Nasihat Mawi Pada Ina
Dia mengukir senyum melihat kehadiran ramai wartawan pada petang itu. Tiada siapa yang dapat menduga apa yang sedang berlegar-legar di fikirannya.
“Rindu rasanya, dah lama tak jumpa anda semua,” katanya menyapa pihak media yang menunggu hampir sejam sebelum majlis pelancaran albumnya, Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu bermula.
Setelah tiga minggu ‘bercuti’ bagi menghormati pemergian ayahanda tercinta, Mawi kembali menjadi buruan. Banyak persoalan yang hendak diajukan, banyak juga spekulasi yang mesti diperjelaskan. Namun, riak wajahnya tenang seolah dapat menduga apa yang bakal dihadapinya.
Sudah hampir setahun bergelar artis, dia tampak bijak mengendalikan emosi. Dia sudah tidak melenting marah atau tersinggung, tidak juga menjawab ‘no comment’ meskipun ada di antara jawapannya berulang-ulang.
Topik apa lagi yang paling ingin ketahui ramai kalau bukan mengenai bekas tunangnya, Nordiana Naim atau Ina. Gadis berusia 22 tahun itu dilihat semakin bebas bersuara dan mendapat publisiti meluas meskipun dirinya bukan seorang artis. Kini berhijrah ke Kuala Lumpur, Ina khabarnya sudah bertugas sebagai Eksekutif Pemasaran di sebuah syarikat.
“Mungkin dia ada impian dan cita-citanya sendiri. Kalau sudah tertulis rezekinya di situ, baguslah. Saya doakan dia berjaya,” tegas Mawi.
Diasak dengan pertanyaan tidakkah dia terasa Ina menggunakan media untuk meraih simpati ataupun populariti, cepat-cepat dia menidakkan. “Tidaklah. Saya tidak rasa begitu. Kalau sudah rezeki dia...” ujarnya tergantung.
Mengakui melihat gambar-gambar Ina yang terpampang di akhbar, perasaan Mawi cuba diusik.
“Cantik tak dia,” tanya seorang wartawan. “Ok, ok,” jawabnya. “Menyesal tak putus tunang?” Mawi disakat lagi. Jejaka berusia 25 tahun itu terus menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia juga ketawa besar apabila ada yang bercadang untuk menggandingkan mereka berdua dalam satu sesi fotografi. “Tidak perlulah,” katanya pendek.
Terdiam sejenak apabila diminta memberikan nasihat kepada Ina memandangkan dia sudah merasai alam glamor terlebih dulu, saranan Mawi: “Dia harus bersedia dari awal dengan segala kemungkinan yang berlaku. Dugaan selepas ini lebih hebat. Kuatkan semangat, semoga berjaya.”
Jika benar bagai dikata, nyata Mawi tidak menyimpan dendam di hati. Biarpun album gambar yang dimintanya selepas putus tunang masih belum dikembalikan, Mawi reda. “Hendak pulang, pulanglah. Kalau tidak, ambillah,” tuturnya.
Sehebat fenomena yang dicipta Mawi, sehebat itulah kontroversi yang melanda dirinya. Tidakkah dia bimbang para pengikutnya semakin berkurangan lantaran cerita panas yang tersebar satu demi satu?
“Bila saya pergi pertunjukan pentas, peminat masih sama seperti biasa. Kurang pastilah pula kalau ramai yang semakin membenci. Saya tidak boleh paksa orang menyukai saya. Sebagai penyanyi, saya cubalah buat yang terbaik. Saya pun manusia biasa juga,” jelasnya seperti meminta kemaafan.
Tidak menafikan sensasi yang tercipta sedikit sebanyak menjejaskan reputasi, Mawi bagaimanapun tetap berpegang kepada alasan sebenarnya menceburi bidang nyanyian.
“Dari awal dulu saya beritahu, saya menyanyi kerana mahu bantu keluarga. Mulut orang tidak boleh saya tutup. Saya hanya boleh bersabar dan berhati-hati dengan apa yang saya buat selepas ini,” terangnya yang kelihatan lebih terbuka dan bersemangat baru.
Trivia
* Album Mawi Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu telah mencecah jualan melebihi 104,000 unit sejak dipasarkan 17 April lalu. Pada hari pertama saja, ia laris sebanyak 58,500 unit. Album ini layak menerima anugerah Cakera Platinum Berkembar Empat.
* Empat album Mawi iaitu Best Of Mawi World, Mawi Tercinta, Best Of Mawi World MTV Karaoke dan Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu telah terjual melebihi 450,000 unit dalam tempoh lapan bulan.
* Ditanya tidakkah Maestro Records memberi ganjaran kepada Mawi atas penjualan album yang memberangsangkan, Ketua Pegawai Eksekutif Maestro, Freddie Fernandez memberitahu: “Kita melihat keuntungan itu sebagai modal pusingan untuk menerbitkan album artis-artis lain yang bernaung di bawah kami. Ini satu perniagaan, kami juga ingin memberi peluang kepada barisan artis kami yang lain mencipta nama.”
* Majlis pelancaran album Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu telah disempurnakan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Yusof Nor.
* Album tersebut dijangka akan menembusi pasaran Indonesia November ini. Rancangan awal melancarkannya pada Julai lalu terpaksa ditangguh akibat kesibukan Mawi, serta pemergian arwah bapanya.
* Berat badan Mawi semakin bertambah. Daripada 55kg semasa keluar Akademi Fantasia tahun lalu, sekarang beratnya meningkat sehingga 65kg.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru