eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: AF Kerajaan Lelaki

Monday, August 07, 2006

AF Kerajaan Lelaki



Setelah empat musim bersiaran, tradisi Akademi Fantasia (AF) masih gagal dipecahkan. Seorang demi seorang juara ditabalkan, namun kesemuanya didominasi kaum lelaki. ‘Kerajaan’ program realiti paling popular itu kini menerima seorang lagi ketua baru selepas Vince, Zahid dan Mawi.

Faizal atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ramly menjadi pemenang tunggal dari negeri sebelah Pantai Timur. Berasal dari Marang, Terengganu, jejaka berusia 22 tahun ini meneruskan legasi AF yang seakan enggan melepaskan takhta penaklukan kepada wanita.

Bukan mahu membangkitkan soal diskriminasi gender, namun adakah ini satu petanda bahawa AF bukan platform terbaik untuk mengiktiraf bakat peserta perempuan?

Menjadikan ‘inilah program realiti’ sebagai alasan utama, khalayak terpaksa menerima segala keputusan yang tersurat dengan fikiran terbuka. Sementelah formatnya juga sama dan tidak berubah, pola undian penonton sudah boleh dibaca sejak awal lagi.

Memetik kata Pengarah Kanan Astro, Zainir Aminullah dalam sidang media selepas Konsert Akhir AF4: “Tidak dinafikan pada satu peringkat, penonton meletakkan kepercayaan untuk peserta wanita bergelar juara tahun ini. Namun malangnya, para penyokong Faizal lebih agresif dan mendahului penyokong yang lain. Kita mesti menerima kenyataan tersebut.”

Pengetua AF4, Ramli Sarip pula berpandangan lebih jauh dan beranggapan perjuangan barisan finalis ini baru bermula. “Sekurang-kurangnya peserta wanita ada harapan. Mereka tidak bergelar juara di sini, tetapi mungkin di luar nanti sinar bintang mereka akan lebih cerah.”

Tinggalkan persoalan, terimalah hakikat. Faizal sudah menjadi pilihan majoriti, malah corak pengundian tidak banyak berubah sebelum dan selepas Konsert Akhir AF4 melabuhkan tirai.

Mendendangkan lagu Allahyarham Sudirman, Hujan dan lagu baru ciptaan M. Nasir/Loloq berjudul Lihatlah, dia meraih undian sebanyak 34 peratus.

Pengkritik Mamat Khalid melabelkan Faizal sebagai dahsyat dan cukup serba serbi, manakala Siti Hajar merasakan pemuda tampan itu mempunyai fleksibiliti suara dan mood yang sangat baik. Adlin Aman Ramlie pula selaku pengkritik tetap berkias menerima kehadiran Faizal sebagai bintang baru.

Ujarnya, “Anda telah ditemui, telah diterokai di sini. Malam ini ibarat ijab kabul anda dengan industri hiburan. Saya berharap anda gunakan pengalaman yang ada dan tidak siakan hari-hari mendatang.”

Gelaran juara melayakkan Faizal membawa pulang hadiah bernilai hampir RM400,000, termasuk sebuah kondominium A’Famosa di Melaka, sebuah kereta Toyota Vios, pakej percutian ke Paris dan wang tunai RM20,000.

Selepas tersingkir dan diserap semula melalui undian AFMasuk, Lotter menjejaki langkah Linda Nawuwil semasa AF2 dua tahun lalu. Jejaka berusia 23 tahun kelahiran Membakut Sabah itu terus merampas tempat kedua menerusi dendangan lagu In The End dan Yang Berlalu Tak Berulang.

Gagal mengatasi undian Faizal dan sekadar mampu berpuas hati dengan undian sebanyak 28 peratus, Lotter P. Edwin Edin menolak persepsi dia telah meragut peluang kemenangan peserta lain.

“Peluang kedua yang saya perolehi adalah atas pilihan peminat. Saya hormati dan hargai kesempatan yang diberikan,” katanya pendek.

Jejaka berperwatakan lucu ini menerima hadiah bernilai hampir RM120,000, termasuklah sebuah kereta Toyota Vios, pakej percutian ke Paris dan wang tunai RM10,000.

