eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Metamorphosis Alam

Sunday, November 05, 2006

Metamorphosis Alam



“Dulu saya yang ‘mengerjakan’ artis, sekarang giliran saya pula jadi mangsa,” kata Zainal Alam Kadir spontan apabila jurukamera memberi arahan kepadanya.

“Saya tidak pernah bergambar seperti ini. Kalau ada pun, yang biasa dan ringkas dalam studio,” sambungnya sambil ketawa besar.

“Mungkin sebab saya tidak pernah menganggap diri seorang selebriti. Bunyinya memang klise, tetapi apa yang saya buat sekarang benar-benar kerana minat. Glamor atau keseronokan publisiti sudah tidak termasuk dalam buku,”.

Sebelum dia menjadi pengacara Wayang Kita lagi, Zainal Alam Kadir sudah lama ‘wujud’ dalam industri hiburan. Mungkin ketika itu dia tidak sepopular penyanyi mahupun pelakon di mata khalayak, tetapi namanya cukup dikenali dalam kelompok penggiat dunia showbiz tempatan.

Sebetulnya dia tidak pernah menduga, apatah lagi merancang menjadi seorang artis. Bagaimana dia terjebak, jalur sejarah dan hikayat ceritanya cukup panjang.

“Asalnya saya mengambil jurusan Seni Reka di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara), Shah Alam akhir tahun 1980an kerana minat melukis. Begitu pun kerana masalah disiplin, saya diberhentikan.

“Saya akui malu dan tertekan dengan situasi tersebut, apatah lagi cuma tinggal satu semester sebelum pengajian tamat. Saya nekad, saya mesti mencari kerja untuk menebus kembali maruah yang tercemar,” ceritanya bersungguh.

Tidak malu untuk mengaku pernah bekerja di salun rambut dan mengambil upah menjaga anak orang, satu hari dia didatangi tawaran mengacara sebuah rancangan terbitan RTM bertajuk KLTV.


Picture : Bubba.

“Itu pengalaman ‘seni’ saya yang pertama secara rasmi. Sebelum itu, di ITM dulu saya memang aktif dalam aktiviti-aktiviti kesenian, tidak kiralah sebagai pengacara, penari, pelakon teater mahupun penyanyi. Malah, saya sempat menganggotai sebuah kugiran muzik ala jazz rock pada masa itu,” sambungnya.

Terdesak mencari kerjaya tetap bagi membantu keluarga di kampung, Alam mencuba nasib sebagai pemberita di sebuah organisasi akhbar terkenal.

“Sudah rezeki, saya diterima bekerja selepas beberapa peringkat temu duga. Ditempatkan di meja ekonomi, saya selalu menyumbang artikel untuk seksyen hiburan bagi menambah pendapatan bulanan,” katanya lagi.

Kecenderungannya terhadap dunia hiburan mula dikesan. Hasil penulisannya yang kritis dan ‘berisi’ menjadi bualan. Dia membina reputasi dan pengaruh sebagai wartawan berkaliber.

“Secara tidak langsung, peluang untuk muncul sebagai tetamu undangan dalam beberapa program bual bicara terbuka luas. Dalam masa yang sama, saya menerima undangan teman-teman seperjuangan untuk menyanyi secara suka-suka di beberapa majlis keraian,” terang jejaka kelahiran Sg. Mati, Muar, Johor ini.

Penglibatan dalam teater muzikal Songs of Love and War pada tahun 1999 bersama Saidah Rastam akhirnya menguak kesempatan yang lebih besar. “Semakin banyak tawaran menyanyi yang datang, termasuklah menjadi penyanyi latar beberapa artis terkenal seperti M. Nasir dan Datuk Sharifah Aini,” tambah Alam.

Sememangnya darah seni yang mengalir di tubuhnya adalah warisan turun temurun ibu bapa. Meskipun keduanya guru sekolah (kini pesara), mereka suka menyanyi, meminati kesusasteraan dan berkebolehan bermain biola. Selain itu, tiga daripada adik-beradik Alam menjadi guru muzik dan seorang daripadanya memiliki Ijazah dalam bidang vokal.

Jika ada yang masih ingat, Alam pernah menjadi tulang belakang serta pengasas sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka sama dengan namanya - Alam. Dianggotai empat pemuda berbakat besar, mereka bernaung di bawah label rakaman kepunyaannya, Silver Tortoise.

