eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: ‘Pengkebumian’ Six Feet Under

Tuesday, October 10, 2006

‘Pengkebumian’ Six Feet Under



Masuk musim yang kelima, Six Feet Under menemui titik penamat. Setelah berjaya merangkul tujuh Anugerah Emmy dan tiga Anugerah Golden Globes sepanjang penerbitannya sejak tahun 2001, siri terbitan HBO ini akhirnya memilih untuk berhenti.

Diilhamkan oleh pemenang Anugerah Academy, Alan Ball, Six Feet Under merupakan sebuah kisah esentrik keluarga Fisher di Los Angeles yang mengendalikan perkhidmatan pengkebumian.

Musim keempat yang lalu, penonton ditinggalkan dengan beberapa pertanyaan seperti Ruth yang mula menyedari kelakuan aneh George; pertalian yang terjalin antara Claire dan Billy selepas Billy menyelamatkannya; trauma David selepas mengenalpasti pencuri keretanya di kawat cam polis; serta Nate yang melamar Brenda.

Meneruskan elemen gelap dalam situasi komedi, musim terakhir Six Feet Under menyaksikan kemuncak emosi dan pergolakan yang dilalui oleh setiap karakter.



Bagaimana Ruth terpaksa berdepan dengan kehendak psikologi suaminya, George; Nate yang berusaha keras meyakinkan Brenda supaya menerimanya dan Claire yang mula mencari jalan kehidupan yang lebih baik.

Sementara itu, David dan kekasihnya Keith menghadapi rintangan untuk mempunyai anak sendiri; serta Federico yang cuba mengatasi kesedihan selepas kematian isterinya Vanessa.

Dengan mengekalkan barisan pelakon yang sama, Six Feet Under ditunjangi oleh Peter Krause sebagai Nate Fisher, Michael C. Hall (David Fisher), Frances Conroy (Ruth Fisher), Lauren Ambrose (Claire Fisher) dan Freddy Rodriguez (Federico Diaz).

Turut membantu ialah Justina Machado (Vanessa Diaz), Mathew St. Patrick (Keith Charles), James Cromwell (George Sibley) dan Rachel Griffiths (Brenda Chenowith).

Diterbitkan dalam 12 episod, Six Feet Under musim kelima akan menemui penonton di Asia buat pertama kali pada 10 Oktober bermula pukul 10 malam. Tayangan perdana ini akan menayangkan dua episod berturut-turut.

Episod-episod seterusnya pula akan ditayangkan pada setiap Selasa pukul 11 malam, di mana lagi kalau bukan di HBO (saluran 40 Astro).



HBO membawakan temu bual istimewa penerbit Alan Poul serta pelakon Lauren Ambrose, Freddie Rodriguez dan Justina Machado semasa penggambaran musim terakhir yang dilakukan di Los Angeles tidak lama dulu.

Berikut merupakan petikan interviu tersebut.

Alan, mengapa musim kelima adalah musim yang terakhir?

Alan: Sejak musim pertama lagi, saya dan Alan Ball sering mengingatkan diri masing-masing bahawa Six Feet Under boleh diteruskan dengan beberapa syarat. Antaranya ialah HBO bersetuju untuk menyambungnya dan kami berkemampuan mengekalkan kesegaran serta momentum jalan cerita.

Tetapi sejak awal lagi kami sudah boleh mengagak musim kelima adalah musim yang terakhir, malah Alan Ball pernah berkata, ‘saya rasa musim depan adalah penghabisan’ semasa penggambaran musim keempat dimulakan.

Ternyata jangkaan itu tepat apabila lama-kelamaan penceritaan Six Feet Under menjadi semakin tidak natural. Seperti sebuah novel yang panjang, kami tidak pasti bagaimana mahu mengakhirinya.

Begitu pun, dengan musim kelima ini, kami sudah memutuskan apa yang bakal terjadi kepada karakter-karakter yang dicipta dan bagaimana ‘pengembaraan’ hidup mereka akan berakhir.

Lauren, apa yang anda rasakan apabila siri ini berakhir?

