eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Tsunami: The Aftermath

Saturday, December 23, 2006

Tsunami: The Aftermath



Sinopsis Tsunami: The Aftermath

Susie Carter, warga British yang datang ke Khao Lak, Thailand bersama suaminya, Ian dan anak kecil, Martha tidak menyangka percutian mereka akan bertukar menjadi mimpi ngeri. Mereka terpisah kerana bencana alam yang sangat menakutkan.

Begitu juga dengan Kim Peabody dan anaknya, Adam. Sedang mereka terselamat dari dipukul ombak gergasi, suami Kim, James dan anaknya yang seorang lagi, John hilang entah ke mana.

Di Bangkok, seorang wartawan bernama Nick Fraser mengikut kawannya, Chai, seorang jurugambar Thailand, menaiki pesawat menuju ke Phuket untuk membuat liputan berita tergempar.

Dalam pada itu, di Kedutaan British, Ketua Delegasi Tony Whittaker meminta diri dari sebuah majlis selepas mengetahui tentang kejadian Tsunami. Dengan bantuan pembantunya, beliau menuju ke Phuket bersama Kathy Graham, seorang pekerja sukarelawan.

Pada masa yang sama, seorang warga tempatan, Than pulang ke kampung halamannya di tepi laut, lalu menemui mayat nenek dan ahli keluarga yang lain bergelimpangan. Sedih dengan keadaan tersebut, bagaimanapun dia mendapat tahu ramai lagi penduduk kampung yang masih hidup dan berlari untuk mendapatkan bantuan.

** Saksikan tayangan eksklusif mini siri dua bahagian ini buat pertama kalinya di Asia pada 26 Disember pukul 9.00 malam. Siri pertama dan kedua akan ditayangkan secara berterusan. Siaran ulangannya boleh diikuti pada 30 Disember pada pukul 12.00 tengah hari.

Di mana lagi kalau bukan di HBO (saluran 40 Astro).



Tanggal 26 Disember ini, genap dua tahun bencana Tsunami menggegarkan dunia. ‘Menelan’ beratus ribu nyawa manusia, Tsunami tercatat sebagai malapetaka paling dahsyat dalam sejarah tamadun manusia dekad ini.

Atas rasional tersebut, HBO Films dengan kerjasama BBC serta Kudos Film and Television Production menggambarkan kembali sekelumit kisah dari tragedi hitam yang cukup menggerunkan itu melalui produk HBO Original, Tsunami: The Aftermath.

Mengambil latar pesisiran pantai Andaman, Thailand sebagai lokasi kejadian, mini siri dua bahagian ini diarahkan oleh Bharat Nalluri (Spooks, Life On Mars), sementara skripnya ditulis Morgan Abi (Sex Traffic).

“Biarpun kebanyakan watak dalam siri ini hanyalah fiksyen, namun rentetan kejadian dan impak yang ditinggalkan adalah berdasarkan tragedi yang sebenar. Banyak kajian dan temuramah dilakukan semasa proses penulisan skrip,” kata Nalluri dalam sesi interviu yang diaturkan oleh HBO, baru-baru ini.

Difilemkan di Phuket dan Khao Lak, Thailand pada pertengahan tahun ini, Tsunami: The Aftermath cuba meneroka hubungan unik sesama insan merentasi bangsa, kepercayaan dan sosio-ekonomi untuk berdepan dengan malapetaka.

Menyingkap kesan dan pengajaran di sebalik bencana bermagnitud luar biasa itu, Nalluri menjelaskan: “Tugas untuk ‘menjelmakan’ semula tragedi sebesar itu bukanlah perkara enteng. Kami harus teliti dengan setiap fakta dan butir cerita.



“Abi mengambil masa berbulan-bulan menghimpunkan segala data dan menjadikannya sebuah skrip yang kemas dan padat. Berdepan dengan kisah benar yang melibatkan emosi manusia, banyak aspek sensitiviti perlu diberi perhatian.”

Adakah Nalluri mengenali mana-mana mangsa tsunami secara peribadi?

“Tidak secara langsung, tetapi saya mempunyai beberapa kenalan di Sri Lanka yang turut merasai gegaran bencana tersebut,” beritahu sutradara kelahiran India yang bermastautin di Britain ini.

Ditanya mengapa hanya memfokuskan kejadian yang berlaku di Thailand, sedangkan Acheh juga teruk terbabit, dia mempunyai alasan sendiri.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan, kami lebih berupaya memvisualkan insiden yang berlaku di Thailand dengan lebih tepat dan jujur. Meminggirkan atau menolak kejadian yang berlaku di Acheh bukan soal utama. Apa yang penting ialah impak bencana itu sendiri,” tegasnya.

Nalluri mengakui apabila mini siri ini dipecahkan kepada dua bahagian, dia mempunyai lebih ruang untuk bercerita dengan lebih mendalam.

Bagaimanapun, ujarnya: “Mustahil siri ini mampu menjadi seratus-peratus tepat, malah tiada sesiapa pun yang boleh membikinnya betul-betul seperti kejadian sebenar. Apa yang terdaya kami lakukan ialah memberi keadilan ke atas setiap kronologi dan susur galur cerita.”



Tsunami: The Aftermath diterajui oleh barisan pelakon terkemuka, antaranya Tim Roth (calon Anugerah Academy untuk Rob Roy), Chiwetel Ejiofor (Dirty Pretty Things), Sophie Okonedo (calon Anugerah Academy untuk Hotel Rwanda) serta Toni Collette (calon Anugerah Academy untuk The Sixth Sense).

Atas kecemerlangan lakonan, tiga daripadanya dicalonkan untuk Anugerah Golden Globe tahun ini. Mereka ialah Okonedo (Persembahan Terbaik Aktres Dalam Mini Siri atau Filem Televisyen), Ejiofor (Persembahan Terbaik Aktor Dalam Mini Siri atau Filem Televisyen) dan Collette (Persembahan Terbaik Aktres Pembantu Dalam Mini Siri atau Filem Televisyen).

Sementara itu, para pelakon lain yang turut menjayakan siri ini ialah Hugh Bonneville (Notting Hill), Gina McKee (Scenes of a Sexual Nature), Samrit Machielsen dan Grirggiat Punpiputt.

“Saya sangat beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik dari barisan pemain hebat. Bekerja dengan mereka merupakan satu keistimewaan dan menjadikan tugas saya bertambah mudah kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” ulas Nalluri.

Terdiam seketika apabila diajukan soalan apakah perkara yang paling sukar sepanjang mengendalikan projek ini, jawabnya: “Mencipta kembali kemusnahan akibat Tsunami. Ia sangat kompleks dan teknikal untuk dijelaskan.

“Setiap kali selepas lima ke enam hari penggambaran, kami mesti menukar set dan props. Kami mesti membuatkan penonton percaya dengan apa yang mereka lihat.”