“Ramai yang skeptikal dan mencurigai inisiatif saya menerbitkan album tersebut, apatah lagi apabila mereka menggunakan nama saya. Tujuan saya hanya ingin menyumbang sesuatu kepada industri, di samping mengenengahkan idea-idea serta bakat baru yang segar.

“Mahu tahu bagaimana saya mencari dana menghasilkan album itu? Saya ‘gila’ masuk pertandingan karaoke dan wang kemenangan saya belanjakan untuk membayar sewa studio!” dedahnya yang melabur belanja hampir RM100,000.


Picture : Bubba.

Mengakui ralat dan terkilan kerana album itu seolah ‘halimunan’ dalam pasaran, dia tidak menolak jentera promosi menjadi penyebab utama kegagalan Alam.

“Atau mungkin kerana nama Alam itu sendiri yang ‘panas’. Saya tahu saya ramai kawan dalam industri hiburan, tetapi tidak kurang juga lawan yang ada,” tegasnya seperti berselindung.

Tahun 2004 menyerlahkan lagi personaliti Alam yang multi bakat, sehingga tanpa sedar telah membawanya kepada haluan kerjaya yang tidak pernah dia jangkakan.

“Saya ditawar berlakon peranan utama dalam drama terbitan Julie Dahlan bertajuk Terompah Biru. Watak saya dalam Astana Idaman 2 juga diciptakan khas oleh penulis skrip yang bersungguh mahu saya berlakon,” ujarnya yang menyanyikan lagu tema siri tersebut bertajuk Bukan Itu Bukan Ini.

Namanya kian masyhur, meniti dari bibir ke bibir. Dikekalkan sebagai perantara Wayang Kita musim demi musim, Alam turut menerima banyak jemputan pengacaraan. Akhirnya awal tahun ini, dia mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai editor hiburan.

“Bukan kerana sudah bosan menulis atau gila glamor, tetapi saya sudah ‘penat’. Sejak Astana Idaman, perkataan rehat tidak wujud dalam kamus hidup. Kalau tidak ke pejabat, saya sibuk di lokasi atau memenuhi undangan lain. Hari minggu pun terpaksa bertugas.

“Dalam usia yang semakin meningkat, material bukan lagi menjadi keutamaan sebaliknya kepuasan diri. Saya harus memilih, tidak boleh tamak mahu buat semua benda,” terang anak keenam daripada sembilan bersaudara ini.

Menerima tawaran Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), wang yang diterima digunakan untuk membantu keluarga. Beritahunya: “Saya bantu ibu bapa memperbaharui rumah, menolong anak-anak saudara yang belajar di kolej dan universiti. Untuk saya adalah simpan sedikit.”

Kerana sering muncul dalam program-program terbitan Astro, ramai yang menganggap dia kini bertugas di stesen penyiaran mega tersebut.

“Sebenarnya tidak. Saya hanya bekerja dengan Astro dalam projek-projek tertentu seperti Marhaban Di Astro dan konsert jelajah Gegak Gemilang. Saya masih bebas menyumbang khidmat kepada media elektronik yang lain,” jelasnya membetulkan pandangan ramai.

Tidak lagi makan gaji seperti dulu, Alam kini menyusun atur langkahnya agar terus dikenali sebagai seniman serba boleh. Penubuhan syarikat Alamorphosis merupakan mercu tanda untuknya terus bergerak ke depan.

“Syarikat ini saya anggap ibarat pusat untuk segala yang berkaitan dengan hiburan. Dengan pengetahuan dan pengalaman yang saya kutip, Insya Allah, ia akan membuahkan hasil,” ucapnya optimis yang bakal muncul dengan album solo selewat-lewatnya tahun depan.

Sesekali ketawa besar ketika menceritakan ‘riwayat’ hidupnya, kata Alam: “Saya berasa janggal ditemuramah seperti ini. Jarang sekali akhbar atau majalah mahu menulis tentang saya. Mungkin label ‘wartawan’ masih terlekat di dahi sehingga orang tidak menganggap saya artis yang sebenar.”

Alam terkilan dengan persepsi tersebut? “Tidak juga. Saya tidak berkecil hati. Saya lakukan semua ini untuk saya, bukan untuk menggembirakan orang lain. Kalaulah ditakdirkan saya tiada kerja lagi satu hari nanti, saya akan pulang ke kampung jual mee bandung!” jawabnya antara seloroh dan bersungguh.

Tanggal 14 November ini genap usia Alam 40 tahun. Mungkin sinar baru sedang menantinya, mungkin pepatah Inggeris ‘life begins at 40’ ada kebenarannya.