Lauren: Pahit dan manis, sudah tentu. Saya akan merindui rakan sekerja serta tugas yang dijalani selama ini. Sebagai seorang pelakon, bukan mudah untuk bertemu dengan material sebaik ini. Saya gembira kerana Six Feet Under mengekalkan tahap mutu yang tinggi sejak dari awal lagi sehinggalah tirainya berlabuh.



Dari segi kewangan, adakah ia menjadi punca Six Feet Under berhenti sampai di sini? Maklum saja bila ia sukses, pelakon mula meminta bayaran lebih.

Alan: Tidak. Wang bukan menjadi soal, apatah lagi dengan HBO, mereka tidak mempunyai isu sedemikian. Jika ada pelakon yang ingin menarik diri, mereka akan mencari pengganti. Mereka tidak akan menghentikan sesebuah siri dengan sewenang-wenangnya.

HBO memberi kebebasan kepada kami. Jika kami mahu menghentikannya, mereka akan menerima keputusan itu dengan tangan terbuka.

Lihat saja siri yang lain seperti Sex and the City dan Sopranos - ia dihentikan bukan kerana wang atau tidak mendapat rating yang tinggi. Mereka faham dengan risiko jika siri tersebut diteruskan, mampukah ia mengekalkan reputasi yang baik.


Ramai yang mengagak kesudahan siri ini bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Komen anda?

Alan: Pada mulanya, berlaku perdebatan antara saya dan penulis skrip kerana masing-masing mempunyai pendapat yang berbeza. Secara kasarnya, sejak siri ini dimulakan, kami ingin menggambarkan kematangan dan perubahan yang dijalani setiap karakter.

Bagaimanapun, musim demi musim, ada watak yang melalui haluan berlainan dan ia dikembangkan mengikut kesesuaian. Apa yang boleh saya katakan, siri ini bukan sebuah dongengan kanak-kanak. Namanya pun sudah Six Feet Under, penonton tidak boleh mengharap ia akan berakhir dengan penuh gembira dan ketawa.

Lauren, dari segi lakonan, apa yang paling mencabar buat anda?

Lauren: Selepas menilai episod pengenalan, HBO terus bersetuju menerbitkannya dan Alan tanpa sangsi mengambil saya berlakon. Setiap kali menerima skrip baru, semasa itulah juga saya berasa gentar.

Ada babak tertentu yang paling menakutkan anda? Saat pengguguran anak, mungkin?



Lauren: Ya, sangat menakutkan. Tetapi saya faham mengapa ia diwujudkan. Bukan saja untuk efek dramatik dan menjadikan karakter bertambah menarik, tetapi kejadian seperti itu memang benar dialami kebanyakan remaja hari ini.

Freddie dan Justina, apa yang anda pelajari dari siri ini?

Freddie: Saya merasakan seperti menghadiri sebuah sekolah lakonan yang terbaik. Diserahkan material yang bagus setiap minggu, berdampingan dengan pengarah dan pelakon yang hebat, saya ‘membesar’ sebagai seorang aktor yang komited.

Justina: Benar, dan tentu sukar mencari tawaran yang lebih baik selepas ini kerana standard Six Feet Under terlalu tinggi.

Selepas ini, adakah anda ingin berlakon dalam siri yang lain atau berehat sebentar, atau mencari peluang mengembangkan bakat melalui filem?

Justina: Saya memutuskan untuk tidak berlakon siri lain, melainkan ia benar-benar bagus. Saya sudah mempunyai perancangan lain.

Freddie: Pilihan saya lebih terbuka. Saya juga berlakon filem, jadi ia tidak mendatangkan masalah.



Sebagai orang Latin, sejauh mana anda merasakan peranan anda penting dalam siri ini?

Justina: Saya bangga kerana jarang sekali siri Amerika yang popular meletakkan orang Latin sebagai salah satu watak utama.

Freddie: Mewakili masyarakat Latin, watak kami ditampilkan dalam bentuk yang positif, profesional dan bermaruah. Saya fikir ia sangat penting dalam membentuk persepsi umum tentang masyarakat kami.