eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: ‘Realiti’ Di Tangan Penonton

Sunday, October 01, 2006

‘Realiti’ Di Tangan Penonton



Perihal program realiti televisyen sudah puas diperdebatkan, sejak detik ia mula diperkenalkan, bercambah menjadi fenomena sehinggalah kini apabila ia sudah menjadi satu kelaziman.

Daripada seberat-beratnya isu (dikatakan tidak seacuan budaya Asia, mengenepikan jati diri serta ‘memabukkan’) sampailah ke perkara-perkara yang remeh (seperti gosip cinta antara bintang Akademi Fantasia), program realiti tidak habis-habis diperkatakan.

Kritikan dan pujian sama banyak dilemparkan.

Sukar rasanya kalau mahu menyenaraikan kesemua program realiti yang diterbitkan di negara ini. Ia bukan saja tertumpu kepada program pencarian bakat nyanyian seperti Akademi Fantasia (AF), Audition atau One In A Million (OIAM), tetapi turut dikembangkan kepada beberapa ‘genre’ lain.

Antaranya seperti perlumbaan dan pengembaraan (Explorace: The Extreme Journey), tawaran peluang pekerjaan (Aspirasiku, The Music Executives dan Kickstart), pencarian pengacara berbakat (Malaysian Top Host) sampailah kepada ejen mencari jodoh melalui Mencari Cinta.

Apa sebenarnya yang didefinisikan sebagai ‘realiti’? AF mungkin boleh ‘mempertahankan dirinya’ dengan siaran Diari Akademi Fantasia yang menunjukkan kehidupan sebenar para pesertanya sepanjang berada di akademi.



Begitu juga dengan Explorace yang merakamkan penjelajahan serta emosi para peserta, di samping Kickstart yang menayangkan semangat juang para peserta mencipta inovasi bagi memenangi ganjaran yang ditawarkan.

Selebihnya, bagaimana? Terutamanya untuk program pencarian bakat, atas dasar apa ia dilabel sebagai ‘realiti’?

Contoh terbaik ialah Bintang RTM. Program tersebut yang satu masa dulu dianggap berprestij dan melahirkan ramai bintang-bintang terkemuka turut terkena tempias apabila ia juga dikategorikan sebagai rancangan realiti. Penonton terkeliru, mengapa sekarang dipanggil ‘realiti’ sedangkan dulu tidak?

Adakah kerana Bintang RTM mula menggunakan sistem undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam kaedah mencari pemenang, maka dengan mudahnya ia ditakrif sebagai rancangan realiti?

Jika begitu, mengapa suatu ketika dulu rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan tidak dianggap program realiti? Walaupun pada ketika itu, SMS masih belum wujud, tetapi pemarkahannya mengambil kira undian para penonton di studio yang menjadi juri awam.

Ketepikan soal klasifikasi kerana sebagai penyiar, stesen televisyen berhak untuk melabelkan apa saja program terbitan mereka asalkan ia mampu ‘dijual’ dan boleh meraih rating yang tinggi.

Baru-baru ini, kemenangan Suki atau nama penuhnya Low Sook Yee dalam OIAM mencetuskan satu lagi kekecohan serta kontroversi.

Entah mengapa, khalayak seakan sukar menerima kenyataan bahawa gadis berusia 17 tahun itu layak memenangi hadiah bernilai RM1 juta.

Persembahannya dirasakan kurang matang, apatah lagi apabila dia menerima saingan yang sengit daripada peserta sehebat Faizal mahupun Dayang Nurfaizah.

Ironinya, pemilihan itu dibuat seratus peratus oleh penonton sendiri dan bukannya juri profesional. Lalu khalayak sebenarnya menyalahkan siapa? Diri sendiri?



Senario yang berlaku pada Suki hari ini sebenarnya sudah lama berlaku. Kecuali Jaclyn Victor (Malaysian Idol sulung) dan Vince (AF1) yang rata-rata bersetuju layak digelar juara, sebahagian besar pemenang lain turut dipertikaikan kewibawaan mereka. Mawi tidak terkecuali.

Mawi pernah dituduh tidak tahu menyanyi dan hanya mengharapkan ‘personaliti Melayu’nya saja untuk menarik minat penonton. Tetapi, lihatlah di mana dia berada sekarang?

“Apa yang penonton undi, itulah yang mereka mahukan. Tidak dinafikan, mungkin ada di antara kita yang menilai peserta berdasarkan minat peribadi - kerana peserta itu tampan, comel, lawa, manja atau sebagainya - tetapi itulah indikasi peserta tersebut mempunyai potensi pasaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar.

Berpengalaman sembilan tahun mengepalai label Positive Tone tidak lama dulu, sambung Izham lagi: “Seteruk mana pun keputusan sesebuah pertandingan yang berasaskan undian peminat, itulah yang mereka inginkan. Merekalah yang menentukan jika seseorang artis itu boleh laris atau tidak, kerana mereka memegang kuasa pembelian.”

Kata Izham ada benarnya. Sebagai contoh, Daniel Lee dikritik teruk kerana kononnya menjatuhkan status tinggi Malaysian Idol dan gagal mengikuti jejak cemerlang Jaclyn Victor. Tetapi dari segi pasaran, album sulungnya laris mencecah angka jualan 25,000 unit sebaik saja diedarkan.

Mengapa kejayaan Daniel itu tidak dinilai sewajarnya? Adakah hanya kerana Daniel memenuhi pasaran muzik Cina tempatan, dia dianggap tidak tergolong dalam kelompok penyanyi yang berjaya?

Adakah kerana dia tidak tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) atau Anugerah Juara Lagu (AJL), dia terus dikatakan tidak hebat?

“Kuasa pembelian terletak di tangan golongan muda dan remaja. Merekalah sebenarnya yang mendominasi cita rasa pasaran muzik hari ini,” hujah Izham.

“Mungkin ramai yang beranggapan penonton bukanlah pengadil yang baik untuk menentukan pemenang. Sesebuah program perlukan barisan juri profesional untuk memilih. Namun hakikatnya, selera pengadil adakalanya bertentangan dengan apa yang peminat mahukan,” jelasnya terus.

Di samping itu, isu perkauman juga dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang merasakan penonton bukan Melayu lebih mendominasi tontonan sesebuah rancangan.

Menolak andaian tersebut, kata Izham memberikan analogi, “Kalau begitu, Dilla tidak akan menang program realiti Most Beautiful terbitan kami. Anak saya sendiri, orang Melayu, meminati dan mengundi untuk Suki. Saya tidak fikir soal perkauman harus menjadi perdebatan.”

Bagaimana pula dengan tanggapan yang merasakan program realiti berorientasikan keuntungan semata-mata, tanpa mementingkan kualiti ataupun aspirasi?

Sejujurnya, hiburan juga satu bentuk perniagaan. Apa yang menguntungkan, akan menjadi tumpuan utama. Penonton juga mendapat habuan yang adil apabila stesen penyiar memberikan apa yang mereka inginkan.

Tepuk dada, tanya selera...