eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Terbaik Terakhir Dari Lokman

Monday, August 28, 2006

Terbaik Terakhir Dari Lokman



Bukan rezeki Lokman. Lagu Terbaik yang dibawakannya minggu lalu ternyata tidak cukup baik dan gagal meyakinkan para pengundi untuk membenarkan dia terus bersaing dalam merebut ganjaran RM1 juta yang ditawarkan oleh One In A Million (OIAM).

Menjadi peserta keenam yang tersingkir, perjuangan Lokman terhenti dalam persaingan Top 6 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu.

Menunjukkan reaksi tenang semasa pengacara Awal Ashaari dan Marion Caunter mengumumkan namanya, sebetulnya dia tidak menyangka akan mengucapkan selamat tinggal pada malam itu.

“Apabila diumumkan berada dalam kelompok undian terendah, saya akui agak tertekan tetapi tidaklah menjangka akan terkeluar. Secara peribadi, saya fikir nyanyian saya tidaklah begitu teruk,” kata pemilik nama penuh Mohd. Lokman Aslam Abdul Mutalib ini berterus-terang.

Mendedikasikan lagu dendangan minggu lalu buat ibu tersayang, begitu pun, Lokman menerima takdir yang tertulis dengan hati terbuka.

“Bohonglah kalau saya kata tidak sedih, tetapi sudah tiada rezeki. Mungkin selepas ini Tuhan membukakan peluang yang lebih besar dan indah untuk saya,” ujarnya positif.

Menyerahkan perjalanan kariernya kepada 8TV dalam jangka masa terdekat, jejaka berusia 19 tahun ini menolak andaian kononnya dia tidak komited semasa bertanding.

Lewat kebelakangan ini, juri Syafinaz dan Paul Moss merasakan persembahannya tidak konsisten, kelihatan ‘main-main’ dan tidak bersungguh.

“Sejujurnya saya serius ingin memenangi ganjaran yang ditawarkan. Penonton mungkin tidak dapat melihat saya bekerja keras semasa latihan dan hanya menilai nyanyian saya di atas pentas. Mungkin kekurangan saya dari segi persembahan, tetapi tidak vokal,” jawabnya mempertahankan diri.

Sempat menyanyikan lagu Jujur buat penonton sebelum mengundurkan diri, pemergian peserta kelahiran Masai, Johor ini diiringi dengan ‘mata berkaca’ teman-teman seperjuangan, terutamanya Alif.

Selain Lokman, peserta yang turut berada dalam carta undian terendah ialah Faizal, Farah dan Azfar.

Faizal yang menunjukkan prestasi mengagumkan menerusi Warisan Wanita Terakhir minggu lalu sebenarnya tidak terkejut apabila kurang mendapat undian.

“Apa pun boleh terjadi dalam program realiti seperti ini. Saya tidak pernah merasakan diri selamat kerana undian peminat sukar dijangka,” terangnya.

Tidak menafikan faktor dia mungkin kehilangan undi selepas mendedahkan isteri dan anak kepada media massa, bagaimanapun, Faizal memberitahu: “Kalau saya tersingkir pun, biarlah kerana persembahan yang kurang meyakinkan. Bukan kerana hal-hal peribadi.”

Sementara itu, Farah yang sekali lagi berada di tempat antara tercorot seakan pasrah dengan pola undian peminat.

“Sekuat mana pun saya mencuba, saya tetap berada di antara yang terbawah. Saya terima kenyataan kalau minggu depan saya tidak lagi berada di sini,” ucapnya perlahan.

Selepas penyingkiran Anny Johanna Mohamad Sharif (Anny), Norshammeme Arzeyana Shamsudin (Mimi), Shahmeen Shah Halim Shah (Ameen), Norhasliah Abu Hassan (Aliya), Zaihanee Zainal Abidin (Zai) dan yang terbaru Lokman, tinggal tiga jejaka serta tiga gadis berpeluang mara ke peringkat seterusnya.

Persaingan Top 6 menyaksikan para peserta menyanyikan dua buah lagu. Satu daripadanya adalah pilihan pengarah muzik Aubrey Suwito manakala satu lagi dipilih oleh peserta sendiri.

Kata Paul, “Dengan format sebegini, kita dapat melihat bagaimana pengarah muzik tahu apa yang terbaik buat para peserta. Kebanyakan lagu pilihannya sesuai dengan suara, penampilan dan personaliti peserta.”