Nur Farhan Azizan yang sebelum ini disebut-sebut bakal meleraikan ikatan monopoli pemenang lelaki, hanya diletakkan di tempat ketiga dengan undian 20 peratus.

Meremangkan bulu roma penonton dengan vokal mantapnya melalui Aku Saja Yang Tahu dan melepasi kesukaran menyanyikan lagu Spain dengan cemerlang, awal-awal lagi dia sudah dilabel ‘diva’ oleh Mamat Khalid.

Pengarah filem itu tidak teragak-agak meletakkan Farhan sebaris dengan Whitney Houston dan Nina Simone. Siti Hajar juga akur bahawa persembahan gadis berusia 22 tahun itu memuaskan, begitu juga dengan Adlin yang tidak mempertikaikan kemampuan Farhan sebagai penyanyi.

Mensyukuri kemenangannya, Farhan dari Kuala Lumpur merangkul hadiah bernilai hampir RM30,000, termasuklah pakej percutian ke Paris dan wang tunai RM5,000.

Walaupun kebanyakan ramalan menepati sasaran, Konsert Akhir AF4 memberikan kejutan kecil apabila Haziq yang dijangka akan mendiami tempat kelima, naik satu tangga ke tempat keempat.

Hazwan Haziq Rosebi, 18 dari Kluang, Johor memikat penonton dengan kekuatan ‘akar’ Melayunya melalui dendangan Cubit-Cubit Sayang dan Gurindam Anak Muda. Dia menerima ganjaran bernilai hampir RM20,000.

Sementara itu, finalis ‘malatup’, Velvet Lawrence Aduk, 19 dari Penampang, Sabah terpaksa reda dan menerima kententuannya berada di tangga terakhir. Diserahkan tanggungjawab menyampaikan lagu Rembulan dan Kini Detiknya, Velvet membawa pulang hadiah bernilai RM12,500.

Peratus undi sebelum konsert
Faizal 35%
Lotter 27%
Farhan 17%
Velvet 11%
Haziq 10%

Peratus undi selepas konsert
Faizal 34%
Lotter 28%
Farhan 20%
Haziq 11%
Velvet 8%

Undi Merosot, Bukti AF4 Lesu?

Jumlah undian keseluruhan AF4 merosot lagi. Bermula dengan angka yang gemilang iaitu 15 juta undi untuk AF2, kemudian berkurangan ke 10.7 juta untuk AF3, AF4 hanya mampu menerima 7.4 juta undi. Daripada jumlah tersebut, Konsert Akhir AF4 memungut 1.3 juta undi.

“Kami melihat penurunan undi ini disebabkan oleh beberapa faktor. Antara yang dapat dikesan ialah demam Piala Dunia dan faktor ‘TsuMawi’ yang masih melanda. Namun begitu, kami percaya AF masih menjadi jenama Astro yang kuat berdasarkan jumlah langganan dan tontonan yang meningkat dari masa ke semasa.

“Kami tidak menyangkal akan kemungkinan penonton sudah terbiasa dengan format AF. Keghairahan terhadapnya mungkin tidak sehebat dulu, tetapi kami sentiasa berusaha menghidangkan yang terbaik untuk penonton,” jelas Pengarah Kanan Astro, Zainir Aminullah.

Menolak tanggapan AF4 gagal sepenuhnya dan hilang sengat, Zainir menambah: “Kami meneruskan musim ini dengan cabaran yang besar kerana penonton semakin arif dengan konsep program itu sendiri.

“Bercakap mengenai pemilihan lagu yang dikatakan hambar dan soal pemakaian peserta yang dikritik, kami mempunyai panel yang dilantik berdasarkan kepakaran dan pengetahuan. Cita rasa penonton pelbagai dan kami melihat perkara ini sebagai sesuatu yang sangat subjektif.”

Enggan mengesahkan jika AF disambung ke musim kelima, Zainir mengulang kata-kata tahun sebelum ini: “Mungkin ada, mungkin tidak.”