eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Jac Tidak Gentar ‘Sumpahan’

Monday, September 11, 2006

Jac Tidak Gentar ‘Sumpahan’



Semasa album keduanya, Inilah Jac mula diedarkan akhir Julai lalu, Jaclyn Victor sedang bercuti di Australia dan United Kingdom.

Berehat dari sebarang aktiviti seni selama sebulan, katanya: “Saja makan angin lepas penat bekerja. Tahun lalu pun saya bercuti ke United Kingdom di bulan Julai, tetapi tiga minggu saja.”

“Jumpa ‘keluarga mertua’ ya?” usik penulis. Dia membalas dengan ketawa besar. Pintas penyanyi berusia 28 tahun ini, ”Saya tahu apa awak hendak tanya seterusnya.”

Bila lagi hendak melangsungkan perkahwinan? Semua orang tahu Jac sudah ada teman lelaki mat saleh.

Jac: Tidak tahu. Tiada perancangan lagi. Tanyalah benda lain (senyum).

Sudah lama berkenalan, kan? Tengok Siti kahwin? Tidak teringin?

Kami mula berkawan rapat dua tahun lalu, kenal baik sebelum saya bergelar Malaysian Idol lagi. Nantilah, segan bercerita pasal kahwin.


Single pertama Jac, Cepat Cepat seakan memberi petanda supaya Jac segera disunting. Lagu untuk buah hati?

Pandai saja awak buat cerita. Lagu itu tiada kena-mengena secara langsung. Saya sukakan lagu tersebut kerana melodinya berlainan dan liriknya yang seronok didengar, mudah menangkap telinga. Tiada bersangkutan dengan soal peribadi.

Ada peminat kata, Inilah Jac tidak sehebat Gemilang. Tiada pun lagu seperti Gemilang, malah Cepat Cepat pun kurang popular.

Cepat Cepat dijadikan single pertama kerana inginkan perubahan. Saya tidak mahu dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu balada saja, takut orang bosan. Tetapi masih ada balada yang mengasyikkan, misalnya Selagi Bertahan dan Ceritera Cinta.

Secara peribadi, saya lebih gemarkan album kedua. Lebih rileks, lebih segar dan saya nampak lebih muda!

Album ini benar-benar memberikan refleksi siapa saya yang sebenar, apa yang saya mahukan. Sebab itulah judulnya Inilah Jac. Sampul albumnya juga menggambarkan saya lebih kasual, tidak sematang atau semisteri Gemilang.



Bererti kamu kurang suka album Gemilang?

Semasa pembikinan album Gemilang, saya tiada ruang menyuarakan pendapat kerana semua lagu sudah disediakan. Tugas saya tinggal masukkan vokal saja.

Bukan bermaksud saya tidak suka, tetapi saya faham permintaan pasaran yang mahu album saya dikeluarkan secepat mungkin selepas menang Malaysian Idol.

Begitu pun, Sony BMG telah membuat pilihan lagu-lagu yang tepat. Saya gembira Gemilang bukan saja laris, tetapi mendapat label terbaik daripada Anugerah Industri Muzik (AIM) awal tahun ini.

Bukan mahu berfikiran negatif, tetapi bagaimana kalau Inilah Jac gagal menyaingi Gemilang? Sedangkan bagi Jac ia produk yang terbagus setakat ini.

Bila saya kata saya suka, ia bukan satu jaminan album ini akan ’meletup’. Saya menyerahkan kepada para peminat untuk menilai, dalam masa yang sama menghargai dan berkongsi cita rasa yang serupa.

Mungkin ia tidak popular secara mendadak, mengambil sedikit masa untuk diterima ramai, tetapi saya optimis Inilah Jac mempunyai jangka hayat yang panjang. Peminat tidak akan hanya fokus kepada satu-satu lagu, sebaliknya menyukai keseluruhan album.

Dengan bantuan komposer-komposer ternama seperti Azlan Abu Hassan, Audi Mok, Ross Ariffin dan sebagainya, Inilah Jac akan mendapat tempat.



Satu lagi cabaran realiti yang menakutkan - ‘sumpahan’ AIM. Ada yang beranggapan, artis yang telah menang banyak trofi AIM, terutamanya artis baru, sukar untuk menang lagi selepas itu. Jac sudah bersedia menghadapinya?

(Terdiam seketika). Saya tidak pernah terfikirkan hal itu. Saya enggan menganggap senario demikian sebagai satu sumpahan, sebaliknya saya percaya AIM mempunyai kriteria pemilihan tersendiri.

Kalau tidak menang, ertinya artis itu harus berusaha lebih keras memperbaiki kelemahan. Secara peribadi, kemenangan dalam sebarang acara anugerah bukanlah satu kemestian dan jika tewas, ia bukan tanda artis itu tidak bagus.

Jac di antara penyanyi yang lahir dari program realiti dan bakat Jac benar-benar diperakui, tidak seperti sesetengah bintang yang lain. Tidakkah Jac terkena ‘tempias’ bintang yang kurang berbakat tetapi digilap dari pendekatan yang sama?

Saya tidak tahu pendapat orang lain, tetapi pada saya kualiti adalah nombor satu. Tiada gunanya gelaran juara jika khalayak merasakan suara kita biasa saja. Selama mana kita mampu bertahan dalam industri hiburan? Saya tidak rela popular cepat, tenggelam pun cepat.

Saya faham format program realiti berdasarkan undian peminat dan mereka tidak boleh disalahkan atas pemilihan yang dibuat. Masing-masing melihat bakat melalui perspektif yang berbeza. Namun begitu, sudah namanya pun pertandingan nyanyian, biarlah pemenang yang dipilih benar-benar berdasarkan kemampuan.

Jac baru pulang dari Indonesia untuk penggambaran klip video Ceritera Cinta, lagu duet bersama Rio Febrian. Ada yang menarik yang ingin dikongsi?

Lagu tersebut merupakan laluan saya untuk dikenali di Indonesia. Selepas memenangi trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) yang lalu, saya berharap dapat melebarkan sayap ke negara-negara jiran tetangga.

Khabarnya, Ceritera Cinta bakal dijadikan single pertama album terbaru Rio. Walaupun berduet, rakaman dijalankan secara berasingan dan saya tidak pernah bertemunya sehinggalah pada hari penggambaran video muzik.

Rakaman dijalankan di sebuah banglo di kawasan Bogor, Jakarta dan diarahkan oleh Eugene Panji. Dalam video tersebut, kononnya saya bercinta dengan Rio dalam diam tanpa diketahui pasangan masing-masing.



Soalan terakhir. Apa sudah jadi World Idol? Tidak ralat?

Saya sudah lupakan impian itu. Tiada khabar berita, rasanya World Idol sudah tidak wujud lagi. Sedih juga sebab pertandingan itu antara hadiah yang disebutkan dulu tetapi hendak buat macam mana.

Saya cuma berharap kalau tiada pertandingan pun, sekurang-kurangnya buatlah satu persembahan yang menggabungkan kesemua pemenang siri Idol dari seluruh dunia. Tentu seronok.