eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Hannah “T” Berangan?

Sunday, December 24, 2006

Hannah “T” Berangan?



Di Sebalik Hannah T

* Berketurunan Cina-Kelabit, Hannah yang berketinggian 5 kaki 4 inci ini pernah dinobatkan sebagai pemenang ketiga Miss Global Petite International World Finals 2002/2003 yang berlangsung di Montreal, Kanada.

* Membintangi beberapa komersial televisyen seperti Maybelline, Nescafe dan McDonalds, iklan Hannah yang paling diingati ialah Lux, di mana dia bergandingan dengan penyanyi popular Hong Kong, Karen Mok.

* Hannah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perkomputeran dan Sistem Maklumat pernah bergelar guru piano dan mempunyai kelayakan Diploma Teacher’s Level Grade 5 dari Yamaha.

* Pernah berlakon dalam siri sketsa Sketches, Hannah juga menjadi pelakon undangan dalam siri Gol & Gincu sebagai kekasih Ashraff Sinclair yang menuntut di Australia.

* Pandangan Hannah mengenai jolokan sebagai Wanita Terseksi Malaysia - “Terlalu digembar-gemburkan. Kadang-kadang saya jadi malu. Ia tidak lebih sekadar satu gelaran.”

Selepas dikenali ramai dengan nama Hannah Tan, kini dia mahu dipanggil Hannah T saja. Mengapa?

“Saya mahu membina ‘jenama’, bukan sekadar sebagai penyanyi tetapi lebih kepada seorang personaliti. Nama itu rasanya lebih mudah diingati dan ringkas, malah huruf ‘t’ sendiri membawa maksud tersirat,” ujar si manis berusia 25 tahun ini.

Bagi Hannah, ‘t’ berkaitan dengan prinsip hidupnya yang sentiasa percaya kepada diri dan minat (true to yourself, true to your passion). Kerana serius dengan apa yang dilakukannya dan benar-benar mahu menjadikan namanya sebagai ikon, huruf ‘t’ itu telah dipatenkan.

“Saya tidak mahu menjual muzik semata-mata. Untuk pergi jauh, saya harus menampilkan kelainan dan saya melihat Hannah T sebagai satu produk,” jelasnya bersungguh sambil memperkenalkan signature t-shake, gaya ‘bersalam’ yang merapatkan dua lengan membentuk huruf ‘t’!



Menurut gadis kelahiran Pulau Pinang ini, dia ingin mereka cipta satu budaya pop yang mewakili imej Asia, seperti mana Jennifer Lopez berjaya mencipta ‘wajahnya’ sendiri melalui penjenamaan J Lo.

Namun begitu, di sebalik alasan-alasan yang diberikan, imej yang terpapar pada kulit album sulungnya, Crossing Bridges dilihat begitu panas, sensasi dan dianggap keterlaluan oleh sesetengah pihak.

Mempamerkan hampir keseluruhan susuk tubuhnya dengan rambut basah mengurai dan pandangan mata yang menggoda, ada yang berpendapat Hannah T ingin menjadi klon Mariah Carey atau sekurang-kurangnya Tata Young. Beginikah imej Asia yang mahu Hannah bawa ke luar?

“Saya tidak berniat mencetuskan kontroversi, apatah lagi menimbulkan kemarahan atau mengusik sensitiviti sesiapa.



“Saya dan pihak pengurusan melihat ini sebagai satu strategi pemasaran dan penjenamaan yang mampu melangkaui pasaran global,” ujarnya sambil memberitahu elemen air diketengahkan sebagai konsep kulit album.

Seperkara lagi yang unik mengenai Hannah T, dia hanya akan muncul dalam persalinan berwarna putih, merah jambu dan perak sepanjang tempoh mempromosikan album pertama. “Itu warna ‘jenama’ saya,” ulasnya ringkas.

Diterbitkan oleh SupaFOOK dengan sokongan Studeo Grafix, Crossing Bridges menampilkan single hit In Between dan beberapa buah lagu lain seperti Pray For Rain bersama DJ Joey G & Bobo.

Turut mencipta lagu sendiri berjudul Truly Yours dan I Don’t Wanna Be, Hannah bertuah kerana mendapat kerjasama beberapa komposer antarabangsa.

Mereka ialah Andrew Fromm, Christopher Rojas, Jorgen Elofsson dan Phil Thornalley yang pernah menghasilkan lagu untuk Backstreet Boys, Britney Spears, Kelly Clarkson dan Natalie Imbruglia.