Seperti lazimnya, Dayang dan Faizal menerima komentar yang positif dari pihak juri, sementara Farah dan Suki gagal memikat hati mereka.

APA KATA JURI

Muhammad Alif Mohd. Satar (Alif)
Lagu: Tak Bisakah & Harder To Breath

Syafinaz: Nasib baik anda diberikan peluang menyanyikan dua lagu kerana penyampaian yang kedua lebih baik. Orang suka melihat anda di atas pentas kerana anda mempunyai karisma. Begitu pun, pergerakan harus mempunyai tujuan.

Paul: Saya tidak tahu siapa yang mengundi anda. Selama ini anda tampilkan imej lucu dan bersahaja, tetapi untuk lagu kedua anda berubah menjadi ‘garang’ dan rock. Saya rasa seperti ada yang tidak kena.

Alif Azfar Ishak (Azfar)
Lagu: Inayah & Andalusia

Syafinaz: Boleh tahan tetapi tidaklah hebat. Sekurang-kurangnya lebih baik dari minggu lepas. Anda bermula dengan baik tetapi di pertengahan seperti ada gangguan. Tiada salahnya memilih jalur muzik nusantara, tetapi cuba suntik elemen moden ke dalamnya.

Paul: Lagu pertama dan lagu kedua sangat berbeza. Saya tidak pasti jika muzik yang anda bawakan relevan dengan pendengar masa kini.

Dayang Nurfaizah Awang Dowty (Dayang)
Lagu: Fever & Be Without You

Syafinaz: Kadang-kadang kita perlukan visual untuk menjadikan sesuatu itu sedap, tetapi tidak untuk anda. Dengar suara saja sudah cukup. Saya suka keyakinan yang ditonjolkan, dinamik suara yang diberi dan anda sangat seksi malam ini. Anda juga mampu mengawal penonton dengan baik.

Paul: Pilihan lagu yang baik tetapi saya rasa anda masih belum ‘mengeluarkan’ kesemua yang anda ada. Tiada artis lain yang mampu menjadi ‘R&B, funky diva’ seperti anda.

Ahmad Faizal Mohd. Tahir (Faizal)
Lagu: Superstition & Elevation

Syafinaz: Sangat-sangat menghiburkan. Bukan semua orang mampu membawakan lagu Stevie Wonder. Satu perkara yang pasti ialah anda penuh dengan tenaga. Saya ingin lihat satu hari nanti anda mampu mengawal penonton tanpa anda sendiri bergerak.

Paul: Bagus, ada stail, seperti menonton sebuah konsert rock. Anda tidak meniru cara nyanyian Stevie Wonder dan anda adalah penghibur terbaik dalam program ini. Begitu pun untuk lagu kedua, ia kelihatan terlalu mudah untuk anda. Penonton sudah boleh mengagak bagaimana persembahan anda seterusnya.

Farah Asyikin Zulkifli (Farah)
Lagu: Tak Tercapai Akalmu & Takkan Ada Cinta Yang Lain

Syafinaz: Suara anda sedikit bergetar, anda lupa lirik dan tidak konsisten. Satu perkara yang saya paling menyampah ialah bila sebutan tidak betul. Ini adalah perkara yang paling asas. Saya fikir posisi anda minggu ini sangat rapuh.

Paul: Nyanyian anda satu dimensi saja, tidak rock langsung, malah banyak sangat menjerit. Anda nampaknya seperti tidak komited. Anda benar-benar dalam bahaya.

Low Sook Yee (Suki)
Lagu: Pudar & When It Falls Apart

Syafinaz: Persembahan yang memberangsangkan untuk lagu pertama. Tetapi untuk lagu kedua, anda harus lebih berani untuk mengubah susunan vokal. Mungkin kerana terlalu muda, anda tidak tahu lagi apa yang dimahukan sebenarnya.

Paul: Saya tahu saya banyak mengkritik anda sejak kebelakangan ini tetapi untuk lagu yang pertama, saya tidak menafikan ia sangat baik. Anda boleh menjadi lebih bagus. Malangnya anda salah memilih lagu kedua. Pilihan lagu sangat teruk. Dengan nyanyian seperti itu, jangan kata RM1 juta, RM1 pun belum anda dapat.