Bukan Semua Boleh Berlakon
Bukan merajuk, bukan juga berkecil hati tetapi kekecewaan Fauziah Ahmad Daud terhadap senario industri perfileman hari ini membuatkan dia menyepi diri. Meskipun lakonan ibarat hati dan jiwanya, dia rela menolak tawaran yang diberikan kerana tidak mahu bersekongkol dengan karakter tipikal dan komersialisme.
“Bukan tidak mendapat tawaran, tetapi watak yang diberikan kepada saya selalunya serupa, tidak berubah. Terpulang kalau ada yang mengatakan saya cerewet tetapi saya mahukan karakter pelbagai dimensi. Saya mahu bakat lakonan saya dipergunakan sepenuhnya,” tegas wanita berusia 43 tahun ini yang lebih mesra dipanggil Ogy.
Sesuai dengan labelnya sebagai aktres hebat yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik beberapa kali, Ogy tidak merasakan tindakannya itu sebagai jual mahal.
“Saya sedar mungkin apa yang saya mahukan sukar untuk dipenuhi, tetapi itu tidak menjadi masalah. Saya boleh berlakon dalam drama terbitan sendiri, mencari watak yang benar-benar sesuai dengan saya,” katanya yang menerajui syarikat produksi Artistic Preview.
Tidak melarikan diri terus dari dunia hiburan, Ogy masih aktif sebagai penerbit, pengarah dan pengacara. Program bual bicaranya yang terbaru bersama Salih Yaacob, Ogy & Salih mengembalikan kerinduan peminat terhadap keletahnya yang bersahaja.
Namun begitu, di sebalik sifatnya yang ‘banyak mulut’ dan gemar ketawa, ramai yang membawa cerita kononnya Ogy cepat naik angin ketika di set.
“Saya tidak boleh menutup mulut orang yang membuat fitnah, itu hak mereka. Namun saya akui saya seorang yang sangat serius bila bekerja. Saya tidak akan bertolak ansur dengan para pelakon atau krew yang tidak tahu memegang amanah sejujurnya.
“Bukan semua orang boleh berlakon. Saya berani mengatakan yang pelakon kita kebanyakannya mekanikal. Hafal skrip, bercakap kemudian menangis tanpa mengetahui dan merasai apa yang karakter mahukan. Saya kecewa dengan keadaan ini. Sudahlah kita kekurangan pelakon,” luahnya berterus-terang.
Bercadang membuka kelas lakonan, Ogy mengakui: “Bukan kerana mahu menunjukkan yang saya sudah bagus. Saya sendiri masih lagi belajar. Tetapi, saya mahu membantu bakat-bakat muda yang ada. Sayang rasanya jika bakat mereka tidak dipertajamkan. Lakonan bukan sekadar bakat semata-mata tetapi sikap dan pengetahuan.”
Sedang mengerjakan beberapa program Aidilfitri untuk tayangan RTM seperti Ogy & Salih Special: Misteri Syawal dan Menjejaki Bintang, aktres versatil ini juga baru muncul dengan VCD Selera Thai yang berada di pasaran sejak 25 Julai lalu.
VCD terbitan Karya Prima edaran Wayang Tinggi Corporation itu mengenengahkan Ogy sebagai pengarah dan pencetus konsep.
“Tidak saya nafikan ilham asal tercetus daripada program The Globe Trekker, namun saya tidak meniru seratus peratus. Saya cuba mengadaptasikan konsep rancangan dengan kehendak penerbit. Saya bukan hanya bertindak sebagai hos, tetapi turut mencuba memasak sajian yang disediakan,” terangnya.
Antara resipi yang ditonjolkan ialah Salad Herba Limau Bali, Ikan Siakap Goreng Herba Bersalut Daun Kadok, Daging Kambing Panggang dan Tom Yam Udang.
Dijual dengan harga RM16.90 setiap siri yang mengandungi enam resipi, VCD ini diterbitkan dalam 16 siri.
“Uniknya mengenai Selera Thai, ia tidak hanya berkisar mengenai penyediaan makanan. Penonton juga akan turut dibawa bersiar-siar ke beberapa tempat menarik dan bersejarah di negara Gajah Putih itu,” sambung Ogy.
Menambahkan lagi tarikan Selera Thai ialah kemunculan istimewa artis-artis terkenal Thailand yang turut memasak dan membantu chef terlibat seperti Sine Chrenpura dari filem Nang Nak, Ying Julalak dan Hene Sasithorn dari Taloompok.
Memakan masa sebulan penggambaran, bagaimanapun Ogy kurang pasti mengapa VCD ini lewat dipasarkan memandangkan penggambarannya sudah dilakukan hampir dua tahun lalu.
“Sebagai pengarah saya sudah menjalankan tugas sebaiknya. Saya fikir mungkin penerbit mempunyai strateginya sendiri,” beritahunya ringkas menutup perbualan.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru