eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Akustika Empat Biduan

Wednesday, October 18, 2006

Akustika Empat Biduan



Apabila M. Nasir, Ramli Sarip, Zainal Abidin dan Jay Jay digabungkan, tercetuslah satu fenomena bunyi-bunyian yang cukup mengasyikkan. Yang menjadikan ia lebih istimewa, mereka hanya berpadu suara dan tenaga dengan iringan muzik akustik - lebih asli, sederhana tetapi memberangsangkan.

Untuk tatapan para penonton setia TV3 sempena Aidilfitri, stesen tersebut menggandingkan empat biduan terkemuka ini dalam sebuah program berjudul Konsert Akustika.

Bakal bersiaran selama sejam pada Hari Raya Ketiga pukul 6 petang, rancangan hiburan terbitan Muhammad Suffian Isa ini menampilkan rangkaian lagu malar segar yang masih diminati dan menjadi pujaan hingga ke hari ini.

“M. Nasir, Ramli Sarip, Zainal Abidin dan Jay Jay berkongsi kriteria yang serupa. Mereka bukan saja dianggap sebagai legenda dan nama besar dalam industri hiburan, tetapi mereka juga berkebolehan untuk bermain secara ‘unplugged’ menggunakan gitar dan percussion,” kata Suffian.



Mengulas tentang konsep persembahan, menurutnya Konsert Akustik ingin menyuntik sedikit kelainan dan kesegaran.

“Sebelum ini penonton pernah menyaksikan mereka membuat persembahan dengan iringan para pemuzik latar. Apa yang cuba kami tonjolkan ialah pertunjukan yang santai, seolah satu ‘jamming session’ di mana mereka menyanyi sambil bermain alat muzik sendiri,” tambah Suffian.

Selain empat seniman tersebut, konsert ini turut mengundang Andy Flop Poppy yang mewakili artis generasi baru. Pemuzik Nan Saturnine juga menggamatkan suasana, sekali gus bertindak sebagai pengarah muzik untuk program ini.

Dirakamkan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini, senarai lagu yang didendangkan ialah Senandung Hidup Berbudi (Ramli Sarip), Belaian Jiwa dan Petang Sabtu (Jay Jay), Manis dan Suraya (Zainal Abidin), Atas Nama Cinta dan Aku & Kamu (Andy Flop Poppy) dan Juwita Citra Terindah (M. Nasir).

Ramli dan Nasir turut berduet lagu Jikalau Berkasih yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton di studio.

“Bukan mudah untuk menghimpunkan mereka dalam sebuah program, apatah lagi untuk menjalani sesi latihan sebelum rakaman. Begitu pun, atas dasar profesionalisme dan kerjasama yang masing-masing berikan, rakaman berjalan lancar dan tidak memakan masa yang begitu panjang,” beritahu Suffian.



Ditanya mengapa tidak menyelitkan lagu-lagu raya, jelasnya: “Meskipun Konsert Akustika ditayangkan pada musim raya, kami tidak mahu kelihatan sama dengan program-program lain dan mengundang rasa bosan penonton. Tambahan pula artis-artis yang terlibat popular dengan lagu masing-masing, kami tidak mahu terlepas peluang tersebut.”

Bagaimanapun, bagi memenuhi ‘syarat dan peraturan wajib’ rancangan Aidilfitri, sebuah lagu raya dinyanyikan beramai-ramai iaitu Satu Hari Di Hari Raya pada penghujung program.

“Saya melihat kombinasi ini sebagai satu usaha yang sangat menarik. Tidak timbul soal siapa yang lebih popular atau siapa yang lebih hebat kerana ia merupakan satu kerjasama untuk menjadikan rancangan ini menghiburkan,” komen Ramli Sarip mengenai kolaborasi semua pemuzik lelaki ini.

Pernah bergelar Pengetua Akademi Fantasia 4 (AF4), Ramli juga berharap agar gabungan penyanyi seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang bagi menambahkan variasi dalam penerbitan rancangan hiburan tempatan.