eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Jackie Chan Tolak Pujian

Sunday, September 24, 2006

Jackie Chan Tolak Pujian



Jackie Chan tidak mahu para peminatnya berhibur kosong. Meskipun mereka ketawa dengan komedinya, barangkali juga terlopong mulut melihat aksi lagak ngerinya, Chan ingin penonton memahami mesej yang cuba disampaikan.

“Pasti ada pengajaran yang boleh dikutip melalui filem-filem saya, tidak kiralah ia ditonjolkan dengan terang mahupun tersembunyi,” ujar Chan yang datang ke Kuala Lumpur baru-baru ini mempromosikan filem terbarunya, Rob-B-Hood.

Berganding semula dengan Benny Chan yang pernah mengarahkan filem Who Am I dan New Police Story, kali ini Chan bukan saja bertindak sebagai bintang utama dan koordinator lagak ngeri, tetapi turut memberikan idea sebagai penulis skrip.

“Walaupun peranan saya di dalam Rob-B-Hood jahat, tetapi watak tersebut turut mempunyai dimensi yang kontra,” sambungnya yang membawakan karakter seorang penculik bayi.

“Penonton dapat menyaksikan transformasi Thongs daripada seorang lelaki kasar menjadi lelaki yang berhati lembut dan penyayang.”



Jarang sekali melakonkan watak ‘hitam’ berbanding hero, katanya: “Tidak seperti dulu, sekarang saya rasa lebih seronok menjadi orang jahat. Lagipun, saya tidak mahu hanya dikenali sebagai pelakon aksi berwatak baik. Saya mahu peminat lihat kewibawaan saya membawakan pelbagai watak.”

Selain Chan, filem yang sedang ditayangkan di rangkaian pawagam tempatan ini turut dibintangi oleh Louis Koo, Michael Hui, Gao Yuanyuan dan Chen Baoguo.

Daya tarikan Rob-B-Hood bukan saja terletak pada nama-nama besar, tetapi turut bergantung kepada kemunculan istimewa seorang bayi berusia empat bulan bernama Matthew Medvedev. Dia merupakan nadi utama penceritaan filem ini.

Bercerita mengenai pengalamannya berlakon di samping Medvedev, jelas Chan panjang lebar: “Saya tidak berkesempatan menyaksikan anak-anak saya membesar. Akibat kemasyhuran saya dan bimbang mereka dikejar paparazzi, saya terpaksa menghantar mereka ke Amerika Syarikat.

“Bekerja dengan bayi comel seperti Medvedev seolah memberikan saya peluang merasai keseronokan dan kenikmatan bergelar ayah sekali lagi. Nilai-nilai kekeluargaan dan kasih sayang yang diterapkan dalam skrip filem ini bukan saja sebagai peringatan kepada penonton, tetapi untuk kesedaran saya juga.”



Ditanya mengenai penerimaan khalayak terhadap Rob-B-Hood semasa ditayangkan di Festival Filem Venice baru-baru ini, tegasnya: “Saya kurang percaya dengan apa yang mereka katakan.

“Sebenarnya saya tidak suka kalau penonton tahu yang saya menonton bersama. Mereka pastinya akan memuji dan memberikan komen-komen yang baik belaka kerana enggan mengecilkan hati.

“Saya lebih suka mencuri masuk ke dalam panggung bila lampu sudah dipadamkan. Setiap reaksi yang diberikan penonton ketika itu, sama ada ketawa, menjerit, marah atau menangis, rasanya lebih jujur.

“Mereka melakukan semua itu tanpa mengetahui kehadiran saya dan reaksi sedemikian lebih saya hargai daripada pujian yang diterima.”

Sementara itu, pengarah Benny Chan yang ikut serta dalam lawatan promosi di sini memberitahu, Rob-B-Hood menerima komentar yang positif daripada majalah filem antarabangsa seperti Variety dan Screen.

“Tidak dinafikan, Jackie Chan adalah pelaris utama filem ini tetapi kelainan yang dibawakan menerusi penampilan bayi telah mencuri perhatian. Walaupun penggambaran memakan masa yang agak panjang iaitu melebihi lima bulan, ia satu pekerjaan yang berbaloi,” tutur Benny.

Dirakamkan di sekitar Hong Kong, Benny terpaksa menggunakan empat buah kamera sepanjang pembikinan dan dua daripadanya dikhaskan untuk merakamkan aksi-aksi Medvedev.

“Bekerja dengan bayi sekecilnya bukan satu kerja yang mudah. Kita tidak dapat menjangkakan mood jika dia gembira atau meragam pada hari itu. Namun begitu, saya faham dengan fitrah semula jadi seorang bayi kerana saya sendiri mempunyai anak,” terangnya sambil tersenyum.

Berdoa agar filemnya kali ini mendapat sambutan hangat, kata Benny secara berseloroh, “Saya harap peminat tidak merasakan saya pengarah yang stereotaip. Sudah sebati dengan filem aksi, tidak mungkin saya dibenarkan oleh mana-mana penerbit untuk membuat filem serius!”

Selain Jackie Chan dan Benny Chan, bayi comel Matthew Medvedev juga menyertai rangka publisiti ke sini. Sayangnya dia masih belum pandai bercakap!

Sentiasa berada dalam dakapan ibunya, Victoria Eugenia Molina Loaiza, kata wanita berbangsa Rusia ini, Medvedev diajak berlakon oleh pembantu pengarah filem tersebut.

“Saya dan suami merupakan peminat setia Jackie Chan. Sudah tentu peluang seperti ini kami tidak lepaskan,” ujarnya yang menganggap Rob-B-Hood adalah satu memori manis buat mereka sekeluarga.

Medvedev yang berdarah kacukan Rusia dan China diberikan kebebasan oleh keluarganya untuk menentukan kerjaya masa depan. “Jika dia minat untuk berlakon lagi apabila besar kelak, kami tidak membantah,” jawab Loaiza ringkas.

SINOPSIS ROB-B-HOOD

Bagi Thongs, si kaki judi, ada perkara yang lebih menakutkannya selain daripada pemungut hutang muncul di depan pintu - bagaimana mahu menangani dan memujuk bayi menangis.

Tetapi, bagaimana jika bayi itu mampu dijadikan ‘senjata’ untuknya mengelak daripada diburu? Persoalannya mampukah dia berdepan dengan fobia lampin basah dan botol susu?

Dibesarkan dalam kemiskinan, Thongs telah tersasar dari jalan hidup yang betul setelah dibuang sekolah dan disisihkan keluarga. Terlibat dalam kancah gangsterisme, dia dipengaruhi oleh Octopus untuk bekerjasama dalam satu komplot menculik bayi seorang taikun.

Begitu pun, rancangan mereka menemui kegagalan. Bayi tersebut tidak berjaya diserahkan kepada kumpulan kongsi gelap yang terbabit menyebabkan Thongs dan Octopus terpaksa menjaganya.

Dengan bantuan jururawat berhati luhur, tuan rumah yang sukakan bayi dan seorang remaja gila-gila, dua pemuda tersebut mula memahami erti kasih sayang. Namun demikian, kegembiraan mereka di ambang bahaya kerana bayi tersebut masih menjadi buruan kumpulan kongsi gelap.