production atas kecemerlangan mereka mementaskan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) selama dua musim di Istana Budaya, Kuala Lumpur dan di Esplanade Theatre, Singapura bulan lalu.

Senarai penuh pemenang Anugerah Skrin ke-8

* Filem Terbaik - Buli Balik (Grand Brilliance)
* Pelakon Lelaki Terbaik Filem - Hasnol Rahmat (Rock)
* Pelakon Wanita Terbaik Filem - Rozie Rashid (Gubra)
* Pengarah Terbaik Filem - Afdlin Shauki (Buli Balik)
* Sinema Alternatif Terbaik - Ciplak (Khairil M. Bahar)
* Drama Terbaik - Lebih Bisa Dari Jelatang (Pena Creative)
* Pelakon Lelaki Terbaik Drama - Jalil Hamid (Nur Di Pintu Syurga)
* Pelakon Wanita Terbaik Drama - Safura Yaacob (Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan)
* Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama - Tamam Idris (Rintihan Dosa)
* Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama - Elza Irdalynna (Lebih Bisa Dari Jelatang)
* Pengarah Terbaik Drama - Khabir Bhatia (Lebih Bisa Dari Jelatang)
* Skrip Terbaik - Mazlan Abdul Manan (Lebih Bisa Dari Jelatang)
* Drama Bersiri Terbaik - Rafflesia (Asia Media Content)
* Drama Komedi Terbaik - Mat Dom Teksi (Jutareka)
* Dokumentari/Majalah Terbaik - Ilmuwan Islam (TV3)
* Bual Bicara Terbaik - Macam-Macam Aznil (Astro)
* Rancangan Muzikal Terbaik - Anugerah Juara Lagu Ke-20 (TV3)
* Rancangan Hiburan Terbaik - Anugerah Bintang Popular (TV3)
* Rancangan Realiti Terbaik - Celebrity Explorace (TV3)
* Laporan Khas Terbaik - Laporan Khas ntv7
* Anugerah Khas Juri - Puteri Gunung Ledang The Musical (Enfiniti Production)