“Hampir setahun kami berusaha keras menyudahkan projek ini. Merangka pelbagai rancangan sehingga lima tahun akan datang, album ini bukan saja dipasarkan secara konvensional, malah boleh didapati menerusi laman web www.hannahtclub.com. dan memperolehi bermacam-macam keistimewaan,” tambah pemilik nama penuh Hannah Sarah Tan ini.

Mendapat jolokan Wanita Terseksi Malaysia oleh majalah FHM tahun ini, bagaimana Hannah mahu menepis persepsi dia menggunakan label tersebut untuk bergelar penyanyi rakaman?

“Sejak kecil lagi minat kepada muzik sudah tumbuh, lama sebelum saya bergelar model dan pengacara. Sedari dulu saya mengimpikan mempunyai album sendiri. Bagaimanapun, baru sekarang saya bertemu dengan tenaga kerja yang tepat, material yang sesuai dan label yang memahami apa yang saya mahukan,” katanya.

Tidak kesal jika dilemparkan dengan pandangan skeptikal dan negatif, tegas Hannah: “Baik apa pun perkara yang kita lakukan, ada saja pihak yang cuba menjatuhkan semangat dan memandang rendah. Itu sudah lumrah.

“Justeru, saya tidak peduli kepada mereka yang hanya mengkritik kosong tanpa menilai terlebih dulu hasil kerja saya. Kepada mereka yang sangsi terhadap bakat saya, dapatkan Crossing Bridges dan dengar sendiri.”




Turut terlibat sebagai penerbit bersama, Hannah menolak tanggapan jika album ini hanya ‘menjual’ paras rupa, sebaliknya menyifatkan ia sebagai sesuatu yang lahir tulus ikhlas dari hati.

Menyelongkar sisi lain Hannah sebagai pengacara, dia yang berpengalaman mengendalikan Ringgit Sense, Girls Club dan Looking Good Feeling Good tidak lama dulu, kini muncul dengan program realiti terbitan 8TV, What Women Want.

Ke udara setiap Khamis pukul 10.30 malam, program tersebut mencari seorang lelaki ‘unggul’ yang memiliki kriteria-kriteria yang diinginkan oleh setiap wanita. Menjalani tugasan berbeza setiap minggu, apa perasaan Hannah dikelilingi 13 jejaka yang multi personaliti?

“Setiap seorang mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Apa yang dapat saya katakan, secara umumnya mereka adalah lelaki yang berpengetahuan, berpendidikan dan mewakili personaliti lelaki moden.

“Begitu pun, tiada sesiapa yang sempurna di dunia ini, kan?” tanyanya semula seperti dapat menangkap soalan nakal yang dikemukakan.

Bertindak sebagai moderator program, Hannah mengakui dirinya kini solo selepas hubungan cinta berkecai di tengah jalan.

“Bukan mahu menyalahkan tuntutan kerja yang sentiasa menekan, tetapi itulah hakikatnya. Dengan cita-cita saya yang tinggi melangit, saya sedar ada perkara yang harus dikorbankan,” katanya yang sudah empat bulan bersendirian.

Belum ingin memikirkan cinta baru, tambahnya yang mementingkan keserasian dalam perhubungan: “Kasihan teman lelaki saya dulu kerana sering mengabaikannya. Tunggulah sampai saya betul-betul bersedia.”

Meraikan Krismas tahun ini bersama keluarga tersayang seperti selalu, kesibukan Hannah membuatkan ibu bapanya sanggup terbang dari Kuching, Sarawak ke Kuala Lumpur.

“Mereka akan merayakan Hari Natal bersama saya di sini. Maklum saja dengan jadual yang ketat, saya tidak mampu mengambil cuti.

“Pada hari perayaan pun saya kena bekerja, ada undangan rakaman televisyen dan sebagainya. Tetapi saya tidak kisah. Saya tidak merungut,” jawabnya sambil melemparkan senyuman manis.

Turut memeriahkan Krismas dengan kemunculan single Timeless Christmas, lagu tersebut adalah hasil nukilannya sendiri.

“Saya mahu beramal bakti dengan penerbitan single tersebut. Separuh daripada nilai jualan akan didermakan kepada badan kebajikan World Vision Malaysia. Inilah impian Krismas saya tahun ini,” katanya menutup bicara.