eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Mesej Dari Lubnan

Sunday, September 10, 2006

Mesej Dari Lubnan



Sedang khalayak terus disogokkan dengan bahan berita dari media antarabangsa tentang kesengsaraan masyarakat Lubnan, TV3 mengambil inisiatif menerbangkan krew produksi mereka untuk penerbitan sebuah dokumentari khas berjudul Cekal Menentang Kezaliman.

Bakal ditayangkan melalui dua episod pada 9 dan 16 September pukul 9.00 malam, program ini akan membawa penonton melihat secara dekat kesan peperangan yang berlaku di antara Hizbollah dengan Israel.

“Sebenarnya sudah lama kami merancang untuk ke sana, tetapi malangnya jadual asal terpaksa ditunda kerana gencatan senjata. Begitu pun, program ini memfokuskan kepada apa yang berlaku selepas kemusnahan dan trauma yang menimpa mangsa tragedi kekejaman Israel,” kata penerbit program, Mohd Said Abdullah Thani.

Berada di sana selama seminggu mulai 18 Ogos lalu, Said dibantu oleh Norzie Pak Wan Chek selaku pengacara dan wartawan, Mohd. Ibrahim selaku penolong penerbit, jurukamera Noor Hizam Mohd Shariff serta sukarelawan daripada Global Peace Malaysia, Azlan Muhammad Sharif.

Sebagai pencetus idea dokumentari ini, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Farid Ridzuan turut serta dalam pengembaraan tersebut ditemani wakil daripada bahagian korporat komunikasi, Dzulhailee L’Akbar Dom Ami.

Menjelaskan maksud di sebalik judul Cekal Menentang Kezaliman, Said berkata ‘cekal’ adalah untuk rakyat Lubnan, ‘menentang’ untuk Hizbollah, manakala ‘kezaliman’ pula menggambarkan Israel.

“Misi program ini bukan saja memaparkan kesengsaraan orang-orang Lubnan dan kekejaman Israel, tetapi untuk menyemai rasa keinsafan kepada masyarakat kita supaya menghargai kebebasan dan erti kemerdekaan,” terang Said.

“Berikutan peperangan, rakyat Lubnan yang selama ini berpecah-belah dan terbahagi kepada berlainan puak akhirnya bersatu dan menjadi penyokong Hizbollah. Mesej seperti inilah yang ingin kami tonjolkan,” sambungnya lagi.

Berpengalaman mendengar bunyi tembakan yang dilepaskan, menjejaki trek kereta kebal pihak Israel, menyaksikan dengan mata kepala sendiri runtuhan tempat tinggal, bangunan awam dan sebagainya, para krew terpaksa menolak rasa bimbang, takut dan cemas. Mereka optimis nawaitu yang lurus akan dibalas dengan kebaikan.

“Perasaan gusar bertukar sedih apabila melihat malang yang menimpa Lubnan. Berkesempatan menemuramah penduduk di kawasan pedalaman, terutamanya di Kg Al-Boustan di Yarin dan lembah pertanian di Baalbek, kita dapat membaca ketabahan mereka yang tidak henti berharap peperangan akan berakhir,” kata Norzie pula.

“Kami juga berpeluang ke sebuah perkampungan iaitu Kg Ayta Ash Shab. Semua lelaki di situ adalah para pejuang Hizbollah yang terdiri daripada puak Syiah,” ujarnya sambil berkongsi fakta terdapat 20,000 pejuang Hizbollah dan sejuta orang penyokong daripada 3.5 juta penduduk Lubnan.

Menyentuh penerimaan masyarakat di sana terhadap kehadiran media, Norzie terkejut apabila kebanyakan daripada mereka bertanyakan khabar bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir.

“Sebut saja Malaysia, mereka terus bercerita akan kekaguman terhadap Tun dan memuji beliau adalah contoh pemimpin Islam terbaik. Meskipun ada di antara mereka yang kurang selesa apabila kami menghidupkan kamera untuk penggambaran, secara umumnya kami tidak berdepan dengan masalah,” beritahu Norzie.

Sebelum ini, Norzie dan Said pernah bergandingan untuk liputan Tsunami di Acheh menerusi program popular Majalah 3 setahun setengah yang lalu.

“Tragedi Tsunami memang menyayat hati, tetapi kesedihannya berbeza. Bencana itu diperturunkan Tuhan dan sebagai manusia, kita tidak mampu melawan dan harus reda. Sebaliknya, kezaliman di Lubnan disebabkan oleh manusia sendiri,” pintasnya.

Said menambah: “Apa yang lebih menguatkan kesedihan kita ialah sentimen sesama Islam. Kedegilan Israel telah membakar kemarahan, bukan saja kerana mencabul kehormatan agama, bangsa dan negara, tetapi nilai-nilai kemanusiaan sejagat.”